Label

Khamis, 5 Januari 2017

NOVEL Terbaik Untukmu Bab41

Petang itu Kak Jah sibuk di dapur menggoreng pisang. Seteko air teh sudah siap dibancuh sebentar tadi. Pagi tadi Bakri ada menghantar mesej kepadanya dia akan pulang ke rumah lewat petang nanti. Bakri meminta Kak Jah menyediakan pisang goreng untuknya. Walaupun perasaan marah sering meladung dalam hati terhadap lelaki itu namun permintaannya tetap juga ditunaikan. Sebagai isteri itu sudah menjadi kewajipannya. Kak Jah reda.

Di usia yang sudah semakin lanjut dan anak‐anak yang sudah meniti dewasa, terasa malu pula mahu bertekak dan bertegang leher dengan Bakri. Biarkan saja Bakri yang marah‐marah. Mulai sekarang Kak Jah mahu bertenang‐tenang saja. Tidak mahu marah‐marah dan meninggikan suara seperti selalu bila berhadapan dengan Bakri. Mak Dara selalu kata kalau suka marah-marah nanti mudah mendapat penyakit darah tinggi. Kak Jah belum bersedia mahu menjemput penyakit. Kak Jah mahu hidup sihat dan dipanjangkan umur. Dia mahu melihat anak‐anaknya membesar, berjaya dalam hidup dan mempunyai keluarga mereka masing-masing.

Tatkala mendengar enjin kereta memasuki halaman rumah, Kak Jah bangkit dari kerusi makan lalu melangkah ke tingkap. Dia mengintai di sebalik kain langsir yang jarang. Jelas kelihatan teksi milik Bakri terpakir berhampiran pintu dapur. Enjinnya masih belum dimatikan. Kak Jah membetulkan kain batik sarung yang dipakainya sebelum dia ke muka pintu untuk menyambut Bakri.



Bakri dan Kak Jah berbalas senyum. Meremang bulu roma Bakri melihat perubahan isterinya itu. Sudah bertahun‐tahun Kak Jah tidak menyambut kepulangannya dengan senyuman seperti petang itu. Tiba‐tiba terasa muda pula.

‘Lain macam aje si Jah ni. Seram pulak aku!’detik hati Bakri sambil melangkah ke muka pintu.

“Assalamualaikum,” ucapnya.

“Waalaikumsalam.” Kak Jah menghulur tangan untuk bersalam lalu tangan suaminya itu dikucup.

“Hasrul mana?” tanya Bakri apabila mendapati rumah itu sunyi sepi sahaja.

“Petang‐petang macam ni, kemana lagi kalau tidak ke padang.” Kak Jah terus ke meja makan.

Tudung saji dialihkan. Aroma goreng pisang menyusuk hidung. Air teh dituangkan ke dalam dua biji cawan.

Bakri ke singki untuk membasuh tangan. Tidak sabar rasanya mahu menjamah goreng pisang. Baunya saja sudah cukup menaikkan selera. Mentelahan pula dia tidak makan nasi tengahari tadi. Sebaik saja dia duduk, dia terus mencapai sekeping goreng pisang dan sekejapan sudah habis ditelan. Kak Jah memerhati sahaja gelagat Bakri.

“Gelojohnya, makanlah perlahan‐lahan. Macam orang tak makan setahun,” sindir Kak Jah.

“Tengah lapar ni. Lagi pun dah lama tak makan goreng pisang,” jawab Bakri.

“Haii.. dekat sekeliling rumah tanam macam‐macam pokok, takkan pokok pisang tak ada?” Kak Jah belum pernah sampai ke rumah Bakri yang satu lagi itu tetapi dia mendapat info dari Arisya.

“Eh eh.. macam tau‐tau aje kat rumah sana tu ada tanam macam‐macam pokok.” Bakri terus mengunyah. Lepas satu keping ke satu keping goreng pisang yang dimakannya.

“Tahulah saya.”

“Ada pasang spy ke?”

“Tak ada maknanya saya nak pasang spy. Banyak kerja lain lagi saya boleh buat.”

“Nak marahlah tu. Tadi bukan main senyum lagi. Ni, cakap sikit dah nak marah.” Bakri meneguk air teh yang sudah suam‐suam kuku.

“Siapa yang marah?” Kak Jah mengerling tajam.

“Awaklah.” Bakri tersengih‐sengih.

“Tak kuasa saya nak marah.” Kak Jah bangkit. Sebelum mereka berbalas pantun, lebih baik dia beredar. “Abang makan malam kat sini ke?” tanya Kak Jah sambil berdiri dekat dengan kerusi yang diduduknya tadi.

“Ya. Malam ni saya tidur sini. Dah lama tak jumpa dengan budak‐budak.” Bakri memerhati sekeliling. “Macam mana dengan pekerjaan Haris? Sejak dah bekerja tak nampak‐nampak batang hidung dia. Dah tak ingatkan saya lagi ke?”

Selama ini Bakri tidak pernah bertanya khabar berita anak‐anak, entah kenapa kali ini lain benar sikapnya.

“Haris elok aje kerjanya. Dia sibuk kerja pagi sampai ke petang, kadang‐kadang sampai ke malam. Abang pun tak pernah ambil kisah pasal mereka,” jawab Kak Jah sambil mengosek beras di singki. Beras disukat lebih dari hari‐hari biasa. Malam itu ahli jemaah untuk makan malam bertambah lagi seorang.

“Jangan semua nak salahkan saya aje.” Bakri menggumam.

“Dia orang tu dah biasa hidup tanpa awak. Selama ni awak tak pernah pun tanya pasal sekolah, ada bukuke? cukup ke duit belanja sekolah? Ada? Ada?” Inilah masanya Kak Jah melempiaskan perasaan yang sekian lama dipendam.

Bakri membatu. Dia mengerling Kak Jah. Sakit hatinya apabila disindir begitu walaupun dia sedar kesilapan diri sendiri.

“Tak adakan?” sambung Kak Jah lagi.

Kalau ikutkan hatinya mahu dia menghamburkan segala kemarahan yang mencengkam di lubuk hati. Kak Jah beristighfar berkali‐kali. Sebagai isteri dia juga perlu muhasabah diri. Bakri itu suami dan bapa kepada anak‐anaknya. Mungkin dulu lelaki itu hanya mengikut kata hati.

Mana tahu barangkali baru sekarang dia mulai sedar dan insaf atas kesilapan kerana mengabaikan isteri dan anak‐anaknya. Sedangkan nabi ampunkan umat, apatah lagi sesama manusia.

“Sayakan ayah mereka, sepatutnya bila saya dah lama tak tunjuk muka, dia orang datanglah cari saya.” Bakri masih tidak mahu mengaku kalah. Keegoannya sukar untuk dibendung.

“Nak cari awak kat mana? Kat stesen teksi?” Kak Jah sudah berdiri dekat meja makan. Sayur sawi di tangan kanan dan pisau di tangan kirinya. Sebentar kemudian dia duduk menghadap Bakri.

“Apa salahnya? Bukan dia orang tak tau, kat situlah saya selalu duduk menunggu pelanggan.”

Bakri meneguk kopi lagi. Entah cawan ke berapa.

“Tak apalah. Selagi saya berdaya dan mampu dengan tulang empat kerat saya ni, saya akan usahakan bagi dia orang tu makan, sekolah,” kata Kak Jah sambil menyiang sayur sawi. Tidak guna mengharapkan simpati orang lain walaupun dari suami sendiri. Perasaan sedih cuba disembunyikan.

“Alhamdulillah. Beruntung saya dapat isteri macam awak. Tak pernah berkira dan pandai cari duit.” Bakri memuji Kak Jah. Bakri malas untuk terus bertekak, sampai bila‐bila pun tidak ada kesudahannya. Dia pulang bukan untuk menuding jari atau saling salah menyalah tapi kerana dia rindukan suasana dulu ketika bahagia bersama Kak Jah dan anak‐anak.

“Nak buat macamana, dah nasib saya,” keluh Kak Jah. Hatinya ngilu.

Sepi.

Bakri dapat merasakan kepedihan yang ditanggung oleh isteri pertamanya itu. Dia bernikah lagi bukan kerana kasih sayangnya terhadap wanita itu sudah pudar. Bukan juga kerana cintanya sudah tiada. Bukan. Sebenarnya dia bernikah kerana terpaksa. Dia telah banyak termakan budi arwah bapa Munah. Oleh kerana desakan hidup, dia banyak meminjam wang daripada bapa Munah. Malangnya dia tidak dapat membayar semula segala pinjaman dan akhirnya dia terpaksa menurut kehendak bapa Munah. Arwah bapa Munah mahu Bakri mengahwini Munah yang sudah janda ketika itu. Mahu tidak mahu, Bakri terpaksa menurut.

Sudah terlambat untuk dikesali. Munah sudah pun menjadi isterinya beberapa tahun yang lalu. Andai boleh diputar waktu, sumpah dia tidak mungkin bersetuju dengan cadangan arwah ayah Munah. Biarlah dia dimaki hamun kerana tidak membayar hutang, dia rela dan sanggup daripada dia menempah masalah dengan meninggalkan isteri dan anak‐anak yang waktu itu masih kecil lagi.

Munah itu suka membebel, tidak pandai memasak dan pemalas. Munah hanya pandai berdandan, suka bertandang ke rumah jiran tetangga dan asyik membazir wang dengan membeli barang‐barang kemas walaupun barang kemas yang ada tidak terpakai. Lagi satu kepandaiannya ialah membuat tempeyek dan dijual kepada jiran‐jiran berdekatan rumah. Itu sajalah kepandaiannya. Sikap dan sifat Munah jauh berbeza dengan Kak Jah. Seperti langit dengan bumi jauhnya.

“Lambatnya Juita balik. Dah petang dah ni,” ujar Bakri memecah kesunyian.

“Kejap lagi baliklah tu,” Baru sahaja habis Kak Jah bercakap, kedengaran bunyi enjin van di luar rumah.

“Panjang pun umur, baru sebut dan muncul,” kata Bakri.

Seketika kemudian, kelibat Juita muncul di muka pintu. Dia memberi salam. Di kiri kanan tangannya penuh menjinjit barang‐barang yang dibawa balik dari gerai. Sebaik sahaja barang-barang itu diletak di atas para, dia mendapatkan Bakri untuk bersalam.

“Dah lama ayah sampai?”

“Dah setengah jam. Ayah dah kenyang makan goreng pisang sepinggan.” Bakri mengerling Kak Jah.

Juita mengangguk. Sudah lama tidak berbual dengan Bakri, Juita berasa janggal. Dia kematian kata‐kata. Tanpa membuang masa, Juita meneruskan kerjanya mengangkut masuk bekas-bekas lauk pauk. Beberapa kali dia keluar masuk rumah melalui pintu dapur. Bakri hanya memerhati dengan hujung mata gelagat anak gadis sulungnya itu. Dia seakan dapat meneka apa yang bersarang dalam fikiran Juita tatkala itu. Dia tidak sepatutnya berasa kecil hati dengan sikap Juita yang kurang mesra dengannya. Itu bukan salah Juita. Bakri akur dan mengaku kesilapan diri yang jarang‐jarang dapat mendekatkan diri dengan anak‐anak sejak dia beristeri dua.

“Mari duduk minum sekali Juita,” pelawa Bakri. Belum terlambat untuk dia belajar untuk mengambil hati anak‐anak.

“Tak apalah ayah. Ayah makanlah. Saya nak mandi dan solat dulu.” Juita meminta diri. Bukan dia tidak sudi tetapi dia berasa kekok untuk berhadapan dan berbual dengan Bakri.

Bakri hanya memerhati Juita dengan ekor mata sehingga hilang kelibatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan