Label

Selasa, 3 Januari 2017

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab19

SEPANJANG malam Ridduan berjaga di depan pintu bilik Hana. Dalam tidak sedar dia telah tertidur. Dia terjaga bila mendengar Hana menjerit. Segera dia masuk ke bilik. Kelihatan Hana meracau dan meronta‐ronta..

“Haaa... pergi! pergi! Jangan buat aku begini... pergi... pergi...” jerit Hana. Tangannya menolak Ridduan yang mengejutkannya. Mengalir air mata dalam pejam.

“Hana... Hana... bangun Hana...” Ridduan menggoyangkan perlahan tubuh Hana. Mengejutkan Hana daripada mimpi ngeri..

Matanya terbuka luas. Melihat Ridduan di depannya pantas dia menolak Ridduan sekuat hati. Hana menarik gebar menutup seluruh tubuhnya. Badannya menggigil ketakutan.

“Hana... saya Ridduan. Saya yang selamatkan awak semalam. Ingat lagi tak?” Ridduan melutut di tepi katil. Memandang Hana sayu.

Hana memandang Ridduan lama. Baru dia mengangguk.

“Hana jangan takut. Saya tiada niat jahat dengan Hana. Saya cuma nak tolong Hana. Saya akan pastikan Hana selamat. Sekarang saya keluar dulu, saya tunggu di luar. Hana berehatlah. Tenangkan fikiran. Hana jangan takut. Saya ada bersama Hana.” Ridduan melihat Hana yang semakin tenang, meninggalkannya. Dia kembali duduk di luar hingga hari terang.



Hana keluar beruniform kerja.

“Hana... awak nak kerja ke hari ini?

“Hurmmm.... saya kena kerja juga. Malam ini, ada majlis perkahwinan akan berlangsung. Saya perlu uruskannya. Ini penting untuk kerjaya saya. Jika wedding event saya yang pertama ini berjaya, sekurang‐kurangnya saya dapat harumkan nama baik saya dan nama baik resort ini.”

“Tapi, sebelum awak pentingkan kerjaya dan resort ini, awak perlu pentingkan diri awak dulu. Awak belum sihat. Awak perlu berehat. Lagi pun, kaki awak tak baik lagi. Kalau awak banyak berjalan, pasti makin membengkak. Sekali bengkak, lambat nak baik. Biarlah anak buah awak yang uruskan.”

“Mr. Ridduan... terima kasih telah selamatkan saya sekali lagi. Kali ini Mr. Ridduan dah selamatkan maruah saya pula. Saya betul‐betul berterima kasih. Tak terbalas semua budi Mr.Ridduan seumur hidup saya. Saya harap, hal ini tidak dihebohkan. Maaf, saya pergi dulu.” Hana meninggalkan Ridduan.

Hana melangkah perlahan ke arah pejabatnya tanpa menghiraukan nasihat Ridduan. Dia sedaya upaya berjalan seperti biasa tapi lama‐kelamaan dia akur. Sakit di pergelangan kakinya tidak dapat ditahan‐tahan lagi. Dia mula berjalan terincut‐incut. Dia perlu kuatkan semangat untuk meneruskan kerjanya yang tertangguh. Hari ini hari penting. Apa pun yang terjadi, dia perlu teruskan juga.

“Cik Hana... kenapa dengan kaki Cik Hana ni?” tegur Sofea sebaik sahaja Hana masuk ke dalam
pejabat. Dia mendekati Hana dan memandang kaki yang berbalut.

“Tak ada apa‐apa. Cuma terjatuh semalam.”

“Jatuh? Jatuh kat mana?”

Hana berfikir‐fikir cari jawapan bernas. Malas nak menipu, tapi tak nak bagi tahu hal sebenar.

“Pagi ni awak tolong saya tengokkan Mr. Eric ya. Kaki saya sakit, tak mengizinkan saya ke sana.” Bila teringatkan laluan ke vila, dia mula rasa seram sejuk. Ketakutan menyelubungi dirinya. Hana memeluk tubuhnya.

“Cik Hana... kenapa ni? Pucat muka Cik Hana.” Sofea memegang bahu Hana.

Pegangan Sofea menyedarkan Hana. Ketakutan sedikit reda. “Tak ada apa‐apa. Awak tolong saya ya. Tanyakan juga, sama ada migrain Mr. Eric dah baik atau belum?”

“Ala.... kenapa Mr. Eric. Kalaulah Mr, Ridduan, sekarang juga saya pergi.” Sofea mencebik bibir.

Ridduan! Jika dia tiada semalam, sudah pasti dia diratah oleh Izwan. Bila teringat kembali saat dia diselamatkan, perkara pertama dilakukan Ridduan, menutup bahagian tubuhnya yang terdedah. Hana terharu. Ridduan seperti ingin menjaga kehormatan dirinya. Pagi tadi pun, sebelum dia turun dari katil, dia melihat kakinya dibalut rapi. Pasti Ridduan yang merawatnya.

Ridduan juga boleh mengambil kesempatan ke atasnya ketika tidur, tapi dia tidak berbuat begitu. Dia dapat rasakan keikhlasan Ridduan yang benar‐benar ingin membantunya. Ridduan memang baik orangnya. Tiada niat buruk terhadapnya. Malah tidak mengambil kesempatan atas peluang yang ada. Hana semakin menyukai Ridduan.

“Cik Hana! Cik Hana! Kenapa dengan ni Cik Hana ni. Pagi‐pagi dah mengelamun? Cik Hana ingatkan siapa?”

“Hah... Nabila dan Shahrul pergi mana?” Hana menukar topik lagi. Dia cuba menutup getaran di hatinya. Takut jika Sofea nampak perubahan dirinya dan bertanya lebih.

“Mereka kat area kolam. Tengah setup tempat.”

“Okey, sekarang awak pergi jumpa Mr. Eric. Kemudian datang ke area kolam untuk membantu. Saya akan ke sana terus.” Arah Hana. “Lagi satu, awakkan memang teringin sangat nak masuk ke vila. Ini masanya. Hajat awak akan tercapai.” Tambah Hana lagi.

KAWASAN kolam telah ditutup sementara waktu untuk berlangsung majlis perkahwinan. Keadaan di situ agak sibuk. Pelamin tengah dipasang oleh pekerja wedding planner sendiri. Staf‐staf resort yang lain sibuk dengan tugasan yang telah diagih‐agihkan.

Hana datang bersama fail yang dikhaskan untuk projek itu. Dia meneliti perkara yang terkandung dalam kertas. Buat masa sekarang ini, semua mengikut pelan yang telah dirancang.

“Cik Hana...” Tegur Shahrul dan Nabila serentak.

“Hah.. Shahrul, I nak you jumpa dengan keluarga group ini. Tanya mereka sama ada mereka ada apa‐apa penambahan atau pembatalan.” Pandangan Hana beralih pada Nabila. “Nabila, you pula pergi ke kitchen jumpa chef. Tanyakan bagaimana hidangan malam ini. Ada apa‐apa masalah tak. You pastikan semua makanan mengikut menu yang telah dipilih.” Mereka beredar dan mengikut arahan yang telah diberikan.

Sepatutnya Hana sendiri yang pergi ke kitchen department. Berjumpa sendiri dengan chef untuk memastikan semua hidangan malam itu cukup dan lengkap mengikut kehendak guest. Tapi dia masih belum bersedia. Dia takut jika terserempak Izwan. Takut emosinya kembali tidak stabil dan menjadi penyumbang kepada masalah besar. Biarlah dia lebih tenang dulu dan siap sediakan diri jika terserempak dengan lelaki itu.

Beberapa orang waiter dan waitress mundar‐mandir di depan Hana. Mereka sibuk memasang meja, skirting, table cloth dan menyusun kerusi mengikut pelan yang telah ditetapkan. Hana turut membantu mengangkat kerusi dan menyusun supaya lebih cepat selesai. Bahunya dipegang dari belakang. Hana terkejut lantas menjerit. Beberapa orang yang berada di situ turut terkejut mendengar jeritan Hana lalu memandang arahnya.

“Saya ni... kawan awak, Ridduan.” Ridduan memberi senyuman paling kacak supaya ketakutan Hana reda.

“Mr. Ridduan... buat apa kat sini? Kawasan ini ditutup pada hari ini. Jadi, Mr. Ridduan tak boleh berenang. Maaf. ”

“Saya datang ke sini bukan untuk berenang. Tapi, saya nak bantu Hana apa yang patut.”

“Bantu? Ohhh... tak boleh. Mr. Ridduan tetamu di sini, tak boleh dan tak perlu bantu kami. Kami di sini masih cukup kaki tangan.” Lantas Hana menolak permintaan Ridduan.

“Betul. Tapi, walaupun cukup kaki tangan, kaki awak dah injured. Jadi, saya datang menggantikan kaki awak untuk membantu awak buat apa yang patut.”

“Mr. Ridduan, please... listen to me. Jangan buat perkara pelik. Saya tidak mahu GM mempersoalkan saya jika dia nampak Mr. Ridduan buat kerja bersama kami. Tolonglah pergi. Jangan susahkan saya.”

Ridduan mendiamkan diri. Dia tidak berganjak walau seinci. Niat dia yang baik tidak diterima Hana.

“Mr. Ridduan, kalau betul Mr. Ridduan ingin membantu saya, satu saja yang minta, tolong pergi dari sini. Jangan berada di kawasan ini. Boleh ya” Hana masih memujuk Ridduan dengan lembut.

Atas permintaan Hana, Ridduan meninggalkan Hana.

Hana menyambung kerjanya semula. Dia yang tergopoh‐gapah mengangkat kerusi semula tidak dapat mengawal badannya bila pergelangan kaki semakin sakit. Dia hampir tersungkur.

Ridduan sambut bahunya sekali lagi. Mata mereka bertentang. ‘Ridduan... bukankah dia dah pergi tadi?’ tanya hatinya.

Ridduan melepaskan pegangannya bila Hana telah berdiri stabil. Kerusi di tangan Hana diambil dan menyusun seperti staf lain. Waitress‐waitresstersenyum‐senyum pada Ridduan. Mereka bersemangat dan seronok bekerja bila Ridduan turut membantu mereka. Hana pula tersenyum lebar melihat gelagat mereka. Gerak‐geri Ridduan diteliti Hana. Dia suka dengan cara Ridduan.

Hana tersenyum sendiri...

Bunga mawar putih dan tanglung putih yang ditempah oleh Hana dibawa oleh Sofea. “Mr.Ridduan...” Sofea teruja. Tak sangka Ridduan ada di situ. Siap membantu lagi. Ridduan memang baik. Bertambah‐tambah tahap kesukaan Sofea pada Ridduan. Troli yang ditolak, ditinggalkan begitu saja. Dia mendekati Ridduan.

Ridduan senyum sumbing. Sofea menyendeng di sebelah Ridduan. Bermacam‐macam soalan yang diajukan. Tapi tidak diendahkan Ridduan.

Hana menolak troli yang ditinggalkan Sofea separuh jalan. Dalam troli penuh dengan bunga mawar putih dan tanglung. Hana duduk di sebuah kerusi dan memulakan projeknya. Tanglung dibuka daripada lipatan dan diikat pada seutas tali. Beberapa kali Hana mengerling arah Sofea yang tidak habis‐habis melayan Ridduan. Kelihatan Ridduan juga mula melayan karenah Sofea.

Terbit satu perasaan kurang senang.

“Sofea... Sofea...” laung Hana. Hana melambai‐lambai meminta Sofea datang kepadanya.

“Cik Hana ni kacaulah. Saya tengah syok sembang dengan Mr. Ridduan. Bukan senang saya dapat berbual panjang dengan dia.” Sofea mengeluh. Tidak puas hati bila Hana mengganggu masa indahnya bersama Ridduan.

Hana memandang Ridduan. Ketika itu Ridduan juga menghala pandangan arahnya. Mereka bertentang. Hana melarikan pandangan. Hatinya berdebar lagi.

“Macam mana Mr. Eric?” tanya Hana.

“Ohhh... Mr. Eric, saya tengok okey aje. Sihat walafiat. Tak ada pun nampak dia seperti sakit.”

“Tapi awak ada tanya tak dia kena migrain ataupun tidak.”

“Tanya... dia cakap tak ada. Seumur hidup dia, tak pernah kena migrain. Pening‐pening kepala biasa tu adalah. Itu pun sebab stress. Tapi sekarang dia tak stress sebab ada Cik Hana.” Terang Sofea. Ayat terakhir tu dia sengaja tambah. Untuk mengusik Hana yang terlalu risaukan Eric.

Hana mendiamkan diri. Dia cuba ingat permulaan kejadian semalam. Eric menelefonnya. Tapi suara semalam bukan suara Eric. Bila suara itu kata Eric yang sakit, dia gelabah sampai tak boleh fikir. Sepatutnya dia boleh tangkap bila salamnya dijawab. Mr. Eric bukan beragama Islam. Mesti tak pandai jawab salam. Bagaimana nak menjawab salam. Aduh... macam mana dia boleh terpedaya dengan sebuah panggilan. Selepas ini dia kena lebih berhati‐hati.

“Kenapa Cik Hana cakap Mr. Eric sakit? Cik Hana mimpi ke?” Pertanyaannya tidak dijawab lagi.

“Aduh... Cik Hana!”

Hana tersentak.

“Itulah, banyak sangat mengelamun? Sampai Mr. Eric yang tak sakit pun dikatakan sakit. Cik Hana sebenarnya ingat apa ni? Asyik mengelamun semenjak dua menjak ni. Ooo... entah-entah, Cik Hana ingatkan Mr. Eric. Sebab itu Cik Hana fikir yang bukan‐bukan. Cik Hana ni terlalu ambil berat tentang Mr. Eric tu. Cik Hana girlfriend Mr. Eric ya...” Sofea meneka.

Ridduan yang selesai menyusun kerusi telah berada di belakang Sofea. Didengar apa yang dikatakan Sofea. Hatinya terusik dengan kata‐kata Sofea. ‘Betul ke apa yang dikatakan Sofea?

Hana girlfriend Eric. Tak... tak mungkin. Tapi... bila dia pernah nampak Hana dan Eric bersama beberapa kali dan mereka sangat mesra, semua itu mungkin benar. Semalam pun Hana macam tak keruan bila tahu Eric sakit’ Cemburunya menjadi‐jadi. Takut pun ada jika benar apa yang difikirkan. Hatinya tidak mahu mengiakan.

“Betul ke Hana?” terpacul keluar pertanyaan dari bibir Ridduan.

Hana memandang tepat arah Ridduan.

“Mr. Ridduan... sejak bila dah ada di belakang saya ni?” Sofea turut terkejut dengan pertanyaan Ridduan tiba‐tiba.

“Sofea... awak cari Shahrul. Bantu dia jika dia perlukan pertolongan.” Arah Hana. Dia tidak mahu Sofea mengetahui perkara antara dia, Ridduan, Eric mahupun Izwan.

“Baik Cik Hana.” Wajah Sofea mencuka. Geram pula dengan bosnya tidak kasi peluang dia bersama Ridduan. Ada aje arahannya. Dia berlalu pergi juga.

Ridduan duduk di sebelah Hana. Memandang tepat pada Hana yang sibuk mengikat tanglung.

“Betul ke apa kata Sofea tadi? Awak dan Eric ada hubungan? Awak girlfriend Eric?”

“Mr. Ridduan... percaya ataupun tidak, saya dah jelaskan yang Mr. Eric ialah VIP guest di bawah jagaan saya. Dia di bawah tanggungjawab saya di resort ini. Setakat itu saja. Tidak lebih, tidak kurang.” Terang Hana. Kenapa dia mesti terangkan pada Ridduan? Dia pula pelik dengan diri sendiri. ‘Siapa Ridduan pada aku?’ Hana tiada jawapan.

Hana rimas dengan dirinya sendiri. Dia bingkas bangun. Beberapa biji tanglung dibawa bersama. Dia menarik kerusi dan memanjat untuk menggantung tanglung pada besinya.

Pergelangan kaki Hana yang sakit menyebabkan sukar untuk mengimbangkan badan dan sukar untuk dia capai lubang besi.

Ridduan memanjat kerusi yang sama dan memegang tangan kanan Hana yang berdiri di depannya. Hana berdebar‐debar lagi. Kali ini degupan jantungnya lebih laju. Mukanya telah hangat kemerahan. Dia cuba mengawal pernafasan agar tidak didengari Ridduan. Dia tidak tahu dia berada di mana sebenarnya. Dia terdiam kaku mengikut gerakan dari tangan Ridduan memasukkan tali ke lubang besi.

Ridduan rapat dengan Hana, dapat bau haruman rambut Hana yang wangi. Hembusan nafas Ridduan buat Hana berpaling memandang belakang. Mata mereka bertentang beberapa saat sebelum. Tangan Ridduan menyentuh tangan kiri Hana dan mengambilnya beberapa tanglung yang dipegang Hana. Ridduan turun dari kerusi dan menggantung semua tanglung hingga habis. Hana hanya memerhati tindakan Ridduan. Mulutnya terkunci rapat.

“Wah... cantiknya.” Teguran Sofea yang datang bersama Shahrul dan Nabila mengejutkan Hana. Mereka kagum dengan kerja keras Hana.

Beberapa kuntum bunga mawar diambil setiap seorang, dan diletakkan di dalam kolam. Sentuhan Hana yang terakhir memuaskan hatinya. Imaginasi Hana menjadi realiti. Sungguh indah. Terukir senyuman di bibir Hana.

Ridduan yang menatap Hana dari tadi, tersenyum sendiri bila melihat senyuman Hana. Sofea memandang Ridduan dan Hana silih berganti dapat merasakan ada sesuatu di antara mereka. Pandangan Ridduan seperti menyukai Hana. Sofea bermuram pula.

Nabila dan Shahrul berpuas hati melihat sekitar kawasan yang telah dihias cantik.

HANA duduk disalah sebuah meja santapan tetamu di tepi kolam. Melihat hasil kerja mereka bersama. Puas hatinya. Bertambah puas bila pihak pengantin teruja dan memberi pujian positif selepas melihat persiapan reception perkahwinan yang telah selesai. Hana berdoa jamuan malam itu berjalan lancar tanpa sebarang musibah.

“Cantikan...” tegur Ridduan. Dia bingkas duduk di sebelah Hana.

Hana tersentak. Ridduan suka muncul mengejut. “Terima kasih membantu saya buat persiapan perkahwinan ini. Jika tidak, mesti waktu sekarang masih belum siap. Memandangkan langkah saya yang perlahan.”

“Tahu pun...”

Hana mengerling.

Ridduan tersenyum lagi. “ Tapi... jika saya tak membantu tadi pun, saya pasti rakan‐rakan sekerja awak akan membantu.”

Hana mendiamkan diri. Apa yang dikatakan Ridduan itu benar. Tapi, sekurang‐kurangnya biarlah dia berterima kasih untuk sekali, atas bantuan Ridduan pada dirinya. Dia dah terlalu banyak menyusahkan Ridduan. Walaupun semua itu bukan diminta.

“Hana...”

“Hurmmm...”

“Awak dah kahwin ke?” tanya Ridduan sambil memandang arah Hana.

“Kenapa tanya soalan tu?” Wajah Hana berubah. Soalan yang tidak semena‐mena ditanya Ridduan lagi. Rasanya ini pertanyaan kali kedua selepas perjumpaan kali pertama di tepi pantai dulu.

“Saja... untuk kepastian.”

“Kepastian? Untuk apa?” Hana bertambah hairan. Kenapa Ridduan suka buat dia rasa sesuatu yang lain setiap kali mereka berjumpa?

Ridduan pula berdiam diri. Tidak terus menjawab pertanyaan Hana. Dia berharap jawapan Hana seperti harapannya. Masih belum berkahwin.

“Belum... saya belum berkahwin lagi. Tapi...”

“Serius! Itu yang saya harapkan.”
Hana terdiam pula. Terkejut dengan reaksi Ridduan yang sangat teruja. ‘Aku belum habis
cakap lagi. Kenapa Ridduan suka sangat?’
Wajah Ridduan terus berubah ceria, senyumannya yang lebar hampir nampak keseluruhan
giginya. Terpancar kekacakan Ridduan. Hana terpegun seketika.
“I Love You, Hana...” luah Ridduan.
Berderau darah Hana. “Sorry?” Hana seperti kurang jelas pendengarannya walaupun
sebenarnya dia dengar setiap perkataan itu. Dia kurang pasti betul atau tidak apa yang
didengarinya tadi.
Mata Ridduan memandang terus ke dalam anak mata Hana. Menarik nafas dalam sebelum
memulakan kata. “Hana... saya cintakan awak.” Luah Ridduan. Kata‐kata itu datang dari hatinya.
Lancar terkeluar dari mulutnya. Belum pernah dia kata begitu pada mana‐mana perempuan
dan dia cukup senang hati selepas kata‐kata itu diluahkan. ‘Ya... aku cintakan dia’ Hana orang
pertama yang membuatkan dia tidak tentu arah hingga ingin meluahkan kata‐kata begitu.
Hatinya berbunga gembira.
Hana bingkas bangun meninggalkan Ridduan. Sakit pergelangan kakinya tidak diendahkan.
Dia melangkah selaju yang boleh. Jantungnya semakin berdegup laju. Tangan yang
menggeletar, digenggam, berpeluh. Wajahnya berubah kemerahan menahan marah. ‘Dia tak
patut kata begitu. Tak patut. Dia tiada hak atas kata‐kata itu. Hanya Aman...’ bisik hati Hana.
Ridduan mengejar Hana dari belakang. Cuba menarik tangan Hana supaya berhenti.
Pegangannya ditepis kasar. Hana mengerling tajam arahnya. Wajah Hana semakin merah
padam. Dada Hana berombak. Nafasnya juga naik turun dengan laju.
“Kenapa ni?” Ridduan hairan melihat perubahan wajah Hana tiba‐tiba.
“Mr. Ridduan tak ada hak atas kata‐kata tadi. Mr. Ridduan tak patut lafazkannya pada saya.
Perkataan itu terlalu keramat bagi saya. Hanya seorang...”
“Hana... saya serius Hana. Saya bukan main‐main. Apa yang saya cakapkan itu benar. Itu yang
saya rasa. Rasa yang tak pernah saya rasa pada mana‐mana perempuan. Hanya awak. Awak
yang buat saya kembali ke sini mencari perkara yang tak pasti dan sekarang saya amat pasti
yang saya...”
“Cukup! Cukup, saya tak nak dengar.” Sambil tangannya memberi isyarat di depan Ridduan
supaya tidak terus melafazkan lagi.
“Tapi kenapa? Salah ke apa yang saya rasakan ni?” Ridduan minta kepastian. Kenapa Hana
tidak menerimanya?
Hana berpaling membelakangkan Ridduan. “Walaupun Mr. Ridduan dah selamatkan nyawa
saya sebanyak dua kali, itu tak bermakna kita rapat. Tak bermakna Mr. Ridduan berhak cakap
begitu. Mr. Ridduan tak kenal siapa saya. Mr. Ridduan tak tahu apa‐apa tentang saya.”
“Penting ke semua tu sekarang? Perkara itu kita boleh mula dengan perlahan‐lahan. Masa akan
menentukan saya mengenali awak. Hana... semua ini bukan saya yang minta tapi dia datang
sendiri tanpa diduga. Sejak saya terpandang awak untuk kali pertama, awak sudah menjadi
bayang‐bayang saya. Ke mana saja saya pergi, bayangan awak pasti ada. Saya dah cuba
menolak, tapi bayangan awak tetap muncul.”
“Cukup... saya cakap cukup. Tolong jangan teruskan lagi dan Mr. Ridduan tak patut terus
melayan perasaan itu. Mr. Ridduan sepatutnya buang jauh‐jauh perasaan itu dan menjauhkan
diri Mr. Ridduan daripada saya. Mr. Ridduan tak patut kembali. Sebab kita tidak akan pernah
bersama dan hubungan ini tidak mungkin pergi jauh lebih dari seorang pekerja dan seorang
pelancong. ”
“Hana... berilah saya peluang untuk mengenali awak, mencintai diri awak. Walaupun saya tahu
saya banyak kekurangan, saya tak layak bersama perempuan sebaik awak atau mungkin saya
tidak dapat melindungi awak, tapi saya tak mampu lari lagi daripada kenyataan itu.”
“Tak... Mr. Ridduan mampu. Mr. Ridduan kena mampu juga. Sebab saya dah...”
“Cik Hana! Cik Hana! GM nak jumpa.” laung Sofea. Dia ternampak Hana seperti berbual. Tapi,
tak nampak siapa gerangan di balik dinding.
Hana yang tidak sempat habiskan ayatnya segera ke arah Sofea. Meninggalkan Ridduan
terpinga‐pinga begitu saja tanpa penjelasan yang jelas. Hana pergi tanpa menoleh ke
belakang melihat Ridduan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan