Label

Jumaat, 9 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab24

Pukul lapan pagi. Rumah sunyi sepi sahaja. Semua adik‐adik Adham sudahpun pergi ke sekolah. Adham juga sudah tiada. Sudah ke bengkel uncle Tony, agaknya, teka Aira.

Yang tinggal kini, hanya dia dengan Mahani.

Aira masih bergolek di dalam bilik. Masih belum mahu bangun. Hendak mandi pun malas. Sejuk! Jadi, sengajalah berbaring‐baring di atas tilam kekabu yang nipis itu, tilam yang dikongsi tidur bersama‐sama Gee dan Yani semalam.

Oh, sungguh tidak selesa! Rasa sakit sudah seluruh badannya. Kalaulah dia boleh angkat tilam dari rumah dan bawak ke mari, alangkah baiknya; hati mengomel.

Aira tersengih sendirian. Cuba membayangkan wajah Adham andai itu dilakukannya. Hah, tentu berkerut seribu dahi lelaki itu nanti. Tapi, yang lebih teruk, mulut lelaki itu nanti. Tentu akan mengomel sahaja kerjanya.

"Aira,"

Mendengar suara Mahani memanggilnya, Aira bergegas bangun. Pipi sudah merona merah. Baru menyedari agaknya bahawa dia masih belum mandi lagi.

"Ya, mak cik," sahutnya perlahan.



"Mari sarapan, nak. Mak cik dah beli nasi lemak mak cik Ani. Nasi lemak ni yang paling sedap, Aira. Tentu kamu suka!"

"Kejap ya, mak cik. Aira tak mandi lagi,"

Bagai lipas kudung, dia mengemas bilik. Kemudian dia sibuk memilih baju untuk dipakai selepas mandi nanti. Tergesa‐gesa pula dia turun ke bilik air.

Teringat peristiwa malam tadi. Kali pertama hendak menggunakan bilik air ini. Mula‐mula geli
gelemanlah... Ingatnya, kotor benarlah keadaannya. Kembang tekaknya memikirkan dia terpaksa berkongsi dengan hampir sepuluh orang sedangkan di rumah, dia seorangan sahaja. Tetapi, sebaik masuk, memang terkejut habis!

Kemasan lantai daripada jubin kesat berwarna putih dan ada ruang mandi air pancuran, dua pula, memang tak sangka. Kagum sungguh melihat sinki marmar merah hati yang digunakan sebagai tempat untuk mencuci muka. Dan, lebih kagum lagi... bilik air itu dibina oleh Adham Faiz. Hmm, menambahkan daya tarikan lelaki itu kepadanya. Aduhai...

"Aira dapat tidur malam tadi?" tanya Mahani sebaik Aira duduk di hadapannya, untuk bersarapan.

Aira mengangguk.

"Betul? Tapi mak cik nampak Aira gelisah aje," Mahani cuba memahami anak gadis ini. Dia tahu
Aira tidak dapat tidur. Ketika dia bangun pada pukul empat pagi tadi, dia lihat Aira menyalakan
telefon bimbitnya dan sedang menulis sesuatu. Agaknya diari dia kut!

"Aira okey aje, mak cik," kata Aira sambil laju menikmati nasi lemak yang enak. Ialah, takkan
hendak mengadu pula. Bimbang dituduh tidak bersyukur nanti!

"Aira!!!!"

Ops, suara siapakah yang menggegar daripada bahagian atas rumah itu?

'Aik, itu suara Am. Bukan main tinggi picingnya. Kenapa?' Mahani menggumam.

"Aira!" Adham sudah bercekak pinggang di hadapan pintu tengah. "Masuk bilik tidur awak.
Kemaskan tilam tu dan masukkan ke dalam almari. Sakit mata saya tengok bilik tu bersepah, tahu tak?" marahnya.

Pipi Aira sudah merah. "Siapa suruh awak jenguk bilik saya tu?" Malulah! Beg dia ternganga.

Tentu Adham sudah nampak semua.

"Bilik awak? Helo, ini rumah saya. Bilik tu, bilik Gee. Awak cuma menumpang. Jadi, tolong! Tolong kemaskan semua barang‐barang awak,"

Kecil hati mendengar kata‐kata Adham, Aira terus naik dan bersama jelingan yang tajam, pintu bilik dihempas kuat. Dia tunduk menyusun semua barang‐barang yang tadi bertaburan. Tiba-tiba rasa sedar dirilah pula. Terasa hati dengan perkataan menumpang tadi.

"Kamu ni kan, Am... ada ke patut cakap macam tu pada Aira? Lepas ni minta maaf pada dia,"

"Kenapa?" Adham yang beku, tidak memahami arahan ibunya itu.

Mahani geleng. Lengan Adham dicubit. "Minta maaf sebab kamu cakap dia menumpang kat sini! Mulut tu!! Kasar sungguh bahasa yang kamu guna, ya? Tak sangka, anak mak ni sombong jugak orangnya. Cakap ikut sedap mulut dia aje!" omelnya.

Adham ketawa. "Alah, mak. Dia tak kesah pun,"

Mahani jegil mata. "Ialah tu! Kalau dia menangis, hah jenuh kamu nak pujuk. Baru padan muka!"

Aira keluar lima minit kemudian. Wajahnya muram. Sebaik terpandang Adham, terus semakin
mencuka.

"Dah?" Adham pura‐pura tak nampak muka yang cemberut itu.

"Siap! Nak tengok ke?"

Adham tidak menyahut. Sebaliknya....

"Pak cik Saad dah sampai. Bagi saya kunci kereta awak," dia menghulurkan tangan kanannya.

"Nak buat apa? Kejap lagi saya nak keluar. Nak pergi ke rumah Noli," Aira memberitahu.

"Siapa izinkan awak keluar? Siapa cakap awak boleh bawak kereta tu?" soal Adham dengan wajah yang serius.

"Itu kereta saya! Suka hati sayalah nak bawak," Aira sudah tidak boleh mengawal rasa marah.

Geram pada Adham yang dirasa cuba mengawal pergerakannya.

"Awak di mana sekarang? Tinggal dengan siapa? Ingat awak boleh buat sesuka hati awak saja bila awak jadi tanggung jawab saya?"

Panas hati Aira tak tahu nak cakap. Geramnya tidak terkata. Nampaknya Adham mahu mengawal seluruh hidupnya sekarang. Mana boleh!

Aira berlari turun untuk mendapatkan pak Saad.

“Aira nak pakai kereta?” tanya Pak Saad.

Belum sempat hendak buka mulut, Adham sudah mencelah, “Tak apa, pak Ad. Pak Ad bawaklah kereta tu balik dan simpan. Aira tak perlukannya.”

Terkulat‐kulat Aira memerhati wajah Adham namun lelaki itu berwajah selamba dan berpura-pura
tidak mempedulikan renungan tajam itu. Kira‐kira 15 minit kemudian, pak Saad sudah pun pergi dengan membawa BMW 3 series itu hilang daripada pandangan Aira.

“Kenapa awak suka buat satu‐satu keputusan tanpa tanya kepada saya dulu? Itu kereta saya, tahu! Tentulah saya hendak menggunakannya untuk pergi ke mana‐mana. Yang awak bawak Pak Ad datang sini dan ambil kereta tu, kenapa?” Kemarahan yang membuak‐buak tidak dapat ditahan.

Adham yang ingin pulang semula ke bengkel, memberhentikan langkahnya.‘Dia dah mula,
dah....’ hatinya menggumam.
"Volume suara tu boleh perlahan sikit tak?" tanyanya.
"Kenapa? Malu orang keliling dengar, ya?" Aira tetap dengan suara yang keras.
“Bawak ni ke dapur!” Adham meletakkan dulang berisi gelas minuman pak Ad tadi.
“Tamo!” Aira berdegil. Dirinya tegak macam patung.
Adham Faiz mendekatkan wajahnya ke muka Aira.“Ini bukan rumah agam bapak awak, tahu. Ini
rumah saya. Dan, saya tak mahu semua jiran‐jiran kami ni datang sini tengok awak berkelahi
dengan saya. Kalau awak tak tahu nak jaga maruah awak, awak kena jugak fikirkan maruah
orang lain, okey? Terutama maruah emak saya. Faham?” ujarnya sambil menolak tubuh Aira
supaya berjalan ke arah dapur.
Mahani yang sedang berdiri di pintu dapur menggeleng. Rasa kasihan melihat Aira yang asyik
dimarahi anaknya. Apa yang tidak kena dengan Aira, dia pun tidak mengerti. Gadis itu, pada
pendapatnya, bukanlah seorang yang kasar. Tutur katanya lembut dan tingkahnya beradab.
Namun Adham seolah‐olah mencari kesalahannya. Mengapa?
“Tak kerja ke kamu hari ini Am?” tanya si ibu sambil membalas senyuman Aira yang kini
membasuh pinggan mangkuk di singki.
Adham segera memberitahu, “Kerja, mak. Ni nak pergi baliklah ni. Am balik tadi sebab suruh
Pak Ad, drebar ayah Aira, ambil BMW si Aira ni. Buat apa dibiarkan tersadai kat depan rumah
kita ni, kan?"
"Kenapa? Kenapa kereta saya tak boleh ada kat depan tu?" tanya Aira.
"Nanti jenuh emak saya hendak menjawab soalan‐soalan kawan‐kawan dia, tahu tak?" Adham
naik berang semula.
"Soalan apa?" Aira masih kelabu, tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Adham. Mahani
hanya tersenyum kecil.
"Kereta siapa tu, kak Ani? Kereta Aira? Siapa Aira tu? Anak Tan Sri? Tan Sri mana? Kerja apa?
Kenapa dia duduk di sini? Saudara ke? Adik beradik ke? Bakal menantu ke?" Adham berkata,
mengajuk apa yang dia fikir akan disebut dan ditanya oleh kawan‐kawan emaknya.
"Apa awak mengarut ni?" Malu pula melihat Adham begitu bersahaja menyebut menantu.
Hisy... tapi, best juga kalau dapat jadi...
Suara Mahani mengganggu lamunan.“Kamu ni, Am! Itupun kamu risau, ya? Alah, pandailah
mak menepis semua soalan‐soalan mereka tu nanti. Bukan susah pun!”
Perbualan dua beranak itu mengundang senyum di bibir Aira yang tadinya kelat.
‘Owh... patutlah! Baru aku faham,’ desis di hati. Hai, kenapalah tidak berterus terang. Adham ni
memang, tau! Suka sangat membiarkan aku berteka teki sendiri. Hai...
'Tapi, tak payah tepis patutnya, mak cik. Ngaku aje yang Aira ni menantu mak cik. Aira okey
aje,'
Best nya kalau dapat cakap macam tu pada mak cik Mahani. Tapi, berani ke kau, Aira? Dan
Adham? Mesti mengamuk sakan dia tu! Nanti, kalau dia halau aku, haru!
“Kalau ada kereta, dapatlah jugak Aira pergi jalan‐jalan, Am. Tak adalah dia bosan duduk di
rumah ni,” Mahani menyambung kata.
Adham memandang ke arah Aira. Sebuah senyuman nakal menghiasi bibir. “Alah, mak
suruhlah dia buat kerja. Kemas rumah, sapu sampah, buang sawang kat siling, Lap cermin
tingkap, berus tangga tu, basuh kain... tak sempatlah dia hendak bermenung atau merasa
bosan, mak!” omelnya.
Mahani mencubit paha Adham menyebabkan lelaki itu terjerit kecil.
“Tak baik betul, kamu ni! Aira tu kan tetamu kita?”
“Tetamu berkunjung ke rumah orang selama 3 hari aje, kan, mak? Ini, dia ni nak duduk di sini
selama 2 minggu. Tu dah kira menumpang, tu. Mana boleh dia relaks aje. Nanti gemuk! Tak
comel!” Adham mengusik lagi, kali ini disertakan tawa yang menggoda Aira. Sungguhsungguh
menggoda! Berdebar jantung gadis itu, laju. Bergetar jiwanya, kencang.
‘Arghh, Adham... kenapa sikapmu begini? Kadang begitu bijak berkata, kadang
memperbodohkan diri. Kadang tegas dengan pendirian, kadang boleh dipermainkan. Kadang
gila berbicara, kadang kau buat aku gila. Gilakanmu, owhh.....’
“Mak tengoklah tu! Dah berangan‐angan lagi.” Kata Adham memandang ke arah Aira yang
tenggelam dalam angan‐angannya. Asyik sekali dia memerhati wajah ayu itu. Wajah yang tidak
jemu dipandang. Semakin dipandang semakin manis. Memang manis, desis di hati. Anugerah
Tuhan paling sempurna di matanya. Sejak kali pertama pertemuan, dia memang kagum pada
kecantikan yang Allah berikan kepada gadis ini. Serba‐serbi lengkap. Kesempurnaan yang
memikat hati. Aik, melalut pulak dah....
“Am nak balik bengkel, mak. Dah lama Am keluar ni. Nanti risau pulak uncle Tony.” Katanya
tergesa‐gesa, menolak segala angan‐angan dan harapan menjauh. Bergegas Adham bangun
dan tanpa memandang lagi ke arah Aira, dia terus berlalu.
Mahani menggelengkan kepala, tidak mengerti sikap anak lelakinya sendiri. Sekejap boleh
ketawa dan riang namun dalam sekelip mata, semua hilang. Airakah penyebabnya? Hati tuanya
tegar mengakui. Namun, tentu sahaja Adham lebih tahu mengapa dirinya jadi tidak menentu.
Ya, hanya Adham yang mempunyai jawapannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan