Label

Sabtu, 26 November 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab11

ENJIN kereta dimatikan sebaik tiba di hadapan sebuah rumah teres setingkat. Mengikut alamat
yang diberi oleh Adam, itulah rumah keluarga Intan Nawrah. Mungkinkah tuan punya diri
berada di dalam rumah ketika ini? Tadi, Alexander Zulkarnaeen dah memandu sehingga masuk
ke Lebuh Raya Utara‐Selatan.

Sepanjang perjalanan itu dia sudah habis fikir keputusan yang paling baik perlu dibuat, sama
ada perlahan‐lahan mengambil hati Intan Nawrah atau meminangnya sahaja. Tetapi sebaik kereta dipandu menghampiri persimpangan Bidor, dia buat keputusan untuk berpatah balik ke Tapah. Dia tidak mahu membuang masa lagi. Biar Intan Nawrah saja yang mengisi kekosongan tempat di hatinya. Navigasi GPS terus dipadamkan sebaik kenderaan memasuki kawasan perumahan Taman Bukit Hijau. Nombor telefon Intan Nawrah didail sekali lagi. Kali ini deringannya panjang dan mati sendiri.

“Nekad tak mahu angkat, ye?” Soal Alexander Zulkarnaeen sendirian, geram juga. Telefon bimbit ditekap sekali lagi di telinganya. Kali ini dia berusaha berkali‐kali tetapi tak berhasil juga. Alexander Zulkarnaeen semakin geram. Sekilas, ingatan membawa pada ugutan Intan Nawrah yang mahu menyekat panggilan dari telefon bimbitnya. Dia mengotakan janjinya kah?

“Dah sampai depan rumah nombor 18, Lorong 9, Taman Bukit Hijau. Alexander Zulkarnaeen.” Taipnya sebelum menghantar pesanan ringkas itu ke talian telefon bimbit Intan Nawrah.

“Duduk aje lah dalam kereta tu. Jangan harap saya nak keluar.” jawapannya diterima tidak lama kemudian. Oh, dia masih ada. Bagus! Hari ni biar aku selesaikan segalanya. Tak perlu buang masa lama‐lama.

“It’s okay. Duduk aje senyap‐senyap dalam rumah tu. Saya bukan nak jumpa awak. Nak mintak izin, kena mintak izin dari keluarga awak, kan?”

Intan Nawrah yang sedang berbaring di atas katil bergegas ke ruang tamu. Dia ingin melihat
apakah benar Zulkarnaeen ada di luar. Langsir tingkap diselak perlahan, supaya tak terlihat dek
orang luar, Zulkarnaeen sendiri khususnya. Apa yang dilihat di sebalik tingkap, sebuah kereta
berwarna putih berhenti betul‐betul di depan rumahnya.



“Gila!” Luah Intan Nawrah, mengeleng‐geleng.

“Kalau aku tahu kena kejar sampai macam ni, tak ku isi langsung borang tu. Masalahnya, aku ingat borang nak cari kerja. Itulah terburu‐buru buat kerja. Asal nampak borang dalam surat khabar, gunting. Nampak borang dalam majalah pun gunting. Padah pada diri sendiri! Tamak sangat nak cari kerja hebat‐hebat. Tak boleh buat perlahan‐lahan. Dah jadi macam ni, nak salahkan siapa?”

Intan Nawrah mula membebel sendiri, tak tahu nak buat apa. Nak keluar atau tak? Kalau mak balik macam mana? Nak jawab apa? Nak kata aku pergi temuduga cari jodoh? Soalnya sendiri, masih menyelak langsir tingkap. Dia melihat jam di dinding sekilas. Itu memang waktu biasa emak tiba di rumah.

“Alahai!” Sungut Intan Nawrah, melepaskan bebanan perasaan melalui keluhan. Akhirnya, dia buat keputusan untuk keluar menemui Alexander Zulkarnaeen. Lelaki itu juga keluar dari kereta nampaknya, tersenyum‐senyum, buat Intan Nawrah sakit hati sahaja. Dia menjeling tajam pada lelaki itu.

“Saya bukan nak jumpa awak. Awak buat apa sini?”

“Awak ingat saya teringin sangat nak jumpa awak? Yang awak sibuk kat rumah saya ni buat apa?”

“Oh, kata mesti dikota. Saya nak jumpa keluarga awak. Nak mintak izin untuk melamar anaknya, Intan Nawrah. Kenal?”

Saja Alexander Zulkarnaeen menyakat. Mana tak menyakatnya, serius betul wajah Intan Nawrah. Gayanya seperti lama tak telan orang. Marah agaknya apabila dia menurut hingga ke muka pintu. Tapi apa nak buat, keputusan dah dibuat. Lebih baik dia fokus pada Intan Nawrah sahaja untuk dijadikan isteri. Perlahan‐lahan, tentu Intan Nawrah akan akur juga.

“Saya rayu pada awak, tolonglah balik. Keluarga saya ada banyak masalah sekarang. Jangan
tambah lagi masalah kami dengan permainan awak. Tak sesuai dan tak kena masa.”

“Nawrah? Siapa ni? Tetamu kita ke? Kenapa tak ajak ke dalam?” Suara emak, Siti Fatimah
kedengaran menyapa. Baik Intan Nawrah, mahupun Alexander Zulkarnaeen, kedua‐duanya menoleh pada empunya suara.

“Tak boleh ajak, mak! Nawrah seorang aje kat dalam tadi.”

“Tadi memang tak patut ajak. Sekarang mak dah balik, jemput masuk ke dalam.” Ajak Siti Fatimah kepada pemuda itu. Tentu kawan Intan Nawrah, fikirnya bersangka baik walaupun air muka anak sulungnya tegang semacam. Intan Nawrah yang tidak berpuas hati, lantas berpaling ke arah Alexander Zulkarnaeen. Sakit pula hatinya melihat mamat itu selamba badak mengikut langkah mereka.

INTAN Nawrah menatang juga minuman buat tetamunya. Hikmah menjadi tetamu, tuan rumah pasti berlapang dada menerima kehadirannya walaupun dalam hati rasa meluat dan menyampah melebihi rasa nak menghormati tetamu. Ketika di dapur, dia sempat juga mendengar perbualan di antara tuan rumah dan sang tetamu. Mereka bertukar cerita tentang diri masing‐masing, malah cerita tentang Naufal pun turut diselitkan emak. Nampaknya emak terlebih dahulu mengenali Alexander Zulkarnaeen berbanding dirinya yang langsung tiada maklumat tentang lelaki itu.

“Nawrah, duduklah sekali.” Panggil Siti Fatimah ketika anaknya meminta izin untuk ke dapur.

Intan Nawrah akur, cuba berlagak tenang di hadapan orang yang tak dikenali. Dalam hatinya
hanya satu, mudah‐mudahan Alexander Zulkarnaeen tak membocorkan rahsianya pada emak.

“Zul kata dia baru kenal Nawrah.”

“Hah...emmm.”Nawrah termangu, tidak tahu apa yang hendak dijawabnya.

“Saya nak mintak izin makcik...”

Suara Alexander Zulkarnaeen antara dengar dan tidak. Jika tadi, Intan Nawrah berani juga nak
mengangkat muka, sekarang perasaannya jadi lain. Dup‐dap, dup‐dap tak tentu pasal.Terasa kakinya sejuk menggigil‐gigil. Intan Nawrah dapat rasakan perubahan suhu pada badannya.

Janganlah dia luahkan apa yang tak patut diluahkannya saat ini.

“Saya nak hantar rombongan meminang, kalau makcik dan tuan punya badan izinkan.”

Hah, sudah! Dia bercakap benar rupanya. Emak, Siti Fatimah memandangnya. Intan Nawrah
tidak dapat menjawab. Mukanya terasa tidak berwarna. Debaran di dada berdetak tak tentu hala, seolah‐olah nak terkeluar dari tempatnya. Pandangannya mula berbalam‐balam sehingga tiada apa yang kelihatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan