Label

Ahad, 18 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab28

BERITA kematian Cindy amat menggemparkan. Manissa terkejut apabila menonton siaran berita pagi tadi. Dia bagaikan tidak percaya nasib malang yang menimpa sahabat baiknya itu. Tidak terfikir olehnya kematian Cindy begitu tragis sekali. Antara percaya dengan tidak, jiwanya mula diapit resah yang panjang.

Manissa tidak senang duduk. Apa yang ingin dilakukan hari itu semuanya tidak menjadi. Di
fikirannya tetap bermain‐main tentang tragedi itu. Baru semalam dia terkenangkan Cindy. Namun hari ini berita kematiannya benar‐benar mencuit perasaannya. Luluh hatinya, remuk redam jiwa dan raga. Anggota badannya terasa lemah apabila melihat sekujur tubuh Cindy yang kaku diusung oleh beberapa orang anggota polis ke dalam trak. Mayat Cindy kemudian dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Mak Intan baru sahaja selesai mengemop lantai di ruang serambi. Dia yang duduk tidak jauh dari situ turut berasa hairan apabila melihat kelakuan pelik daripada Manissa. Sekejap berdiri, sekejap bergerak ke tingkap. Kemudian kembali duduk di sofa. Muka anak gadis itu bagaikan tidak keruan. Seolah‐olah sedang dilanda masalah. Mak Intan menghampiri Manissa.

“Nissa tak sihatkah?”

Tersentak Manissa apabila ditegur secara tiba‐tiba oleh Mak Intan. Memang dia serba salah untuk menjawab soalan itu. Terasa berat mulutnya untuk terbuka. Mengingatkan peristiwa malang yang menimpa Cindy, semakin kalut pula fikirannya. Dia memang benar‐benar terkejut. Terkesima dengan peristiwa yang telah berlaku.



“Mengapa ni Nissa? Cuba beritahu Mak Intan…mana tahu Mak Intan boleh tolong,” sekali lagi Mak Intan bertanya.

“Errr…tak ada apa‐apalah Mak Intan. Nissa rasa macam tak sedap badan. Rasa macam nak demam.”

Tanpa disuruh, naluri keibuan Mak Intan begitu simpati dengan Manissa ketika itu. Tangan kanannya pantas menyeka ke dahi anak gadis itu. Jika terasa panas, mungkin betul apa yang telah dikatakan oleh Manissa itu tadi. Wajahnya nampak berkerut.

“Betulkah Nissa demam? Tak rasa panas pun. Biasa‐biasanya saja.”

“Nissa tak kata Nissa demam tapi macam nak demam. Badan Nissa macam tak tentu rasa saja.”

“Errmm….mungkinlah nak demam tu. Nissa penat agaknya…apa kata Nissa rehat dulu,” jawab Mak Intan sambil memandang tepat ke muka Manissa.

Manissa paksakan satu senyuman buat Mak Intan. Walaupun hambar, itu yang mampu diberikan dalam keadaan dirinya yang serba tidak kena itu. Kalau boleh, dia tidak mahu wanita itu tahu apa yang sedang difikirkan. Biarlah menjadi rahsia buat dirinya. Kalau wanita itu tahu sekalipun, apa yang boleh dilakukan? Keadaan tetap tidak akan berubah. Cindy tetap telah pergi buat selama‐lamanya. Dan tidak akan kembali lagi.

“Biar Mak Intan ke dapur dulu. Nanti kering pulak air di atas dapur tu.”

“Iyelah Mak Intan. Jangan risau, Nissa tak apa‐apa.”

“Nasi lemak pun dah siap tu … nanti kita sarapan sama‐sama.”

“Baiklah Mak Intan, kejap lagi saya ke dapur.”

“Oh ya….nanti Nissa tolong angkatkan air mop kat depan serambi tu…tak larat Mak Intan nak
mengangkatnya.”

“Baiklah Mak Intan. Kejap lagi Nissa angkat ke dapur.”

Terasa sedikit kelegaan apabila Mak Intan beredar meninggalkannya. Wajah Cindy kembali
mengapung di hadapan mata. Mengenali gadis berketurunan Tionghua yang bermata agak sepet itu memang mengujakan. Selain pandai berbicara, dia sangat pandai mengambil hati kawan‐kawan. Bukan sehari dua Manissa mengenalinya malah bertahun‐tahun.

“Hanya you kawan terbaik I.” Cindy pernah menyuarakan rasa hatinya kepada Manissa lama dahulu semasa di alam persekolahan lagi.

“Nissa pun kawan sama awak, Cindy. Terima kasih.”

“Jom kita pergi kantin sama‐sama. Suzy dah lama tunggu tu!”

Masih terngiang‐ngiang suara halus milik anak gadis yang bernama Cindy itu. Memang sudah
menjadi kebiasaan, mereka bertiga akan pergi rehat di kantin sama‐sama. Persahabatan mereka bertiga bagaikan akrab jari dan kuku. Sangat rapat dan saling membantu antara satu sama lain. Kalau ada masalah sama ada hal pelajaran mahu pun peribadi, mereka akan berbincang sama‐sama. Atas dasar itulah, persahabatan mereka terus akrab sehinggalah mereka menginjak dewasa. Apa sahaja kerja mahu dilakukan bersama.

“Bersabarlah Cindy … itu semua adalah dugaan. Nissa dan Suzy sentiasa ada untuk kamu.”

Manissa dan Suzy pernah diminta untuk membantu masalah peribadi yang telah dialaminya. Dia pernah dicabul oleh ayahnya sendiri. Itulah dugaan terberat yang pernah Cindy alami semasa zaman remajanya. Segalanya telag dikongsikan bersama Manissa dan Suzy. Apalah yang mampu mereka berdua lakukan melainkan menyuruh sahabatnya itu bersabar dan bersabar. Untuk membuat laporan polis, Cindy tidak sanggup. Selain memalukan dirinya, nama dan status usahawan berjaya ayahnya tetap mahu dijaga. Akhirnya, Cindy hanya berdiam diri setelah amaran diberikan kepada ayahnya. Sekiranya perkara itu dilakukan lagi maka dia tidak akan teragak‐agak untuk membuat laporan polis atau memberitahu kepada guru di sekolah.

“Kalau tak digertak, orang lelaki macam ayah kamu tu memang tak akan serik!”

“Berani juga kamu ya!” Suzy turut menyokong tindakan berani Cindy.

“Apa nak takut. Berani kerana benar!” tambah Manissa lagi.

Omelan Manissa terus bersisa. Dia sangat geram apabila seorang ayah telah melupakan
tanggungjawab yang sepatutnya. Anak‐anak sepatutnya dilindungi, bukan untuk dikhianati. Cerita sedih Cindy tamat begitu sahaja tanpa ada hukuman dijatuhkan kepada lelaki berhati haruan itu. Walaupun peristwa itu telah lama berlalu, namun dendam tetap bersisa di hati Cindy. Hanya masa yang akan menentukan terbayar atau tidak dendamnya itu.

Hakikatnya, kematian Cindy telah menamatkan segala kekusutan masalah yang ada. Manissa masih tertanya‐tanya, apakah sebenarnya yang terjadi kepada Cindy? Kalau mengikut telahan awal pihak polis, berkemungkinan Cindy membunuh diri. Kenapa begitu singkat akal Cindy untuk berbuat sedemikian untuk menamatkan riwayatnya? Mengapa sanggup dia membunuh diri atau mungkin ada dalang di sebalik kematian tragisnya itu? Bertalu‐talu soalan demi soalan berlegar di mindanya. Jawapan perlu dicari untuk memecahkan persoalan ini!

Menurut maklumat polis juga, berdasarkan maklumat daripada CCTV yang dipasang di kawasan apartmen itu, kelihatan seorang lelaki yang tidak dikenali keluar tergesa‐gesa bersama dua buah beg. Siapakah lelaki itu? Tak mungkin Albert Gan, bisik Manissa cuba meneka. Lelaki yang pernah rapat dan hadir dalam hidup Cindy cuma seorang. Tidak lain dan tidak bukan, dia adalah Johnny Tan. Sekatan jalan raya berada di mana‐mana sekitar jalan‐jalan utama di bandaraya Kuala Lumpur supaya lelaki yang disyaki tidak bolos.

“I tak ada apa‐apalah dengan dia. Cuma kawan saja.” Cindy cuba berdalih.

“Kawan tapi mesrakan?” soal Manissa kembali, kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Cindy itu.

“Errmm….susahlah, tak tahu macam mana nak terangkan pada kamu berdua ni.”

“Tak kesahlah kawan atau tidak … yang penting dia sukakan kau dan kau sukakan dia!” tukas Suzy menyambung kata.

“Suka hati kamu berdualah. Percaya atau tidak terserah!”

“Okey … kita tunggu dan lihat nanti!”

Perbualan tentang kisah mesra antara Cindy dan Johnny Tan tamat di situ sahaja. Setiap orang pasti ada kisah indah dalam hidup mereka. Tidak kira siapa mereka. Pilihan di tangan masing-masing.

Baik atau buruk tanggung sendiri. Suzy pula di mana? Mereka selalunya berdua ke mana sahaja. Di mana ada Cindy, pasti Suzy turut ada di situ. Suratan telah menentukan nasib Cindy. Apakah Suzy juga menanti hukum yang sama? Berkerja sebagai gadis GRO memang selalu mengundang bahaya. Mengenangkan semua itu, terasa serik di hati Manissa untuk melangkah semula ke Semarak CafĂ©. Tersilap langkah, pasti dia juga akan terjerat.

Bunga‐bunga penyesalan mula bercambah di dadanya. Mana mungkin dia berada dalam keadaan yang selamat sedangkan sebelah kakinya telah pun menginjak ke situ. Dia amat pasti, Albert Gan dan kuncu‐kuncunya memang sedang mencarinya. Kehilangannya kini tetap mengundang bahaya. Buat seketika, berada di perkampungan nelayan itu dia berasa sedikit selamat. Niat asalnya untuk menenangkan fikiran daripada masalah yang dicetuskan oleh ayahnya, kini bertukar kepada tempat untuk menyembunyikan diri.

Rasa takut dan gementar mulai menguasai ruang fikirannya. Nasib yang menimpa Cindy, minta
dijauhkan sangat‐sangat daripadanya. Tiba‐tiba sahaja pagi yang ceria bertukar menjadi kalut. 
Manissa tetap terkenang‐kenangkan Cindy dan Suzy. Jauh di lubuk hatinya mahu menziarahi mayat Cindy tetapi hasrat itu semestinya tidak akan kesampaian. Bahaya tetap menantinya di sana nanti. Perangkap yang dipasang oleh Albert Gan pasti berada di mana‐mana. Cuma yang dibimbangkan sekarang, akan keselamatan Suzy.

Sedang ingatannya melayang jauh, kedengaran suara orang memberi salam bertalu‐talu di halaman. Dadanya yang berombak kecil cuba ditenangkan. Telinganya cuba menangkap arah datangnya suara itu. Kedengaran jelas suara seorang lelaki.

“Assalamualaikum….assalamualaikum…,” masih kedengaran suara yang memberi salam.

Manissa menghampiri tingkap yang terbuka. Dari celah daun tingkap, kelihatan seorang pemuda sedang berdiri kemas menghadap pintu utama rumah itu. Memandang kepada wajah lelaki itu, tiba‐tiba ombak di dadanya kembali berdegup kencang. Siapa pula pemuda ini?

Wajahnya memang Manissa tidak akan lupa sampai bila‐bila. Dialah lelaki yang menyebabkan pakaiannya basah tempohari. Bagi Manissa, dialah lelaki yang dipanggil syaitan tempoh hari. Apa yang dicarinya di sini? Dia tahukah aku tinggal di sini, bisiknya sendirian.

Salam yang dihulur belum lagi bersambut. Pemuda itu meninjau ke arah sekitar rumah Mak Intan. Suasana hanya sepi dan sunyi. Di satu sudut halaman rumah Mak Intan, kelihatan sebuah kereta sport diparkir kemas. Di dalam hatinya bertanya‐tanya, gerangan siapakah pemilik kereta itu? Tentu orang jauh sebab di kampung itu tidak ada seorang pun penghuninya yang memiliki jenis kereta sedemikian.

“Mana pulak pergi orang rumah ni? Ada kereta, tingkap pun ada yang terbuka. Mungkin tidur
agaknya.” omel lelaki itu berkata sendirian.

Manissa masih berhati‐hati dan terus mengintai lelaki itu dari birai tingkap yang terbuka. Perasaan geramnya kembali bertandang. Kejadian yang berlaku minggu lalu masih kukuh melekat di layar ingatannya. Memang dia sakit hati. Dia memang berdendam dengan pemuda itu selagi hutang marahnya tidak berbalas. Dia berfikir‐fikir juga apa yang harus dilakukan. Untuk menjawab salam, sebenarnya dia sudah menjawab di dalam hati. Sekilas pandang, matanya tertancap kepada sebuah baldi yang berisi air mop yang kotor. Tiba‐tiba ada idea yang datang menjengah.

Perlahan‐lahan baldi yang berisi air kotor diambil lalu dijinjing ke arah tingkap. Langkah di atur
kemas dengan mulutnya diketap perlahan. Inilah masanya dia melunaskan dendamnya. Dia tidak kesah siapakah lelaki itu, yang penting hatinya puas. Baginya, kehadiran pemuda itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Kali ini terimalah habuan kau, benaknya berkata lagi.

Pemuda itu melangkah ke arah tingkap untuk meninjau kalau‐kalau ada tuan rumah yang dicarinya. Belum sempat dia mengucapkan salam semula, sebaldi air kotor telah membasahi tubuhnya.

Apa lagi, terkejut sungguh pemuda itu apabila diperlakukan sebegitu. Sudahlah basah, kotor pula airnya. Pakaian dan badannya berbau busuk. Kali ini baru puas hati Manissa. Dendamnya sudah berbalas. Dua kali pemuda itu membuatkan pakaiannya basah tempohari maka dua kali juga dia sudah mengenakan pemuda itu. Malahan kali ini lebih teruk lagi. Di hatinya menahan ketawa yang teramat. Namun terpaksa ditahan kerana takut juga kalau pemuda itu naik angin dan mengamuk.

“Woiii….tak nampak orangkah?” jerit pemuda itu dari halaman rumah.

Pemuda itu nampaknya benar‐benar marah. Hilang sudah tahap kesabarannya. Siapa sahaja
yang diperlakukan sebegitu pasti akan marah. Kalau bergurau pun ada tahapnya. Baginya ini
sudah melampau! Geram sungguh hatinya. Sepantas itu juga pemuda itu menuju ke arah pintu
utama lalu mengetuk sekuat hati. Seimbas pandangannya, ada seorang perempuan muda
yang mencurah air kotor itu.
“Buka pintu ni! Buka pintu ni!” jeritnya dari luar.
Manissa terasa sedikit ketakutan. Dia mula kecut perut. Pemuda itu memang benar‐benar
marah. Terasa seram juga kalau tiba‐tiba pintu terbuka dan pemuda itu menerkam kepadanya.
Serta merta dia teringatkan Mak Intan di dapur. Biarlah Mak Intan yang menyelesaikan
masalah ini. Dia segera mendapatkan Mak Intan.
“Tolong Mak Intan…tolong Nissa!”
“Kenapa ni Nissa? Macam nampak hantu saja!”
“Memang … memang Nissa nampak hantu!”
“Biar betul?”
Manissa menarik lengan Mak Intan menuju ke arah serambi. Ketukan di luar pintu masih
bertalu‐talu. Mak Intan segera membuka pintu untuk melihat siapakah yang ada di baliknya.
Apabila terbuka sahaja pintu, kelihatan seorang pemuda sedang menyinga rupanya menahan
marah. Mak Intan turut terkejut apabila melihat penampilan pemuda itu.
“Mengapa ni Man? Dah hilang akalkah kamu? Datang dari mana?” soal Mak Intan bertalu‐talu
kerana dipagut kehairanan.
“Ohh…Mak Su…err…ma..maafkan Man. Orang gila mana entah, curah air pada Man. Salam tak
dijawab, air kotor yang datang. Tengoklah baju, badan Man ni … habis basah!”
Mak Intan hanya mendengar dan melayan bebelan dari anak saudaranya itu, Luqman Adzlie.
Sekarang barulah dia faham perkara apa yang terjadi. Dia yang terpinga‐pinga mula
tersenyum. Sudah tentu perbuatan itu angkara Manissa. Pandangannya singgah seketika ke
arah Manissa yang nampak ketakutan di satu sudut rumah. Luqman Adzlie nampak hairan
apabila Mak Su juga tersenyum simpul. Kemudian pandangannya turut singgah ke arah
seorang gadis. Lidahnya kelu untuk berkata, hanya mata menikam rasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan