Tujuh hari berlalu. Sunyi. Pilu. Hiba. Ibu pergi dijemput Ilahi, genap tiga tahun lepas, pada tarikh itu jua ayah pergi menemui Ilahi. Aku redha dengan keadaan sebatang kara ini. Sambil tangan mengemas‐ngemas almari solek ibu, ada sepucuk surat ibu titipkan untuk aku. Walau sudah seminggu, namun masih tiada kekuatan untuk aku buka dan baca. Kali ini aku pegang dan tenung lama sampulnya. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk membuka surat ini. Dengan lafaz Allahurabbi, aku buka sampul.
20 Januari 1996
Buat anakku Mustaffa.
Assalamualaikum wahai anak.
Pastinya ibu telah tiada di saat kau membaca surat ini, ibu telah mengikuti langkah ayahmu yang telah pergi dahulu dijemput Ilahi. Kesakitan akibat barah ini yang ibu tanggung telah sampai kemuncaknya. Usah bersedih anakku, hentikanlah air matamu itu. Yakinlah dengan Allah, setiap yang hidup perlu mati.
Anakku,
Mungkin apa yang akan ibu sampaikan dalam surat ini akan mengganggu emosimu. Lapangkanlah hatimu untuk membacanya. Demi kasih sayang ibu kepadamu anak tunggalku, kau tabahlah dengan bait‐bait perkataan ibu. Ibu terlalu sayangkan kamu, wahai anak. Begitu juga dengan ayahmu, ibu terlalu cintakan ayahmu seperimana dia selalu melayani ibu dengan sebaik‐baiknya. Dan surat ibu ini juga akan buktikan cinta ibu kepada ayahmu.
Anakku,
Masihkah kau ingat semasa hari pengebumian ayahmu? Ya, kesedihan yang tidak tertanggung oleh kita berdua. Pemergian yang terlalu mengejut kerana ayahmu tidak pernah mengadu sakit. Pemergiannya akibat sakit jantung bagaikan merentap kebahagian kita. Namun bukan itu yang mahu ibu kenangkan semula. Ada sesuatu yang lebih besar yang perlu kamu tahu dan bertanggungjawab. Perasankah kamu ada seorang wanita bersama seorang anaknya datang semasa pengebumian ayahmu? Wanita yang tak pernah kita lihat di mana‐mana di kalangan keluarga kita. Ibu juga tak pernah mengenali dia.
Anakku Mustaffa,
Wanita itu telah bertemu ibu selepas dua hari pengebumian. Kedatangannya menerangkan kedudukan siapa dia. Wanita itu adalah isteri kepada ayah kamu, sayang. Bagaikan petir memanah jantung ibu di saat itu. Sejuk jari‐jemari, terketap bibir ibu menahan sesuatu perasaan yang tak dapat diungkapkan dengan kata‐kata. Mahu saja ibu meraung sekuat hati akibat kecewa dikhianati oleh seorang lelaki yang bernama suami. Seorang lelaki yang ibu curahkan cinta dan sepenuh hidup ibu untuknya. Ya, sangat pahit untuk ibu terima dan sangat sukar untuk ibu telan kebenarannya. Namun bukti yang dibawa oleh wanita itu amat meyakinkan. Pujuk rayunya jua buat ibu lemah‐selemahnya. Hinggakan ibu tak dapat rasakan denyut nadi lagi di saat itu. Perasaan ibu sangat terganggu dan seumpama ibu tiada pernah berperasaan manusia.
Seingat ibu, mana mungkin ayahmu mempunyai keluarga lain, sedangkan dia amat menyayangi kita, tidak pernah mengabaikan kita dan kewajipannya sebagai ketua keluarga.
Setiap hari rutin ayahmu menjadi imam solat subuh, maghrib dan isya’ kita. Tidak pernah ayahmu keluar malam‐malam bersidai di kedai kopi sambil berborak. Itu bukan sikap ayahmu. Bagi ibu, dialah ketua keluarga yang sangat sempurna di mata ibu yang Allah hadiahkan untuk kita sekeluarga. Namun, apakan daya, takdir bukan mengikut perancangan kita.
Cukup seminggu ibu memikirkan pengkhianatan ayahmu, terbit perasaan ikhlas dan redha. Dan sebenarnya ibu tidak jumpa perasaan dendam, apatah lagi benci pada ayahmu tentang pengkhianatan itu. Dendam tidak pernah wujud dalam hidupku, namun apa yang tinggal hanyalah kekecewaan akibat dikhianati. Dalam kepayahan, keperitan dan kepedihan luka di hati, ibu terima mereka dengan tangan yang terbuka. Semuanya demi cinta ibu kepada ayah kamu. Ibu tidak mahu menyeksa ayah kamu yang sibuk dengan urusan alam barzakhnya. Ibu telah berjanji kepada mereka yang ibu akan menyayangi mereka serta membuat pembahagian harta pusaka ayahmu dengan seadilnya.
Mustaffa anakku,
Sehingga detik ibu tidak berdaya, ibu masih meneruskan tanggungjawab ayahmu menyara hidup mereka. Terutama persekolahan adikmu, Rahman. Dia baru berusia 6 tahun, kanak-kanak dari benih ayahmu. Comel, jatuh cinta ibu memandangnya. Seiras wajah kamu semasa sebaya dia. Sayangilah dia seperti mana ayahmu menyayangi dia, kamu laksanakanlah tanggungjawabmu sebagai abang kepadanya. Sesungguhnya dia anak yatim sepertimu jua,
sayang.
Ibu sangat berharap, agar kamu tidak sedih dan dapat menerima ibu tiri dan adikmu dengan hati yang meluas dengan kasih sayang. Usahlah kamu menyimpan dendam dari khianat ayahmu. Buanglah syak wasangka dalam hatimu, wahai anak tunggalku sayang. Ibu sendiri tidak tahu mengapa ayahmu berbuat keputusan menikahi wanita itu. Tidak adil bagi ayahmu untuk kita pertikaikan persoalan yang dia tidak boleh jawab. Namun, ibu percaya dan yakin bahawa Allah itu sebaik‐baik Perancang. Mungkin ibu juga banyak silapnya terhadap ayahmu dulu.
Mustaffa pengarang hati ibu,
Jalanilah kehidupanmu dengan tabah dan cekal. Ibu sudah tiada ada disampingmu. Takdir Allah itu sangat indah, Dia telah datangkan seorang ibu tiri yang baik untukmu di saat Dia memanggil ibu bertemuNya. Hormat dan sayangi dia sepertimana kamu mengasihi ibu sepenuh jiwamu. Tekunilah pelajaranmu, luaskanlah ilmu agamamu supaya ianya akan menjadi benteng untuk dirimu dan adikmu nanti. Ingat selalu pesan ibu ya, sayang. Antara kamu dan ibu yang tinggal hanyalah limpahan kasih sayang menggunung tinggi, kirimlah sebanyak-banyak doa untuk ibu dan ayah untuk membuktikan cinta kamu kepada kami.
Selepas ini, tiada lagi kata‐kata ibu buatmu, sayang. Simpanlah kemas‐kemas tanggungjawab ini. Semoga kita sekeluarga kembali bertaut di jannah Allah.
Anakku, cinta hatiku, Mustaffa. Ikhlas selamanya, ibumu.
Perlahan aku genggam surat itu dengan titisan air mata lelakiku. “Ibu..” hanya itu yang mampu aku luahkan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan