Label

Isnin, 2 Januari 2017

NOVEL Residual Bab10i

Isnin 2014, 12.30 tengah malam, hari baru baru bermula.

Aku suka kau, kau suka aku, aku like facebook, kau follow instagram, awesome. Liyana tekan punat lagi mencari siaran radio lain, lantas memotong lagu yang sedang berkumandang. Tapi radio kereta ini dah tak berapa elok, yang dapat pun cuma siaran dari dua‐tiga stesen radio sahaja. Kalau stesen lain nanti keluar lagu itu juga, memang dia tendang radio lama di dalam kereta Volvo ayahnya itu sampai jahannam. Sumpah, hari ni, dah kali kelapan dia dengar lagu ni. Sudah la melodi nya berulang‐ulang‐ulang, dari awal sampai habis melodi itulah. Tolonglah, dah habis lagu ke dalam Malaysia ni sampai lagu sama nak ulang sampai tujuh‐lapan kali? Kalau sedap tak apa juga.. Atau dia yang dah tua? Sudah tak masuk dengan selera orang muda sekarang ni?

Nak tutup radio, dia takut memandu tengah‐tengah malam ni di lebuhraya ini seorang-seorang. Kanan hutan, kiri bukit batu kapur. Ada orang menyanyi dalam radio tu, rasalah macam berteman sikit. Dia kerling kiri, aduhai.. gelapnya. Dalam perkiraannya, sejam setengah lagi sampai lah ni ke KL.

Tiba‐tiba kereta jadi gelong seperti tergelincir. Tayar kereta tiba‐tiba berat memerlahan. Alamak, tayar pancit? Hon panjang nyaring disentap garang oleh kereta belakang yang terkejut oleh momentum kereta Volvo lama yang perlahan drastik, tiba‐tiba. Liyana terperanjat, terus mengerling cermin pandang belakang. Kereta belakang menala‐nala lampu tinggi dua kali, laju‐laju, kemudian memberi signal kanan, dan terus melencong memotong kereta Liyana.



Fuh.. garangnya. Bukan aku saja‐saja pancitkan tayar la bingai!

Liyana henyak pedal klac, tombol gear digenggam dan cuarannya ditolak ke tengah bagi melepas gear. Saki‐baki momentum yang masih bersisa akibat inersia yang belum lega, dimanfaat bagi memandu kereta ke lorong kecemasan. Sebaik kereta berhenti, Liyana tarik brek tangan ketat‐ketat, dan terus tarik picu bonet belakang lalu tolak pintu kereta. Dia cepat-cepat cari isyarat segi tiga merah di dalam bonet. Kalau keretanya, dia jamin takkan jumpa.

Tapi ini kereta ayahnya, pasti ada.

Jumpa! Terus dia berlari‐lari anak dalam dua‐tiga meter ke belakang, meletak isyarat segi tiga merah itu di atas jalan. Beberapa motosikal yang meluncur di garisan kecemasan cepat‐cepat menukar masuk lorong utama sebaik terlihat tanda isyarat itu, biarpun mereka masih jauh sepelempar.

Liyana cepat‐cepat berlari meninjau‐ninjau tayar kereta, memang pancit. Tayar depan sebelah kiri. Liyana kemudian masuk semula ke dalam kereta. Dia sumpah seranah diri sebab ambil keputusan untuk tak tukar baju tadi. Panas! Berjubah berselubung! Memang percuma bahang terkepung. Debar‐debar begini, pendingin hawa pun tak mampu mendinginkan keringat dinginnya. Macam mana nak buat? Dia capai Iphonenya, tapi bateri habis. Itulah, tadi lupa nak cas. Nama je telefon ‘pandai’, tapi pendek umur, cepat sangat mati. Saat‐saat macam ni, dia memang rindukan telefon bimbit Nokia 3310nya yang dulu tu. Bodoh sikit, tapi panjang umur.

Dia cari kabel pengecas telefon dalam tas tangannya.

Bagus! Tertinggal!

Liyana pandang ke arah jalan. Kereta tak banyak, tapi tak putus melalui lebuhraya. Liyana kaget. Dia tak reti nak tukar tayar. Sumpah dia tak reti. Nak buat apa? Tahan kereta kat luar minta tolong?..... Takut. Sekarang ni, macam‐macam kes. Nanti kena tarik masuk kereta orang lain, lepas tu dibawa lari entah ke mana‐mana macam mana? Lepas tu... Eeeiii!!! Liyana geleng kepala laju‐laju, merenjis keluar semua bayangan bukan‐bukan dalam fikiran. Liyana cepat-cepat tekan punat kunci yang tercuar keluar dari tebing pintu kereta. Tunggu peronda PLUS lah. Duduk diam‐diam dalam kereta.
Tiba‐tiba, disuluh terang dari belakang, keretanya didatangi sebuah kereta lain. Berhenti tidak jauh dari belakang keretanya, lampu kereta itu kemudiannya dipadam. Pintu kereta dibuka, dan seorang lelaki keluar dari dalam perut kereta, berjalan menuju keretanya. Liyana berdebar.

Cepat‐cepat dia mengenakan niqab menutup mulut dan hidungnya, tingkap kereta dibiar tertutup rapat‐rapat. Dia menggeledah papan pemuka kereta dan mengambil botol penyembur lada putih yang diletak di situ tadi, dan juga mencapai batang besi pengunci stereng di bawah kerusi pemandu. Dia pegang dua alat itu kemas‐kemas. Kalau lelaki itu cuba buat bukan‐bukan, dia sudah dalam posisi sedia untuk melawan.

Lelaki itu sampai di sebelah tingkap kereta Liyana. Dia membongkokkan badan dan menjenguk‐jenguk ke dalam kereta. Kemudian, dia tersenyum kecil, barangkali melihatkan tangan Liyana yang kemas memegang botol penyembur lada dan pengunci stereng. Tingkap kereta diketuk. Liyana buat tak tahu. Tingkap diketuk lagi. Lelaki tadi membuat isyarat supaya Liyana menurunkan tingkap, Liyana geleng. Lelaki itu tersenyum tanda ‘tiada ancaman’, lalu menaikkan tangan separas muka, kemudian mendekatkan jari telunjuk dengan ibu jari sambil mengecilkan mata,: Turunkan sikit saja pun tak apa.

Isyarat itu difahami Liyana. Liyana lepaskan batang pengunci stereng, dan memulas tombol tingkap, sikit saja. Ruang terbuka, sikit saja. Liyana dapat melihat jelas lelaki itu sekarang, sikit saja.

“Rosak kereta ke cik?”

Liyana mengangguk‐angguk.

“Mati tiba‐tiba?”

Liyana geleng.

Tayar pancit?

Liyana angguk laju‐laju.

“Saya tengok‐tengokkan?”

Liyana angguk lagi laju.

“Tayar ganti ada?”

Liyana terkebil‐kebil kekaburan. Lelaki itu diam, tunggu jawapan.

......tiada jawapan.

“Err.. cik, buka bonet belakanglah. Saya tengok.” Kalau dah diam macam tu memang tak tahulah tu. Baik aku tengok sendiri, fikir lelaki itu.

Sebaik Liyana tarik picu bonet belakang, lelaki itu terus ke belakang. Liyana buka pintu dan ikut sama. Lelaki itu mencari sekejap saja sebelum terjumpa tayar gantian. Memang ada. Lelaki itu ambil tayar dan bawa ke depan kereta, lalu meletakkan tayar di sebelah bahagian tayar yang pancit. Liyana pula masuk semula ke dalam kereta, lalu terus tutup pintu semula. Enjin kerta dimatikan. Dia pegang semula botol penyembur lada dan pengunci stereng, tapi tingkapnya sudah dipulas penuh sehingga terngaga terbuka.

Lelaki tadi masih ada di depan kereta, terbongkok‐bongkok. Harap‐harapnya dia betul‐betul sedang tengok‐tengokkan tayar di depan tu, bukan buat benda lain. Lelaki tadi menjenguk melihat Liyana yang masih kejung berdebar di dalam kereta. Dia ketawa lagi. Hai.. lelaki kacak seperti aku, pastilah ramai gadis berdebar.

Tiba‐tiba telefon lelaki itu berdering, lelaki itu cepat‐cepat gapai dari poket yang tersemat di dada baju.

Irwan? Panggilan diangkat.

“Kau lupa bagi aku kasut bola yang aku pesan suruh beli tu kan?”

Bidin terlongo, lalu terus mengais‐ngais ingatannya. Berderau darahnya sebaik teringat kasut bola yang langsung tidak dikeluarkan dari kereta tadi masa berjumpa dengan Irwan di bistro tadi. Dia memejamkan mata. Bala...

“Sorry la, Wan. Aku lupa..”

“Haha.. aku dah agak. Engkau tu, kalau tak diingat, memang tak ingat!”

Bidin mengangguk‐angguk, menelan maki dengan pasrah.

“Kau kat mana, ni Din?”

“Atas PLUS ni ha...tolong seorang perempuan ni, tayar pancit.”

“Perempuan??” Irwan buat nada mengada‐ngada.

“Jangan macam‐macam. Purdah baik punya ni.”

Terdengar Irwan ketawa dari dalam talian.

“Wan, esok aku suruh budak aku poskan kat kau lah, boleh?”

“Tak sempat..”

“Tak sempat? Aaa.. kau nak buat apa kasut saiz budak‐budak tu. Kecilnya kaki kau?”

Irwan diam. Bidin menunggu balasan jawab.

“Macam ni lah, kau boleh tolong aku tak, Din?” Irwan terus melompat pada soalan.

“Tolong apa?”

“Kau tolong poskan kasut tu ke SYP Gerik. Nanti aku bagi nama budak tu.”

“SYP Gerik?” Bidin terlopong.

“Esok kan aku cuti. Aku mungkin ke sana. Budak dari Rumah Hidayah ada seorang di sana. Esok aku nak melawat dia, sebab dua tahun dia di sana, tak ada orang pun datang melawat dia lagi. Ye lah, anak yatim, mana ada mak bapak nak pergi melawat. Dia dapat jadi wakil sekolah nanti main bola peringkat kebangsaan. Itu pasallah aku ingat nak bagi kasut tu, hadiah. Tapi, dah kau tak ingat nak bagi tadi, aku nak minta kau tolong poskan ke sana, boleh? Aku minta tolong sangat‐sangat.”

Bidin diam. Irwan nak pergi SYP Gerik esok? Nampaknya, esok adalah hari yang sangat besar buat Irwan. Dia tahu, satu kalipun Irwan tak pernah jejak kaki di SYP Gerik setelah meninggalkannya empat belas tahun dahulu. Pasti dia geletar sekarang ini menunggu hari esok. Bidin tersenyum seorang diri.

“Wan, good luck.”

“Good luck? Untuk apa?”

“Untuk apa‐apa yang kau akan jumpa esok di SYP Gerik.” Bidin yakin, apa‐apa pun yang Irwan jumpa esok di SYP Gerik, akan memberi kesan besar buat Irwan. Esok adalah suatu langkah besar. Melawat semula tragedi silam adalah salah satu tanda bahawa Irwan sudah bersedia untuk betul‐betul melepaskan tragedi itu pergi. Esok pasti sukar, tapi dia bangga Irwan sanggup juga mengambil langkah itu.

Irwan diam. Kata‐kata Bidin itu ringkas, tapi ertinya luas. “Terima kasih, Bidin.” Dan dia betul-betul
maksudkannya.

“Ok lah, Din. Aku letak dulu lah ye. Nak tidur, mengantuk sangat ni.”

“Oh, satu lagi Din. Jaga‐jaga. Perempuan rosak kereta atas lebuhraya, pakai purdah pulak tu, lain macam je aku dengar. Cuba tengok kaki dia, ada tak?”

“Kau mulut jangan macam‐macam!” Bidin menyergah. Irwan mengilai ketawa.

“Ok lah, Din. Aku cabut dulu. Bye.”

Talian putus.

Bidin meletakkan balik telefon bimbitnya ke dalam poket baju. Tiba‐tiba dadanya bergendang halus. Perempuan tadi tengah buat apa? Bidin memanjangkan tengkuk, mengintai‐ngintai.

Perempuan itu masih duduk di dalam kereta? Dia buat apa? Kenapa tak keluar‐keluar dari tadi? Tak ada kaki ke?

Terus meremang bulu roma Bidin memikirkannya‐ dari belakang tengkuk sampai ke bawah belakang badannya, habis meremang. Dia menggeleng‐geleng kepala.

Karut... karut.. karut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan