Label

Isnin, 19 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab31

Aku masih menghitung hari menunggu kepulangan encik Awal. Majlis persandingan kami cuma tinggal tiga hari saja lagi. Sepatutnya mereka sudah pulang ke Malaysia tapi penerbangan mereka terpaksa ditangguhkan kerana cuaca yang tak menentu. Aku takkan kecewa kalau tak dapat naik pelamin. Yang penting bagi aku mereka pulang ke Malaysia dengan selamat.

‘’Termenung apa sangat tu Has? Orang nak jadi pengantin, muka berseri‐seri. Dia, muka monyok saja ni, kenapa?’’ aku cuba mengukirkan senyuman untuk mak Tam Siah yang menegurku. Macam mana tak termenung kalau yang nak jadi pengantin lelaki tu tak pulang-pulang.

Harapkan tubuh badan aku saja yang sudah ada di kampung tapi hati dan jiwa aku sudah terkenang orang yang jauh.

‘’Pengantin apanya mak tam? Rasanya kak Ieta sorang saja yang akan naik pelamin nanti..’’ aku
bersuara pasrah. Mak tam sudah duduk dan mencuit aku. Dia merenung tepat ke wajahku.

‘’Kenapa ni? Laki kau dah larikan diri ke? Itulah orang lelaki ni. Dah habis manis, sepah pun
dibuang. Mak tam dengar, kau dah tinggal serumah dengan dia di Kuala Lumpur tu. Ishh, ishh..kalau dia menantu mak tamlah. Sampai ke lubang cacing mak tam cari.’’ Mak Tam Siah sudah menceceh tanpa henti. Aku belum lagi buat penjelasan, dia sudah mula serkap jarang yang bukan‐bukan.

‘’Bukanlah mak tam. Abang Awal masih di Eropah sekarang ni. Mak tam takkan tak tahu, dia pergi ke Luar Negara dengan abang Izzhar. Berani dia nak larikan diri. Buatnya kena hempuk dengan abang Izz tu,’’ aku menepis kata‐kata mak tam dengan wajah yang tenang. Sengaja tayang wajah tenang sebenarnya, padahal dalam hati aku ni sudah berapi dengan tuduhan mak tam tadi.



‘’Hah? Buat apa dia pergi Eropah? Kenapa kau biar dia pergi sana Has? Buatnya dia tak balik untuk selamanya, nahas kau. Menangis tak berlagulah nanti. Kau tak tengok berita ka Has? Naik kapal terbang sekarang ni, dah tak selamat dah. Kena tembaklah, kapal terbang hilanglah. Dengan kapal terbang terhempas lagi. Hiss..seram mak tam dengar..’’ aku mengebam bibir menahan geram. Mulut capoi mak tam ni agaknya bakal distepler dengan aku? Cakap ikut sedap dia saja. Aku dahlah sedang risau tahap kritikal. Aku merungut di dalam hati.

‘’Mak tam ni, doalah yang baik‐baik sikit. Semuanya kuasa Allah mak tam. Bukan semua kapal 
terbang akan terhempas. Ajal maut tu di tangan Allah. Kun Fa Ya Kun, kalau Allah kata jadi, maka jadilah. Kita sebagai hamba ni, kenalah berdoa yang baik‐baik, tapi kalau Allah dah takdirkan nak jadi, kita kenalah Redha.’’ Aku bersuara tenang. Malas nak melatah dengan statement mak tam yang macam sengaja nak menyakitkan hati aku tu.

‘’Rancak hampa menyembang. Dok sembang apa aih? Mai nak tumpang sekaki.’’ Mak cik Tun pula mencelah perbualan kami. Mak cik aku ni orang Kedah. Biasalah, seminggu nak kenduri selalunya adik beradik dah berkumpul di sini.

‘’Laki Has ni, kenduri lagi berapa hari lagi, dia masih di Eropah lagi. Bawa Izzhar sekali. Risau aku, pergi jauh‐jauh tu. Kau Tun, jangan bagi anak nikah dengan orang kaya. Orang kaya ni banyak duit, bukannya reti pergi dekat‐dekat. Luar Negara jugak depa nak terpa,’’ aku menarik nafas panjang mendengar bebelan Mak Tam. Mak cik Tun pula nampak agak payah untuk meletakkan punggungnya di sebelah aku. Tubuh dia dahlah gempal, kesian pula aku tengok.

Terkial‐kial nak duduk.

‘’Allahu Akhbar! Seksa aih, nak boleh duduk pun. Hang Has, jaga badan elok‐elok. Jangan jadi
macam cik Tun ni. Seksa sungguh.’’ Mak cik Tun berkata sambil menstabilkan silanya. Teguran mak Tam tadi langsung tak diendahkannya. Aku hanya tersenyum mendengar pesanannya.

‘’Jodoh,ajal dan maut ni di tangan Allah kak Siah oii. Kalau dah sampai masa tu, orang kaya ka orang miskin ka nikah sajalah. Tak payah nak memilih sangat. Beruntunglah kalau boleh menikah. Sekurang‐kurangnya ada jugak jodoh. Orang kaya pun okey, orang miskin pun okey. Janji beriman dan bertaqwa kepada Allah, bertanggunjawab dan boleh membimbing anak-anak dan isteri hingga ke Jannah. Alhamdulillah.’’ Aku mengangguk setuju mendengar kata-kata Cik tun. Mak Tam sudah menarik muncung panjang.

‘’Kau ni Tun, bukan reti nak sokong aku. Aku ni bukannya apa, budak‐budak sekarang ni, nak
kahwin bukannya nak terima pilihan mak ayah dah. Mereka dah pandai cari sendiri. Bila dah bercerai berai esok barulah kalut nak balik cari mak ayah.’’ Aku tak setuju langsung dengan kata‐kata mak tam. Gatal saja mulut aku ni nak menjawab tapi aku pendamkan saja dalam hati.

Menjawab karang, lagi teruk aku dileterkan. Tak pasal‐pasal ibu dan abah pula dikata tak pandai ajar anak. Diam sajalah selagi boleh.

‘’La ni kita di zaman melinium kak Siah. Zaman siber, orang la dok kata. Ada internet, ada laman sosial. Bukan macam kita dulu, zaman dapur kayu, pelita minyak. La ni dunia tanpa sempadan, nak menyembang dengan orang jauh, guna jari pun boleh. Air dalam besi, api dalam kaca. Kalau dok banding dengan zaman kita dulu, nampak sangat ketinggalan zaman.’’

Aku sudah tersenyum di dalam hati mendengar kata‐kata mak cik Tun. Macam nak buat high five saja dengan mak cik Tun sekarang ni.

‘’Tulah kau, pandai bercakap saja. Kalau bukan kita sebagai orang tua ni nak tegur budak-budak
macam Has ni, siapa lagi nak tegur. Tengoklah, orang lain nanti naik pelamin berdua, dia..agaknya sorang dirilah tu..’’ aku muncungkan bibir. Mak Tam ni, nak kutuk aku pun tak reti nak agak.

‘’Tak naik pelamin pun tak apa mak tam. Bersanding tu cuma adat saja. Yang penting akad nikah dah selesai dan Has dengan abang Awal pun dah sah sebagai suami isteri. Dalam Islam, akad nikah tu yang wajib. Sebagai isteri, Has akan sentiasa menyokong apa saja pekerjaan abang Awal tu mak tam. Kalau Allah dah tentukan jodoh Has dengan orang kaya, nak buat macam mana. Tak baik tau mak tam menolak takdir yang Allah dah tentukan.’’ Akhirnya aku bersuara juga. Sekali lagi mak tam mencebik ke arahku.

‘’Dengar kata laki hang ada syarikat besar di KL. Syarikat apa tu Has?’’ mak cik Tun menyoal aku sambil melunjurkan kakinya. Ditumbuk‐tumbuk betisnya dengan tangan. Baru sangat duduk dah lenguh. Kesian pula aku tengok, tapi apa yang boleh aku buat. Hanya mampu bersimpati di dalam hati sajalah.

‘’Smartphone Cik Tun. Sekarang ni syarikat sedang berusaha nak mempromosikan smartphone
terbaru syarikat ke peringkat Antarabangsa sebab tu abang Awal terpaksa pergi ke Luar Negara. Bukan senang nak berjayakan? Perlu korbankan masa, perlu korbankan …’’

‘’Haa..korbankan anak isteri. Ada isteri ditinggal‐tinggalkan. Esok‐esok ada anak, anak pun tak kenal bapak sebab selalu sangat kena tinggal. Tau‐tau dah bawa balik isteri dan anak lain ke rumah.’’ Aku baru nak berfikir ayat‐ayat yang seterusnya mak tam sudah mencelah. Hiesy..mak tam ni, kalau ada gam uhu, tahulah apa aku nak buat. Tak pun, pinjam saja jarum untuk jahit guni dari atuk. Lepas tu jahit mulut mak tam dengan tali tangsi. Baru berakal kot. Aku sudah membebel di dalam hati.

‘’Hang ni la kak Siah, takkan hang cemburu kot sebab hang tak dak anak? Kalau iya pun, doakanlah yang baik‐baik untuk anak menakan sendiri. Esok sakit deman, depa juga kita nak cari, nak minta tolong. Orang cakap, kata‐kata itu satu doa. Mulut kita yang Allah bagi ni kenalah cakap yang baik‐baik saja.’’ bravo..terbaiklah mak cik Tun! Sekali lagi aku ketawa di dalam hati melihat mak tam terkebil‐kebil diceramahkan oleh adik sendiri. Mak tam tarik muncung lagi dan meninggalkan kami berdua.

‘’Mak Cik Tun, you are my mak cik the best in the world.’’ Aku mengangkat ibu jari kepada mak cik Tun. Dia mencebik sambil bibir menguntum senyum.

‘’Bodek, jangan tak bodek. Dengar kata hang dah duduk serumah dengan laki hang di Kuala Lumpur nu. Lepas ni boleh timang cucu menakan kot no?’’ mak cik Tun mengiat aku dan meraba‐raba perut aku. Tergelak aku dengan gelagatnya.

‘’In Sha Allah. Mudahan masin mulut cik Tun tu..mudahan dapat anak kembar. Lepas tu Has boleh berehat lama sikit sebab anak‐anak dah ada kawan.’’ Aku mula berangan‐angan mat Jenin. Agaknya kalau aku dapat anak wajah mereka iras aku atau encik Awal? Hmm..

‘’Kembaq? Kemungkinan tu ada tapi hang jangan ingat dapat anak kembar ni boleh berehat panjang. Mak hang dulu, kurus kering dok jaga hampa. Sorang deman, ketiga‐tiga orang sekali demam. Jenuh juga tu..’’aku terfikir kembali. Tapi, walaupun begitu, ibu dengan abah berjaya juga membesarkan kami bertiga. Lagi pun, encik Awal tu mampu kot nak upah pengasuh. Aku berangan‐angan lagi.

‘’Has! Ada orang datang. Macam adik beradik suami Has saja tu.’’ Sedang rancak aku berbual
dengan mak cik Tun, kak Ieta melaungku sambil mengintai ke luar tingkap. Aku bangun dan
meninggalkan Mak Cik Tun. Langkah kakiku laju menuju ke arah pintu.

Betul seperti yang kak Ieta cakap. Dari depan pintu aku sudah melihat Lina, Umairah, Kak Iffa serta anak‐anak dan suaminya turun dari kereta. Kemudian berhenti pula kereta lain dan aku dapat melihat encik Zuhaimie dengan seorang lelaki yang aku tak kenal.

‘’Kak Izz!...’’ Lina sudah memanggil namaku dan menerpa dengan laju ke arahku. Aku terpana di muka pintu melihat reaksinya.

‘’Abang Awal Kak Izz. Abang Awal..’’ dia sudah memeluk aku dengan erat sebaik dia sampai
kepadaku sambil menangis. Aku sudah kaku di dalam pelukannya.

‘’Kenapa dengan abang? Mereka belum balik lagi ke? Mana abang Awal dengan abang Izzhar.
Semalam, mereka cakap nak bertolak balik hari ini.’’ Giliran aku pula menyoal Lina. Kak Iffa dan
Umairah pula tidak henti‐henti mengesat air mata. Lina sudah teresak‐esak di depanku.

‘’Izz..harap Izz bawa bersabar ya. Awal..dia,’’ bila encik Zuhaimie membuka mulut untuk berkata‐kata, tak semena‐mena pandanganku menjadi kabur dengan air mata yang sudah menanti untuk gugur.

‘’Kenapa dengan dia? Dia tak apa‐apakan? Dia okeykan?’’ suaraku sudah berubah nada.

Tersekat‐sekat aku bertanya.

‘’Kapal terbang yang mereka naik tu…’’ dan aku sudah tidak mendengar lagi ayat‐ayat yang
seterusnya. Pandanganku terus menjadi kelam.

Ya Allah, Allahu Akhbar. Selamatkan suamiku. Aku tak nak kehilangan dia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan