Label

Selasa, 13 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab23

SUASANA tetap sunyi dan sepi. Hanya kedengaran bunyi kicauan merbah hutan di hujung ranting pokok rambutan yang terletak di hujung halaman rumah tua itu. Manissa masih lagi lena di biliknya. Mia Salmi telah lama pulang ke rumahnya. Mak Intan pula ke belakang rumah sebentar untuk mencabut serumpun dua pokok ubi kayu. Teringin pulak hatinya untuk membuat kuih bingka ubi, salah satu kueh kegemarannya.

“Jangan lupa Maksu…dah masak kuihnya nanti beri Mia sikit tau…,” usik Mia Salmi sebelum
pulang ke rumahnya. Dia suka mengusik Maksunya itu.

“Baiklah…nanti esok Maksu bagi…,” sengih Mak Intan melayan Mia Salmi. “Err….jadi tak kenduri
di rumah Mia hujung minggu ni?”

“InsyaAllah….jadi Maksu cuma belum pasti pukul berapa saja. Maksu jangan lupa pulak,”

“Mana boleh lupa….kalau tak ada Maksu siapa pulak yang nak masak nanti….,”

Mia Salmi melawan senyum dengan Mak Intan. Dia sudah buat keputusan untuk menerima tawaran belajar di Universiti Malaysia Sabah. Jurusan perakaunan menjadi pilihannya. Setelah melihat kesihatan ibunya semakin beransur pulih maka dikuatkan semangatnya untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang tertinggi.



“Syukurlah Mia….akhirnya tercapai juga hajat kamu. Maksu tumpang bangga…,”

“Terima kasih Maksu….nanti Maksu doakan kejayaan untuk Mia….,”

“Doa Maksu sentiasa mengiringi Mia….Mia pasti berjaya…,”

Terharu rasa hati Mia Salmi apabila mendengar kata‐kata Mak Intan. Semakin tidak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke menara gading impiannya itu. Segumpal harapan itu ditanam dalam‐dalam di lekuk sanubarinya.

“Okeylah Mak Su…Mia balik dulu. Nanti sampaikan salam Mia pada kak Nissa…,” tukas Mia Salmi sebelum berlalu meninggalkan ibu saudaranya itu.

“Errrmm…baiklah….hati‐hati jalan tuu…ada lopak air cepat‐cepat elak…,” seloroh Mak Intan
kepada Mia Salmi.

Berderai lagi ketawa mereka berdua. Tanpa mereka sedar, Manissa sudah tercegat berdiri di muka tingkap rumah tengah. Masih terasa kelat di matanya.

“Amboi…seronoknya ketawa! Ada apa‐apakah Mia yang Kak Nissa tak tahu?” tukas Manissa
memecah sepi.

Mia Salmi menoleh ke arah suara yang menegurnya. Agak terkejut juga apabila tiba‐tiba Manissa menegurnya. Matanya kemudian segera menangkap pandangan ke arah Mak Intan. Pandangan mereka bersatu seketika. Ada semacam keraguan mula tumbuh di benaknya. Bimbang hatinya kalau Manissa terdengar bual bicara mereka sebentar tadi.

“Errr…tak ada apa‐apalah Kak Nissa. Kami berborak pasal kueh bingka ubi yang Mak Su nak buat nanti….ada nostalgianya…,” pintas Mia Salmi memberikan jawapan yang mungkin tidak
menimbulkan keraguan di fikiran Manissa.

“Ohhhh….iye ke? Cuba cerita dengan Kak Nissa…nak juga tahu…,”

Mia Salmi menyiku Maksunya. Mak Intan senyum sahaja kerana sudah ada jawapan di benaknya.

“Errmm….nantilah Mak Intan cerita….bukan penting sangat pun…,”

Manissa nampak sebal. Macam tidak puas hati dengan jawapan Mak Intan itu. Mia Salmi
mendapatkan Manissa lalu bersalaman.

“Biar Mia balik dulu kak…..,”

“Dah nak balik….tak sempat nak berbual dengan kamu,”

“Mia dah lama sangat dekat sini….hampir 2 jam…Kak Nissa tidur sakan macam mana nak
bersembang…,”

“Hehehehe….macam letihlah pulak!”

Sempat juga Mia Salmi mengusik Manissa. Mak Intan turut menyorot pandang ke arah Manissa.

“Mia tak jemput Kak Nissa nanti?” soal Mak Intan kepada Mia Salmi.

“Errmm….nasib Maksu ingatkan. Kak Nissa nanti jemput datang rumah Mia hujung minggu ini…. keluarga Mia nak buat sikit kenduri kesyukuran…,”

“Mia nak bertunangkah?” pantas jawab Manissa.

“Hisssh….siapa pulak nak bertunang. Mia muda lagilah kak….siapalah yang sudi dengan Mia ni…. lainlah Kak Nissa….memang cantik….,”

“Cantiklah sangat….habis tu orang tak cantik tak payah kahwin?”

“Kalau dah jodoh tak akan ke manakan kak?” soal Mia Salmi kembali.

“Kalau bukan kenduri nak merisik…kenduri apa pulak Mia?” soal Manissa untuk satu kepastian.

Mia Salmi semakin lebar senyumannya. Macam malu‐malu pun ada untuk menjawab pertanyaan daripada Manissa itu. Mak Intan memerhatikan sahaja gelagat manja anak saudaranya itu.

“Mia nak pergi sambung belajar….kenduri kensyukuran,” Mak Intan mencelah memberi jawapan.

“Ohhhh…..alhamdulillah! Tahniah untuk Mia….,”

“Terima kasih kak….datang nanti tau!”

“InsyaAllah….harap‐harap boleh pergi nanti,”

“Ehhh…janganlah Kak Nissa cakap macam itu….nak pergi mana pulak?”

“Dah lama sangat kat sini….Kuala Lumpur dah lama menanti Kak Nissa….,”

“Ermmm….tinggal terus kat sini….duduk kat rumah Maksu….bolehkan Maksu?”

“Ehhh….apalah tak bolehnya….kalau Nissa sudi…..alhamdulillah,”

“Memang Nissa suka tinggal di kampung ini….tapi Nissa ada tanggungjawab yang lainlah Mak
Intan....,”

Macam ada kesayuan melekat di jiwa Manissa ketika itu. Kecelaruan minda yang dialami sejak akhir‐akhir ini memang menyesakkan dadanya. Fikirannya sering buntu. Kekacauan sering melanda sehinggakan rasa hatinya sering berubah‐ubah. Ada sahaja perkara yang tidak kena dan cepat timbul api kemarahannya.

“Mia sambung belajar kat mana nanti?” soal Manissa cuba mengalih tajuk perbualan.

“UMS…,”

“Sabah!”

Mia Salmi hanya menganggukkan kepala. Dia pun tidak sangka mendapat tawaran belajar di bumi bawah bayu itu. Memang terasa jauh namun demi cita‐cita dia sanggup terbang ke sana.

“Okeylah….Maksu…Kak Nissa….Mia minta diri dulu. Dah petang sangat ni….kesian mak kat
rumah…. Kak Nissa datang nanti tau!”

“Tengoklah nanti…,” kata Manissa ingin menduga perasaan Mia Salmi.

“Nanti Mia merajuk….tak mahu kawan dengan Kak Nissa lagi…,”

“Iyelah….hati‐hati jalan tu….kirim salam dengan keluarga Mia….,”

“InsyaAllah….nanti Mia sampaikan,”

Mia Salmi mula melangkah kemas untuk pulang ke rumahnya. Jarak rumahnya bukanlah jauh sangat. Selang lapan buah rumah, sampailah rumahnya nanti. Mak Intan dan Manissa turut memandang menghantar kepulangan Mia Salmi. Warna siang semakin pudar ditelan mega senja.

“Nissa tidur sini saja malam ni…..boleh temankan Mak Intan…,” pelawa Mak Intan kepada Manissa yang masih tercegat meneman tangga.

“Esok kita boleh pergi chalet sama‐sama…,” sambung Mak Intan lagi.

“Baiklah Mak Intan….Nissa macam tak ada pilihan dah!” tukas Manissa sambil ketawa.

“Jom kita masuk dulu…dah maghrib ni. Lepas solat nanti kita makan sama‐sama….,”

Manissa mengekori Mak Intan dari belakang. Seketika kemudian daun pintu utama ditutup rapat. Warna malam semakin menapak jelas. Bunyi cengkerik dan riang‐riang mula mengisi ruang. Iramanya pecah di mana‐mana.

MALAM selepas waktu maghrib, Luqman bersiap‐siap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Mia Salmi sudah lama menunggu di muka pintu utama. Ada perbincangannya dengan Luqman Adzlie yang belum selesai.

“Iye ke? Manalah Along tahu….ermm perkara dah jadi pun!” Luqman Adzlie melepaskan satu
keluhan.

“Lain kali kenalah hati‐hati….laju sangat bawa kereta tu…,”
“Dia pun kenalah hati‐hati juga….dah tahu ada lopak….cubalah elak‐elakkan….,”
“Betul kata Along tu tapi Along pun kena hati‐hati juga….sama‐sama beringat!”
“Errmm…yang Mia nak sebelahkan perempuan tu kenapa? Macam nak salahkan Along saja…,”
“Mia tak sebelahkan perempuan tu….kesian….habis basah pakaiannya….,”
“Nak buat macam mana….,”
“Cuba kalau Along berada di tempatnya….ermmm…,”
Luqman Adzlie termakan juga cakap adiknya itu. Namun sikap ego lelakinya tetap tidak mahu
mengalah. Ada sahaja jawapan yang akan diberikan. Ada sahaja alasan yang menanti.
“Along dah minta maaf…tapi dia yang sombong!”
“Orang sedang marah…memanglah macam itu. Pandai makan…pandailah basuh pinggan…,”
perli Mia Salmi.
“Tak payahlah Mia nak sibuk‐sibuk pasal perempuan itu….entah mana datangnya kita pun tak
tahu!”
“Mia pun perempuan Along…..ada hati dan perasaan. Walaupun tak kenal….rasa simpati itu
tetap ada. Along saja yang buat‐buat tak faham….sebab itulah Kak Fika selalu merajuk….,”
“Sudah….jangan nak kaitkan dengan Kak Fika pulak…..dia tak ada kena mengena dalam soal ini.
Dia pun kena faham keadaan Along yang sentiasa sibuk…..sentiasa mengejar masa….sentiasa
ke sana ke mari mencari berita….,”
“Tak ada niat Mia nak lukakan hati Along….Mia minta maaf sangat‐sangat! Mia cuma kesiankan
Kak Fika….dia benar‐benar mengharap…benar‐benar sayangkan Along…Mia pun sayang
dengan Kak Fika….,”
Wajah tunangannya, Syafika Aziera kembali mengapung di ruang mata. Seingatnya sudah
hampir seminggu dia tidak menghubungi gadis itu. Kesibukan bertugas bersulam sedikit
masalah keluarganya menjadikan Luqman Adzlie meminggirkan seketika gadis yang bakal
menjadi suri hidupnya nanti.
“Mia harap Along faham….,” sela Mia Salmi memecah sepi yang buntu.
Pandangan Luqman Adzlie tertancap ke arah Mia Salmi. Tajam pandangannya bagai mahu
menikam dada. Mia Salmi terasa kepedihannya.
“Along faham apa maksud Mia….bagilah Along sikit masa. Tak ke mana rajuknya Kak Fika kamu
tu….,”
“Mia harap pun macam itu juga….Mia doakan bahagia untuk Along dan Kak Fika…,”
“Sudahlah tu….Along nak cepat ni….biar Along gerak dulu,”
“Okey….Along hati‐hati memandu….kalau mengantuk rehatlah dulu,”
“Doakan perjalanan Along selamat….insyaAllah,”
Mia Salmi bersalaman dengan Luqman Adzlie. Terasa sayu di hati Mia Salmi di saat abangnya
itu mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
“Along jangan lupa minggu depan…..kalau boleh baliklah awal sikit…,” Mia salmi cuba
mengingatkan kembali majlis kenduri kesyukuran yang akan diadakan hujung minggu depan.
“InsyaAllah….tolong ingatkan Along nanti….takut terlupa…,”
Mia Salmi hanya mengangguk tanda memahami arahan itu. Luqman Adzli mula mengambil
tempat di tempat duduk pemandu. Kunci kereta dipulas. Bunyi enjin kereta memecah sunyi di
halaman. Perlahan‐lahan kereta yang dipandu oleh Luqman Adzlie meluncur pergi. Mia Salmi
sempat melambaikan tangan sebagai tanda perpisahan sementara. Bunyi hon kereta
dibunyikan, kereta Luqman Adzlie semakin meluncur laju sebelum hilang ditelan warna suram
malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan