Label

Selasa, 13 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab28

"Kahwin?"

Pasangan suami isteri yang baru sahaja melabuhkan punggung mereka di atas kerusi, menjerit
serentak.

Aira mengangguk, bagaikan seekor burung belatuk. Wajahnya sungguh ceria. Senyumannya manis terukir pada bibir yang mungil.

"Kamu berdua dah gila!" Tan Sri Fahmi menjerit lantang. Wajah Adham dipandang bagaikan hendak menelan. Sudahlah diri masih terasa kesan daripada perjalanan yang jauh, namun pasangan muda ini seolah‐olah tidak memahami keadaan mereka suami isteri yang keletihan langsung mengkabarkan berita yang memang tidak boleh diterima akal ini.

"Ayah? Gila apa pulak? Kami nak kahwinlah!" Aira menyanggah. Wajah Adham ditatap meminta lelaki muda itu berkata sesuatu namun Adham yang dari awal sudah menegah Aira supaya tidak memberitahu perkara itu terlalu cepat kepada dua orang tuanya, hanya diam.

Tidak kuasa hendak membantu gadis itu. Biar dia rasa, bisiknya di dalam hati.



"Siapa punya idea ni, Am? Aira ke kamu?" celah Puan Sri Idayu. Matanya mencerun memandang wajah Adham. Kemudian pandangannya tertuntas kembali ke wajah anak perempuannya. Kelat di wajah Adham sudah dapat ditelah bahawa ini semua idea Aira Syuhada. Uisy, anak dara tak tahu malu betul, desis hati Puan Sri Idayu.

"Sebenarnya, Tan Sri, Puan Sri,"

Belum sempat Adham hendak menjelaskan, Aira sudah mencelah sambil duduk di sisi lelaki itu.
Wajahnya manis sekali.

Dia berkata, "Mak, ayah, sebenarnya Am ajak Aira kahwin tapi dia nak slow talk dengan emak,
dengan ayah. Cuma, Aira dah terlampau seronok dan sebab tu, Aira tak mahu tunggu masa lain untuk membocorkan rahsia kami berdua ni. We are in love and we wanna get married."

"Awak, boleh tak mulut awak tu diam sekejap? Kan saya dah cakap dengan awak, jangan beritahu sekarang? Mak awak, ayah awak, baru balik dari Jepun, Aira! Jauh tu! Dia orang penat, duduk berjam‐jam dalam kapal terbang. Dah lupa? Tak menyempat‐nyempat awak ni, tahu! Macamlah saya ni nak lari jauh tinggalkan awak. Mulut tu, tak boleh simpan rahsia langsung! Cuba belajar bersabar sikit, boleh tak?" Akhirnya Adham mendapat suara.

Tentu sahaja Adham Faiz sudah panas hati dengan sikap Aira. Gadis ini masih dengan sikap 
menonongnya sahaja. Hendak buat apa‐apa, tidak pernah mahu berfikir. Mujur dia masih mampu bercakap dalam nada yang terkawal. Maklumlah, kalau ditengking karang, merajuk pulak anak dara Tan Sri Fahmi tu. Kalau Aira merajuk, siapakah yang akan terseksa jiwa raga nanti? Dia jugak! Keluh Adham.

Namun ketegasan perlu kerana dia tidak mahu kedua‐dua bakal ibu dan ayah mertuanya ini salah faham terhadap dirinya. Dia tidak mahu mereka menuduh dirinya mengambil kesempatan.

Wajah Aira ditatap lembut. Sambil tersenyum dia menyuruh, "Sekarang ni, boleh tak kalau awak pergi buatkan air? Dah lama Tan Sri dengan Puan Sri balik, air pun awak belum hidangkan lagi. Jangan lupa, tolong hidangkan sekali kuih yang emak saya bekalkan tadi. Boleh pergi ke dapur sekarang, cik Aira Syuhada?"

"Tapi,"

Kali ini, Adham sudah menjegilkan mata kepada gadis itu. Melihatnya, Aira terus menikus. Tetapi sempat lagi menjuihkan bibir lalu menjeling lelaki itu sambil kaki diatur ke dapur. Rungutannya jelas kedengaran di telinga ibu dan ayah yang kelihatan terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Terkejut melihat betapa patuhnya Aira dengan perintah Adham. Apakah tempoh dua minggu itu berjaya menambahbaik kelakuan Aira, anak mereka?

Adham menelan liur. Buah halkumnya bergerak‐gerak. Walaupun dia seorang yang tegas dan
berpendirian, namun sikapnya tadi agak kasar terhadap Aira. Dia bimbang pula kalau‐kalau pasangan yang di hadapannya ini menganggap dirinya seorang kaki buli.

Suasana sepi seketika. Tan Sri seperti sedang berfikir‐fikir. Puan Sri pula sedang menjawab panggilan telefon daripada seseorang. Mungkin ada pesakit yang memerlukan rawatan wanita itu, kut, fikir Adham.

"Saya tak suka kamu ajak Aira kahwin sekarang, Am."

Keras suara Tan Sri kedengaran di ruang tamu yang hening tadi.

"Am, kamu pun tahu umur Aira tu belum 20 tahun, kan? Keputusan STPM pun belum keluar lagi. Kami, kalau boleh, nak tengok dia masuk universiti, belajar jurusan yang dia pilih dan berjaya mendapat ijazah, sekurang‐kurangnya," Puan Sri menyampuk. Menyuarakan harapan semua ibu bapa terhadap anak‐anak yang masih terlalu muda. Anak‐anak yang masih mentah dalam membuat keputusan.

"Saya faham, Tan Sri, Puan Sri," Adham membalas, tenang.

"Habis tu, kenapa kamu ajak Aira kahwin? Ke, ini semua idea anak dara saya yang gelojoh tu?" soal Tan Sri sambil tergelak‐gelak, menghilangkan sedikit resah yang melanda jiwa kacau Adham.

"Maaf, Tan Sri, Puan Sri. Sebenarnya, ini idea saya. Saya yang lamar Aira hari tu. Saya, saya
memang ingin berkahwin dengan dia," tulus Adham Faiz mengaku. Tidak peduli andai diri dimarahi.

"What? Eh, silap. Apa? Kamu yang ajak? Tapi, kenapa?" Puan Sri Idayu bertanya. Wajahnya sudah berubah rona. Marahlah tu!

"Saya rasa, saya mampu menjadi suami Aira, Puan Sri. Saya rasa, usia Aira yang muda, bukan
penghalang. Saya berjanji, akan izinkan dia menyambung pelajaran di universiti nanti. Maaf, kerana saya tak sedar diri. Kedudukan Tan Sri dan Puan Sri tak saya peduli. Tapi, saya rasa, saya mampu menanggung hidup Aira. Saya sayangkan dia. Saya akan berusaha keras untuk menyara hidup dia,"

"Cop! Cop! Kamu tahu tak, yang kamu sedang buat saya dengan suami saya marah? Adham, selama ni, saya hormat kamu. Saya suka kamu. Malah, saya izinkan kamu kawan dengan Aira. Tapi, janganlah pijak kepala kami. Jangan ambil kesempatan atas kebaikan kami selama ni!"

Nyaring Puan Sri Idayu melontar suara. Tiada lagi ketenangan yang selalu dimilikinya.

"Puan Sri,"

"Diam! Kamu tak payah cakap apa‐apa lagi! Sekarang, kamu pulak dengar apa saya nak cakap!"

Adham Faiz yang selama ini sangat tegas, kalah dengan sikap ibu Aira. Terkulat‐kulat dia hari ini, memandang wajah cantik di hadapannya.

"Cinta kamu pada Aira tak akan mengubah siapa kamu, Am. Kamu dengan Aira daripada dua
keluarga yang berbeza. Kamu tu, tak ada jaminan kerja. Sekadar jual burger tu, mekap Aira pun tak mampu kamu nak beli, tau! Gaji kamu sebagai mekanik tu pula, cukup ke? Mana nak tanggung keluarga besar kamu lagi, mana nak tanggung Aira lagi. Haih, ada hati nak kahwin tu? Kamu ni, kan? Tak fikir dulu ke sebelum melamar anak dara saya, Am?"

Adham sudah tidak senang duduk. Terpampang jelas wajahnya penuh kerisauan.

"Nanti, lepas korang kahwin, Aira tu nak duduk kat mana? Nak tinggal di rumah buruk kamu ke? Atau, kamu nak menumpang senang? Nak tinggal di sini pulak?"

Adham terus bangun. Sepasang matanya berkaca. Alasan demi alasan yang meniti bibir Puan Sri Idayu, menyedarkan dirinya. Kenyataan yang diungkap, adalah sesuatu yang dia sudah terlepas pandang.

Aduhai, selama Aira tinggal bersamanya dua minggu ini, dia hanya memikirkan cintanya kepada gadis itu. Dia lupa untuk memikirkan apakah cintanya itu cukup untuk membahagiakan Aira yang selama ini hidup serba mewah.

Cinta membuat dia terlupa. Cinta membuat dia buta. Buta menilai diri sendiri.

Dia menyangka, Tan Sri Fahmi dan Puan Sri Idayu berbeza daripada orang‐orang kaya lainnya.
Namun sekali lagi, dia tersilap. Orang kaya semua sama! Status mereka tetap perlu dijaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan