Label

Selasa, 13 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab25

AKU mengeliat perlahan untuk melegakan urat‐urat badanku yang lenguh. Hari ini aku dikulikan lagi. Semua kerja menaip diserahkan kepadaku. Aku intai‐intai juga gelagat Erna yang berada di sebelah mejaku. Dia masih seperti awal perkenalan kami. Kegiatannya di tempat kerja masih sama. Asyik benar dia melayan laman sosial ketika waktu bekerja. Waktu rehat pula Baya ada urusan lain yang perlu diselesaikannya dan dia mengambil cuti separuh hari. Kawan‐kawan yang lain pula masing‐masing ada date. Aku mati akal kerana tidak membawa bekal hari ini. Nak keluar makan seorang diri rasa janggal pula. Nak naik ke tingkat atas pula, awal‐awal lagi encik Awal dah mesej aku bagitau dia ada meeting penting tengahari ini.

Arghhh..aku rasa macam nak menjerit saja bila tiba‐tiba semua orang di sisi aku sibuk dengan urusan masing‐masing. Bila berhadapan dengan masalah macam ni, keputusan yang aku ambil adalah makan di dalam pantry seorang diri.

Aku masuk ke dalam pantri dan membancuh minuman yang memang disediakan. Adakalanya kami membawa sendiri minuman kegemaran kami terutama minuman segera yang telah dipaketkan. Aku juga selalu meletakkan makanan seperti biskut, mee segera cawan dan minuman paket di dalam pantri. Bila keadaan terdesak macam ni makanan segera ini yang akan menjadi habuan perut kami.



Aku mencapai mee segera yang berperisa tomyam. Aku buka penutupnya dan mula membuka
perencah, kemudian aku masukkan air panas. Biarkan seketika dan aku mengacau minuman di dalam mug. Selepas beberapa minit aku mula menghirup minuman aku dan mengacau pula mee segera yang telah kembang. Haruman mee segera terus meresap masuk ke rongga hidungku. Aku sudah menelan liur sebelum mee segera masuk ke dalam mulut.

‘’Assalamualaikum. Makan mee segera?’’ aku baru nak menelan mee segera yang sudah masuk ke dalam mulutku bila ada suara yang menegur. Mengelabah aku beberapa saat bila orang yang menegur aku sudah merenung tajam ke arahku.

‘’Ehh, encik Aaaa..Madri?’’ perasaan gugup aku masih berterusan. Nyaris‐nyaris aku memanggilnya encik Awal sedangkan semua pekerja di sini memanggil dia dengan nama Madri. Aku baru perasan setelah aku tahu dialah CEO syarikat ini. Rupanya nama Awal itu hanya sahabat‐sahabat baik dan keluarga saja yang panggil.

‘’Kenapa tak keluar makan ni? Apa semua ni? Dari mana datang mee segera ni?’’ dia terus menyoal tanpa mempedulikan perasaan serabut aku ketika ini. Serabut sebab tiba‐tiba saja dia muncul di depan aku di dalam pantri department kami. Nasib baik semua pekerja sudah keluar makan.

‘’Biasalah encik Madri. Semua makanan ni memang ada dalam pantri ni. Makanan emergency kami saat‐saat darurat macam ni,’’ aku berkata sambil tersengih.

Dia sudah duduk sambil mencapai mug minuman aku. Dihirupnya minuman aku dengan selamba. Dia capai pula cawan mee segera aku dan merasanya. Sesuap, dua suap dan dalam sekelip mata dia sudah menghabiskannya. Telan liur aku melihat gelagat bos aku ini. Serius, aku ingatkan dia akan terus berleter kerana aku makan mee segera. Tak sangka licin disapunya mee segera aku tu.

‘’Ini kali terakhir awak makan makanan segera ni. Kalau saya tengok lagi awak makan, siap awak, saya kerjakan,’’ aku terkebil‐kebil memerhatikan wajah encik Awal. Dia yang habiskan, aku pula yang kena. Aku bukan selalu makan pun mee segera tu. Cuma sesekali saja bila datang mod tak elok atau saat‐saat darurat seperti ini.

‘’Siapa yang makan tadi? Orang baru saja makan sesuap, bos dah habiskan.’’ Aku berkata sambil mengusap perut kerana lapar. Dan perut aku tiba‐tiba berkeriut kuat. Aku terus pandang wajah encik Awal dan dia juga sedang memandang aku. Beberapa detik kemudian dia sudah bangun dan menarik tangan aku.

‘’Jom, kita makan di luar. Abang masih lapar lagi ni,’’ aku mematikan langkah. Rasa macam nak
menangis saja bila dia buat perangai macam ni. Lupakah dia dengan janji‐janji dia untuk membuat hal masing‐masing di tempat kerja?

‘’Tapi bos, kan bos dah janji,..’’ aku tak menghabiskan ayat‐ayatku. Dia menoleh ke arahku dan
melepaskan tanganku tanpa dipinta.

‘’Meeting ditunda, abang ingat nak ronda saja tadi. Tapi bila tengok orang kesayangan abang ni hanya makan mee segera saja, abang terus lupa janji. Sayang suka sangat buat abang risau. Lepas tu bila abang ambil tindakan drastic macam ni, sayang mula nak protes. Cuba jaga diri sendiri, jangan buat abang risau,’’ encik Awal mula berleter sambil menayang wajah seriusnya.

Aku menghela nafas perlahan. Kena lagi.

‘’Encik Madri, buat apa di sini?’’ aku baru nak buka mulut untuk menjawab, terdengar suara orang lain pula di muka pintu pantri. Mengelabah juga aku dibuatnya bila Puan Salina sudah mula melangkah ke arah kami.

‘’Saya tengah basuh baju, basuh pinggan mangkuk. Awak tak nampak ke?’’ encik Awal menjawab pertanyaan Puan Salina dengan suara tegas. Aku sudah mengecilkan mataku sambil dahi aku berkerut seribu. Sejak bila pula bos aku ni sudah pandai berloyar buruk macam ni?

‘’Izz Zahrah Hasyilla, awak tunggu apa lagi? Sekarang ni siapa bos, saya atau awak? Jomlah cepat, takkan nak tunggu masa rehat habis baru awak nak melangkah? Berat sangat ke kaki awak tu? Takkan dah kena rantai dengan rantai besi satu tan pula sampai tak boleh lagi nak berjalan?’’ aku tergaman lagi mendengar suara encik Awal yang ditujukan untuk aku. Aku pandang wajah Puan Salina dan wajah encik Awal silih berganti.

‘’Awak nak suruh saya tarik tangan awak, baru awak nak jalan ke?’’ encik Awal berkata lagi sambil mula mengangkat tangannya. Aku melangkah setapak ke belakang.

‘’Okey! Saya ikut bos. Tak perlu bertindak lebih‐lebih. Bos menang, saya kalah. Jom kita pergi 
sekarang. Masa berjalan, lambat pula nanti untuk masuk bekerja semula. Puan, saya keluar dulu ya?’’ sambil melangkah aku juga sempat menegur Puan Salina yang masih terkebil‐kebil dengan jawapan selamba encik Awal tadi. Mungkin Puan Salina pun tak menyangka encik Awal akan menjawab sedemikian. Aku sendiri pun terkejut mendengar kata‐katanya tadi.

‘’KITA nak makan di mana?’’ encik Awal menyoal aku bila kami sudah berada di depan pintu lift. Aku melihat jam di tangan. Waktu rehat cuma tinggal setengah jam saja lagi. Café di sebelah pejabat mungkin sudah penuh dengan pekerja syarikat kami. Takkan aku nak tayang wajah selamba bila dah keluar makan dengan bos?

‘’Mana‐manalah bos, asalkan tak ada orang nampak.’’ Aku menjawab sambil lewa saja.

‘’Kalau macam tu kita masuk hutanlah. Lepas tu kita order saja makanan dengan orang bunian.
Manalah tahukan terjumpa perkampungan orang bunian,’’ aku mengerut keningku. Apa kena dengan encik Awal hari ini? Semborono saja dia menjawab.

‘’Kenapa dengan bos hari ni? Tadi bos jawab sebarangan saja bila Puan Salina tanya bos. Ini, dah ajak masuk dalam hutan pula. Sejak bila bos belajar ilmu ghaib ni? Nak masuk perkampungan orang bunian bagai. Bos sihat ke tak ni?’’ aku luahkan kata‐kataku yang penuh dengan kemusykilan. Aku dengar dia ketawa dan menoleh ke arahku.

‘’Kata tadi nak pergi tempat yang orang tak nampak? Kena masuk hutanlah sebab dalam hutan saja tak ada orang pun.’’ Aku sudah mengebam bibir menahan geram. Oh! Dia kenakan aku rupanya? Hampeh! Huhuhu..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan