Label

Khamis, 29 Disember 2016

NOVEL Kenapa Aku Tinggalkan Kau Bab5

“Raila!” Raila memusing tubuhnya ke belakang. Dia mengetap bibir agar tidak terlontar senyuman yang sudah siap sedia menanti. Sepasang bibir yang kemerahan kerana dipalit gincu tipis itu nampak bergetar.

“Ada janji dengan Mawaddah ke?” Raila tergeleng. Kemudian mengerutkan mukanya seakan hairan . Pemuda ini juga mengenali Mawaddah?

“Nak tumpang solat ya? Dah nak masuk Maghrib ni...”ungkapnya bila Raila tidak bersuara membalas tegurannya.

“Saya kemari kerana hendak mendengar azan Maghrib. Muazin yang azan di masjid ini suaranya merdu.” Raila membalas tanpa selindung. Memang itupun tujuannya. Hatinya mula belajar tenang setiap kali mendengar bunyi azan berkumandang di situ. Pemuda itu tersenyum.

“Solatlah sekali selepas azan. Boleh solat berjemaah bersama kami. Solat berjemaah ini fadilatnya besar. Pahalanya juga sama dengan pahala 27 orang yang solat.” Dia tersenyum ketika menyampaikan.

Muka Raila sudah merah padam.

“Saya... Saya dah tak ingat bagaimana hendak solat dengan sempurna...”perlahan dan seakan berbisik meluncurnya dari mulut Raila.



Pemuda itu mengorak senyum. Tampan sungguh wajahnya. Sejurus, dia meneliti wajah Raila yang kemerah‐merahan menahan malu.

“Tidak mengapa, ikut sahaja yang lain solat. Allah SWT akan menambah ilmu mereka yang ikhlas hendak perbaiki diri. Tengok awak dah mulakan langkah pertama, iaitu datang ke sini semata‐mata hendak mendengar azan. Itu kes rare tu.” Dia mengakhiri ungkapannya dengan sebuah jenaka. Raila mulai berasa tenang oleh pengaruh auranya.

“Saya Abqari, jemputlah masuk ke rumah Allah...” persilanya sebelum menghilangkan diri ke dalam. Hendak tak hendak sahaja Raila melangkah ke dalam. Dia berasa malu. Sepatutnya malu itu dihala kepada Allah yang menjadikan kita, bukan kepada manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan