Label

Khamis, 29 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab39

SEMINGGU berada di wad itu, Luqman Adzlie mula berasa bosan. Dunianya bagaikan beku. Dia umpama burung yang terkurung di dalam sangkar. Rasa rimas dan lemas mulai merajai perasaan. Kaki kanannya yang patah masih lagi bersimen. Tangan kanannya juga cedera. Kesan melecet masih jelas kelihatan. Jahitan luka di kepalanya pula semakin mengering. Namun balutan di kepalanya masih lagi belum dibuka.

Wad yang menempatkan Luqman Adzlie memang sepi. Dia berkongsi bilik dengan seorang lagi pesakit. Katil pesakit yang bersebelahan dengannya nampak kosong. Hatinya bertanya-tanya ke mana perginya pesakit itu? Susunan cadar dan bantal di katil nampak kemas. Pesakit yang dikenali sebagai Amirul itu merupakan seorang pelajar berusia 16 tahun. Dia juga kemalangan akibat terjatuh daripada basikal. Kedua‐dua pergelangan tangannya patah. Sudah hampir sebulan dia menghuni di wad yang sama itu.

“Selamat pagi Luqman …”

Kedengaran suara Kak Zaidah, jururawat yang bertugas pagi itu menegurnya. Seminggu berada di wad hospital itu, hubungannya beberapa jururawat yang bertugas semakin rapat. Dalam ramai‐ramai itu, Kak Zaidah adalah jururawat yang paling peramah.

“Selamat pagi kembali kak.”



“Macam biasa … akak nak ambil BP.”

“Silalah kak.”

Zaidah meneruskan kerjanya. Alat untuk mengukur tekanan darah dipasangkan pada lengan kanan Luqman Adzlie. Sebentar kemudian, Zaidah mencatit bacaan yang terdapat pada meter di fail pesakit.

“Macam mana kak?”

“Ermm … hari ini tekanan darah kamu normal. Atas 120 dan bawah bacaannya 80.”

“Alhamdulillah.”

“Ubat dah makan?”

“Belum lagi. Nanti sekejap lagi saya makan.”

“Walaupun tekanan darah kamu normal, ubat tetap kena makan.”

“Terima kasih kak … tolong ingatkan saya.”

Sempat juga Zaidah mengerling sejambak bunga mawar merah di sisi katil Luqman Adzlie. Dalam keadaan bilik yang berhawa dingin itu, terhidu juga bau harum kelopak‐kelopak mawar merah yang sedang berkembang itu.

“Wah! Untunglah … hari‐hari dapat bunga.”

“Apa yang untungnya kak?”

“Mesti dari insan tersayang!” usik Zaidah lalu tersenyum meleret.

“Untunglah sangat. Saya sendiri tak tahu siapa pengirimnya.”

“Pelik! Bukankah ada kad ucapannya tu?”

“Memanglah kak ada kadnya tapi hanya ucapan yang ada. Nama pengirimnya memang tak ada.”

Pada mulanya Luqman Adzlie berasa agak pelik. Dia tidak tahu siapakah gerangan yang memberikan jambangan bunga mawar setiap hari kepada. “Semoga cepat sembuh” itu sahaja ayat yang mengiringi jambangan bunga mawar itu. Pada awal sangkaannya, ini tentu kerja Syafika Aziera. Namun bila hari bersilih ganti, bayang tunangannya itu tetap tidak kelihatan.

Lagi pun dia memang tidak memberi tahu kepada Syafika Aziera kemalangan yang menimpa dirinya. Dengan kawan‐kawan sepejabatnya juga dipesan supaya berdiam diri.

Hubungan dengan tunangannya itu sejak akhir‐akhir ini memang tidak berjalan lancar. Ada sahaja perselisihan yang berlaku antara mereka berdua walaupun disebabkan perkara yang sekecil kuman. Syafika Aziera cepat terasa hati dan mudah merajuk. Pening juga kepala Luqman Adzlie memikirkannya. Ditambah lagi beban kerjanya yang semakin menuntut banyak tenaga dan masa. Dia perasan perhatiannya kepada tunangannya itu agak berkurangan namun itu bukan bermakna dia tidak sayang kepada Syafika Aziera.

Wajah ayu Syafika Aziera muncul di ingatannya. Kalau dia marahkan sangat pun, mengapa saban hari jambangan mawar merah itu menjadi taruhannya? Kalau bukan daripada Syafika Aziera, siapakah pula gerangannya? Memang pelik bin ajaib!

“Kak Zaidah nak bunga tu ambillah.”

“Ehh … tak apalah Luqman. Biarkan jambangan bunga mawar tu di situ. Baik juga untuk terapi minda. Bunga tu bukan untuk akak tapi untuk kamu.”

“Ada‐ada saja Kak Zaidah ni!”

“Cium bau yang wangi‐wangi … biar kamu cepat sembuh. Err … biar akak pergi dulu. Jangan lupa makan ubat tu.”

“Iyalah kak. Terima kasih sekali lagi.”

Luqman Adzlie masih lagi berfikir. Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Kak Zaidah sebentar tadi. Setiap kali dia bangun pagi, dia akan tercium bau wangi jambangan mawar merah yang hampir dengan kepala katilnya itu. Semerbak harumnya menjangkau seluas bilik wad itu. Boleh dikatakan pada setiap pagi jambangan mawar itu akan bertukar yang baru. Dan kata‐kata ucapan pada kad di jambangan itu tetap kata‐kata yang sama juga. Memikirkan hal itu membuatkan kepalanya menjadi pusing. Suatu hari nanti akan terbongkar juga rahsia ini, desisnya sendirian. Belum sempat Zaidah bergerak meninggalkan Luqman, dia disapa kembali oleh Luqman Adzlie.

“Mana perginya pesakit sebelah saya ni kak?”

“Ohhh … maksud kamu Amirul? Dia dah keluar petang semalam.”

“Iya kak. Masa bila pulak? Tak perasan pulak saya.”

“Mana kamu nak perasan, masa tu kamu pergi buat fisio terapi.”

“Ermm … makin bosanlah saya duduk seorang kat sini.”

“Dalam bilik ni memang kamu seorang tapi kat luar sana ramai lagi yang ada. Malah lebih teruk daripada kamu. Kamu patut bersyukur!”

Terdiam seketika Luqman Adzlie apabila diingatkan oleh Zaidah. Dia sepatutnya bersyukur kerana sudah selamat menjalani ujian hidup yang sangat kritikal. Pembedahan di kepalanya sudah selamat malahan dia kini dalam proses pemulihan. Selain keluarganya, rakan‐rakan sepejabat juga rajin datang melawat. Malah tiga hari pertama dia di wad, keluarganya sanggup berkampung di hospital itu demi untuk menjaganya. Sanggup mereka lelap di kerusi menunggu semata‐mata untuk memastikan dia segera sembuh. Besar sungguh pengorbanan mereka. Terasa sungguh memang dirinya sangat disayangi. Mahu bergenang air matanya mengingatkan semua itu.

“Along kena kuat semangat,” ujar Mia Salmi yang mahu abangnya itu tabah dengan dugaan yang diterima.

“Kami semua tetap ada di sisi Along. Kami semua sayangkan Along.” Hajjah Kalsom turut memberi kata‐kata perangsang untuk Luqman Adzlie.

Kata‐kata itu yang masih lagi diingat selepas membuka mata selepas dipindahkan dari wad ICU ke wad biasa. Selepas kemalangan tempohari, dia memang tidak dapat mengingat apa-apa. Musibah yang datang itu secara tiba‐tiba. Ketika itu hujan gerimis mula turun, dia baru pulang daripada tugasannya. Siri kisah gadis perhubungan pelanggan yang ditulisnya masih belum sampai ke penghujungnya. Setiap hari ada sahaja cerita baru dunia hitam GRO yang ingin dipaparkan. Dia juga masih ingat, sebuah kereta yang sangat hampir dengan keretanya sebelum kemalangan itu berlaku. Sama ada jalan licin atau dikhianati, dia sendiri tidak begitu pasti yang mana satu punca kemalangan itu.

“Macam mana Along boleh kemalangan?” soal Hajjah Kalsom, orang yang paling bimbang apabila melihat keadaan Luqman Adzlie.

“Entahlah mak … Along tak berapa nak ingat.”

“Berapa kali mak dah pesan pada Along? Kerja yang Along buat ni sangat bahaya. Tulis pulak kisah‐kisah macam tu. Memang bahaya Along!”

“Perkara dah jadi Som. Kenalah banyak‐banyak sabar.”

“Memanglah kena banyak sabar bang tapi jangan sampai nyawa jadi taruhan pulak!”

“Dah itu tanggungjawab dia … nak buat macam mana?”

“Bahaya jangan dicari bang. Kita boleh menolak musuh jika kita mahu.”

“Itu kata awak Som. Kata Luqman awak tahukah?”

“Som lagi dulu lagi memang tak suka dia kerja macam ni. Memang bahayakan diri!”

“Kerja tu tak bahaya Som tapi kenalah pandai jaga diri. Dia lelaki dan kita tak boleh halang dia. Apa kata orang, malang memang tak berbau.”

“Sebab tak berbaulah buat Som selalu bimbang. Sekarang dah berlaku, siapa yang susah?”

Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Luqman Adzlie tepaksa menahan telinga mendengar sedikit pertelingkahan kata antara ayah dan ibunya. Memang sejak dahulu lagi ibunya memang tidak menggalakkan dia berkerjaya sebagai seorang wartawan. Lebih-lebih lagi wartawan di meja jenayah. Akhirnya kebimbangan ibunya terjawab sudah. Bagi Luqman Adzlie itu semua adalah asam garam dunia kewartawanan. Dia mesti berani berdepan dengan apa‐apa sahaja demi satu berita yang sangat berharga. Bukan dia tidak pernah dapat ugutan malah sudah beberapa kali talian telefon bimbitnya bertukar nombor. Semuanya gara-gara individu yang tidak berpuas hati tentang artikel yang pernah ditulis. Pernah juga menggemparkan apabila sebutir kelongsong peluru dihantar kepadanya. Dia tetap juga bersabar.

“Sudahlah ayah … mak. Tak usah nak berbalah lagi pasal Man. Lepas ini Man akan lebih hati-hati lagi.”

“Kalau dulu lagi Man dengar cakap mak, dah tentu tak jadi macam ni!”

“Awak tu Som … sudahlah tu. Nanti lagi sakit telinga Man mendengar bebel awak tu!”

“Biar dia sakit telinga dengar bebelan saya ni. Dia anak saya bang!”

Dalam rasa sakit yang masih bersisa di anggota badannya, Luqman Adzlie hanya mampu tersenyum. Dia tahu, segala bebelan dari ibunya itu menandakan dia sangat disayangi. Dia rasa sangat beruntung memiliki keluarga penyanyang sebegitu. Antara dia dan adiknya, Mia Salmi kasih sayang buat mereka sama sahaja. Tidak yang lebih ataupun kurang. Cuma sebagai seorang abang dia lebih banyak mengalah. Tanggungjawabnya kepada keluarga tidak akan dilupakan.

“Anak awak … anak abang jugakan? Sudahlah tu … kesian anak kita ni, biarlah dia berehat dulu.”

“Som bukan apa bang, dia satu‐satunya anak lelaki kita. Pada dialah kita nak bergantung harap. Kalau dia dah sakit macam ni … memang susah hati Som.”

“Yang penting sekarang dia dah selamat. Minta‐minta dia cepat sembuh dan boleh bekerja semula seperti sedia kala.”

Sambil duduk di sebelah kiri birai katil yang menempatkan Luqman Adzlie, Hajjah Kalsom memicit‐micit perlahan anggota badan anaknya yang tidak cedera.

“Mak dan abah terpaksa balik kampung petang ini jugak. Sudah seminggu kami di sini, rumah tak ada siapa yang tengok. Bimbang jugak hati mak, maklumlah sekarang banyak penyamun tarbus di kampung tu.”

“Tak apalah, mak dan abah baliklah dulu. Man tak apa‐apa dah.”

“Rasanya kami naik bas saja. Mak Intan pun ikut sekali.”

Naik bas? Ke mana pula perginya Manissa? Sudah balikkah dia? Mia Salmi, adiknya juga tidak kelihatan. Mata Luqman Adzlie memilau mencari sesuatu. Setiap sudut di dalam bilik wad itu menemukan pandangannya yang hampa. Mak Intan perasan reaksi yang ditunjukkan oleh anak saudaranya itu. Sekilas riak di muka Luqman Adzlie dia sudah dapat mengagak apa yang terbuku di hati.

“Hmm … kamu ni kenapa? Apa yang kamu cari?” tukas Mak Intan sekadar mahu menguji Luqman Adzlie.

“Dia orang mana? Err … maksud Man, Mia dan Nissa.”

Mak Intan tersengih menampakkan gigi. Hajjah Kalsom dan Haji Ali turut sama tersenyum. Reaksi itu mengundang rasa ingin tahu di hati Luqman Adzlie.

“Mengapa dengan semua orang ni? Jangan fikir yang bukan‐bukan pulak!”

“Jangan cari nahas Man!” ujar Haji Ali, sambil disambut gelak kecil daripada Hajjah Kalsom dan juga Mak Intan.

Luqman Adzlie faham apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Dia juga masih ingat yang dia sudah menjadi tunangan Syafika Aziera. Ini juga tidak bermakna dia tidak boleh berkawan dengan orang lain, terutamanya perempuan. Dia rasa sangat terbuka dalam soal berkawan dan masih boleh membezakan antara kawan dengan kekasih. Cuma di pihak Syafika Aziera mungkin tidak boleh menerima kenyataan ini. Logiknya, memang perempuan tidak suka diduakan oleh kekasihnya.

Entah mengapa, hatinya terasa ingin mengenal lebih rapat dengan perempuan yang bernama Manissa itu. Bukan kerana paras rupa yang cantik. Bukan juga atas ramah dan budi bahasanya. Perasaan itu datang secara tiba‐tiba. Benarkah kata orang, insan yang dibenci akhirnya menjadi orang yang kita rindu? Dirinya terasa di awang‐awang. Ombak di dadanya mula mengundang debar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan