Label

Isnin, 2 Januari 2017

NOVEL Replika Cinta Bab3

Perlahan‐lahan Afiffudin membuka matanya yang masih terasa kelat. Selimut nipis yang menutupi badannya pun dirasakan agak sukar untuk dialihkan lantaran belum puas menikmati waktu tidur yang begitu pantas berlalu. Ditambah pula dengan rasa sakit dan sengal di seluruh badan akibat kejadian semalam, benar‐benar melemahkan fizikalnya.

Namun Afiffudin tidak mahu termakan bisikan syaitan yang terus menggodanya untuk kembali berbaring di atas tilamnya yang empuk. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 pagi. Sebagai seorang muslim, kewajipannya bermula seawal pagi ini dengan melaksanakan solat fardu Subuh.

Setelah membaca doa, Afiffudin mengagahkan tubuhnya untuk berdiri. Rasa sakit yang mencucuk‐cucuk di bahagian kaki cuba untuk diabaikannya. Dengan penuh berhati‐hati, dia menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk.

Kecederaan yang dialami tidak sama sekali boleh dijadikan alasan untuk dia tidak mendirikan solat. Islam itu cukup indah dan mudah. Cuma segelinitir penganutnya yang terkadang mempunyai beribu alasan. Walhal tersedia rukhsah yang diberikan untuk situasi‐situasi tertentu.

Di hening pagi yang cukup dingin, Afiffudin menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Solat Subuh didirikan seperti lazimnya. Doa dilimpahkan sepenuh jiwa usai sahaja zikir dan tahmid dibacakan selepas memberi salam. Kesakitan yang dirasai membuatkan Afiffudin rasa bersyukur kerana dirinya terus diuji, tanda Allah masih sayang padanya.



Hari ini Afiffudin mengambil cuti sakit. Produktivitinya di tempat kerja mungkin akan terjejas jika dia berkeras mahu ke pejabat. Lagipun doktor sudah memberi salinan cuti sakit malam tadi dan menasihatkannya untuk berehat secukupnya di rumah.

Afiffudin menyelak sedikit kain pelikatnya untuk melihat keadaan kaki yang agak bengkak dan membiru. Dia menerima ujian ini redha. Mungkin ini adalah kifarah atas dosa‐dosa yang pernah dia lakukan sebelum ini, baik yang disedari atau tidak, yang disengajakan atau tidak, yang kecil mahupun yang besar.

Sarapan pagi disediakan seringkas mungkin dan diserikan dengan akhbar harian sebagai santapan minda. Satu per satu helaian diselak dan dibaca dengan emosi yang bercampur‐baur. Kes jenayah bagaikan sukar untuk dibendung dan diatasi. Setiap hari tentu ada sahaja laporan media berkaitan rompakan, ragut, rogol dan bunuh. Itu baru berkaitan kes‐kes yang dapat dilihat. Jenayah yang tersembunyi seperti rasuah hakikatnya turut berleluasa dewasa ini.

Afiffudin menutup akhbar di tangannya. Dia menghirup air teh panas sambil fikirannya melayang teringatkan remaja semalam. Apakah remaja itu sudah sedarkan diri? Pelbagai soalan muncul di benak Afiffudin.

Lamunan Afiffudin dicantas dengan bunyi loceng rumah yang berbunyi beberapa kali. Rasa hairan menjengah di kepala. Lantaran kecederaan yang masih baru dialami, Afiffudin melangkah dengan penuh berhati‐hati ke pintu utama untuk melihat siapakah gerangan yang mengunjungi kediamannya pada pagi itu.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Oh, engkau rupanya Iskandar. Jemputlah masuk," pelawa Afiffudin lalu membuka pintu pagar.

Dia bersalaman dengan Iskandar yang merupakan salah seorang rakannya di pejabat.

Walaupun berbeza bahagian, namun mereka berdua agak rapat dan mudah mesra antara satu sama lain.

"Macam mana keadaan kaki engkau hari ni? Sudah beransur baik?" tanya Iskandar yang lebih muda dua tahun daripada Afiffudin dan masih belum berumah tangga.

Afiffudin tersenyum melihat keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakannya itu.

"Masih sakit lagi, cuma taklah seteruk yang aku rasai semalam. Alhamdulillah, aku tetap boleh berjalan seperti biasa, walaupun lambat sikit," balas Afif.

Dia merenung wajah Iskandar dalam‐dalam sebelum menyambung semula bicaranya. "Engkau tak pergi kerja ke hari ni?" tanya Afiffudin.

Iskandar tergelak kecil mendengar pertanyaan temannya itu.

"Kau fikir aku nak pergi ke mana dengan pakaian sekemas ni? Dah tentulah aku nak ke pejabat. Aku cuma singgah sebentar di sini untuk melawat keadaan engkau," ujar Iskandar.

Sekali lagi Afiffudin berasa terharu dengan kata‐kata Iskandar.

"Is, terima kasih sebab kau begitu mengambil berat pasal diri aku. Aku juga sangat‐sangat menghargai bantuan yang kau hulurkan semalam," ucap Afiffudin dengan nada yang sebak.

Iskandar merapati Afiffudin lalu meletakkan tapak tanggannya di atas bahu rakannya itu. Dia cuba untuk mengukirkan senyuman seikhlas mungkin.

"Afif, siapa kat dunia ni yang sanggup membiarkan dan melihat je kawannya yang rebah di tepi jalan? Aku betul‐betul terkejut tengok keadaan kau yang basah kuyup kehujanan dan hampir pengsan semalam. Tak ke kejam namanya kalau aku biarkan je kau sedemikian rupa?”

“Kejam … kejam …” Afiffudin menyampuk sambil berseloroh.

“So, itu dah menjadi satu tanggungjawab bagi aku untuk membantu engkau. Aku yakin, jika kau berada di tempat aku, dah tentu kau juga akan melakukan perkara yang sama," ujar Iskandar dengan penuh tenang.

Afiffudin membalas senyuman rakannya itu. Dia mengimbas kembali kejadian pada lewat petang semalam. Mujur Iskandar berada di tempat kejadian. Ketika itu, kawan baiknya itu baru sahaja selesai menziarahi abang saudaranya yang sedang dirawat di hospital.

Sebaik melepasi beberapa meter dari pagar utama kawasan hospital, Iskandar ternampak kelibat Afiffudin dan seorang lagi yang tidak dikenalinya, rebah di pinggir jalan. Kedua‐dua insan yang hampir tidak sedarkan diri itu terus dibawa ke jabatan kecemasan. Afiffudin mula sedarkan diri setelah diberikan rawatan. Akan tetapi, remaja yang tidak diketahui namanya itu pula terpaksa ditahan di wad kerana keadaanya agak serius.

"Eh, siapa budak yang ada bersama dengan kau tu?" tanya Iskandar. Sejak semalam lagi dia memendam soalan berkenaan.

Afiffudin menggeleng kerana dia juga tidak tahu siapakah namanya dan dari manakah asal-usulnya. Apa yang Afiffudin tahu, dia terlibat dengan kegiatan samun di sebuah lorong sunyi. Segala kronologi kejadian itu diceritakan dengan teliti pada Iskandar. Mata rakannya itu seakan tidak berkedip.

“Jadi, apa yang kau nak buat lepas ni?” soal Iskandar meminta kepastian.

Dahi Afiffudin berkerut. Dia juga kurang pasti akan jawapannya. Mungkin, dia perlu mendapatkan lebih banyak maklumat dan informasi akan latar belakang remaja berkenaan.

“Insya‐Allah, hari ni aku bercadang nak pergi melawat dia di hospital,” terang Afiffudin mendatar.

Iskandar sedikit terkejut.

“Kau nak pergi melawat budak tu? Tak payahlah Afif. Kau berehat saja kat rumah. Kaki kau tu baru nak sembuh. Daripada apa yang kau ceritakan tadi, aku dah boleh merasai kesakitan yang kau alami,” nasihat Iskandar. Dia benar‐benar risau sekiranya kecederaan di kaki Afif bertambah buruk.

“Terima kasih Is. Tapi, aku tetap akan ke sana untuk melihat keadaan budak tu. Kau tak payah bimbang. Tahulah aku menjaga diri aku, okey?” balas Afiffudin.

Iskandar mengalah. Dia sudah masak dengan perangai Afiffudin. Sekiranya rakannya itu berniat untuk melaksanakan sesuatu kebajikan itu, dia akan bersungguh‐sungguh untuk melaksanakannya. Kejadian semalam adalah salah satu buktinya. Tiada apa yang mampu menyekat kemaraan Afiffudin untuk terus menabur bakti.

“Baiklah, terpulang pada engkau. Cuma, aku mahu kau berjanji dengan aku selepas ni yang kau tak akan mengabaikan kesihatan dan keselamatan engkau sendiri. Satu lagi, jangan lupa makan ubat yang doktor berikan semalam,” pesan Iskandar sambil mengangkat jari telunjuknya.

Afiffudin tersenyum lebar.

“Insya‐Allah, aku akan cuba berpegang pada janji‐janji ni,” jawab Afiffudin ringkas.

“Eh, dah pukul lapan suku pagi. Tak sedar pula masa berlalu dengan begitu pantas. Aku minta diri dahululah ya. Nanti lewat pula tiba di pejabat,” ujar Iskandar sambil memerhatikan jam di tangannya.

“Is, sebelum kau pergi, aku nak minta tolong sesuatu, boleh tak?” tanya Afiffudin sambil memegang bahu rakannya itu.

Iskandar terkekeh kecil. “Insya‐Allah, kalau perkara tu aku mampu lakukan, aku boleh tolong,” balas Iskandar.

Afiffudin meminta untuk Iskandar menunggunya sebentar sementara dia masuk ke dalam bilik untuk mengambil sesuatu. Tidak lama kemudian, Afiffudin muncul kembali dengan sehelai kertas di tanggannya. Dia menghulurkan kertas itu pada Iskandar.

“Ni salinan cuti sakit yang doktor bagi semalam. Tolong sampaikan benda ni pada ketua jabatan aku. Pagi tadi aku sudah hubungi dia untuk memaklumkan yang aku tak bekerja pada hari ni,” jelas Afiffudin.

Sekali lagi Iskandar tertawa.

“Aku ingatkan kau ada perkara besar yang mahu minta tolong tadi. No problem, kawan. Nanti aku akan berikan salinan cuti ni pada ketua jabatan kau,” ujar Iskandar.

“Terima kasih Is. Hati‐hati memandu,” pesan Afiffudin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan