Label

Jumaat, 30 Disember 2016

NOVEL Residual Bab9iii

Ahad, 9 malam

Dari luar, sudah dapat didengar pemuzik menala gitar. Bersambil itu, terdengar suara penyanyi daripada mikrofon yang bercerita ringkas tentang lagu yang mahu dialunkan. Irwan menolak pintu Bistro De’ Bayu, dan melangkah masuk ke dalam. Lampu‐lampu bergantungan kelihatan persis bongkah‐bongkah kristal yang bercahaya malap‐ ada yang berwarna merah, ada yang berwarna kuning. Gabungan cahaya merah kuning itu sering membuat Irwan merasa aneh setiap kali memasuki bistro ini. Aura warna yang memberi rasa duka, tetapi dalam masa yang sama turut membahagiakan. Dan ada rasa eksotik juga.

Nota dipetik, dan iramapun bergema memenuhi ruang rona merah‐kuning di dalam bistro ini. Irama itu kesohor, mudah ditangkap oleh sesiapapun; lagu Yesterday, oleh The Beatles. Setelah beberapa ketika beralun petikan gitar yang temponya disusun lebih perlahan berbanding lagu asal, penyanyi yang sedang duduk di atas kerusi bulat boleh laras di atas pentas itu mula melantunkan suara.

Semalam,
Gusar ku tinggal jauh bermusim,
Kini muncul di depanku bermukim
Oh, aku percayai semalam.
Separuh jiwaku hilang,
diganti bayang‐bayang,
bergayut bergentayang,



Aduhai,
semalam yang tiba‐tiba datang.

Irwan menjeling penyanyi itu tajam. Dia menggeleng‐gelengkan kepalanya perlahan‐lahan sambil mengecil‐ngecilkan mata merenung penyanyi itu yang terus leka bernyanyi. Kerana pedih tersindir dek lagumu, aku dendami engkau, wahai penyanyi.

Irwan memandang keliling, sehingga terlihat kelibat Bidin yang melambai‐lambai ke arahnya di sudut bistro. Irwan terus berjalan mendekati.

Fuad mengangkat tangan memanggil pelayan.

“Kami dah order. Kau order lah pula.”

Pelayan cepat mendatangi meja mereka, cekatan mengeluarkan pen dan buku pesanan.

“Lime soda dengan grilled chicken with pineapple fried rice.” Menu biasa.

Pelayan beransur pergi. Irwan bersandar malas pada kerusi. Aduh… penatnya hari ini. Irwan bersandar pada kerusi. Fikirannya masih serabut dengan macam‐macam perkara, tapi yang paling mengusutkan adalah soal Shazwan.

“Baru habis waktu kerja?” Bidin menebak Irwan dengan soalan.

“Waktu kerja aku habis petang tadi. Kerja aku…. baru habis tadi.”

Bidin mencebik. Doktor‐doktor ni, jadual kerjanya pelik sikit.

“Ok lah tu, Wan. Aku kena balik hospital balik kejap lagi.” Fuad pula bersuara.

Irwan ketawa kecil. Fuad, doktor A&E di Hospial Permaisuri Bainun. Dan Bidin, usahawan pengurusan acara yang agak berjaya di Kuala Lumpur‐ dia ke Ipoh atas urusan kerja, alang-alang, dia ajak Irwan dan Fuad makan bersama malam ini. Dan persamaan yang mereka kongsi adalah, ketiga‐tiga mereka adalah bekas pelajar SYP Gerik.

Fuad, ketua blok Al‐Ghazali 14 tahun lepas. Bertemu semula dengan Irwan di Universiti Gadjah Mada di Indonesia, bersama Ismid ﴾sekarang doktor di Sandakan, Sabah. Kasihan dia, belum dapat lagi tukar ke semenanjung﴿. Setelah melalui fasa janggal untuk beberapa ketika, mereka kembali rapat dan berkawan baik di Gadjah Mada.

Bidin ini pula, bertemu semula apabila Bidin sendiri yang pergi cari Irwan di Hospital Darul Ridzuan. Akhirnya, mereka kembali rapat juga, dan setiap kali dia turun Ipoh, mesti dia ajak Fuad dan Irwan makan sekali. Dia juga ‘pelajar separuh jalan’ seperti Irwan, cuma dia berhenti dari SYP Gerik dua minggu lewat dari Irwan.

Menu dipesan tiba.

Nasi goreng nenas disudip dengan sudu, dimasukkan ke dalam mulut. Irwan mengunyah-ngunyah
biji‐biji nasi, tapi rasa seperti mengunyah pasir. Irwan melepaskan sudu ke pinggan, dan menongkat dahinya dengan tangan kanan. Dia masih berusaha mengunyah nasi.

“Kau dah kenapa, Wan?” Galau hati Irwan dapat dibaca Bidin. Bidin menyedut air di dalam gelas yang sarat dengan serai, laici, barli, dan juga ada daun‐daun yang tak dapat dikenal pasti.

Irwan tak ingat apa nama sebenar menu air tu, tapi dia panggil ‘air sampah’ sahaja.

“Selalu, aku baru pegang sudu, nasi kau dah habis separuh. Apa hal?” Bidin menyambung pertanyaan.

Irwan melepaskan pula garpu di tangan kirinya, lalu terus mencapai air soda limau di tepi pinggan, dan terus meneguk bertalu‐talu, menolak nasi‐nasi yang masih bersisa di dalam mulutnya masuk ke dalam tekak, membantu rahang yang malas mengunyah.

Ah… mulut dan tekaknya sudah bersih. Irwan mendekatkan badannya ke meja, dan menongkat siku. “Korang, ingat Shazwan?”

Fuad dan Bidin serentak mengguling mata ke arah Irwan. Sudu dan garpu mereka berhenti menguis nasi. Rahang‐rahang mereka juga berhenti berfungsi. Tanpa kunyahan sempurna, mereka memaksa sisa‐sisa makanan di dalam mulut ditelan terus ke dalam anak tekak. Dan kemudian, masing‐masing bersandar ke kerusi sambil memandang Irwan.

Dalam banyak‐banyak orang, Irwan lah orang yang paling tak disangka‐sangka akan menyebut dulu nama Shazwan. Wayar mana yang putus agaknya dalam kepala Irwan hari ni?

“Ingatlah. Mana boleh tak ingat! Setiap kali nampak muka kau, aku teringat Shazwan.”

“Tapi, apa mimpi kau tiba‐tiba sebut nama dia?” Fuad menyuarakan kehairanan.

Irwan diam sebentar. Awalnya, dia tak mahu bagitahu dua orang rakannya ini tentang Shazwan, tapi dia terlalu terseksa dengan gangguan‐gangguan oleh nama Shazwan ini, dan dalam usia yang sudah tak muda ini, dia tak suka terseksa sendiri. Ada eloknya dia heret bersama dua rakan baik ini untuk turut sama‐sama terseksa bersamanya.

“Aku jumpa dia di Hospital Darul Ridzuan. Dia ada di situ sekarang ni, dalam wad.” Fuad dan Bidin sedikit terkejut dengan kenyataan itu. Siapa yang tidak? Tak siapa jangka Irwan dan Shazwan akan jumpa semula begitu. Tapi Irwan belum selesai, “Cubaan bunuh diri. ICU dah tiga hari, baru hari ni betul‐betul sedar, dah pindah wad.”

Sekarang, baru Bidin dan Fuad terkejut bukan kepalang. Mata mereka terbelalak macam hendak terpancut keluar.

“Shazwan? Bunuh diri?” Bidin mula‐mula dulu menyuarakan kehairanan.

“Macam mana dia?” Bidin bertanya lagi.

“Dah sedar tadi. Esok mungkin pindah wad psikiatri.” Fuad mengangguk‐angguk. Irwan dan Fuad mungkin faham prosedur hospital, tapi bagi Bidin, dia hanya tercengang‐cengang.

“Psikiatri? Berapa lama dia kena duduk situ?”

“Bergantung la, Din. Beberapa hari ke seminggu. Atau lebih lama lagi. Bergantung pada pesakit la. Memang macam tu, kalau kes cubaan bunuh diri ni.” Fuad tolong jawabkan bagi pihak Irwan.

Irwan teragak‐agak mahu bertanyakan sesuatu. Kata‐kata Fateh sebentar tadi masih lagi terngiang‐ngiang di telinganya. Tapi, dia memang perlukan pengesahan, kalau tidak hatinya tak tenang.

“Korang. Lepas aku hilang dari SYP Gerik dulu, Shazwan… dia okey ke?”

Fuad memandang Irwan tajam‐tajam. Selama selepas dia berjumpa balik dengan Irwan di Gadjah Mada dulu, memang dia cuba elak dari membicarakan soal Shazwan di depan Irwan, kerana dia tahu betapa dalam Irwan akan terkesan kalau mendengarkan nama Shazwan. Tapi, malam ini, Irwan pula yang bertanyakan tentang Shazwan, malah Irwan kelihatan begitu dahagakan jawapan. Dia betul‐betul bertanya untuk tahu.

Fuad mencapai cawan kopi panas yang sudah kurang asap, dihambat oleh angin kipas siling yang berputar betul‐betul di atas kepala mereka. Cawan kopi berdesir, dihirup bibir Fuad.

“Irwan….” Fuad bersuara memecahkan persoalan yang membeku dalam kepala Irwan.

“Lepas kau hilang, Shazwan murung.” Fuad berhenti seketika. “Dia berhenti bersosial dengan semua orang, sampai setahun juga tak silap aku dia macam tu. Kalau ada dia bercakap pun, rasanya cuma dengan Fateh. Yang aku ingat, tengah atau hujung tingkatan tiga, baru dia bersosial balik dengan orang‐orang lain. Itupun, dah memang tak sama dengan dia yang dulu. Memang kau boleh tengok lah bezanya dia.” Kopi yang semakin sejuk dihirup lagi. Fuad menjeling memandang kerut‐kerut di dahi Irwan. “Pendek cerita, Shazwan…dia jadi orang lain.”

Dia jadi orang lain.

Suara Fateh kembali bergema dalam gua fikiran Irwan. Ayat sama, terlantun semula oleh mulut berbeza. Gema itu terulang‐ulang, tak mahu hilang. Irwan menjeling memandang Bidin. Kelihatan, Bidin rasa tidak senang mendengarkan berita cubaan bunuh diri Shazwan. Irwan tersenyum kelat. Pasti rasa bersalah Bidin yang begitu susah payah dikambus selama ini, malam ini bangkit semula. Memikirkan hal itu, Irwan sedikit kesal mengungkit kisah Shazwan.

“Aku pun jumpa Fateh tadi.” Irwan tiba‐tiba bersuara, lebih kepada ingin melarikan topik.

Fateh? Bidin dan Fuad sekali lagi terkejut.

“Dia buat apa? Bunuh diri juga?”

Irwan ketawa kecil. “Tak adalah. Dia tengok Irwan. Dalam empat hari kebelakang ni, memang dia selalu datang.”

Bidin dan Fuad menganggguk‐angguk.

“Lama tak jumpa Fateh.” Fuad tersenyum mendengar kata‐kata Bidin. Betul, dia juga lama tak dengar cerita tentang Fateh. Fateh, secara umumnya digemari ramai orang, kerana perangainya baik. Dia suka kalau dapat berjumpa balik dengan Fateh.

Jarum jam dinding menunding ke angka sepuluh. Fuad sudah pulang ke hospital, tinggal Irwan dan Bidin beriseng‐iseng minum, sambil mendengar nyanyian penghibur di atas pentas.

“Kau nak berangkat balik KL bila?” Irwan bertanya.

“Habis minum ni, aku gerak terus.”

Jeda seketika. “Irwan.” Irwan menoleh memandang Bidin yang memanggilnya.

“Semua salah aku ke?”

Irwan melepas nafas. Fikiran Bidin nampaknya masih belum lepas daripada soal Shazwan. Rasa bersalah pasti sudah kembali menjajah Bidin. Bidin memenung buah laici yang berguling-guling perlahan di dalam ‘air sampah’ yang masih penuh: gelas ini baru sampai, gelas tadi sudah habis, sudah pun diangkut pergi oleh pelayan. Bidin seperti buah laici itulah, tergulung-gulung dalam rasa bersalah yang meruwatkan. Irwan memandang kipas siling di atas kepalanya.

Kipas, tolong hambat rawan kawan aku yang berasap‐asap ini.

Irwan pandang Bidin, “Sudahlah, Bidin. Benda dah lepas.”

Bidin memandang Irwan semula, kemudian tersenyum sinis. “Senanglah engkau cakap, Wan.... Kau barangkali tak dapat faham.”

“Fahamkan aku.”

Bidin terlongo mendengarkan permintaan Irwan.

“Tak, betul ni. Fahamkan aku. Rasa bersalah kau tu, sampai macam mana?”

“Erm... kejap aku fikir.” Bidin mengusap dagu yang licin tidak berjanggut.

“Aku rasa, ‘rasa bersalah’ ni Tuhan punya hukuman la, Wan.”

Tawa Irwan pecah. Aduhai, inilah dia mentaliti orang ‘konon beragama’. Tuhan kau kerja cuma
nak menghukum saja. Dah lah nak masuk syurga susah. Dah mati nanti kena hukum, tengah
hidup pun kena hukum juga? Irwan menggeleng‐geleng dalam tawa yang masih berekor.
Bidin mencebik. Macam tu lah Irwan. Pantang sebut Tuhan, cebik lah, ketawa lah. Dulu tak
macam ni. Bila dia jumpa Irwan balik dalam beberapa tahun lepas, dia memang dah jadi
macam ni. Tapi, dia malas nak kata apa. Itu hal sendiri‐sendirilah.
“Betullah aku cakap ni. Macam sekarang ni, aku pandang kau, aku rasa bersalah. Walaupun kau
cakap kau dah maafkan aku. Kita dah berkawan balik dah berapa tahun? Keluar makan samasama.
Camping sama‐sama. Tapi sampai sekarang, dengar nama kau pun, aku rasa bersalah,
Wan.”
Tawa Irwan terus mati. Dia memandang Bidin, simpati.
“Aku tak rasa ‘rasa bersalah’ ni boleh hilang pun. Aku rasa aku dah belajar macam mana nak
hidup dengan rasa ni sampai aku mati.”
Irwan menelan liur. Sebak sekejap, tapi dia tak tunjuk pada Bidin. Dia terus meneguk air suam
yang baru dipesannya. Dia terfikir‐fikir, adakah rasa bersalah itu mengikut kenangan seperti
bayang‐bayang mengikut siang? Atau seperti hitam mengikut malam? Kalau kenangan luput,
adakah rasa bersalah itu luput juga?
“Aku rasa Shazwan pun macam tu juga. Cuma beza aku dengan dia, aku tahu kau dah maafkan
aku. Dia tak.”
Irwan tersedak kecil mendengarkan kata‐kata Bidin itu. Dia berdehem beberapa kali, melega
perit di saluran tekaknya yang tersedak air suam. Muka Irwan tak dapat disembunyi, meriak
nyeri. Bidin perasankan itu. Bagai ada yang tidak kena pada kata‐katanya tadi.
“Atau.. kau belum maafkan dia?”
Irwan memandang Bidin, terkejut.
Bidin pula melihat tajam pula ke arah Irwan, menelah riak muka Irwan. Akhirnya Irwan
melarikan pandangan, dan mencapai gelas air suam, dan meneguknya lagi. Jelas buat Bidin,
sendam dendam Irwan terhadap Shazwan nampaknya belum padam. Atau setidak‐tidaknya,
Irwan memaksa diri untuk terus berdendam. Bidin kenal Irwan, dia mungkin degil dan keras
kepala, tapi dia cepat kasihan pada orang. Dia tak percaya Irwan masih simpan dendam
selepas berdepan Shazwan di hospital dalam keadaan begitu.
Habis minum, mereka bersurai. Bidin akan terus memandu balik ke Kuala Lumpur. Malam
masih muda, masih ramai orang Ipoh yang menukang malam. Irwan pula pulang terus ke
rumah, mahu tidur. Dia mahu menukang kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan