Label

Rabu, 4 Januari 2017

NOVEL Residual Bab10ii

Bidin meletakkan balik telefon bimbitnya ke dalam poket baju. Tiba‐tiba dadanya bergendang halus. Perempuan tadi tengah buat apa? Bidin memanjangkan tengkuk, mengintai‐ngintai. Perempuan itu masih duduk di dalam kereta? Dia buat apa? Kenapa tak keluar‐keluar dari tadi? Tak ada kaki ke?

Terus meremang bulu roma Bidin memikirkannya‐ dari belakang tengkuk sampai ke bawah belakang badannya, habis meremang. Dia menggeleng‐geleng kepala. Karut... karut.. karut.

Liyana menjelengar dari tingkap kereta. Dah kenapa pula mamat ni terintai‐intai aku? Dia cakap dengan siapa tadi? Jangan‐jangan dengan kawan‐kawan dia yang lain tak? Ah.. sudah. Ada kereta lain ke kat belakang sana? Liyana berpusing terjenguk‐jenguk memandang cermin belakang kereta. Kejap lagi, kalau sampai satu lagi kereta, tiba‐tiba keluar lagi empat‐lima orang macam mana? Pepper spray ada sebotol saja ni!

Liyana menjenguk kepala keluar tingkap.

“Awak! Er... Encik! Awak!” Liyana kekok mahu membahasakan lelaki itu apa. Argh.. apa‐apalah!

“Encik awak! Err.. cakap dengan siapa tadi?”



Bidin terkejut mendengar perempuan itu menjerit.

“Err..Kawan...Dengan kawan saya”

“Kawan? Bukan kawan‐kawan?”

Bidin mengerut dahi. Kawan‐kawan? Apa perempuan ni merapek?

“Kawanlah!” Bidin bersuara, sedikit keras.

Kemudian Bidin menjenguk lagi ke arah perempuan di dalam kereta.

“Er.. cik..kenapa awak tak nak keluar dari kereta? Kan saya tengah tolong tengokkan kereta awak ni. Kenapa awak duduk je dalam kereta?”

Liyana terkedu disoal begitu.

“Erm.. sorry lah encik awak. Saya.. takut sikit sebenarnya.”

Aku pun takut juga! Marilah teman aku tukar tayar kereta kau, ni! Getus hati Bidin.

Irwan lah ni, cakap bukan‐bukan.

“Cik janganlah risau. Saya budak baik, tak kacau anak dara, isteri, atau janda orang.” Bidin bersuara lagi. Nak teka umur atau status perempuan tu pun tak boleh. Dah, dia berbungkus dengan purdah macam tu! Nak teka macam mana?

Liyana senyum sinis. Budak baik? Mana ada orang jahat datang mengaku budak jahat? Cik, saya datang ni memang nak rogol cik. Samun pun boleh. Sila bekerjasama.Ada ke orang jahat cakap macam tu?

Liyana pejam mata. Nafas dihembus berat. Memang tak patut pun dia duduk dalam kereta begitu. Sudahlah orang berhenti nak tolong tengokkan keretanya. Liyana beranikan diri. Dia pegang botol penyembur serbuk lada putih kemas‐kemas. Picu pintu ditarik, dan pintu ditolak.

Liyana keluar dan berjalan mendekati lelaki tadi. Penyembur lada masih di tangan. Bidin tersenyum melihat si perempuan itu berjalan mendekatinya. Pandangan Bidin terus lurut ke bawah, memeriksa kaki perempuan itu.

“Eh..awak ada kakilah..”

Liyana mengerut dahi. Ada kaki?

“Mesti la saya ada kaki! Awat ingat saya apa?” Liyana separuh menjerit. “Nah, tengok! Kaki!”

Liyana menyelak kain jubahnya sampai ke paras lutut. Kemudian melepasnya semula. Gusar Liyana gugur semua. Lelaki ini pasti bukan perogol atau penyamun! Tapi si bodoh!

Terkesima Bidin melihatkan betis putih melepak Liyana. Gelap‐gelap macam ni pun, masih boleh nampak putihnya. Bidin telan leliur. Dadanya berdebar‐debar melihat kelakuan mengejut Liyana. Lain macam betul perempuan berpurdah zaman sekarang. Bidin terus membongkok semula, menunjuk‐nunjuk pada tayar kereta yang diletak di tepi bahu jalan.

“Ada jek dengan spanar tak?”

Liyana geleng‐geleng perlahan.

“Hmm.. saya ambil saya punyalah sekejap. Tunggu sini sekejap, ya, saya alih kereta saya depan kereta awak.”

Bidin terus berlalu pergi ke keretanya yang terletak di belakang tanda kecemasan yang diletak Liyana di belakang kereta Volvonya. Bidin menarik picu bonet belakang keretanya. Dia terus ke bonet belakang mengambil jek dan spanar. Bonet belakang dihentam tutup, dan terus Bidin berjalan ke arah kereta Liyana. Tanpa banyak cakap, Bidin memulakan kerja‐kerja menukar tayar sambil diperhatikan Liyana di sebelah.

Jam sudah pukul 1.30 pagi. Mereka masih di situ lagi. Bidin sudah kuyup bermandi peluh, sedang Liyana terfikir‐fikir sendiri. Muka Bidin seakan menggali sesuatu dalam ingatan Liyana.

“Encik awak, kita pernah berjumpa ke sebelum ni, dekat mana‐mana?” Liyana menyoal tiba-tiba.

Bidin menjeling Liyana. Dia hampir tak percaya Liyana boleh menanyakannya soalan itu.

“Maaf, cik. Ingatan saya tak cukup kuat untuk cam orang hanya dari sepasang mata, lagi‐lagi di tengah‐tengah lebuhraya, pukul 1 pagi lebih yang tak berapa nak terang ni.” Bidin menjawab sambil menunjuk‐nunjuk purdah yang menutupi hampir semua muka Liyana dengan isyarat jari. Kemudian Bidin sambung kerja lagi.

Liyana telan air liur. Malu. Kalaulah boleh telan semula kata‐kata yang dah terluah tadi. Bidin pula tersenyum kambing. Hei hei.. Tengoklah perempuan ni. Punchline nak mengorat tu jangalah basi sangat. Aku taklah semudah itu.

Liyana naik meluat tengok riak wajah lelaki tadi. Entah apalah yang mamat ni fikir sampai tersenyum‐senyum sampai senget bibir macam tu.

Mesti dia ingat aku nak mengorat dia? Mamat ni tak sedar, dia bernasib baik dapat sesi istimewa bersama Liyana Amani‐ jenguk jam tangan sekilas‐ selama lebih setengah jam pula tu! Ramai lelaki lain pasti bergolok gadai untuk peluang macam ni. Kalau aku buka penutup purdah ni, mesti engkau yang melutut mengorat aku!

“Ok, cik. Dah siap!”

“Eh, betul ke?”

“Eh, betullah!”

Liyana pergi ke sebelah kiri kereta lalu menendang‐nendang tayar dengan hujung sepatunya. Dup dup. Kedap bunyinya, fikir Liyana.

Liyana berlari pula masuk ke dalam kereta, dan memulas kunci kereta. Kereta berdehem-dehem, kemudian menderum garau tanda sudah hidup semula.

“Dah hidup!!” Liyana terjerit kecil, keluar dari kereta dan terhenjut‐henjut melompat.

Bidin hanya mampu kerut dahi.

Apa pasal perempuan ni? Kereta hidup pun suka sangat? Bukannya ejin rosak ke apa. Tayar pancit je pun!

“Terima kasih banyak‐banyak encik awak! Awak dah bantu gadis cantik dalam kesusahan. Banyak‐banyak terima kasih!”

Bidin tarik muka. Eeee...Perasannya perempuan ni.

“Kalau awak panggil saya lelaki kacak, itu dah tentu‐tentulah juga. Tapi awak tu, macam mana saya nak tahu awak ni betul‐betul ‘gadis cantik’?”

Liyana terlongo. Eeee.. Perasannya lelaki ni!

“Encik awak. Saya tak pakai macam ni hari‐hari tau. Cuma malam ni saja saya pakai macam ni, atas sebab‐sebab yang tak dapat dielakkan.”

Oh..Padan pun perangai lepas laku semacam, tak padan dengan perangai biasa perempuan berpurdah yang aku selalu jumpa! Getus hati Bidin. Selalu yang berpurdah seperti tak macam ini perangainya.

“Dan awak patut berterima kasih saya pakai macam ni malam ni. Sebab kalau saya bukak purdah yang tutup muka saya ni depan awak sekarang, awak mesti tak jadi balik KL tau malam ni. Automatik awak akan patah balik ke Ipoh jumpa mak bapak saya, pinang saya.” Lancar keluar dari mulut Liyana. Sedikitpun tiada nada bersalah pada suaranya. Maknanya, dia memang yakin dengan kecantikannya, mengatasi paras purata, lebih cantik dari perempuan-perempuan biasa.

Bidin mengguling mata.

“Apa‐apa pun encik awak. Bagi saya nombor awak. Saya akan hubungi awak nanti, untuk saya belanja makan. Sebab saya betul‐betul berterima kasih untuk malam ni.” Kalau bukan sebab Bidin, pasti Liyana tersadai lebih lama lagi di atas lebuhraya ini.

Bidin tersenyum kambing lagi sekali.

Nampak? Berlapik‐lapik nak nombor telefon aku pula.

Mereka bertukar‐tukar nombor telefon, tapi tak seorangpun sanggup merendahkan ego bertanyakan nama. Jadi nombor masing‐masing disimpan dengan nama beri‐berian, seorang ‘Encik Awak’, seorang ‘Cik Purdah’.

Bidin dan Liyana sudah bergerak semula meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Kereta mereka sudah jauh terpisah, tapi masing‐masing masih teringat‐ingat akan satu sama lain. Apalah yang mereka tahu? Rupa‐rupanya mereka pernah berjumpa, bersekolah di satu sekolah yang sama hampir empat belas tahun dahulu.

Masing‐masing masih teringat akan sikap perasan yang ditunjukkan sesama mereka tadi. Tapi, apalah yang mereka tahu? Rupa‐rupanya sikap perasan itulah nanti menjadi jambatan perasaan.

Kereta Bidin dan Liyana sudah terpisah jauh. Tapi, apalah yang mereka tahu? Rupa‐rupanya hati‐hati mereka yang jauh, sudah kemas diikat jodoh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan