Label

Rabu, 28 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab38

HOSPITAL Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur. Jarum jam di dinding menunjukkan pukul 10
malam. Ruangmenunggu di luar wad ICU itu memang sepi. Haji Ali, Hajjah Kalsom, Mak Intan dan Mia Salmi masing‐masing duduk diam melayan perasaan. Perasaan sedih dan sebak berbaur menjadi satu. Hajjah Kalsom adalah orang yang paling sedih ketika itu. Dia baru sahaja hampir sembuh dengan penyakit yang dideritainya, kini Luqman Adzlie ditimpa musibah. Haji Ali turut bersimpati namun masih lagi mampu mengawal perasaan. Ada rasa sedih yang amat menggigit tangkai hati Hajjah Kalsom. Sesekali terdengar juga esakannya.

“Sabarlah … perkara sudah terjadi.”

“Tak sangka pulak nak jadi macam ni.”

“Som … kita kena terima takdir dengan redha.”

“Som faham abang … walau redha tapi hati tetap sedih.”

“Doakan biar dia selamat.”

“Betul tu Kak Som … tak baik sedih‐sedih. Semua ini dugaan Allah SWT untuk kita sekeluarga.
Memang kita kena banyak‐banyak bersabar.” Mak Intan cuba menenangkan perasaan kakaknya itu.

“Kak Som baru nak sembuh dari penyakit … tak pasal‐pasal penyakit tu datang balik. Makin susah lagi kami semua.”



“Betul cakap Mak Su tu mak. Kita semua sayangkan Along.” Mia Salmi pula mencelah untuk
menenangkan perasaan ibunya itu.

Hajjah Kalsom terdiam. Kelopak matanya masih berair. Mia Salmi menyapu dengan kertas tisu
baki air mata di pipi ibunya itu. Dia juga diselubungi dengan perasaan sedih. Di saat dia mahu
melanjutkan pelajaran ke Sabah, keluarganya diuji lagi. Luqman Adzlie adalah orang yang sangat dia melanjutkan pelajaran. Dan dia juga orang yang banyak berkorban untuk Mia Salmi dan keluarga. Seminggu lagi dia akan berangkat ke Sabah. Dan yang pasti dalam masa seminggu ini perasaannya akan kembali bimbang. Terasa curiga juga untuk meninggalkan keluarga tercinta dalam keadaan begini. Masih hijau lagi pesanan Luqman Adzlie kepadanya selepas berakhirnya kenduri doa selamat minggu lalu.

“Mia jangan bimbangkan kami semua. Cita‐cita Mia yang paling utama. Abah dengan mak biar
Along yang uruskan. Mak Su pun ada untuk tolong tengok‐tengokkan kalau Along kerja nanti. Along nak Mia fikir dan fokus pada pelajaran nanti.”

“Mia tak tahu nak kata apa‐apa dah. Terima kasih atas sokongan Along dan keluarga. Mia janji tak akan sia‐siakan harapan keluarga kita.”

“Jangan cakap saja. Janji dengan Along!”

“Mia janji. Mia akan buat yang terbaik untuk keluarga kita.”

“Ermm … Along percaya dan yakin. Mia boleh lakukan.”

“InsyaAllah Along…”

“Mia kena kuat semangat walaupun apa dugaan yang datang.”

Hanya kata‐kata dan janji itu yang masih diingat. Bila berlaku keadaan sebegini, goyah juga rasa hatinya. Tidak banyak walaupun sedikit, luntur juga semangatnya itu. Terasa lemah jiwanya apabila diuji dugaan sebegini. Namun janji telahpun dibuat, dan janji itu mesti ditunaikan. Dia juga percaya ada hikmah dari Allah SWT atas dugaan ini. Hikmah yang tersembunyi ini mesti dicari. Dan menjadi kekuatan untuknya menerima dengan iklhas dan redha takdir‐Nya ini.

“Mia akan tunaikan permintaan Along. Mia akan buat yang terbaik demi keluarga kita . Itu janji Mia. Jangan bimbang sebab abah, mak dan Along sumber kekuatan Mia.”

“Errm … macam itulah adik Along. Sentiasa positif dan bersemangat!”

“Mia tak akan berundur walaupun setapak. Mia akan buktikan!”

“Along, abah dan mak akan sentiasa berada di belakang Mia.”

“Terima kasih Along. Itulah sebenarnya sumber kekuatan Mia!”

Jarum masa terus berdetik. Haji Ali sekeluarga tetap sabar menanti di ruang menunggu itu. Ketika itu hanya keluarganya sahaja yang ada. Sejak sampai di hospital tadi, mereka masih belum berkesempatan untuk melihat lebih dekat keadaan Luqman Adzlie. Berdasarkan sedikit maklumat daripada pihak hospital, Luqman Adzlie dikatakan pengsan selepas kemalangan petang tadi. Kaki kanannya patah dan ada pendarahan di dalam otaknya. Sehingga saat itu, mereka semua masih belum mengetahui keadaan sebenar Luqman Adzlie.

“Macam mana dengan keadaan anak saya cik?” tanya Haji Ali sewaktu baru sampai di hospital tadi.

“Apa‐apapun pakcik kena banyak‐banyak bersabar. Buat masa ini pihak doktor sedang berusaha untuk membantu memulihkan keadaannya. Kita sama‐sama berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Pakcik tenang ya …” ujar salah seorang pembantu perubatan yang bertugas di kaunter pertanyaan.

“Tolong kami Cik. Dia satu‐satunya anak lelaki makcik!” Hajjah Kalsom pula bersuara.

Rasa bimbangnya menujah kuat ke dinding hatinya. Perasaannya masih bercelaru. Gundah dan 
gelisah bersilih ganti. Di ingatannya hanya wajah Luqman Adzlie mengisi ruang. Dia masih dalam keadaan terkejut.

“Kami akan buat yang terbaik untuk keluarga makcik. Kepakaran pihak hospital akan membantu menyelamatkan anak makcik.”

“Itulah yang pakcik sekeluarga harapkan.”

“Anak pakcik masih lagi di bilik pembedahan. Saya difahamkan pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya hampir selesai.”

“Maafkan kami sebab benar‐benar tertekan sekarang ini,”

“Saya pun tahu keadaan pakcik dan makcik. Apa kata duduk dulu dan tenangkan fikiran. Anak
pakcik akan selamat … insyaAllah.”

“Moga‐moga … terima kasih Cik.”

“Sama‐sama.”

Lega. Kata‐kata itu bagaikan terapi minda buat Haji Ali. Sebagai ketua dalam keluarga, dia
sepatutnya memainkan peranan untuk menenangkan ahli keluarga yang lain. Terutamanya kepada isterinya, yang masih berterusan bersedih.

“Betul tu Som … biarkan pihak hospital buat kerja mereka. Kita sabar dan doa sama‐sama. Along akan selamat … insyaAllah.”

“Som ibunya abang. Mestilah Som sedih bila keadaan ini berlaku pada Along.”

“Itu abang tahu … abang pun sedih juga. Dia pun anak abang. Masa inilah dia perlukan sokongan kita untuk segera sembuh. Kalau dia tahu kita sedih, tentu dia lagi sedihkan?”

“Entahlah bang … Som memang tertekan. Rasa ragu dan bimbang selalu ada.”

Mak Intan datang menghampiri. Mia Salmi turut memapah ibunya untuk duduk di kerusi.

“Sudahlah tu Som. Jangan fikir yang bukan‐bukan pulak. Ingat Allah … Dia sentiasa ada untuk
membantu kita. Teruslah berdoa untuk Luqman.”

Sudah hampir satu jam mereka menanti di situ. Belum ada apa‐apa perkhabaran tentang Luqman Adzlie. Mereka Cuma diberitahu bahawa Luqman Adzlie sedang menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya. Dianggarkan akan mengambil masa selama 3 jam untuk tujuan pembedahan itu. Mereka tetap sabar menanti. Walaupun dalam debar, segalanya dipasrahkan kepada Allah SWT.

“Mak duduk dulu, biar Mia cari air dan makanan di bawah. Mak nak apa?”

“Tak apalah Mia. Mak tak rasa dahaga ataupun lapar. Kamu belilah apa‐apa pun untuk abah dan Mak Su.”

“Iyalah … nanti Mia belilah apa yang patut.”

“Manissa mana?” Mak Intan pula bertanya.

Di satu sudut lain pula, Manissa turut leka melayan perasaannya. Dia lebih suka duduk menyendiri daripada bersama keluarga Luqman Adzlie. Dalam hatinya turut menumbuhkan rasa kesal kerana belum sempat memohon maaf kepada Luqman Adzlie. Dia tidak menyangka kemalangan telah menimpa lelaki itu. Niatnya ingin mengenali Luqman Adzlie lebih jauh lagi tergendala seketika. Ada rahsia ingin dicari sebalik wajah tampan lelaki itu. Bila diingatingatkan semula insiden dia menyimbah air kotor kepada Luqman Adzlie, dia tersenyum sendirian. Momen itu tetap manis diingatannya. Sampai bila‐bila!

“Kenapa senyum seorang ni?”

Mia Salmi menegur. Manissa tersipu‐sipu malu.

“Errr … tak ada apa‐apalah.”

“Habis tu … sakit!”

“Tak adalah. Kenangan mengusik jiwa!”

“Ermm … sempat lagi Kak Nissa ni. Kita sedih‐sedih, dia sempat layan perasaan.”

“Mana ada? Kak Nissa teringatkan abang Luqman.”

Teringatkan abang Luqman Adzlie? Ayat itu terus melekat di minda Mia Salmi. Biar betul! Di
fikirannya memikirkan sesuatu. Kalaulah betul apa yang sedang difikirkan, memang haru jadinya nanti. Boleh terbalik dunia dibuatnya.

“Biar betul Kak Nissa!”

“Mia cakap apa ni?”

“Dalam hati Kak Nissa ada taman.”

“Jangan nak merepek! Itu bukan yang Kak Nissa sedang fikirkan!”

“Iyalah tu …”

“Dah … jangan nak ingat yang bukan‐bukan. Tak ada maknanya!”

Mia Salmi senyumnya semakin meleret. Manissa terpaksa menahan sabar. Dia sudah dapat mengagak yang Mia Salmi telah tersilap tafsir apa yang ada di hatinya. Dia pun tidak kisah sangat dan tidak ambil hati pun. Niatnya juga sekadar untuk berkawan. Malah tidak lebih dari itu. Kalau pun dia ditakdirkan untuk jatuh cinta, biarlah masa yang menentukan. Takdir jodoh untuknya biar Allah SWT yang menentukan.

“Mia nak ke mana ni?”

“Turun bawah kejap. Nak cari apa yang patut untuk alas perut ni. Jom ikut Mia.”

“Okey jugak … jomlah!”

Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke lif berhampiran. Ketika itu tidak ramai orang kecuali beberapa orang kaki tangan hospital yang sedang bertugas. Sementara itu, Dr. Akhiruddin baru sahaja keluar daripada bilik pembedahan. Langkahnya menuju ke arah seorang jururawat yang sedang bertugas. Dari reaksinya, Dr. Akhiruddin sedang bertanyakan sesuatu. Kemudian jururawat itu menunjukkan isyarat tangan ke arah Haji Karim. Seketika, Dr. Akhiruddin menghalakan langkah kakinya ke arah ruang menunggu itu.

“Ini keluarga Luqman Adzliekah?”

“Iya doktor … saya ayahnya. Macam mana dengan keadaan anak saya doktor?”

“Alhamdulillah … pembedahan telah berjaya dilakukan. Dia semakin stabil.”

“Syukur … Alhamdulillah!”

“Bila kami boleh melawatnya doktor?” soal Hajjah Kalsom mencelah.

“Sabar ya makcik … sekejap lagi makcik boleh melihat keadaan Luqman. Bagi kami masa dalam
setengah jam. Sekarang ini Luqman sedang dipindahkan dari bilik pembedahan ke bilik ICU.
Buat masa ini, Luqman terpaksa guna alat bantuan pernafasan. Esok pagi kami akan cuba buka
alatan itu kalau dia boleh bernafas secara normal. Sebelah petang esok nanti, kami akan
pindahkan dia ke wad biasa … insyaAllah.”
Panjang lebar penerangan diberikan oleh Dr. Akhiruddin. Hajjah Kalsom sudah tidak mampu
bersuara. Perasaannya sangatlah lega dan tidak terucap dengan kata‐kata. Mak Intan memeluk
erat kakaknya itu. Dia turut bersyukur. Haji Ali pulak semakin teruja untuk bertanya. Dr.
Akhiruddin memahami sangat perasaan gembira keluarga Luqman Adzlie itu.
“Terima kasih doktor. Terima kasihlah banyak‐banyak!”
“Itu dah memang tanggungjawab kami. Alhamdulillah.”
“Saya nak tanya sikit boleh doktor?”
“Iya pakcik … apa lagi yang boleh saya bantu?”
“Macam mana kemalangan itu boleh berlaku? Kami memang tak tahu apa‐apa.”
“Ohhh … saya pun tak berapa pasti sebenarnya. Kalau mengikut cerita awal, saksi mengatakan
anak pakcik mungkin terbabas. Apa‐apapun laporan polis sudah dibuat. Nanti pakcik boleh
dapatkan maklumat yang lebih jelas dari pihak polis.”
“Okey … terima kasih sekali lagi doktor. Maaflah … banyak pulak kami bertanya.”
Dr. Akhiruddin hanya tersenyum dan mengangguk tanda memahami. Dia sudah biasa
berdepan dengan keadaan seperti itu. Dia juga amat bersyukur kerana dapat membantu
meredakan perasaan bimbang di kalangan keluarga pesakit. Selain daripada tanggungjawab,
itu juga adalah amanah terhadap kerja yang dilakukan.
“Saya mohon diri dulu. Nak uruskan pesakit lain pulak. Pakcik sekeluarga jangan lagi bimbang.
Luqman akan sihat seperti sedia kala. Sama‐sama kita berdoa dan pakcik sekeluarga adalah
kekuatan untuk Luqman sembuh secepat mungkin … insyaAllah.”
Sambil tersenyum, Haji Ali memandang sayu ke arah isterinya. Hajjah Kalsom kembali berair
kelopak matanya. Dia menangis kegembiraan apabila menerima perkhabaran yang cukup
positif mengenai Luqman Adzlie. Apa yang disampaikan oleh Dr. Akhiruddin sebentar tadi,
memberi kekuatan untuknya terus melihat anak lelakinya sembuh seperti sedia kala. Mak Intan
yang berada di sisinya turut menahan sebak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan