Label

Ahad, 18 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab25

“Aku tak kira! Fikri mesti dengar cakap aku!”

Marah Aiton kian menjadi‐jadi, tika anak menantu serta cucunya menolak mentah‐mentah usul yang telah diutarakan. Sakit di hati kian bertambah saat lenguh di badan kian terasa. Tubuh tuanya itu sanggup digagahkan menaiki teksi semata‐mata hendak menghadirkan diri di rumah teres ini. Harapannya biarlah hajat di hati dapat diterima dan impiannya dapat dipenuhi.

“Saya tak rasa Fikri akan terima.”

Lembut Zawiyah menentang kemahuan emaknya itu. Sekilas dikerling wajah suaminya. Tergambar akan penolakan di wajah lelaki yang telah lama menikahinya itu.

“Kau ni aku nak katakan bodoh. Tak jugak… Tulah, ikut sangat telunjuk anak kau tu. Sebab tulah sampai sekarang ni pun kau tak merasa nak menimang cucu.”

Sinis benar perlian itu.

“Tapi mak… Bukankah selama ini pun mak yang mengatur hidup Fikri. Emak arahkan dia buat tu, buat ni… Semua pun dia ikutkan. Dahlah mak, cukuplah selama ini saya mendiamkan diri. Saya dah tak sanggup lagi nak membiarkan anak saya tu menderita.”

“Menderita kau cakap?! Kau sedar tak dengan siapa kau bercakap ni! Kau sedar tak selama ni segala apa yang aku aturkan untuk anak lelaki kau tu semata‐mata untuk kebaikan dia!”



“Kebaikan abang ke kebaikan nenek?”

Bertambah marak api yang membakar hati Aiton saat mendengar perlian cucu perempuannya itu. Semenjak peristiwa enam tahun yang lalu, Mashitah sudah menyatakan penentangannya secara terang‐terangan terhadap dirinya. Dan sudah dijangkakan cucunya itu akan mengeluarkan kata‐kata yang akan memedihkan lagi hati tuanya. Tidak mahu terlihat kalah, maka ditenungnya tajam wajah Mashitah. Namun, seperti kebiasaannya tidak sedikit pun kegerunan terukir di wajah cucunya itu.

“Mashitah…”

Tegur Zawiyah.

“Salah ke apa yang Mashitah katakan? Bukankah selama ini nenek memang pentingkan diri sendiri? Konon… Lakukan semua itu untuk kebaikan abang.”

Mashitah mencebik. Terasa ingin sahaja hatinya yang sedang kepanasan ini mencemuh wanita tua yang masih merenung tajam ke arahnya itu.

“Ingat aku takut kau tenung aku macam tu! Sikit pun aku tak takut.”

Berani hati Mashitah.

“Kau jangan nak melampau sangat! Aku sikit pun tak ada mintak pendapat kau.”

“Saya tak perlu minta izin daripada nenek untuk memberikan pendapat saya, sebab kehidupan yang nenek pertaruhkan itu adalah kehidupan abang saya! Abang kandung saya. Cukuplah dengan apa yang nenek dah buat selama ni. Nenek paksa dia kahwin dengan wanita pilihan nenek. Nenek kata semuanya demi kepentingan abang. Tapi nenek jangan ingat saya buta! Saya nampak apa yang nenek lakukan selama ini adalah semata‐mata demi kepentingan peribadi nenek. Demi nak menjaga susur galur keturunan kita, nenek sanggup menghina Balkis! Nenek sanggup pisahkan abang dengan dia… Dan sekarang? Sekarang nenek nak paksa abang lagi? Macam tu!”

“Ooo… Jadi selama ni kau berdendam dengan aku pasal perempuan sial tu ya! Kau sanggup
ketepikan nenek kau ni semata‐mata anak haram tu!”

“Nama dia bukan anak haram! Bukan perempuan sial! Nama dia Balkis dan kalau nenek nak tahu, memang selama ini saya tak pernah maafkan nenek dengan apa yang nenek telah lakukan pada Balkis dan abang. Nenek kejam! Nenek hancurkan dan pisahkan cinta mereka dan sekarang rasakan… Bila perempuan pilihan nenek tu langsung tak mampu nak berikan zuriat pada abang. Mungkin inilah balasan di atas kekejaman nenek!”

“Kurang ajar!”

Penampar diayun oleh tangan tangan tuanya. Ternyata ayunannya sudah tidak tangkas seperti dahulu. Senang sahaja Mashitah menepis penampar neneknya itu dari mencemari pipi mulusnya.

“Nenek jangan ingat saya budak kecil lagi. Jangan ingat saya akan biarkan nenek perlakukan saya sesuka hati nenek. Nenek tahu apa yang saya sesalkan? Saya menyesal, sebab enam tahun lepas saya tak mampu berbuat apa‐apa. Saya menyesal sebab tak dapat menghalang nenek dari terus‐terusan menghina dan mencaci maki Balkis dan saya menyesal bila saya tak mampu untuk menghalang abang dari mengahwini wanita yang tidak dicintainya. Tapi, segala apa yang berlaku telah menjadikan saya seorang yang bertekad! Betekad untuk menghentikan semua perancangan gila nenek tu! Saya nak nenek dengar sini baik‐baik. Jangan pernah bermimpi yang saya akan biarkan nenek memaksa abang berkahwin sekali lagi dengan wanita yang tidak dicintainya!”

“Kurang ajar! Kalau ikutkan hati aku ni, nak je aku cekik‐cekik kau sampai mati!”

“Sudah! Cukup!!!”

Tengkingan Ishak mengejutkan semua. Zawiyah mendapatkan suaminya. Kemarahan jelas menguasai lelaki itu. Mashitah yang menyedari perihal itu menundukkan wajahnya. Hanya Aiton sahaja yang berani menentang pandang mata menantunya itu.

“Cukup mak! Saya tak nak dengar apa‐apa lagi. Cukuplah selama ini saya hanya mendiamkan diri atas rasa hormat saya pada mak, sampaikan saya telah memperjudikan masa depan Fikri. Saya minta pada emak… Tolonglah hentikan rancangan mak tu. Hentikan semuanya. Fikri dah cukup terseksa. Tolonglah mak.”

Kendur sedikit suara Ishak.

“Nampaknya, kau tak jelas lagi dengan apa yang mak mahukan. Mak mahukan cicit dan isteri Fikri sekarang mandul! Tak mampu nak berikan zuriat pada Fikri. Kau tak kesian ke tengok anak lelaki kau tu. Bila orang‐orang sekeliling mengata kononya yang dia tu bermasalah. Orang tak tahu, yang mandul tu isteri dia! Bukannya Fikri. Mak tak kira. Apa nak jadi pun Fikri mesti kahwin dengan Aziidah. Mak tak kira!”

“Ooo… Aziidah nama perempuan malang tu. Kesian diakan sebab kena kahwin dengan abang. Yelah berkahwin dengan suami orang. Kena bermadu pulak tu. Tambahan pulak abang tak pernah cintakan sesiapa selain Balkis!”

Mashitah yakin akan hakikat itu. Sehingga kini hati abangnya hanya dipenuhi dengan nama Balkis!

“Mashitah…”

Zawiyah menegur. Tidak mahu anaknya itu terus‐terusan bertikam lidah dengan emaknya.

“Aku tak kata pun yang aku nak Fikri madukan Siti Aziidah tu.”

“Habis tu?”

Soal Zawiyah.

“Aku… Aku nak Fikri ceraikan Aniisah. Buat apa nak simpan perempuan mandul macam tu.”

“Astaghfirullahal azhim… Apa yang mak cakapkan ni? Bukankah Aniisah tu pilihan mak selepas
mak pisahkan Fikri dengan Balkis? Sekarang ni… bila perempuan tu tak mampu nak memberikan zuriat kepada Fikri, mak nak Fikri ceraikan dia pulak. Mak sedar tak apa yang mak cakapkan ni?”

Berang Ishak dengan sikap emak mentuanya ini.

“Aku sedar dan aku pun sedar yang Fikri tak pernah cintakan Aniisah. Jadi tak salahkan kalau dia ceraikan perempuan mandul tu. Manalah tahu bila dia dah berkahwin dengan Siti Aziidah dia akan lupakan Balkis dan berikan aku cicit. Aku tak mahu keturunan aku terputus gara‐gara isteri Fikri yang mandul tu.”

“Nenek silap. Biar sejuta manapun perempuan yang nenek mahu nikahkan dengan abang, tak ada seorang pun yang mampu mengubah rasa cinta abang terhadap Balkis. Cinta abang terhadap Balkis begitu utuh. Begitu kuat. Abang mencintai Balkis kerana Allah. Kerana Allah S.W.T telah mempertemukan seorang wanita yang selayaknya untuk disayangi dan dilindungi daripada orang‐orang yang kejam seperti nenek ni.”

Mashitah melangkah pergi. Hampir sahaja air matanya menitis saat dirinya terimbau peristiwa enam tahun yang lepas. Peristiwa yang telah mengubah segalanya. Peristiwa yang telah melenyapkan Balkis dari penglihatannya bersama erti persahabatan dan peristiwa itu jugalah yang telah memisahkan sahabatnya itu dengan abangnya. Di atas desakan nenek dan rayuan mama, akhirnya abangnya terpaksa menikahi seorang wanita yang bernama Aniisah biarpun hati dan jiwanya masih kekal milik Balkis.

“Kau tengok tu! Kurang ajar punya budak!”

“Mak… Sabar mak…”

Zawiyah cuba mendapatkan emaknya, namun dihalang oleh tangan kasar milik suaminya. Zawiyah memandang tepat ke wajah Ishak. Wajah itu masih masih menampakkan bayangan kemarahan. Zawiyah akhirnya tertunduk. Niat untuk mendekati emaknya juga dimatikan. Antara ibu kandung dan suaminya dia memilih untuk patuh kepada suaminya itu.

“Kurang ajar! Kenapalah budak tu tak mampus je! Tak ingin aku nak mengaku kau tu sebagai cucu aku!!!”

Maki hamun dan jeritan kian bersatu. Mencerlung mata Ishak memandang emak mentuanya. Aiton masih tidak perasan akan perubahan di wajah menantunya itu sementelah pandangannya masih terarah kepada cucunya yang sudah melangkah jauh meninggalkan dirinya yang sedang diamuk kemarahan.

“Emak. Saya tak akan ulang lagi apa yang akan saya perkatakan ini! Andai kedatangan emak ke rumah saya adalah semata‐mata mahu memporak‐perandakan keluarga saya. Saya persilakan emak keluar dari rumah ini. Tetapi andai kedatangan emak pada hari ini berniat untuk menziarahi kami sekeluarga, maka saya alu‐alukan kehadiran emak di kalangan kami dan satu lagi yang saya hendak peringatkan kepada emak… Fikri dan Mashitah adalah anak‐anak saya, maka saya haramkan emak dari menghina mereka. Begitu juga dengan masa depan mereka adalah di bawah tanggungjawab saya. Saya takkan benarkan emak merosakkan lagi kehidupan Fikri mahupun Mashitah. Mulai sekarang emak tak perlu susahkan diri emak untuk memikirkan perihal kami sekeluarga.”

Habis menuturkan bicara, Ishak menarik tangan isterinya untuk mengikuti langkahnya menjauhi emak mentuanya itu. Tidak betah lagi untuknya terus menatapi wajah tua itu. Wajah yang penuh dengan kebencian, kemarahan dan dendam itu andai terus ditatapi bakal memarakkan lagi api di hatinya.

“Kurang ajar! Semuanya tak guna! Tak apa… Untuk waktu sekarang ni aku akan bersabar. Tapi! Walau apa pun yang terjadi aku akan pastikan Fikri akan mengikut telunjuk aku! Aku akan pastikan Fikri menikahi Siti Aziidah dan memberikan cicit kepada aku!”

Dendam yang kian membara menekadkan hati tua itu untuk terus merencanakan sesuatu yang belum jelas. Apa pun rancangannya, akan dipastikan Fikri akur dengan kemahuannya!

Keluhan dilepaskan berat selepas talian dimatikan. Lelaki itu meletakkan semula handphonenya di atas meja bersaiz kecil yang diletakkan di balkoni bersama dua buah bangku sebagai penggandingnya. Pandangannya dialihkan pula ke kelam malam. Angin yang menyapa tubuhnya sedikit pun tidak mampu untuk meredakan debaran yang kian hebat menguasi kota hatinya.

“Balkis…”

Nama insan yang pernah dan masih menguasai jiwanya itu disebut perlahan. Setiap hari hanya nama itu yang akan meniti di bibirnya. Rasa cinta dan sayangnya pada Balkis tidak pernah luntur biarpun sesaat. Sungguh! Biarpun statusnya kini adalah suami orang, tetapi itu bukanlah penghalang baginya untuk terus melayani rasa cintanya terhadap wanita yang telah melenyapkan dirinya lantaran penghinaan dan kejian yang dilemparkan oleh neneknya sendiri.

“Tolonglah wan… Tolonglah beritahu saya di mana Balkis. Saya betul‐betul nak bertemu dengan
Balkis. Saya nak tahu keadaan dirinya. Tolonglah beritahu saya di mana Balkis. Tolonglah wan…”

“Maaf… Wan tak dapat nak tolong Fikri. Wan tak dapat nak beritahu di mana Balkis berada. Kalaulah keadaan diri Balkis yang Fikri risaukan… Tak perlulah dikhuatiri, sebab Balkis berada di
tempat yang lebih selamat dari rumah wan sendiri. Sekurang‐kurangnya di sana, tak ada orang yang mengetahui akan status dirinya dan tak ada sesiapa lagi yang akan melukakan hatinya dengan kata‐kata cacian.”

“Saya tahu wan terasa dengan nenek. Maafkan saya wan dengan apa yang nenek telah lakukan. Tapi tolonglah… Saya tak boleh kehilangan Balkis. Saya betul‐betul cintakan dia. Saya betul-betul sayangkan dia. Tolonglah wan… Tolonglah saya…”

“Fikri tak perlu minta maaf. Fikri tak salah apa‐apa pun. Marah? Entahlah… Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan bila darah daging kita sendiri dicaci maki dan disamakan dengan binatang. Dahlah Fikri… Jangan diungkit lagi. Pulanglah… Pulanglah ke rumah dan tolong jangan datang ke sini lagi. Pasal Balkis… Wan memang tak dapat nak tolong kamu.”

Air mata Fikri mengalir lagi saat imbauan lepas menjentik kesedihannya.

“Balkis. Di mana Balkis?”

Perlahan, namun sudah mampu untuk menambahkan kesedihannya. Sudah hampir enam tahun pencarian Fikri terhadap Balkis. Namun sehingga ke hari ini, pencarian itu hanya menemui jalan buntu. Segala usahanya hanyalah sia‐sia.

“Balkis… Di mana Balkis? Abang betul‐betul rindukan Balkis. Abang perlukan kehadiran Balkis
dalam hidup abang. Balkis…”

Rintihan di hati menjuraikan titisan permata.

“Abang… Abang okey ke?”

Tersentak Fikri dan cepat diseka air matanya.

Sedari tadi Aniisah hanya memerhatikan tingkah laku suaminya itu. Bermula dengan kelakuan
suaminya yang berlalu ke balkoni untuk menjawab panggilan adik iparnya sehinggalah ke saat
suaminya termenung sebelum mengalirkan air mata. Sangkaannya mungkin ada musibah yang
telah menimpa mak mentua atau bapak mentuanya. Mungkin juga Mashitah sendiri yang
memerlukan pertolongan suaminya.
“Abang… Kenapa ni?”
Fikri menggelengkan kepala. Masih enggan menuturkan bicara.
“Papa dengan mama okey? Mereka tak apa‐apa?”
Menyedari akan sangkaan isterinya itu terhadap papa dan mamanya. Lantas…
“Papa, mama dengan Mashitah okey. Mereka semua sihat. Nenek pun ada datang sekali.”
Perlahan perkataan ‘nenek’ itu disebut. Hati Aniisah tersentak. Wanita yang berpangkat nenek
itu sudah lain benar sikapnya jika hendak dibandingkan sebelum dirinya disahkan madul.
Semenjak mengetahui yang dirinya tidak mampu untuk memberikan zuriat kepada cucu
lelakinya ini, selalu sahaja perlian dan jelingan diterimanya daripada wanita tua itu.
“Aniisah… Abang nak masuk tidur dulu.”
Fikri hendak segera berlalu. Hati yang sedang sarat dengan kerinduan terhadap Balkis dan
fikiran yang sedang berserabut untuk menentang cadangan gila neneknya itu benar‐benar
mengganggu emosinya tika ini.
“Abang… Hari ini saya sudah suci.”
Fikri yang sudah membelakangi isterinya untuk masuk ke dalam, mengerti apa mahunya
wanita yang sudah dinikahi hampir enam tahun itu. Keluhan terlepas. Aniisah yang mendengar
keluhan itu tercalar hatinya.
“Abang… Abang penat hari ni.”
Lembutnya bicara Fikri tidak mampu untuk mengubati hati Aniisah yang sudah tercalar.
Permata yang ditahan sedari tadi gugur jua mencemari pipinya. Kini! Di balkoni ini dia
keseorangan setelah ditinggalkan kesepian bersama kehampaan yang sering dihadiahkan oleh
insan yang bergelar… Suami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan