Label

Ahad, 27 November 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab14

Adham melangkah laju ke arah suatu meja di suatu sudut restoran makanan segera yang terletak di Pusat Membeli Belah Jaya Jusco, Taman Maluri. Di tangan, dia membawa sebuah dulang berisi dua ‘Snack Plate’ dan 2 bekas air Pepsi. Sambil berjalan, sepasang mata asyik memerhati gelagat seorang lelaki yang sibuk bercakap di telefon bimbitnya. Dari raut wajah, Adham dapat melihat kegelisahan. Ada riak ketidakpuasan hati terpapar. Entah mengapa, tingkah lelaki itu menzahirkan sebuah senyuman yang sinis di wajahnya sendiri.

Dia tidak tahu untuk apa Along Hamdan menghubunginya. Dia tidak mengerti mengapa abang sulungnya itu menelefon untuk menemuinya. Sudah lama lelaki ini melenyapkan diri. Hilang begitu sahaja dan menyepi tanpa khabar berita. Mengapakah tiba‐tiba hari ini, dia di sini?

Hiruk pikuk di dalam kedai tidak menarik minat Adham lagi. Sudah terbiasa begitu terutama di
awal bulan. Pekerja di kaunter tadipun sudah tidak menang tangan hendak melayan permintaan pelanggan yang pelbagai. Ragam dan keinginan yang berbeza‐beza serta sikap yang ingin cepat, memang menuntut kesabaran. Namun, seperti dirinya yang sudah terbiasa dengan keinginan pelanggannya di bengkel, Adham memang ‘tabik spring’ dengan sikap pekerja‐pekerja di restoran KFC ini yang tenang dan tidak mudah melenting walau ada pelanggan yang nyata datang bersama‐sama kesombongan.

“Mak kita sihat ke, Ngah?”

Adham mendongak menatap raut muka teduh abangnya. Dia tidak tergamak hendak memarahi bila sepasang mata itu berkaca‐kaca merenunginya. Lantas, kepala dianggukkan.

“Adik‐adik?” Hamdan bertanya lagi. Dia cuba untuk mengajak adiknya ini bersuara. Dia ingin
berbual, mengembalikan suasana mesra di antara mereka, seperti waktu dahulu.

Perlahan‐lahan, sebuah keluhan Hamdan lepaskan. Mengenangi peristiwa silam bagai mencengkam suatu rasa di dalam jiwa. Ada rindu mengulit. Dan, tiba‐tiba, dia teringin memiliki keindahan itu semula. Ingin menatap senyuman ibu dan adik‐adik. Ingin dimanjai oleh si ibu dan ingin mengusik adik‐adik yang ramai. Dia rindukan kemeriahan itu. Rindukan gelak ketawa dan gurau senda mereka.


“Dia orang semua sihat, along.” Balas Adham tanpa mendongakkan kepalanya. Dia masih setia
meratah ayam di hadapannya. Bukan selalu dia dapat menikmati bahagian paha ayam KFC.

Selalunya, bila dia membawa balik satu barrel ke rumah, dia akan membiarkan adik‐adiknya
memilih bahagian kesukaan mereka, sehingga yang terakhir itulah yang akan menjadi santapannya, biasanya bahagian sayap sahajalah! Begitupun, melihat adik‐adiknya berebut-rebut memilih dan sesekali ada yang merajuk, memberi satu kepuasan kepada dirinya.

Kepuasan yang tidak terhingga. Dan, melihat senyuman di bibir ibu mereka, hati Adham pastinya puas. Dia puas kerana berjaya membuat ibu mereka lupa seketika kepada abang sulung di hadapannya ini. Abang yang lari daripada satu tanggungjawab yang cukup besar.

Kenapa?

“Along teringin nak bawak Anita balik ke rumah kita. Biar dia tengok kemesraan kita adik beradik. Baru dia percaya cakap along yang mak dah didik kita dengan baik. Bukan macam dia dengan famili dia tu. Asyik bercakaran tak berhenti‐henti. Harta yang tak banyak mana tu direbut‐rebut. Ada sahaja rasa tidak puas hati sampai along rasa lemas dah ni!”

Ada nada kesalan yang dapat Adham dengari. Sebaik mendongak menatap wajah Hamdan, dahi Adham berkerut‐kerut memerhati wajah yang hilang keceriaan itu. Kini, dia baru dapat melihat betapa walau baru berusia menginjak ke 29 tahun, Hamdan kelihatan jauh lebih tua dari usia sebenar. Kalau dirinya kelihatan berusia dan matang kerana kerja kerasnya, Adham yakin bahawa lelaki di hadapannya ini pasti jadi begini kerana dibebani masalah.

“Dua tahun dulu, masa along buat keputusan untuk berkahwin dengan Anita, along cukup bangga. Maklumlah, along kahwin dengan anak orang kaya, kan? Hidup kita yang dulu sekadar cukup makan berubah menjadi serba lengkap bagi along. Tu buat along jadi leka. Lupa pada mak. Lupa pada adik‐adik. Tapi, lama‐lama along jadi bosan dengan Anita dan keluarganya. Along rasa macam nak pergi jauh daripada dia orang.” Hamdan meluahkan kesalan. Ya, dia kesal kerana menurut kata hati. Dia kesal kerana meminggirkan keluarga sendiri bila dia memilih Anita. Perkhwinannya ditentang keras oleh Puan Mahani namun dia tidak tega menghadapi tentangan. Waktu itu, dia menganggap ibunya hanya wanita bodoh yang tidak mengerti hati dan perasaannya.

“Baru dua tahun kahwin dah ada rasa macam ni? Mana perginya rasa cinta kasih along pada dia?” Adham mengecilkan sepasang mata bila soalan itu dikemukakan. Sungguh dia tidak memahami. Apakah cinta membutakan mata hati sehingga kasih sayang seorang ibu habis terlerai?

“Along baru perasan yang Anita tak sepenuh hati cintakan along.”

Adham menatap wajah di hadapannya dalam‐dalam. Hati bergetar mendengar curahan rasa itu. Debaran yang menggendang diri hingga menjadikan tangan turut terketar. Resah mendatang. Gundah menyerang.

Tawa sinis menutup segala yang menghantui fikiran saat ini.

“Karut! Dulu, masa nak kahwin dengan along, kan along jugak yang cakap dia yang ajak? Dia
ajak along kahwin dengan dia. Kalau bukan disebabkan cinta pada along, tak kan dia buat macam tu, kan?” bidasnya.

“Waktu tu dia cuma perlukan seorang lelaki untuk diri dan hidupnya. Mungkin pak we dia menolak kehendaknya, siapa tahu? Along dijadikan tempat untuk dia menyakiti hati kekasih dia.” Bisik Hamdan perlahan. Rasa ringan kepalanya setelah dapat berkongsi masalah rumahtangganya dengan si adik. Rasa semua yang terbeban selama ini, berjaya diketepikan.

Rupa‐rupanya, masalah tidak boleh dipendamkan, fikirnya. Lagi disimpan, lagi semak kepala. Kini, setelah ia dapat diluahkan, hati merasa lapang. Fikiran menjadi lega. Tidaklah bercelaru dan haru biru seperti sebelumnya.

Berlainan dengan Adham Faiz. Kata‐kata abang sulungnya itu mengembalikan ingatan kepada
Anita. Wajah cantik itu terimbau semula. Sepasang mata bulat dan bundar. Hidungnya mancung. Pipi tidak pernah tumbuh walau sebiji jerawat pun barangkali, bagai buah pauh yang dilayang, kata pepatah. Rambut panjang melepasi bahu yang sering terbiar, terurai dihembus angin. Jari‐jemari yang runcing, lembut dan halus, tanda gadis itu tidak pernah melakukan sebarang kerja yang berat malah, mungkin, tidak pernah langsung melakukan sesuatu apapun di rumah.

“Saya tak tahu nak menasihatkan along dalam hal rumah tangga ni. Tapi, kalau along mintak
pendapat saya, satu aje yang saya nak suruh along buat. Berbincang! Duduk sama‐sama dan bincang dengan bini along tu apa yang along tak puas hati dengan dia.”

Hamdan tersenyum sinis. “Tiap kali along ajak dia duduk berbincang, tiap kali itulah dia akan
mengelak, Ngah.” Dia mengeluh lagi. “Mungkin betul juga cakap dia pada along hari tu. Dia tuduh along kahwin dengan dia sebab along nak hidup mewah. Along ambil kesempatan bila papa sukakan kerja along di pejabat. Along cuba memiliki dia melalui papa. Along berjaya menambat hati papa sehingga papa merasa bahawa along lelaki yang paling layak menjadi suami Anita.”

Adham Faiz cuba menyelami kata‐kata Hamdan Faizi namun semakin dia cuba menerima, semakin hatinya menidakkan. Ya, dia memang dapat memahami situasi abangnya yang selama ini terkurung di dalam sangkar kemiskinan. Lalu, bila kesempatan untuk keluar daripada kurungan itu diperoleh, tentu sahaja peluang tidak dilepaskan begitu sahaja. Keupayaan meraih kepercayaan pemilik syarikat gergasi, Buruan Mega Sdn Bhd, tentu merupakan satu bonus. Adham juga harus mengakui bahawa Hamdan bukan seperti dirinya yang panas baran.

Hamdah seorang yang berhati‐hati dalam setiap tindakan. Abangnya ini sentiasa akur dengan
sebarang perintah. Sikap patuh itu tidak Adham miliki. Bagi Adham, dia hanya akan mematuhi
arahan yang dirasakan betul! Kalau tidak? Jangan harap dia akan menjadi ‘Pak Turut’!

“Dia kahwin dengan along sebab itu kehendak papa dia. Dia tak cintakan along. Sebagai suami, along dapat rasakannya.”

“Selepas 2 tahun?” tukas Adham dalam rasa tidak percaya.

“Sejak malam pertama lagi!” melihat wajah terkejut Adham, Hamdan ketawa pula. “Hisy, kepala
tu fikir apa hah?” tanya dia.

Adham Faiz terkedu disindir abangnya.

“Jiwa dan raga tidak diserahkan sepenuhnya pada along, Ngah. Tubuh dia milik along tapi hati
dia tidak! Tak tahulah sama ada mereka masih saling berhubung atau tidak. Cuma, sekarang sikapnya terhadap along semakin teruk. Langsung dia tak tahu macam mana nak cakap baik-baik, dah. Sesekali along terfikir juga bahawa inilah balasan atas sikap tak bertanggungjawab along pada mak dan kamu semua.” Hamdan mengeluh terus‐terusan. Kesalnya semakin parah.

Mengenangi Anita, luka di hati semakin dalam dirasakannya.

“Jangan lupa, dia yang ajak along kahwin dengan dia.”

“Entahlah! Mungkin dia rasa menang dengan buat macam tu agaknya!”

“Kenapa? Along fikir yang dia cuba buktikan pada bekas kekasih dia bahawa....”

“Dia tak bahagia dengan along. Dan, dia sanggup tinggalkan along kalau lelaki itu mahu terima dia semula!”

Adham Faiz menggeleng‐gelengkan kepalanya. Dalam masa sama, tangan menggaru sedikit
permukaan kulit yang tiba‐tiba dirasakan gatal. Dia tidak dapat memahami kata‐kata abangnya kerana semua ini berlaku selepas 2 tahun perkahwinan Hamdan dengan Anita. Kalau benar Anita seorang yang setia, dari awal lagi, dia sudah sepatutnya sanggup berkorban demi cinta. Sanggup meninggalkan kemewahan yang dia ada demi cinta yang kononnya agung terhadap si dia.

“Kalau along tahu siapa lelaki tu?”

Rasa tersekat air liur di kerongkong mendengar suara Hamdan yang tiba‐tiba lantang menujah
telinganya. Lama suasana bisu sebelum Adham bersuara dengan penuh ketegasan.

“Along nak buat apa pada dia? Along, along! Hak along sebagai lelaki dan sebagai suami, along pertahankanlah! Tapi, along tak ada hak menuduh lelaki itu turut terbabit dalam tindak-tanduk isteri kesayangan along tu. Dia mungkin tak tahu apa‐apa langsung!”

“Tapi...”

“Saya ingat along nak jumpa saya sebab along nak balik jumpa mak. Kalau itu, balik ajelah! Mak tu pun rindukan along. Adik‐adik pun semuanya selalu teringatkan along. Yalah, kan! Along kan abang favourite dia orang? Berbanding dengan saya yang kasar dan selalu marahkan dia orang?”

“Mana ada?” Hamdan merendah diri.

“So, along tak nak jumpa mak?” tanya Adham, lebih bersungguh‐sungguh sekali ini.

Hamdan menggeleng. Sambil itu, dia mengeluarkan dompet untuk mengambil beberapa keping not RM50 dan RM100, untuk dititipkan kepada ibu mereka, Puan Mahani. Ketika dia menghulurkan wang itu kepada Adham Faiz, Adham hanya merenung. Tangannya tidak langsung menyambut huluran itu.

“Along, along ingat, duit tu boleh gantikan diri along ke? Along ingat, bila mak dapat duit tu, dia akan melompat? Gembira sesangat sebab anak sulung dia msih ingat pada dia? Macam tu ke along fikir?”

“Along...”

“Simpan duit tu. Kalau setakat RM300, saya bagi lebih banyak tiap bulan. Tapi bukan sikit atau
banyak yang jadi ukurannya. Saya rasa, dah tiba masa along balik jumpa mak, sebab, hidup anak derhaka ni, tidak akan bahagia dan senang. Maaf, ya, long! Saya bukan sengaja nak sakitkan hati along tapi, dah kebetulan kita jumpa ni, biarlah saya kutuk along sikit, kan?”

Wajah Hamdan menjadi keruh. Dia benar‐benar terasa dengan kata‐kata sindiran Adham Faiz.
Gementar dirinya digelar anak derhaka. Ketakutan yang teramat sangat. Bagaimanapun, dia masih belum bersedia untuk kembali. Dia masih tidak sanggup kehilangan segala‐gala yang sedang dimiliki, walau rumah tangga semakin hambar.

“Kalau rasa nak balik, pintu rumah kita tu sentiasa terbuka untuk along.”

Perlahan‐lahan, Hamdan mengangguk. Dia memerhati Adham yang kini sudah berdiri di hadapannya. Pasti, adiknya ingin pulang.

Ketika Adham menjabat tangan Hamdan, suatu suara menyapa lembut...

“Yang, you kat sini rupanya? Kenapa you tak cakap masa I call you tadi?”

Itu suara Anita. Anita isteri Hamdan. Namun, dia amat mengenali kemanjaan itu. Belum pernah
dapat dikikis walau kini, rajuk dan sinis Aira Syuhada sering mengisi dan menggantikan ilusi lama itu.

Adham tahu, dia perlu pergi. Adham tahu, dia masih tidak boleh berhadapan dengan wanita ini. Adham tahu, dia masih belum bersedia untuk bersemuka.

Mengapa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan