Label

Selasa, 22 November 2016

NOVEL Akhirnya Bab3

LUQMAN Adzlie begitu tekun melekat di hadapan skrin komputer menukangi kerjanya. Berita
yang sedang disunting itu mesti disiapkan secepat mungkin. Tarikh akhir baginya menyiapkan
berita itu tinggal beberapa jam lagi. Ketua pengarang akhbar Harian Sinar sudah beberapa kali
menelefonnya. Berita itu mesti disiapkan secepat mungkin. Dia mula bertugas di akhbar Harian
Sinar sejak 3 tahun yang lalu bermula sebagai wartawan pelatih. Komited dan bersemangat
tinggi yang ada dalam diri akhirnya dia diserapkan ke jawatan tetap di situ.

“Kali ini saya mahu berita yang lagi mencabar….saya percaya kepada kebolehan kamu,” ujar
Encik Zaiful Zaman semasa sesi perbincangan minggu lepas.

Gejala penyalahgunaan dadah, isu lepak, kutu rayau, budaya punk dan samseng jalanraya
sudah ditulisnya. Semuanya bagaikan sinonim dengan cara kehidupan budaya negatif remaja
kota pada hari ini. Gejala yang tidak sihat ini semakin berleluasa dan kian menular ke desa
pula. Namun sejak akhir‐akhir ini ada lagi isu yang panas seperti budaya songsang dan rumah-rumah
urut haram tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan yang berselindung atas nama perniagaan kesihatan dan aktiviti tidak bermoral pendatang asing.

“Saya mahu kamu kupas isu gadis GRO…..,” usul Encik Zaiful Zaman.

“GRO!”

“Ya….walaupun isu ini dah lama tapi saya mahu kamu tulis dari perspektif yang baru….sesuai
dengan masa sekarang….,” ujar Zaiful Zaman lagi.

“Saya tahu ini bukan kerja yang mudah…..melibatkan banyak risiko keselamatan tapi kamu
jangan bimbang, saya akan aturkan semuanya. Esok saya ada perjumpaan ketua polis dari
Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat. Semuanya akan membantu kamu nanti…..,”

Mendengar penjelasan dari Encik Zaiful Zaman itu menjadikan Luqman Adzlie teruja dengan
isu itu. Dia tahu hari‐harinya akan kembali sibuk untuk membongkar dan mengupas isu gadis
GRO itu.

“Nanti saya akan cuba dapatkan infonya….saya kena hati‐hati sebab tugasan ini bukannya
mudah. Sangat mencabar saya….,”

“Jangan bimbang…..nanti akan ada yang memantau kerja kamu ni…..bertindaklah mengikut
arahan….jangan ikut perasaan,” sambung Encik Zaiful Zaman cuba menyakinkan Luqman
Adzlie.



“InsyaAllah…..itu tanggungjawab!” tegas tutur Luqman Adzlie bagaikan menyahut cabaran
ketuanya.

“Dunia perniagaan hari ini perlukan persaingan. Kita mesti menghidangkan berita‐berita
sensasi dan terkini. Bukan senang kita nak memikat hati pembaca di luar sana. Saya mahu
kamu menyiasat dan meneliti isu ini. Saya yakin kamu pasti boleh!” tambah Encik Zaiful Zaman
sebelum mengakhiri katanya.

Luqman Adzlie tiada pilihan lain. Sebagai seorang wartawan senior dia terpaksa akur dengan
kehendak ketua dan majikannya. Demi rasa tanggungjawab, amanah itu terpaksa dipikulnya.

“Tekun nampak! Tak keluar minumkah?” tegur Alia Sofia, salah seorang rakan wartawannya
ketika melalui hampir dengan meja Luqman Adzlie.

“Emm….kau minumlah dulu. Selagi artikel ni tak siap diedit…..hati aku tak senang dibuatnya,”
balas Luqman Adzlie sambil melihat jam di tangannya sudah menunjukkam pukul 10.30 pagi.

“Ada nampak Kimie?”

“Dah tiga hari aku tak nampak batang hidung dia….ada tugas di luar agaknya atau bercuti
panjang…,” tukas Alia Sofia. “Apa hal kau cari dia?”

“Biasalah….ada tugasan baru. Aku perlukan dia sebagai juru gambar aku,”

“Ramai lagi yang lain…..Mamat ada, Kassim pun ada. Kau boleh berkerjasama dengan mereka,”
Alia Sofia memberikan cadangan.

“Tapi aku lebih suka Kimie….senang diajak berunding…..satu kepala!”

Alia Sofia tersenyum nakal. Tanpa member sebarang komen, dia terus berlalu meninggalkan
Luqman Adzlie di mejanya.

“Alia…..nanti dulu!” teriak Luqman Adzlie.

Langkah kaki Alia Sofia terhenti. Dia segera menoleh ke arah Luqman Adzlie.

“Hmm……kau nak apa?”

“Tolong belikan aku teh ais satu bungkus!”

Alia Sofia mengangguk. Dia meneruskan semula langkah kakinya. Luqman kembali tekun
menghadap skrin komputernya. Jari‐jarinya terus menekan‐nekan pada papan kekunci
computer. Deringan telefon di sudut kanan mejanya berbunyi beberapa kali. Kerja dan
penumpuan Luqman Adzlie sedikit terganggu. Tangan pantas mencapai gagang telefon itu.

“Hello….selamat pagi sayang…,” kedengaran satu suara halus menerjah cuping telinganya.

“Kenapa tak angkat panggilan….puas dail you punya telefon tangan…,” sambung suara yang
agak manja dan mengada‐ngada itu.

Luqman Azdlie cam sangat si pemunya suara itu. Dia sudah lali mendengar suara itu. Luqman
meraba‐raba poket seluarnya, sememangnya dia telah tertinggal telefon bimbitnya di kereta.

“Err….maaflah sayang….telefon tangan tertinggal dalam kereta. Nak cepat tadi…,” ujar Luqman
Azdlie.

“Kita keluar lunch nanti….boleh?”

Luqman Adzlie serba salah. Dia benar‐benar sibuk dan kali ini apakah alasan yang mesti
diberikan. Pelawaan Syafika Aziera terpaksa ditolak. Sudah beberapa kali Syafika Aziera
menghubunginya untuk bersama‐sama keluar makan tengahari. Luqman Adzlie masih belum
dapat lagi memenuhi ajakan Syafika Aziera, tunangannya itu.

“Err.....hari ni tak bolehlah sayang…..abang banyak kerja kena selesai hari ini. Sayang bukan tak
faham kerja abang…..nanti mengamuk pulak bos abang…,” bicara Luqman Adzlie memberi
alasan yang sememangnya munasabah baginya.

“Kerja! Kerja! Itu saja alasan abang……Fika pun abang kena jaga juga! Memang abang tak
sayangkan Fika…..,” rungut Syafika Aziera bagaikan sedang merajuk dengan Luqman Adzlie.

“Hiss….siapa kata abang tak sayang Fika? Fika kenalah faham tugas abang sebagai seorang
wartawan. Kerja sentiasa mengejar berita….mengejar masa…..Fika fahamkan?” balas Luqman
Adzlie bagai memohon simpati dari tunangnya supaya memahami situasi kerjanya.

“Emm…..sibuknya mengalahkan Perdana Menteri!” rungut Syafika Aziera bagaikan menyindir.
Luqman Adzlie tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala. Dia tahu saat itu tunangannya
itu merajuk hati dengannya. Memang sudah beberapa kali dia menolak pelawaan makan
tengahari bersama. Namun sebagai seorang lelaki, Luqman Adzlie pandai mengambil hati
Syafika Aziera. Tutur katanya cepat mencairkan amarah perempuan itu.

“Jangan macam itu sayang. Nanti bila kerja abang dah selesai……ke mana saja Fika nak pergi,
abang ikut….,” pujuk Luqman Adzlie.

Syafika Aziera terdiam. Amarahnya kendur seketika. Hatinya kembali dingin.

“Okey…..abang janji tau!”

“Baiklah sayang….abang janji…bye…bye sayang….,”

Luqman Adzlie meletakkan semula gagang telefon. Perhubungan dua hala sepasang kekasih
itu segera terputus. Dia bangun lalu menuju ke arah rak yang dipenuhi dengan keratan akhbar.
Luqman Adzlie kembali menyelak satu persatu keratan akhbar di dalam salah satu fail. Dia
cuba meneliti beberapa kejadian tentang serbuan pihak berkuasa terhadap beberapa buah
premis hiburan sekitar ibu kota beberapa bulan yang lalu. Perhatiannya terhadap keratan
akhbar itu terganggu apabila sekali lagi telefon di sudut mejanya berdering sekali lagi. Dia
mendapatkan semula gagang telefon. Suara kawannya, Hakimie berada di hujung talian.

“Di mana kau sekarang?”

“Aku ada di foyer bilik suntingan berita. Tadi ada jumpa Alia….dia kata kau cari aku,”

“Memang pun…..aku nak minta bantuan kau. Kita perlu berbincang,”

“Baiklah…..kau tunggu aku. Kejap lagi aku naik atas jumpa kau,”

“Okey….jangan tak datang pulak!”

“Aku kalau berjanji….tak pernah mungkir tau!”

“Okeylah….cepat sikit!”

Sekali lagi Luqman meletakkan gagang telefon di tempat asalnya. Duduk di bilik berita itu
memang tidak sunyi dari deringan bunyi telefon. Setiap masa ada sahaja panggilan yang
masuk. Selain daripada maklumat, kadang‐kadang para wartawan yang ada pening kepala
hendak menjawab pertanyaan yang berbagai‐bagai. Ketika itu terdapat beberapa orang lagi
teman sekerja Luqman Adzlie berada di bilik itu. Masing‐masing sibuk dengan kerja sendiri.
Kesibukan membuatkan mereka tidak ada masa bertegur sapa atau berbual‐bual. Semua mahu
menyiapkan tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan. Masa amat penting bekerja di sini.
Luqman membawa fail di tangannya ke mejanya. Dia kembali menukangi kerja di hadapan
skrin computer. Sebentar kemudian Hakimie muncul dengan wajah berseri‐seri. Dia tersengih
apabila melihat Luqman Adzlie yang agak kelam kabut ketika itu.

“Apa halnya kau nak jumpa aku ni?”

“Kau macam tak faham pulak tugas‐tugas aku! Aku ada tugasan baru……aku kena ikut aku,”

“Hahh…..dulu pasal bohsia…pasal bohjan….kali ini apa pulak orang tua tu mahu kau buat?”

Luqman Adzlie menarik sebuah kerusi berhampiran dengan tempat duduknya. Diberikan kerusi
itu kepada Hakimie.

“Kali ini lagi sensasi. Isu yang paling hangat sekarang!”

“Hangat tak apa…...jangan hangit pulak!” seloroh Hakimie.

“Aku serius ni.….jangan nak main‐main pulak…..,” tegur Luqman Adzlie apabila melihat Hakimie
tidak serius mendengar apa yang diperkatakan. Dia merenung tajam ke arah muka Hakimie.

Hakimie memang terkenal di situ dengan perangainya yang suka memanjang.

“Elehh…..sentaplah pulak! Okey..….kali ini aku serius,”

“Aku benar‐benar nak gunakan khidmat kau dalam tugasan kali ini. Aku perlukan jurugambar
yang profesional seperti kau,”

“Jangan puji aku lebih‐lebih…nanti tak jadi pulak gambarnya….”ujar Hakimie tergelak lagi.

“Kau Kimie memang tak pernah serius….aku bukan tak tahu perangai kau tapi hati kau baik…..,”

“Tahu tak apa!”

“Jangan main‐main….aku serius ni!”

“Okey! Okey! Tapi kau tak beritahu aku lagi….kali ini apa isu sensasi yang kau nak siasat?”

“Kali tugasan kita agak mencabar….kau mesti suka!”

“Apa dia?”

“GRO!”

“GRO?”

Terlopong mulut Hakimie apabila mendengar isu yang akan diselidiki oleh Luqman Adzlie kali
ini. Hakimie turut berminat dengan isu itu. Sejak akhir‐akhir ini memang heboh diperkatakan
oleh masyarakat,media cetak mahupun media elektronik tentang gejala sosial yang melibatkan
kerjaya gadis perhubungan pelanggan di kelab‐kelab malam ekslusif.

“Wow! Memang sensasi! Apa yang perlu kita buat sekarang?”

“Okey….malam ni kita mulakan projek A!”

“Projek A? Apa maksud kau?”

“Jangan banyak soal. Malam nanti aku ambil kau kat sini,”

“Nak pergi mana?”

Luqman Adzlie tidak menjawab pertanyaan Hakimie. Rakan sekerjanya itu nampak termangu
seketika.

“Jangan lambat pulak..…pukul 10 malam nanti,” tambah Luqman Adzlie sebelum pergi
meninggalkan Hakimie dengan persoalan yang belum terjawab.

Hakimie hanya mampu untuk menggeleng kepala. Luqman Adzlie memang selalu meninggalkan pesoalan sebegitu kepadanya. Arahannya bagaikan tidak lengkap tetapi perlu jawapan untuk penyelesaian. Apa‐apa pun segalanya pasti terungkai apabila bertemu pada waktu malam nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan