Label

Selasa, 13 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab20

“Selepas kematian arwah ibu… Ayah terus berubah sikap.”

Air mata kian menghujani wajah Dalila.

“Sabar Dalila… Akak tak nak Dalila tertekan. Tak baik untuk…”

Hampir sahaja aku terlepas cakap tentang keadaan dirinya.

“Untuk kandungan Dalila kan?”

Membulat mataku.

“Dalila tahu yang Dalila mengandung?”

Perlahan gadis di hadapanku ini menganggukkan kepalanya. Hujan air matanya kian lebat. Simpatiku terhadap keadaan dirinya kian hebat.

“Macam mana Dalila boleh tahu yang Dalila mengandung?”

Perlahan aku bertanya danku usap lembut bahunya.



“Sebenarnya kak… Ini bukan kali pertama Dalila mengandungkan anak lelaki jahanam tu! Masuk ni dah empat kali.”

“Astaghfirullahal azhim.”

Terusku bawa Dalila ke dalam pelukanku. Tangisan gadis malang ini kian bermaharajalela. Terenjut‐enjut bahu Dalila menangisi nasibnya.

“Sabar Dalila. Sabar…”

“Semenjak ibu meninggal dunia, kehidupan Dalila adik beradik menjadi kelam. Ayah berubah
sepenuhnya… Ayah pernah katakan yang dia dah tak percayakan kewujudan Tuhan. Sebab… Sebab Tuhan lah ibu Dalila meninggal dunia. Al‐Quran, sejadah dan telekung habis dibakarnya. Bila ayah dengar kami adik beradik baca doa, kami akan diherdik. Ayah benci bila kami ucapkan kata syukur. Dalila ingatkan ayah akan berubah kembali seiring dengan waktu yang berlalu… Tapi sangkaan Dalila meleset sama sekali. Malam tu… Malam yang benar‐benar sial buat Dalila. Dalila takkan lupakan malam jahanam tu! Sebab malam itulah, Dalila dirogol oleh binatang tu…”

“Astagfirullahal azhim. Ya Allah, besarnya dugaan yang telah Kau kirimkan kepada insan kerdil ini.”

Sedang hatiku merintih pada Yang Maha Esa, tanganku pula kian mengeratkan pelukanku.

“Ayah pulang dalam keadaan mabuk malam tu. Bila Dalila bukakan pintu untuk ayah…”

Luahan rasa terhenti. Tangisannya sudah bertukar menjadi tsunami dan aku juga sudah tewas dengan perasaan sendiri.

“Sabar Dalila. Kalau Dalila tak sanggup nak teruskan… Tak apa. Kita masih ada banyak masa lagi.”

Pujukku.

“Tak! Dalila nak luahkan semuanya. Dalila dah tak sanggup nak simpan semua ini seorang diri.”

Dalila melepaskan dirinya dari pelukanku. Wajahnya ditundukkan ke bawah sebelum mulutnya
terbuka untuk meneruskan bicara.

“Bila Dalila bukakan pintu untuk ayah… Ayah angkat badan Dalila dan terus bawa Dalila ke dalam bilik dan waktu itulah ayah memanggil Dalila dengan nama ibu. Dalila menjerit‐jerit mengatakan yang Dalila ini adalah anak dia dan bukannya arwah ibu. Tapi ayah tak pedulikan semua tu. Ayah… Ayah rentap baju Dalila sampai koyak dan waktu itulah…”

Tangisan gadis malang ini menggila kembali. Aku memaut bahunya dan menggenggamnya erat.

“Dan waktu itulah lelaki jahanam itu ‘mengotori’ tubuh Dalila! Dia rogol anaknya sendiri! Malam itu malam yang begitu sial! Dalila benci malam tu. Dalila benci!”

“Sabar Dalila. Sabar ya.”

Aku masih berusaha memujuk. Namun pujukanku itu langsung tidak diendahkannya. Aku tahu gadis malang ini masih ada rahsia yang ingin dikongsikan denganku. Agak lama tangisanku dan tangisannya bersatu.

“Dalila ingatkan itulah kali terakhir Dalila diperlakukan seperti binatang oleh ayah kandung Dalila sendiri. Tapi, sangkaan Dalila ternyata tidak tepat kerana malam itu sebenarnya merupakan permulaan kepada episod hitam hidup Dalila. Bertahun‐tahun lamanya Dalila menjadi pemuas nafsu syaitan tu. Setiap kali Dalila melawan, sepak terajang akan mengenai tubuh Dalila dan lelaki tak guna itu juga akan mengugut Dalila…”

“Dia ugut apa?”

“Lelaki sial tu kata… Kalau Dalila tak nak serahkan diri untuk menjadi pemuas nafsunya… Dia akan jadikan adik‐adik Dalila sebagai mangsa barunya. Dalila tak sanggup kak. Tak sanggup nak biarkan adik‐adik Dalila menerima nasib malang seperti Dalila. Cukuplah Dalila seorang yang terpaksa menghadapi semua ni. Dalila takkan biarkan adik‐adik Dalila menerima kehidupan yang gelap seperti Dalila. Dalila takkan biarkan! Dan disebabkan itulah, Dalila pernah mengandungkan anak lelaki jahanam itu. Masuk kali ini sudah empat kali Dalila mengandung. Ketiga‐tiga kandungan sebelum ini terpaksa Dalila gugurkan atas desakan lelaki sial tu! Tapi, kali ini Dalila takkan biarkan anak yang tidak bersalah ini menerima nasib yang sama. Sebenarnya kak… Sebelum Dalila ke sini Dalila sudah tahu yang Dalila mengandung. Selain adik‐adik Dalila, kandungan ini juga merupakan antara penyebab utama mengapa Dalila nekad untuk memperjuangkan sebuah kebenaran dan mengeluarkan Dalila dari kegelapan yang telah dicipta oleh ayah kandung Dalila sendiri.”

“Ya Allah… Memang benar Engkau lebih mengetahui sesuatu berbanding hamba‐hambaMu. Kau kirimkan sebuah dugaan kepada insan yang begitu tabah dan cekal hatinya. Memang hebat aturanMu Ya Allah.”

Rintihan itu hanya bergema di hati kerana esak tangisku yang bersatu dengan esakan Dalila
memustahilkan untukku mengungkapkan semua itu. Agak lama kami berkeadaan sebegitu sebelum ketenangan dapatku curi sedikit. Berbekalkan ketenangan yang sedikit itulah aku menuturkan permulaan kepada sebuah kenyataan yangku harapkan mampu memberikan sedikit kegembiraan kepada gadis yang masih mengalirkan air matanya ini.

“Dalila… Pagi tadi akak bertemu dengan Inspektor Alvin Yee. Menurut Inspektor, ayah Dalila sudah berjaya ditangkap.”

Membulat mata Dalila. Kini pandangannya benar‐benar tertumpu ke arahku. Air mata yang masih tegar mengalir dikesat dengan hujung baju kurungnya.

“Betul ke kak?”

“Betul.”

Jawapan berserta anggukanku berikan.

“Habis tu adik‐adik Dalila siapa yang jaga?”

“Pihak berkuasa sudah menyerahkan adik‐adik Dalila ke sebuah pusat perlindungan buat sementara waktu. Tapi, mungkin tak lama mereka berada di situ.”

“Kenapa? Mereka semua tak boleh terus berada di situ ke? Habis tu dekat mana lagi adik‐adik Dalila boleh tinggal.”

Aku tersenyum. Mulia sungguh insan di hadapanku ini. Sudahlah dirinya dianiaya oleh ayah
kandungnya sendiri dan kini tanggungjawab terhadap adik‐adiknya juga diletakkan di bahunya.

“Bukan. Bukannya adik‐adik Dalila tak boleh duduk di pusat perlindungan tu. Tapi, akak tak nak
adik‐adik Dalila tu terpisah dengan Dalila.”

“Maksud akak?”

“Macam ni. Selepas berjumpa dengan Inspektor Alvin Yee, akak pergi ke Pusat Perlidungan Sinar Khoofiiroh. Dalila pernah dengan tentang pusat perlindungan ni?”

Gelenganku terima.

“Sebenarnya empunya Pusat Perlindungan Sinar Khoofiiroh ini adalah Ustazah Halawah atau lebih dikenali sebagai umi oleh para penghuni pusat perlindungannya. Umi menyediakan Pusat
Perlindungan Sinar Khoofiiroh ini untuk memberikan perlindungan dan tempat berteduh kepada mangsa‐mangsa dera dan rogol, kepada ibu‐ibu tunggal, kepada gadis‐gadis yang sudah terlanjur sehingga membenihkan anak luar nikah dan juga kepada kanak‐kanak malang yang telah ditinggalkan oleh ibu bapa mereka semenjak mereka masih bayi lagi.”

Dalila memandang tepat ke arahku sebagai petanda yang dia berminta dengan topik perbualanku.

“Apabila akak menceritakan tentang nasib malang yang telah menimpa Dalila… Terus umi bersetuju untuk menjadikan Dalila sebagai penghuni baru pusat perlindungannya. Malahan dengan senang hati umi menerima kedua‐dua adik perempuan Dalila untuk turut sama mendapatkan perlindungan di sana. Sebab itulah adik‐adik Dalila tidak akan tinggal lama di pusat perlindungan sekarang.”

“Betul ke kak?”

“Betul Dalila.”

Terus tubuhku dipeluknya erat. Terdengar esakan kesyukuran daripada Dalila.

“Bila Dalila boleh tinggal di sana dengan adik‐adik Dalila?”

“Esok.”

Sepantas kilat pelukan terlerai. Ditenungnya wajahku untuk mencari kepastian.

“Dalila tak percaya?”

“Bukan tak percaya. Tapi… Tak sangka semudah ini Allah memberikan jalan untuk menyatukan
kembali Dalila dengan adik‐adik Dalila. Dalila rindukan mereka.”

“Akak tahu. Akak janji. Besok, sebelum ke tempat kerja… Akak akan uruskan hal Dalila dengan
adik‐adik Dalila. Tapi, untuk malam ni boleh Dalila lakukan sesuatu untuk akak?”

“Apa dia?”

Laju Dalila bertanya.

“Akak nak… Akak nak Dalila temankan akak tidur malam ni. Akak tak pernah merasai kasih sayang seorang adik. Tapi, semenjak bertemu dengan Dalila… Segala‐galanya berubah. Allah pertemukan akak dengan seorang adik yang tabah. Seorang adik yang cekal. Selama ni, akak fikirkan akaklah insan yang paling hebat diduga. Ternyata sangkaan itu meleset sama sekali. Dalila telah mengubah persepsi akak.”

Sekali lagi tubuhku kembali bertaut dengan tubuh gadis yang sudahpun mengalirkan semula air matanya. Aku turut sama mengalirkan air jernih itu.

Kalaulah Dalila tahu akan status diriku, akankah bertambah kasih sayangnya terhadap anak yang sedang dikandungkannya itu? Dan andailah ibu kandungku mempunyai kemuliaan seperti gadis malang ini pasti sehingga ke saat ini aku tidak perlu tercari‐cari siapakah gerangannya yang telah melahirkan aku ke dunia ini.

“Saya ingat awak tak datang hari ni.”

Aku mengurutkan dada. Terkejut diri disapa.

“Dr… Saya ingat siapa tadi.”

Perlahan Dr. Adiib mengambil tempat di sebelahku.

“Saya ingat awak tak datang hari ni.”

Kenyataan yang sama diulang.

“Saya datang. Cuma ada hal sikit. Tu yang masuk half day tu.”

“Hal apa?”

Serta merta riak kurang senang mendengar soalan ituku pamerkan.

“Maaf. Saya tak patut tanya soalan tu.”

“Tak apa.”

Jawabku sepatah. Suasana sepi seketika sebelum Dr. Adiib mengemukakan pertanyaannya semula.

“Awak makan biskut je?”

“Haah. Saya tak sempat nak ambil lunch tadi.”

“Kenapa? Banyak urusan ke tadi?”

Sekali lagi diriku berasa sedikit kurang selesa dihujani dengan soalan‐soalan yang berlainan bentuk pertanyaannya tetapi tetap sama akan maknanya.

“Kenapalah dia ni menyebuk sangat.”

Getus hatiku.

“Balkis. Awak okey ke?”

“Ha? Saya? Saya okey. Kenapa?”

“Tak adalah. Tadi saya nampak awak macam termenung je. Awak betul‐betul okey ke? Dah sihat?”

“Alhamdulillah. Better.”
“Balkis…”
Perlahan namaku disebut. Cepat sahaja aku mengalihkan pandanganku ke arah sepasang mata
milik Dr. Adiib. Ada kelembutan yang menyapa diriku saat mata kami bertembung. Pandangan
lelaki itu bagaikan ingin meluahkan sesuatu. Apakah dia agaknya?
“Kenapa Dr.?”
“Saya… Saya betul‐betul risaukan keadaan awak semalam. Bila Dr. Karim kata yang awak tak
berapa sihat, hati saya terus menjadi tidak tenteram.”
Terkaku aku. Tidakku sangka, luahan itulah sebenarnya yang ingin diceritakan oleh pandangan
matanya yang lembut itu. Aku tertunduk. Terasa sedikit getaran sedang meresahkan hatiku.
“Balkis…”
Aku masih seperti tadi. Tertunduk dan terdiam.
“Balkis. Betul ke awak tak ada masalah lain?”
Ku anggukkan kepalaku yang masih tertunduk.
“Kalau macam tu, lega sikit hati saya ni. Demam awak pun dah kebahkan?”
“Saya dah sihat sepenuhnya. Jangan risau.”
“Baiklah. Awak teruskanlah makan biskut tu. Nanti kalau dah sejuk air Coklat tu tak sedap
pulak. Saya minta diri dulu ya. Ada kerja sikit.”
Serentak dengan itu terdengar kerusi ditarik keluar sebelum dimasukkan semula. Derapan kaki
yang melangkah kian menghilang. Setelah yakin yang lelaki itu tidak lagi berada berdekatan
denganku, aku pantas menegakkan semula kepalaku yang tertunduk. Hembusan nafas terasa
berat. Debaran yang tadinya sedang enak berirama masih ada sisanya. Hilang sudah rasa lapar
yang tadinya melolong‐lolong minta disenyapkan. Kepala yang tidak sakitku picit perlahan.
“Apa sebenarnya yang dia mahukan daripada aku? Kenapa sikapnya benar‐benar sudah
berubah? Dulu panggil aku Dr. Balkis. Sekarang ni, saya‐awak. Kenapa agaknya dia berubah
laku sampai macam ni sekali? Siap ambil berat sangat‐sangat pada aku ni kenapa?”
Persoalan yang sedang bergema di hati kian merunsingkan fikiranku.
Dari jauh Adiib memerhatikan gelagat Balkis. Senyuman yang tadinya hanya sedikit, kini kian
melebar saat melihat wanita yang sudah berjaya mencuri perhatiannya itu sedang serius
memandang ke hadapan persis seseorang yang sedang memikirkan sesuatu perkara. Biarpun
wajah Balkis terlihat serius, namun kecantikan masih tetap jua menyerlah menjadikan wajah
bersih itu sempurna di mata Adiib.
“Kan bagus kalau dia sedang fikirkan aku saat ini.”
Bisik hati Adiib.
Seorang wanita berkebaya pendek dan berpotongan moden sedang memeluk erat lengan
seorang lelaki. Lelaki itu tersenyum bahagia manakala wanita itu pula tersenyum manja dan
sengaja kepalanya dilentokkan di bahu lelaki itu. Cantik dan kacak, itulah kombinasi yang
menjadikan pasangan ini sering menjadi tumpuan dan bahan bualan para pelajar malahan
juga para pensyarah suatu ketika dahulu. Tetapi kini segalanya sudah berubah. Wanita itu
sudah sah menjadi isteri kepada lelaki yang bergelar jutawan di luar sana dan si jejaka pula
masih menjerut rasa sehingga hampir sahaja dirinya tersungkur akibat kesengsaraan serta
penderitaan yang telah ditinggalkan oleh kekasihnya itu.
Sekali lagi air mata Adiib mengalir dan menitis mengenai kepingan gambar di tangannya.
Masih terasa kepedihan akibat ditinggalkan Amira. Amira, wanita yang dikenalinya sewaktu
melangkah ke pusat pengajian suatu waktu dahulu telah berjaya mencuri dan mengunci
hatinya. Segala rasa kasih dan cintanya hanyalah untuk Amira. Biar berkali ganda wanita cantik
yang hadir di dalam hidupnya, ternyata kasihnya tidak pernah berubah dan disebabkan itulah
dia telah mengikat Dalila sebagai tunangnya. Segala perancangan berjalan dengan lancar
sehinggalah Amira melangkah ke alam pekerjaan… Insan kesayangannya itu berubah sekelip
mata. Daripada seorang yang manja, Amira bertukar menjadi kasar dan cengel. Tiada lagi
ungkapan cinta dan kasih saat mereka bertemu. Tiada lagi senyuman diberikan sewaktu
mereka bertembung dan tiada lagi rasa cinta untuknya di hati Amira sewaktu wanita itu
memutuskan tali pertunangan mereka.
Pada saat wanita itu dinikahi lelaki lain, dunia Adiib terasa bagaikan berhenti berputar.
Segalanya kelam dan gelap. Tiada daya untuknya meneruskan kehidupan dan akibatnya dia
terpaksa pergi jauh dari Negeri Perlis kerana di situlah juga insan kesayangannya menetap
bersama lelaki yang telah merampas kebahagiaannya. Berhenti kerja dan terpaksa keluar dari
kampung halaman neneknya harus dilakukan agar luka yang sudah membesar di hatinya tidak
terus membengkak dan bernanah. Sebelum segalanya menjadi parah biarlah dia berundur.
Imbauan melayang kepada rakan baiknya, Fikri. Lelaki itu sudah berbuih mulutnya menasihati
dirinya agar menjauhi Amira. Menurut Fikri, Amira bukanlah seorang wanita yang boleh
dijadikan sebagai seorang isteri. Tiada kesetiaan dan kejujuran dalam diri wanita itu, yang ada
hanyalah kecantikan. Kecantikan andai tidak diiringi dengan keikhlasan menyintai seseorang,
maka tiada indahnya cinta dan tiada kekalnya bahagia. Namun, segala teguran dan nasihat
hanya dipandang sipi oleh Adiib. Baginya segala apa yang diceritakan oleh Fikri adalah sekadar
pendapat rakan baiknya itu sahaja, tetapi dirinya sebagai kekasih Amira lah yang lebih
mengetahui siapakah Amira yang sebenarnya. Dan kerana kebodohan tafsirannya itu, Adiib
akhirnya tersungkur dalam mengejar cintanya.
“Kalaulah, aku dengar cakap Fikri.”
Kian laju air mata Adiib mengalir. Gambar insan yang pernah bermukim di hatinya itu
diletakkan di atas meja kecil bersebelahan katilnya. Adiib menyandarkan semula tubuhnya ke
kepala katil dan memeluk erat bantal yang sering menjadi teman tangisnya.
“Kalaulah, aku dengar cakap Fikri.”
Sekali lagi ayat itu diulang sebut dan matanya ditutup rapat. Air mata yang mengalir tidak
diendahkan. Andai kebiasaannya pasti wajah Amira yang akan memenuhi ruang gelap itu…
tetapi tidak kali ini. Cepat‐cepat Adiib membuka matanya dan sandaran tubuhnya sudah
ditegakkan. Diletakkan jari jemarinya ke dada. Terasa debaran yang kian kuat bergendang di
sana. Bagikan sedang meraikan wajah yang hadir sewaktu matanya terpejam sebentar tadi.
“Kenapa? Kenapa wajahnya yang menjelma?”
Persoalan di hati menambahkan getaran di jiwanya. Bantal yang dipeluk kian dieratkan ke
dada, harapan Adiib biarlah debaran itu tidak terkesan oleh hatinya. Namun ternyata usahanya
sia‐sia belaka. Dadanya masih berdebar kuat dan jiwanya juga masih bergetar hebat.
“Kenapa bukan Amira yang menjelma? Kenapa dia pula yang hadir?”
Persoalan diutarakan pula secara lisan. Otak dikerahkan untuk mencari jawapan dan minda
pula sudah terbang mengingati seraut wajah bersih dan tenang yang telah berjaya mencuri
perhatian Adiib sejak kebelakangan ini. Kecantikan, kepintaran, kelembutan dan keikhlasan
wanita itu dicantum untuk mencari kesempurnaan dan ternyata wanita itu begitu sempurna
dipandangan mata Adiib saat ini. Kesedihan yang tadinya menyinggah sudah terusir pergi.
Senyuman pula mengambil ganti sebagai petanda gembiranya hati.
“Betul ke yang aku dah jatuh cinta pada dia? Betul ke yang aku sudah jatuh cinta pada Balkis?!”
Keraguan di hati sudah disahkan jawapannya melalui senyuman yang kian mekar di bibir Adiib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan