Label

Ahad, 27 November 2016

NOVEL Akhirnya Bab9

DUA malam berselang. Sekali lagi Luqman Adzlie berkunjung ke kelab malam Semarak Café. Kali ini dia datang bersendirian. Dia sengaja tidak mengajak Hakimie pada malam itu. Dia mahu meninjau bersendirian apa yang berlaku selanjutnya di kelab malam itu. Luqman Adzlie memesan segelas fresh orange. Sambil duduk matanya melilau memerhatikan kawasan dalam kelab malam itu. Pandangannya banyak terarah ke lantai tari yang menghimpun sebilangan pengunjung yang leka menari dengan pasangan masing‐masing.

Pencariannya masih berterusan. Namun bayang gadis yang dilihatnya minggu lalu masih belum lagi muncul. Jam tangannya terus berdetik dan ketika waktu menunjukkan hampir pukul 11.30 malam. Alunan muzik yang keras terus beralun. Bunyinya membingitkan gegendang telinga. Luqman Adzlie tidak biasa dengan suasana bising begitu. Dia nampak kurang selesa.

Namun anak‐anak muda yang sedang bersantai malam itu seakan sudah lali dengan irama rancak yang sedang berkumandang itu. Hayunan tangan dan rentak kaki semakin bertalu‐talu. Luqman Adzlie bangun dari tempat duduknya dan cuba berjalan perlahan‐lahan menyusuri ruang dalam kelab malam itu. Langkahnya kemas dan berhati‐hati. Gadis yang menjadi misi pencariannya itu masih lagi belum muncul.

“Agaknya ia belum datang lagi? Atau masa masih awal lagi,” desisnya dalam hati.

Jam tangannya mula menunjukkan pukul 12.30 malam. Matanya masih meninjau‐ninjau di segenap ruang kelab malam itu. Namun gadis berambut perang yang dicarinya itu masih tidak kelihatan. Dia melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi berhampiran dengannya.

“Hai…..boleh I kenal dengan you?” tiba‐tiba kedengaran satu suara perempuan menerjah cuping telinganya.

Cahaya dalam kelab malam itu nampak samar‐samar. Luqman Adzlie terpanggil untuk menyoroti mana arah datangnya suara itu. Apabila menoleh ke arah suara itu, dia semakin terkejut.



“Ehh…..benarkah apa yang aku lihat ini? Adakah aku sedang bermimpi?” getusnya bertalu‐talu.

Dia seperti tidak percaya. Dia bagaikan terpukau oleh pandangan gadis itu. Lidahnya kaku dan kelu seketika untuk berkata‐kata.

“Emm……mengapa ni? Are you okey?” soal gadis itu lagi.

“Ohh…okey…saya okey…,” balas Luqman Adzlie masih lagi terkejut.

“You ada tunggu sesiapa ke?”

Luqman Adzlie masih lagi tergamam. Dia bagaikan terpanah oleh bicara lembut perempuan berambut perang itu. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan perempuan yang sememangnya dicarinya itu. Puas dia mencari dan akhirnya muncul secara tiba‐tiba di hadapan matanya.

“Err….mengapa ni? Tak sudi nak berkenalan dengan saya?”

Perasaannya mula tidak tenteram. Macam‐macam perkara mula bermain di fikirannya saat itu.

“Ohh…tak ada apa‐apa. Maaf saya tak perasan tadi…..maklumlah tempat ni bising sangat!”

Tiba‐tiba Manissa memaut mesra bahu Luqman Adzlie. Lelaki itu mula mengelabah. Dia tidak biasa dengan keadaan sebegitu namun terpaksa berlakon supaya misi kedatangannya ke kelab malam itu tidak terbongkar. Perasaan tenanglah, desisnya dalam hati.

“Natasha Hudson…..call me Tasha…..you?” ucap Manissa memperkenalkan dirinya sambil
melepaskan pautan mesra di bahu Luqman Adzlie. Dia kemudian menghulurkan tangan untuk
berjabat dengan Luqman Adzlie. Perasaan Luqman Adzlie kembali tenang. Dia menyambut mesra tangan lembut Manissa. Dia mula dapat mengawal perasaannya. Dia tahu, apa yang berlaku pada malam itu amat penting untuk misinya. Tugas dan tanggungjawab perlu dilakukan dengan sempurna.

“Nama saya…..Azman Mikhael. Tasha boleh panggil Mike saja,” balas Luqman Adzlie cuba
menyembunyikan identiti sebenar dirinya.

Dia perlu berhati‐hati kerana tugasannya kali ini amat besar risikonya. Tersilap langkah, nyawanya menjadi taruhan. Keselamatannya amat penting kerana berada di tempat sedemikian. Namun dia terpaksa demi menjalankan tugas.

“Ermm…macam itulah. Tak baik sombong‐sombong. Err…you….tak nak minum?” Manissa mula
menggoda Luqman Adzlie.

“Err…tak apa….I baru minum tadi…,”

“Itu tadi…,” ujar Manissa sambil matanya melirik tajam kea rah Luqman Adzlie. Keayuaan wajahnya boleh mencairkan hati lelaki.

“Kali ini biar Ibelanja you…..kita baru saja berkenalan……tak sudikah Ibelanja youminum?”

Luqman Adzlie serba salah. Dia masih lagi boleh mengawal perasaannya. Dia tahu apa yang sedang dilakukan sekarang. Fikirannya masih lagi ada batasnya.

“Betul ni Tasha nak belanja I?” soal Luqman Adzlie seperti mahu menduga Manissa.

“You ingat I main‐main? Tasha serius tau!”

“Okeylah….demi perkenalan ini, Iterima saja,”

“Ermm….macam itulah!” Manissa tersenyum puas. “You nak minum apa?”

“Fresh orange!”

Manissa memesan dua gelas fresh orange. Seketika kemudian pesanan mereka sudah tersedia
di meja. Luqman Adzlie memerhatikan kawasan sekitar kelab malam itu. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Pengunjung kelab malam itu semakin bertambah. Di lantai tari, Luqman Adzlie nampak beberapa pasangan sedang asyik menari. Tidak jauh dari kawasan itu, dia nampak kelibat beberapa orang lelaki yang seakan mengawasi kawasan di dalam kelab malam itu. Luqman Adzlie yakin mereka semua ada kaitan dengan kelab malam itu. Dalam cahaya samar nampak ada di kalangan mereka yang bercakap‐cakap di telefon bimbit. Dia mesti berhati‐hati.

“Kenapa I nampak you semacam saja?” soal Manissa ragu‐ragu apabila melihat gelagat Luqman Adzlie yang agak mencurigakan.

“Sebenarnya I tak biasa sangat tempat macam ni……sebab itulah I rasa lain macam saja,”

“Ermm….tak sangka pulak you tak biasa datang tempat sebegini. Habis tu buat apa you datang sini?” soal Manissa lagi seperti mahu mengorek suatu rahsia.

“Saja nak hilangkan tension kerja,” selamba jawab Luqman Adzlie.

Manissa hanya mengangguk kepala.

“Jom kita menari?”

“Err…maaflah….I tak biasa…..lagipun memang I tak pandai menari,”

“Tak apa….I boleh ajarkan. Mula‐mula tak tahu…..lama‐lama mesti seronok!”

“It’s okey…..lain kali kita menari,” Luqman Adzlie cuba mengelak dari diheret oleh Manissa ke
lantai tari.

Manissa bagaikan memahami kehendak hati Luqman Adzlie. Dia tidak memaksa, sebaliknya
mengajak lelaki itu ke satu sudut lain.

“Apa kata kita ke sana. Rasanya di situ kurang gangguan,” ajak Manissa.

Luqman Adzlie hanya mengikut Manissa dari belakang sambil membawa gelas yang berisi air
fresh orangetadi. Manissa memilih satu sudut yang agak samar‐samar cahaya lampunya. Namun bunyi alunan muzik yang beralun masih jelas kedengaran tetapi tidaklah membingitkan telinga. Luqman Adzlie berasa agak selesa duduk di situ. Dia yakin orang akn kurang perasan akan kehadirannya di situ malam itu. Manissa dan Luqman Adzlie melabuhkan punggung mereka di sofa empuk yang sedia menanti.

“You kerja mana?” Manissa kembali memulakan bicara.

“Err….I kerja sendiri,”

“Maksud you?”

“Begini…..I uruskan perniagaan keluarga,” lancar Luqman Adzlie menjawab.

“Buat business apa?”

Luqman terdiam sejenak. Semakin lama semakin banyak soalan yang dilontarkan oleh Manissa
kepadanya. Dia harus lebih berhati‐hati. Dia tidak mahu terperangkap dengan soalan‐soalan Manissa. Dia mula berfikir panjang sebelum memberikan jawapan.

“Ermm…buat trading sikit‐sikit. You pulak buat apa di sini?” soal Luqman Adzlie mula mahu
menjerat Manissa dengan soalannya pula.

Manissa tidak terus menjawab. Dia menghirup perlahan beberapa teguk air fresh orangenya. Belum sempat Manissa menjawab soalan itu, tiba‐tiba Manissa dihampiri oleh seorang gadis lalu menegurnya.

“Hai Tasha….,” Cindy menegurnya dalam cahaya yang samar‐samar itu.

“Ohh….kamu dari mana ni? Lewat malam ni?” tanya Manissa kepada Cindy yang turut tersenyum apabila melihat ada seorang jejaka tampan bersama Manissa pagi itu. Cindy tidak menjawab pertanyaan Manissa sebaliknya terus berlalu pergi sehinggakan meninggalkan tanda tanya di hati Luqman Adzlie. Manissa menyedari keadaan itu.

“Kawan I…Cindy namanya,” sela Manissa tanpa perlu Luqman Adzlie bertanya terlebih dahulu
kepadanya. Manissa tahu tentu Luqman Adzlie tertanya‐tanya siapakah gerangannya gadis itu.

Luqman Adzlie hanya mengangguk. Dia tersenyum sinis tetapi ingatannya mula bercelaru. Siapa pula gadis seksi yang bermini skirt di atas lutut itu? Seingat dan setahu Luqman Adzlie, cirri‐ciri yang ditampilkan oleh gadis yang bernama Cindy itu bersamaan dengan pakaian yang selalu dipakai oleh gadis‐gadis GRO. Apakah pula hubungannya dengan gadis yang dikenali sebagai Natasha Hudson itu? Mungkinkan dia juga seorang gadis GRO di kelab malam itu. Hatinya mula berkata‐kata. Perasaan ingin tahu mula meraja di hatinya saat itu.

“Dia kerja di sini,” selamba jawab Manissa sambil tangannya kanannya mengeluarkan sebatang
rokok dari tas tangannya.

Jari‐jarinya pantas menyepit rokok itu. Manissa menyuakan pemetik api kepada Luqman Adzlie
supaya memasangkan api rokoknya. Luqman Adzlie nampak terkejut tetapi terpaksa melakukannya. Dia mula curiga terhadap gadis yang berambut perang itu. Perasaan itu dipendamkan jauh‐jauh dalam lubuk hatinya. Siapakah sebenarnya gadis ini? Apakah kaitannya dengan kelab malam itu kerana in merupakan kali kedua dia melihat gadis ini di sini?

Persoalan demi persoalan muncul di kepalanya. Antara bimbang dan perasaan ingin tahu, hatinya mula betanya‐tanya lagi.

“Jadi….you juga kerja di sini?” tiba‐tiba Luqman Adzlie menyuarakan persoalan itu.

Manissa tidak terkejut dengan soalan itu. Dia tersenyum sambil menghembuskan asap rokok dari mulutnya. Luqman Adzlie terpaksa menahan sabar. Manissa mengangguk perlahan menjawab kebenaran telahan Luqman Adzlie itu.

“Dah lama you kerja sini?” soal Luqman Adzlie mula memainkan tugasnya sebagai seorang
wartawan.

“Baru lagi….just a couple months ago….,” Manissa tidak menghabiskan ayat itu.

Luqman Adzlie tertunggu‐tunggu jawapan dari Manissa.

“Tapi kenapa? Err…..maksud Iada apa‐apa yang tak kenakah?” tukas Luqman Adzlie pantas.

“Err….tak ada apa‐apa. It’s okey!” balas Manissa bagaikan menyembunyikan sesuatu.

Luqman Adzlie dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri Manissa. Dia tidak mahu mendesak. Ini adalah pertemuan pertamanya dengan Manissa. Dia perlu banyak masa lagi untuk mendampingi gadis berambut perang itu.

“Nice to know you….harap boleh jumpa lagi,” ucap Luqman Adzlie. “Banyak perkara nak sembang tapi masa dah lewat sangat….I nak pulang dulu,” tambahnya lagi.

“Okey…..nanti cari I di sini….also nice to meet you!” balas Manissa dengan suara yang agak
menggoda, namun Luqman Adzlie masih dapat menahan perasaannya.

Masa terus berdetik. Jarum jam di tangan Luqman Adzlie sudah melepasi angka dua pagi. Namun kehangatan di lantai tari Semarak Café terus terasa panas. Anak‐anak muda terus terkinja‐kinja berseronok menari bagaikan tiada kesudahannya. Alunan muzik terus berlagu seiring dengan gelak ketawa dan pelbagai gelagat pengunjung di kelab malam itu. Tanpa ada batasan waktu, mereka semua hanyut dibuai perasaan dan tenggelam dalam hawa nafsu sampai ke pagi hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan