Label

Ahad, 27 November 2016

NOVEL Darlingku Minah Angau Bab18

Anggun Danisha duduk termenung di stesen LRT. Dia tidak memperdulikan suasana hiruk piruk di situ. Rata‐rata manusia sedang berpusu‐pusu untuk pulang ke rumah masing‐masing. Malah kelihatan ada yang sanggup berebut untuk masuk ke dalam perut LRT tanpa memperdulikan kepadatan dalam tren itu. Namun Anggun Danisha hanya duduk di situ. Masih melayan lara hatinya tanpa ada riak untuk menyertai kesibukan manusia di situ.

"It's better that we go seperate ways."

Anggun Danisha masih ingat lagi bicara Bunyamin sebelum lelaki itu pulang ke Malaysia. Saat itu hatinya sakit sekali. Bunyamin hadir tatkala dia sedang kesedihan kehilangan mama tercinta. Bunyamin hadir sebagai pengganti kasih sayang mama yang tercicir membuatkan Anggun Danisha berasa begitu sukar untuk hidup tanpa kasih lelaki itu.

Bunyamin bin Ikhwan, seorang pelajar PHD yang berasal dari Malaysia. Manakala Anggun Danisha pelajar ijazah sarjana muda di Universiti yang sama dengan Bunyamin. Perkenalan yang bermula dari hanya seorang sahabat bertukar status apabila masing‐masing menyedari ada rasa cinta yang terbit di hati masing‐masing.

"I don't want to. Pleae don't do this to me, Min."

Anggun Danisha masih ingat lagi betapa bersungguh‐sungguh dia merayu supaya Bunyamin tidak memutuskan hubungan suci mereka ini. Malah dia menangis tersedu‐sedu dek kerana tidak tahan menahan rasa sakit di hatinya.

"Tetapi untuk apa? Cinta kita hanya sia‐sia jikalau hubungan kita tidak direstui oleh papa you,"
kata Bunyamin lagi.

"Hubungan kita tiada kaitan dengan papa I!" tegas Anggun Danisha. Dia mahu meyakinkan
Bunyamin yang papanya tidak boleh menentukan hidupnya.



"Tapi asas sesebuah perkahwinan itu memerlukan restu dari keluarga," kata Bunyamin.

"I tak perlukan restu papa I. I tak akan biarkan papa I memusnahkan kebahagian I," kata Anggun Danisha lagi. Dia cuba meraih tangan Bunyamin tetapi lelaki itu menolaknya kasar.

Anggun Danisha tahu Bunyamin banyak makan hati dengan kata‐kata kesat yang sering dihamburkan oleh papanya kepada Bunyamin. Malah papanya pernah mengupah samseng jalanan untuk memukul Bunyamin semuanya kerana mahu memutuskan hubungan antara mereka. Anggun Danisha tahu sebenarnya Bunyamin sudah penat dengan percintaan mereka yang sering dilanda badai. Tidak pernah walau seditik pun papanya mahu membiarkan mereka mengecapi kebahagian seperti pasangan bercinta yang lain.

"Apa yang boleh you lakukan? Selama ini di mana you berada tatkala teruk I dibelasah oleh samseng‐samseng yang diupah oleh papa you? Bukankah you hanya mampu menyuruh I bersabar aje? Dan apabila teruk I dimaki hamun oleh papa you, ada you mahu membela I?" tanya Bunyamin melepaskan kelukaan yang terlalu dalam yang dirasainya kini.

Anggun Danisha hanya menunduk. Di dalam hati dia hanya mampu mengutuk kebodohan dirinya. Kini dia baru sedar betapa selama ini dia tidak pernah berdiri di belakang Bunyamin dalam menangani kemelut ini. Walaupun dia sering bergaduh dengan papanya kerana perkara ini namun dia tidak pernah mempertahankan Bunyamin dengan baik.

"Sebenarnya I dah penat, Isha. I dah penat mempertahankan cinta kita," kata Bunyamin.

Anggun Danisha masih ingat lagi saat itu betapa hatinya merintih mendengarkan bicara kekasihnya itu. Malah hatinya begitu takut kehilangan satu‐satunya insan yang amat disayanginya. Tiada bicara yang mampu diluahkan saat itu untuk memujuk Bunyamin. Hanya air mata yang mengalir membuktikan betapa hatinya terluka dengan keputusan Bunyamin itu.

Selepas detik itu dia tidak lagi bertemu dengan Bunyamin. Malah melalui teman‐teman barulah dia mengetahui yang Bunyamin sudah pulang ke Malaysia. Saat itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya Anggun Danisha melalui hidupnya. Dia tahu dalam situasi ini Bunyamin tidak pernah bersalah. Malah dia faham betapa tersiksanya Bunyamin menghadapi cabaran percintaan mereka yang sentiasa diuji. Oleh sebab itu juga Anggun Danisha bertekad untuk mencari Bunyamin semula. Dia mahu buktikan kepada Bunyamin yang papanya tidak boleh melakukan apa‐apa untuk menghalang percintaan mereka.

Melalui teman‐teman rapat Anggun Danisha mendapatkan nombor telefon Bunyamin di Malaysia. Malah lelaki itu kelihatan tidak terkejut apabila mendapat panggilan daripadanya dan melayannya dengan baik. Apabila Anggun Danisha menyuarakan hasratnya untuk mencari Bunyamin di Malaysia, lelaki itu tidak pula menghalang. Sebab itu Anggun Danisha yakin yang lelaki itu masih sayangkannya.

Tetapi siapa sangka sebaliknya yang berlaku apabila dia sampai di sini. Apakah sebenarnya yang berada di fikiran Bunyamin? Mengapa lelaki itu masih tidak dapat menerimanya walau dia sudah sanggup berkorban sejauh ini?

"I hate you, papa! Kenapa you tak pernah suka I bahagia?" kata Anggun Danisha sendirian. Dia
mengesat airmata yang entah bila mengalir dari kelopak matanya. Dia pandang keadaan sekeliling. Stesen LRT Universiti yang sebentar tadi sesak kini mula lengang. Anggun Danisha mengeluh sendirian sambil mengerling jam di pergelangan tangannya. Hampir sejam dirinya termenung sendirian di sini.

Perlahan Anggun Danisha melepaskan nafasnya yang sesak. Dia tahu tatkala ini dia perlu melakukan sesuatu untuk merebut semula cinta Bunyamin. Dia perlu menghadirkan rasa kasih lelaki itu terhadapnya.

ANGGUN DANISHA mengambil brosur yang diberikan oleh petugas expo. Tanpa ada semangat dan arah tujuan Anggun Danisha mengorak langkahnya ke expo jom masuk U. Untuk apa dia datang ke sini dia sendiri tidak pasti. Hanya sekadar melepaskan kebosanan hatinya.

"Jom masuk UM," kata petugas itu.

Apabila mendengar perkataan UM membuatkan Anggun Danisha berasa begitu bersemangat dengan tiba‐tiba. Universiti Malaya adalah tempat bertugas Bunyamin. Sememangnya sejak dari dulu lagi Anggun Danisha cukup bersemangat apabila mendengar apa‐apa sahaja perkara berkaitan dengan Bunyamin.

"Adik bekerja di UM ke?" tanya Anggun Danisha. Bibirnya tersenyum lebar. Seolah‐olah lelaki
yang berada di hadapannya adalah Bunyamin. Lelaki itu mengangguk sambil membalas
senyumannya.

"Adik kenal Dr Bunyamin?" tanya Anggun Danisha. Mana tahu lelaki itu mengenali kekasih
hatinya. Bolehlah dia bertanya sedikit sebanyak tentang lelaki itu.

"Tak pernah dengar nama tu, kak. Mungkin dia fakulti lain. Kenapa kak? Boyfriend akak ke?"
tanya lelaki itu.

"Taklah. Cuma kawan lama," kata Anggun Danisha. Dia malu untuk mengakui hakikat itu kepada lelaki yang tidak diketahui namanya itu.

"Daftarlah belajar di UM. Mungkin selepas ini akak boleh selalu berjumpa dengannya," cadang
lelaki itu.

Mata Anggun Danisha membuntang. Sungguh dia begitu terkejut mendengarkan cadangan lelaki itu.

"Akak dah ada degree la," sangkal Anggun Danisha.

"Kalau macam tu akak sambung master. Boleh pilih Dr Bunyamin sebagai supervisor akak," cadang lelaki itu.

Sekali lagi mata Anggun Danisha terjegil luas. Cadangan yang diberikan cukup bernas sekali. Bibir Anggun Danisha semakin melebar. Malah tatkala ini Anggun Danisha terasa mahu menjerit kesukaan dengan cadangan bernas lelaki itu.

"Kalau akak isi borang hari ini boleh tak esok akak masuk belajar?" tanya Anggun Danisha tanpa sabar.

Lelaki di hadapannya ketawa kuat apabila mendengarkan pertanyaan Anggun Danisha itu.

"Amboi kak. Nampak benar akak tak sabar nak jumpa Dr Bunyamin. Ada apa‐apa ke?" usik lelaki itu. Anggun Danisha hanya ketawa menyembunyikan keterlanjurannya itu. Namun jauh di dasar hati bagaikan ada semangat baru dalam dirinya. Kali ini demi sebuah cinta dia akan kembali memegang gelaran pelajar dan berjuang untuk mendapatkan cintanya kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan