Label

Sabtu, 10 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab20

MIA SALMI mengusap lembut muka ibunya. Selepas dua hari bertarung nyawa di wad ICU, kini Hajjah Kalsom telah dipindahkan ke wad biasa. Biarpun matanya sudah terbuka namun dia masih lagi tidak mampu untuk bersuara. Saat mata tua itu memandang tepat ke arah Mia Salmi, pandangannya nampak sayu. Mulutnya nampak terkumat‐kamit tetapi terlalu sukar untuk menuturkan kata‐kata. Bagaikan ada sesuatu yang ingin disuarakan namun kata‐kata itu tersekat hanya di kerongkong.

Jelas ada air jernih mula mengapung di kelopak mata Hajjah Kalsom. Mia Salmi juga terasa sebak apabila melihat keadaan ibunya itu. Dengan perlahan diambil sekeping kertas tisu lalu menyeka air mata yang mula merembes keluar dari mata ibunya itu. Pelupuk matanya turut terasa panas apabila melihatkan keadaan orang yang amat disayangi itu.

“Mak….sabar ya…..nanti mak akan sembuh seperti sedia kala…..,” keluhnya sendirian.

Tanpa dipaksa, satu ciuman singgah di pipi Hajjah Kalsom. Mia Salmi terasa sangat bersyukur
apabila melihat perubahan yang positif keadaan ibunya. Sayangnya kepada ibunya bukan kepalang. Tidak sanggup rasanya dia mahu meninggalkan ibunya dalam keadaan begitu.

Biarlah tawaran belajar ke salah sebuah pusat pengajian di utara tanah air ditolaknya. Demi kasih dan sayang kepada ibunya, dia sanggup berbuat demikian.



“Mia tak sanggup tengok keadaan mak macam tu…..Mia tak sanggup bang!” luah Mia Salmie
kepada abangnya, Luqman Adzlie sebelum datang melawat ibunya.

“Jangan buat keputusan terburu‐buru Mia…..sabar dulu! Jangan membuat keputusan yang akhirnya merugikan diri sendiri...,” tukas Luqman Adzlie memintas kata Mia Salmi.

“Along sanggup tengok keadaan mak macam itu? Nak harap abah…..dia pun bukan sihat sangat…. selalu sakit‐sakit juga. Mia pun tak sanggup tengok abah macam tu….,”

“Itu Along tahu…..apa kata kalau kita minta Mak Su tolong jagakan mak?” Luqman Adzlie
memberikan cadangan.

Serta merta bayang seorang wanita yang telah mencapai lebih dari satu abad itu muncul di minda Mia Salmi. Hendakkah Mak Su menjaga emak? Satu persoalan terus berlegar di kepalanya. Di wajahnya nampak ada kekeruhan. Ada semacam perasaan tidak yakin tertancap di benaknya.

“Mahukah Mak Su jaga mak?” soal Mia Salmi kembali.

“Mengapa tidak? Along percaya…Mak Su pun tak sanggup kalau lihat keadaan mak….dia pun
bukan orang lain. Dialah satu‐satunya adik mak yang ada….,”

Mia Salmi diam membisu sambil merenung tajam ke muka Luqman Adzlie. Jelas ada riak kecelaruan bercampur sedih sedang bermain di wajahnya. Mindanya turut terusik.

“Kalau Mak Su menolak, macam mana?”

“Kita tak tanya lagi dengan Mak Su…..harap dia setuju,”

“Mia rasa macam tak yakin saja. Hendakkah dia?” sekali lagi Mia Salmi menyuarakan kegusaran
hatinya.

“Mia tak payah nak fikir sangat…..biar Along uruskan masalah ini. Nanti Along pergi jumpa Mak Su untuk tanyakan hal ini,”

Mia Salmi sekali lagi mendenguskan nafasnya. Mengenangkan keadaan ibunya, jiwa kecilnya
kembali tersentuh. Luqman Adzlie amat mengharapkan agar adiknya itu tidak melepaskan peluang belajar yang datang. Dia amat mengharapkan agar Mia Salmi menerima tawaran belajar itu demi masa hadapannya.

“Bila Along nak jumpa Mak Su?”

“Err…nanti petang Along pergi rumah Mak Su. Harap‐harap dia ada di rumahnya..,”

“Habis tu….cuti Along macam mana? Jadi tak balik Kuala Lumpur?”

“Ohh….alhamdulillah….Along dapat tambahan cuti dua hari lagi. Sempat kalau Alomg nak jumpa Mak Su petang nanti. Along pun tak sanggup tengok keadaan mak macam itu….,”

“Mia pun kasihan tengok abah…..kadang‐kadang asyik termenung saja…,”

“Along pun sama….takut kesihatannya terganggu kerana fikirkan penyakit mak. Nanti mulalah
darah tingginya naik. Kalau dua‐dua sakit, kita lagi susah…,”

Mia Salmi hanya mampu berdiam melayan perasaannya. Wajah tua abahnya pula mengimbau
melayang di hadapan mata. Perasaan sedihnya kembali berganda. Teringatkan ibunya, hatinya
tertekan. Mengenangkan abahnya, jiwanya menjadi tidak menentu.

Ketukan di daun pintu di bilik wad yang menempatkan Hajjah Kalsom diketuk bertalu‐talu. Tiba‐tiba sahaja ingatan Mia Salmi kepada abangnya, Luqman Adzlie terhapus. Perbualan yang rancak bermain di mindanya turut terputus. Seorang jururawat datang memeriksa keadaan tekanan darah ibunya. Data yang diambil direkodkan.

“Macam mana dengan keadaan mak saya?” soal Mia Salmi kepada jururawat itu setelah tugas
memeriksa Hajjah Kalsom selesai.

“Err…..saya tak dapat nak bagi jawapan yang pasti. Nanti doktor akan membuat pemeriksaan 
sebentar lagi. Pada pandangan saya, keadaannya semakin stabil,”

“Terima kasih….harap‐harap begitulah…,” Mia Salmi bergantung harap kepada jawapan yang
diberikan oleh jururawat itu.

“Bersabarlah banyak‐banyak dan berdoa agar mak adik akan sembuh seperti sediakala,”

“Alhamdulillah….amin…..,”

Sekali lagi Mia Salmi mengusap perlahan ke muka ibunya. Saat itu ibunya sedang diulit lena. Rasa sayu bagaikan memukul‐mukul dinding hatinya. Namun dia tetap redha dan pasrah dengan nasib yang menimpa ibunya itu. Pastinya ada hikmah tersirat yang tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku.

TERDENGAR daun pintu bilik penginapannya diketuk beberapa kali. Kemudian diiringi dengan
sahutan memberi salam. Manissa bingkas bangun dari katil dan meluru menuju ke muka pintu. Suara itu telah sebati dengan jiwanya. Suara itu pastinya dimiliki oleh Mak Intan.

“Assalamualaikum….,”

“Waalaikummussalam…..kejap Mak Intan….Nissa datang ni…,”

Daun pintu bilik terbuka. Pandangan Manissa terus melekat pada wajah tua Mak Intan yang berdiri tegak di hadapan pintu bilik penginapannya itu. Segaris senyuman turut melekat di bibir wanita itu. Mak Intan segera menghulur satu beg plastic berisi bekas makanan kpada Manissa.

“Apa bendanya ni Mak Intan?” soal Manissa sambil tangan kanannya menyambut huluran daripada Mak Intan.

“Ambillah…pasti Nissa suka!”

Manissa merapatkan bekas makanan itu ke hidungnya. Sambil menghirup aroma makanan itu,
matanya terpejam rapat.

“Errmm…..asam pedas! Suka…memang sukalah Mak Intan!”

Mak Intan ketawa melihat gelagat keanak‐anakan daripada Manissa. Dia tahu lauk asam pedas
merupakan salah satu kegemaran Manissa semasa dia bekerja dengan keluarga anak gadis itu.

“Nasi pun ada tuuu….makanlah. Mak Intan suka sangat kalau Nissa sudi nak makan lauk asam pedas ni…..hehehehe,” ujar Mak Intan bagaikan sudah tahu lauk kegemaran Manissa.

“Yalah…Mak Intan….lama sangat tak makan lauk masakan Mak Intan…..asam pedas pulak tuu…. ermm…rindu sangat‐sangat!”

“Ermmm….Nissa makanlah dulu. Mak Intan ada kerja sikit. Nanti petang kita jumpa lagi,” pinta Mak Intan seraya meninggalkan Manissa yang masih lagi berbunga senyum di bibirnya.

“Jangan tak datang….Nissa tunggu,” balas Manissa semula.

Pandangan Manissa terus menghantar Mak Intan sehingga hilang di sebalik chalet‐chalet yang ada di situ. Matahari semakin meninggi. Cuaca hari itu amat cerah. Dari arah laut angin bertiup agak kencang. Terasa nyaman derunya apabila menyapa ke muka. Manissa meletakkan bungkusan makanan itu di meja kecil yang terletak hampir di sisi katilnya. Sekali lagi cermin besar yang terdapat di dalam bilik itu menjadi perhatiannya.

Sedikit krim disapukan pada telapak tangan sebelum jari‐jarinya mengoles lembut krim itu ke
wajahnya. Terasa dingin pipinya apabila disentuh. Kemudian jarinya menyisir lembut rambutnya yang beralun itu. Memandang tepat seketika ke wajahnya di cermin bagaikan mengundang sebuah keluhan. Ada anak nafas terlerai keras melalui rongga hidung. Hatinya mula berkata‐kata, sampai bilakah dia akan berada di situ? Selagi rajuknya belum sembuh, selagi itulah dia tetap akan berada di situ. Bagaikan ada rasa kebosanan mula melanda tangkai hatinya. Rutin hariannya bagaikan sudah tepu.

“Bosan juga kalau hari‐hari duduk memerap dalam bilik ni!” tukas hatinya.

Keluhan demi keluhan terus menyinggah. Apakah yang hendak dilakukan pada hari itu?

Memang terasa sungguh membosankan. Memandang ke laut lepas melalui jendela biliknya itu sangat mengujakan. Namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan seketika sebab cuaca di luar masih panas lagi. Dia teringin bermain air sebentar di pesisir pantai. Dia cuba membayangkan saat kakinya memijak air laut, terasa‐rasa sejuk di kaki.

“Dekat pantai ini banyak remis tau!” beritahu Mak Intan kepada Manissa semalam petang.

“Remis? Remis itu apa Mak Intan?” soal Manissa kembali.

Mak Intan hanya tersenyum kecil. Di wajah Manissa seperti ada seribu kekalutan. Bagaikan ada
sesuatu yang sedang difikirkan.

“Apa bendanya remis tu Mak Intan?” soalnya sekali lagi menagih jawapan daripada Mak Intan.

“Macam kepah tapi saiznya kecil sikit…,” Mak Intan cuba memberi penerangan.

“Kepah? Apa tuu?” pantas soal Manissa kembali.

Kali ini Mak Intan makin tersenyum lebar. Dia turut menggelengkan kepala beberapa kali. Manissa memandang perempuan tua itu separuh culas.

“Kalau Nissa tahu tak adalah Nissa tanya?” katanya seakan merajuk. “Kalau kerang atau kupang… tahulah,”

“Susah jugak kalau nak cakap kalau Nissa tak tahu. Errm…..apa kata petang esok lepas Mak Intan habis kerja kita cari kepah dan remis itu,” balas Mak Intan lagi.

“Wow…..seronoknya. Mak Intan janji tahu…..esok bawa Nissa cari kepah dan remis,” tukas Manissa pantas.

Mak Intan terus melebar senyumnya. Gembira hatinya apabila Manissa juga di dalan kegembiraan.

“Terima kasih Mak Intan…jangan lupa pulak esok petang!”

“Baiklah Nissa…Mak Intan tak pernah lupa…..hehehe…”

Ingatan terhadap Mak Intan tiba‐tiba hilang apabila bunyi jam di telefon bimbitnya berdering-dering.
Manissa segerakan mematikan bunyi deringan itu. Sudah pukul 5 petang rupanya. Selepas menikmati gulai ikan tenggiri asam pedas tengahari tadi, dia menghabiskan masa membaca sebuah novel yang dibawanya. Bila terasa bosan, diletakkan novel itu di birai katil.

Kalau mahu membacanya kembali akan diambil semula novel itu. Sudah dua hari novel yang dibaca itu masih tidak berubah babnya. Dia bagai dilanda kebosanan yang amat sangat. Entah bila dia terlelap di atas katil pun, Manissa tidak perasan. Bunyi penggera di telefon bimbitnya itu memang mengejutkannya.

Mak Intan sudah berjanji akan menemaninya ke tepi pantai pada petang itu. Dia kini sudah bersiap sedia untuk turun ke pantai. Mengenakan baju blaus longgar dengan sepasang seluar sukan berwarna kelabu. Cermin mata hitam tersisip kemas di atas kepalanya serta sebuah topi berbunga untuk melindungi kepalanya dari panas petang. Sedikit krim pelindung matahari juga disapukan pada kulit tangan serta di wajahnya.

Manissa tertinjau‐tinjau dari beranda chalet kalau‐kalau Mak Intan sudah datang. Namun belum lagi muncul bayang orang tua itu. Jam di tangannya sudah menunjukkan jam 5.15 petang. Lima belas minit sudah berlalu. Dia kembali semul;a ke dalam bilik penginapannya.

“Assalamualaikum….,” terdengar satu suara memberi salam.

Manissa segera mendapatkan suara itu. Dia tahu benar siapakah yang empunya suara yang memberi salam itu.

“Waalaikummussalam……kejap ya Mak Intan…,” balas Manissa dari dalam bilik penginapannya.

Muncul sahaja di pintu, Manissa senyum melebar. Pandangannya terus singgah kea rah tubuh
sederhana tinggi Mak Intan. Pandangannya kemudian singgah ke arah satu lagi wajah yang berdiri sangat hampir dengan Mak Intan. Serta merta senyumnya menjadi hambar.

“Ehhh…ada tetamu rupanya. Nissa ingat Mak Intan datang seorang saja…,” tersipu‐sipu Manissa mengatur kata.

“Nissa…mari Mak Intan kenalkan…..Mia Salmi…anak saudara Mak Intan….,”

“Ohhh…..saya Manissa….salam kenal dari Nissa…..,”

“Salam kenal juga kak dari Mia…,”

Mia Salmi menyambut mesra huluran tangan yang dihulur oleh Manissa. Seketika masing-masing
melemparkan senyuman antara satu sama lain. Sesekali berderai ketawa kecil mengiringi salam perkenalan itu.

“Sebenarnya Mak Intan tak boleh berlama di pantai ini….sebab itulah Mak Intan ajak Mia Salmi
temankan Nissa petang ni. Kebetulan dia lapang petang ni jadi Mak Intan saja ajak untuk temankan Nissa nanti,” beritahu Mak Intan dengan agak panjang lebar.

“Tak apalah Mak Intan…janji ada Mia….boleh jugak temankan Nissa….hehehehe…,”

“Jomlah kita ke pantai…..hari semakin petang neh…,” ujar Mak Intan.

“Ok…jomlah!” balas Manissa bagaikan tidak sabar.

Sambil berjalan menuju ke pantai, mereka bertiga terus bercerita. Sesekali kedengaran ketawa pecah berderai. Bunga‐bunga kegembiraan mula tumbuh mengiringi pertemuan petang itu. Manissa tidak sabar untuk membasahkan kakinya di gigi air. Mia Salmi hanya duduk di pasir pantai yang agak landai. Dia leka memerhatikan Mak Intan yang cuba mengais‐ngais beting pasir yang hampir dengan pantai. Bila penat dia berhenti sebentar.

“Mak Intan buat apa tu?” soal Manissa kehairanan.

“Kalau nak cari kepah….inilah salah satu dari caranya. Kepah selalu ada di dalam beting pasir jadi kenalan kais dengan kaki….macam yang Mak Intan lakukan ni…,” terang Mak Intan lagi.

Manissa mengangguk tanda memahami.

“Nissa pun nak cubalah….macam inikah caranya…..hehehe…..,”

Mak Intan nampak Manissa terkial‐kial mengais beting pasir. Sesekali pecah berderai ketawa mereka berdua. Manissa melambai tangan ke arah Mia Salmi yang masih leka duduk di tepi pantai. Leka bermain pasir pantai yang halus.

“Mia…marilah sini!” jerit Manissa dari kejauhan.

Manissa nampaknya cepat mesra walaupun baru pertama kali bertemu dengan Mia Salmi. Sebaliknya Mia Salmi kelihatan agak malu‐malu apabila berhadapan dengan Manissa.

“Jomlah cepat…..cari kepah dengan kami!” sekali lagi Manissa menjerit.

Mia Salmi bangun dan terus menuju ke arah Mak Intan dan Manissa. Langkahnya perlahan menuju kea rah mereka berdua.

“Ahaa….tengok ni apa yang Mak Intan dapat?” soal Mak Intan sambil mengambil sebiji kepah
yang agak besar di bawah tapak kakinya.
“Ohh….inilah dinamakan kepah…..ermmm…,” ujar Manissa sambil mengambil kepah itu
daripada tangan Mak Intan.
Masa terus berdetik. Bekas plastik yang dibawa sudah separuh berisi kepah yang pelbagai saiz.
Ada yang bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Makin lama makin seronok mereka bertiga
mencari kepah. Manissa juga sangat seronok kerana inilah pengalaman pertamanya mencari
kepah di beting pasir.
“Kalau Nissa nak tahu…yang ini pulak dinamakan remis. Bentuknya agak nipis dan saiznya agak
kecil dari kepah dengan warna seakan kekuningan,” beritahu Mia Salmi.
“Mana Mia dapat remis ni?” soal Manissa semula.
“Tadi masa Mia korek‐korek pasir kat tepi air tu….,” ujar Mia Salmi.
“Ermmm….sekarang Nissa sudah boleh bezakan yang mana satu kepah yang mana satu
remiskan….,” Mak Intan mencelah.
Manissa mengangguk tanda sudah memahami untuk membezakan antara kepah dan remis.
“Mak Intan rasa…cukuplah buat setakat ini. Dah nak hampir senja neh…elok kita balik dulu.
Esok pun kita boleh cari lagi kepah dan remis ni…,” usul Mak Intan kepada Manissa. “Biar Mak
Intan dengan Mia balik dulu…..nanti esok kita jumpa lagi,” tambah Mak Intan.
“Baiklah Mak Intan….tak apalah….Mak Intan dan Mia balik dulu. Sekejap lagi Nissa balik ke
chalet,”
“Jangan lama‐lama sangat…dah nak maghrib ni….,” sela Mak Intan lagi. “Nissa jangan lupa
esok.….datang rumah Mak Intan kita makan sama‐sama. Remis dan kepah ni biar Mak Intan
bawa balik….nanti kita boleh masak sama‐sama,”
“Baiklah Mak Intan….kita jumpa esok…tapi nak pergi macam mana? Bukan Nissa tahu di mana
rumah Mak Intan,”
“Kak Nissa jangan risau…esok Mia datang jemput,” ujar Mia Salmi sambil tersenyum.
“Eloklah tu Mia….Mak Intan pulak tak kerja esok….biar Mak Intan pergi pasar cari lauk….nanti
kita masak apa yang patut untuk tetamu kita ni….,” tambah Mak Intan sambil menjuihkan
mulutnya ke arah Manissa.
“Baiklah Mia…Mak Intan….Nissa tunggu esok. Hati‐hati jalan tuu….,”
“Kamu jangan leka pulak….dah makin gelap ni….assalamualaikum…,”
“Ermm…yelah Mak Intan…insyaAllah. Waalaikummussalam….,”
Manissa membalas selaan Mak Intan dengan segaris senyuman di bibirnya. Kemudian
pandangan terus melekat pada sepasang burung camar yang masih leka bermain air di dada
laut. Sesekali terbang melayah ke udara dan sesekali membenamkan dadanya ke air yang
berombak tenang itu. Tenang juga terasa di hatinya melihatnya damai warna jingga di langit
senja. Panorama yang memukau sukmanya. Cukup indah warna alam ketika diulit senja, desis
hatinya. Buat seketika hilang masalah yang membelenggui dirinya saat itu. Semuanya seakan
hanyut ditelan laut petang yang semakin jingga warna ombaknya.
Berada di chalet Ombak Bidara ini membuatkan dirinya berasa amat tenang sekali. Jiwanya
terasa aman dari kebisingan bunyi deruan enjin kenderaan. Bukan seperti hidup di kota besar
seperti Kuala Lumpur. Bunyi bising di sana sini. Kotanya tidak pernah sunyi. Sentiasa hidup
siang dan malamnya. Tidak seperti di sini, segalanya melapangkan dada. Sesekali kedengaran
suara murai hutan berkicau atau terkukur berbunyi di hujung ranting pohon ketapang
berhampiran, terasa indahnya suasana. Bunyi ombak tidak henti‐henti menderu menghempas
di pantai. Angin petang itu terus menyisir lembut menyapa wajahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan