Label

Khamis, 5 Januari 2017

NOVEL Akhirnya Bab46

MAK INTAN hanya memerhatikan dari jauh. Sejak balik dari Kuala Lumpur beberapa hari ini, Manissa dilihatnya sugul. Asyik termenung dan tidak ceria seperti selalunya. Apakah yang sedang difikir sehinggakan segala yang indah hilang arahnya? Mak Intan cuba mengagak apa yang berlaku antara dia dengan Manissa dalam sehari dua ini. Namun tidak ada apa yang melintas di fikirannya. Nasi goreng yang dihidangkan di atas meja pagi tadi masih belum terjamah.

“Kenapa tak dimakan lagi nasi goreng tu? Air kopi tu dah sejuk agaknya.”

“Ehh…Mak Intan. Err…nak makanlah ni.”

“Nak makan tapi tak makan‐makan! Apalah yang difikirkan sangat tu?”

“Err…tak ada apa‐apalah Mak Intan. Rasa macam tak selesa sehari dua ni.”

“Nissa tak sihatkah?”

“Tak jugak tapi entahlah…”

“Erm…rindu orang jauh kot!”

“Ehh…ke situ pulak Mak Intan ni!”



“Atau merajuk dengan orang yang dekat!”

“Mak Intannn! Pagi‐pagi dah nak usik Nissa. Mana ada!”

Mak Intan menyendukkan sedikit nasi goreng ke dalam pinggan. Ditambahkan dengan sepotong telur rebus dan sedikit ikan bilis goreng untuk Manissa. Air kopi yang mula sejuk itu, dituangkan sekali. Menggeleng kepalanya apabila melihat wajah sugul Manissa.

“Jamah sikit nasi goreng ni. Jangan dibiarkan perut tu masuk angin. Nanti sakit Nissa juga yang susahkan?”

“Terima kasih Mak Intan. Tak pernah jemu menjaga Nissa. Dari dulu sampai sekarang. Kasih Mak Intan tak pernah berubah.”

“Mak Intan pun bukan ada sesiapa lagi. Hidup pun sekadar ehsan suadara mara. Sekadar menumpang kasih kepada anak‐anak saudara. Harapan Mak Intan jugak pada Nissa…”

“Janganlah sedih Mak Intan. Nanti hilang pulak selera Nissa nak makan nasi goreng ni. Nissa pun dah anggap Mak Intan macam keluarga Nissa sendiri.”

“Iyelah…makanlah dulu. Biar Mak Intan ke dapur buat kerja apa yang patut.”

“Terima kasih Mak Intan…”

Ucapan terima kasih daripada Manissa hanya dibalas dengan senyuman. Itu yang mampu dibalas dan amat bermakna untuknya. Mak Intan berlalu dengan rasa bangga di dada. Pun begitu, dia tetap menyimpan rasa curiga melihatkan keadaan Manissa. Ada sesuatu yang ingin disorokkan daripada pengetahuannya. Apa sebenarnya masalah yang sedang difikirkan oleh Manissa? Dia akan cuba juga mencari jawapan itu nanti. Dibiarkan Manissa melayan perasaannya sendiri sambil menikmati sarapan pagi.

Perlahan‐lahan Manissa menyuap nasi goreng ke mulutnya. Fikirannya teringatkan sesuatu. Peristiwa dua hari lepas masih segar di ingatannya. Dia terasa amat bersalah. Disebabkan dirinya, hubungan Luqman Adzlie dengan tunangnya menjadi porak peranda. Segalanya mula berantakan. Apa yang menjadi tanda tanya di benaknya, mengapa Luqman Adzlie tidak memberitahu bahawa hatinya sudah dimiliki? Begitu juga dengan Mia Salmi dan Mak Intan sendiri, mengapa harus dirahsiakan semua itu daripadanya? Saat hatinya mula menyukai lelaki itu, datang badai menghempas perasaan. Sakit hatinya bagai ditusuk duri.

“Cakaplah awak. Mengapa diam seribu bahasa?” soal Luqman Adzlie sewaktu Manissa memandu membawanya pulang. “Awak marahkan saya?”

Manissa tetap mendiamkan diri. Ketika itu sudah remuk perasaan di hati Manissa. Sudahlah dia terperangkap di dalam cinta Luqman Adzlie, malah dia turut terbabit sama. Syafika Aziera pula sesuka hati melemparkan kata‐kata sinis buatnya. Dia pun malu apabila turut menjadi sebahagian tontonan orang ramai masa itu. Geram juga hatinya. Niat ikhlasnya tidak dihargai langsung malah cacian yang diterima. Dia tidak salahkan Luqman Adzlie seratus peratus dalam soal ini. Mungkinkah ada hikmahnya? Bilakah momen yang pahit akan bertukar manis?

“Boleh tak awak jangan membebel? Tak senang hati saya nak memandu!”

“Iyelah…saya tanya elok‐elok awak tak jawab.”

“Cukuplah awak. Segala cacian yang saya terima tadi memang menyakitkan!”

“Maafkan saya awak. Mana saya tahu perkara ni nak jadi. Tak sangka pulak dia nak jumpa saya tadi. Bukan awak seorang, saya pun malu jugak.”

“Tapi kenapa nak babitkan saya? Kalau saya tahu dah lama saya tinggalkan awak. Dan tak ingin saya nak jemput awak!”

“Janganlah macam tu. Itu semua salah faham. Kita kawankan?”

“Tapi mengapa rahsiakan status awak?”

“Bukan sengaja saya mahu menyembunyikan status saya. Semuanya bersebab. Saya tak mahu status itu menghalang hubungan kita.”

“Kalau awak jujur…saya pun tak kesah!”

Ketika itu terdiam mulut Luqman Adzlie. Manissa mahu lelaki itu berfikir dan mencari jawapannya sendiri. Dia memang ikhlas dalam berkawan. Apa pun alasan Luqman Adzlie, dia tetap berkecil hati atas apa yang sudah berlaku. Maruahnya tercalar gara‐gara sikap kurang ajar Syafika Aziera. Niat baiknya telah disalah ertikan. Pertolongannya umpama sia‐sia. Bukan pujian yang diminta tetapi cukuplah sekadar sepotong kata terima kasih. Memang bukan seratus peratus salahnya Luqman Adzlie. Berapa kalipun kata maaf diucapkan oleh lelaki ini, hatinya tetap telah terguris.

“Maaflah awak. Saya mengaku saya yang salah. Kalau saya berterus terang dari awal tentu awak tak mahu kawan dengan sayakan?”

“Itu kata awak!”

“Awak tak kesah?”

Kali ini giliran Manissa pula berdiam diri. Semakin berat kepalanya memikirkan soal hati dan perasaan. Terfikir juga di mindanya, kadang‐kadang hati dan perasaan memang kejam. Berkawan tidak semestinya memiliki. Berkasih dan sayang tidak semesti diakhiri dengan sebuah janji sehidup semati. Mungkin terlalu awal pentafsiran yang telah dibuat. Namun apabila hati telah terluka, segalanya berubah secara tiba‐tiba. Soal hati sukar untuk diduga.

Soal perasaan juga boleh menjadikan seseorang itu gila!

“Saya dah lukakan hati awakkah?”

“Memang!”

“Biar betul awak!”

“Maaf jugak dah buat awak serba salah.”

“Apa maksud awak?”

“Entah! Saya pun keliru.”

“Pulak! Memang saya tak faham apa maksud awak.”

“Orang lelaki memang susah nak faham. Ada perasaan tapi tak sensitif langsung!”

“Errm…dahlah saya sakit. Makin pening pulak kepala ni memikir.”

“Satu hari awak akan tahu jugak.”

“Mengapa tidak sekarang?”

“Maaf awak. Saya belum bersedia untuk jawapan itu!”

Manissa mencongak‐congak lagi. Sama ada jadi atau tidak untuk meneruskan niatnya. Entah mengapa hatinya mula merasa bosan tinggal di kampung itu. Dia kembali rindukan kehidupan kotanya. Sudah tiba masa untuk dia kembali berhadapan dengan realiti kehidupan sebenarnya.

Bila memikirkan Mak Intan, hatinya mula terasa sayu. Sekian lama menumpang di situ, semakin tebal tumbuh kasihnya. Apa alasan yang harus diberikan nanti supaya Mak Intan tidak berkecil hati?

Manissa bangun lalu menyongsong Mak Intan di dapur. Waktu sebegini Mak Intan memang sibuk menguruskan kerja‐kerja hariannya. Selepas menyidai pakaian di halaman, dia mencuci bilik air luar rumah. Rutin kerja hariannya bersambung‐sambung. Ada sahaja kerja yang dilakukan. Selepas mencuci bilik air, dia ke belakang rumah mengutip pucuk‐pucuk ubi untuk dijadikan ramuan membuat pecal. Sempat juga dikait sebiji jantung pisang untuk dibuat kerabu.

“Macam nak buat kenduri saja ni Mak Intan. Banyaknya bahan‐bahan untuk dimasak hari ini.”

“Memang nak buat kenduri. Kenapa?”

“Biar betul Mak Intan. Nissa tak tahu pun.”

“Ada tetamu nak datang.”

“Tetamu? Siapa? Tetamu jauhkah?”

“Tak kesahlah Nissa. Jauh atau dekat tak ada bezanya.”

“Iyelah…Nissa nak tahu jugak!”

“Rahsia…nanti tak adalah kejutannya!”

“Hiss…Mak Intan ni. Memang tau!”

Terkekeh‐kekeh Mak Intan ketawa. Manissa pula menarik muka masam. Sengaja Mak Intan mahu mengusiknya. Dalam pada itu berfikir‐fikir juga dia sama ada tetamu yang hendak datang itu lelaki atau perempuan. Siapa yang mahu bertandang ke rumah Mak Intan itu?

Manissa masih belum puas hati dengan jawapan Mak Intan.

“Nissa kenalkah tetamu tu nanti?”

“Agak‐agak Nissa?”

“Ehh…Mak Intan ni manalah Nissa tahu.”

“Jom tolong Mak Intan masak asam pedas. Jangan dikesahkan siapa yang nak datang. Sampai masa nanti tahulah Nissa.”

“Asam pedas! Errm…Nissa suka sangat‐sangat! Lepas ni tak tahu bila lagi boleh makan masakan asam pedas Mak Intan.”

“Bila‐bila masa pun Mak Intan boleh masakkan. Kenapa cakap macam tu?”

“Err…tak ada apa‐apalah Mak Intan.”

Mak Intan perasan ada perubahan pada air muka Manissa. Sebagai orang tua, pengalamannya melebihi segala‐galanya. Apa yang tertancap di wajah Manissa, meninggalkan kesan di hatinya. Bukan sehari dua dia mengenali gadis itu, malah cukup lama.

“Nissa ada nak cakap sesuatu pada Mak Intankan?”

“Err…ermm…memang ada tapi…nantilah!”

“Bukankah baik kalau berterus terang? Taklah sakit kepala tu nak berfikir.”

“Mak Intan macam tahu saja Nissa ada masalah.”

“Bukan sehari dua Mak Intan kenal Nissa. Sekilas riak ikan di air, tahulah jantan betinanya.”

“Amboi…Mak Intan!”

“Bukan sekilo dua dah makan garam tau!”

Ketawa besar Manissa ketika itu. Baginya lawak sungguh kata‐kata Mak Intan siap dengan gaya aksinya sekali. Memang Mak Intan suka berseloroh. Terhibur juga hatinya tatkala jiwa disogok rasa pilu. Biarlah keriangan yang seketika itu sudi menemannya hingga ke petang nanti. Walaupun sebentar cuma, rasa itu sudah cukup membahagiakan. Bungkam yang meresap ke dada beransur hilang dilarut indahnya bicara. Dan momen ini akan terus kekal di lekuk jiwa. Selamanya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan