Label

Rabu, 14 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab21

‐Tahun 2005‐

Fikri berlari laju menghampiri muka pintu. Teksi yang menghantarnya ke sini sudah mula membelah jalan. Dicampakkan beg sandang ke atas tanah. Sepantas kilat tangannya mengetuk daun pintu yang masih tertutup rapat.

“Assalamualaikum. Balkis. Buka pintu ni Balkis.”

Masih tiada sahutan mahupun balasan salam yang dihulurkan. Suasana rumah wan dan atuk Balkis masih sepi. Namun jika dilihat pada tingkap rumah yang terbuka, Fikri yakin yang rumah ini berpenghuni.

“Assalamualaikum. Balkis. Buka pintu ni Balkis. Ni Abang Fikri. Balkis, tolong buka pintu…
Balkis.”

Debaran kian menyesakkan dada dan permata yang ditahan tidak mampu lagi disangkalkan
kehadirannya.

“Balkis… Tolong buka pintu ni Balkis. Abang merayu pada Balkis. Tolong jangan buat abang macam ni. Tolong buka pintu ni Balkis.”



Rayuan yang diselang‐selikan dengan tangisan masih tidak mampu menghadirkan bayangan Balkis di muka pintu yang masih tertutup rapat.

“Balkis!!! Buka pintu ni. Buka pintu ni Balkis!”

Kali ini Fikri berteriak sedikit dengan harapan agar Balkis dapat mendengarnya dan tangan yang mengetuk permukaan kayu itu masih digerakkan laju agar ketukan dapat menggemakan penghuni di dalamnya.

“Balkis… Tolong jangan buat abang macam ni… Abang tahu apa yang telah berlaku semalam.
Mashitah dah menjelaskan segala‐galanya pada abang. Abang rayu pada Balkis untuk berikan abang peluang bagi memperbetulkan semuanya. Abang akan pastikan segala caci maki nenek takkan mengubah keputusan abang untuk menyunting Balkis. Kita tak payah bertunang. Kita terus nikah je. Bolehkan Balkis? Tolong… Tolonglah Balkis. Tolonglah buka pintu ni. Abang terlalu sayangkan Balkis. Hanya Balkis sahaja yang ada di hati abang. Abang tak mungkin dapat menyintai insan lain sepertimana abang menyintai Balkis. Tolonglah Balkis. Tolong buka pintu ni. Abang merayu…”

Tangisan Fikri sudah beria. Terduduk Fikri saat dirinya tidak mampu untuk mengawal kesedihan di hati.

Kelopak mata yang berkedut itu sudah tidak mampu untuk menjadi benteng pertahanan. Air mata yang ditahan‐tahan akhirnya pecah jua membanjiri wajahnya. Tersedu‐sedu Hajah Faaidah saat telinganya menangkap tiap patah perkataan yang keluar dari mulut insan yang amat menyintai cucunya. Sungguh! Dia amat merelakan malahan bersyukur kerana pemuda sebaik Fikri telah menjadi pilihan cucunya. Tapi sayang… Segala apa yang dirancang dan diimpikan tidak mungkin dapat dijadikan sebagai sebuah kenyataan. Hancur lagi hati tuanya saat mindanya terimbau kejadian semalam. Betapa kesedihan dan kekecewaan serta kesengsaraan yang melingkari jiwanya ketika cucu kesayangan dimaki hamun dan diherdik dengan kata‐kata penghinaan. Andai dirinya terlalu kecewa… Apakah pula perkataan yang paling sesuai dapat digunakan untuk menggambarkan perasaan Balkis pada tika itu?

“Sabarlah Idah. Kita kena kuat demi masa depan Balkis.”

Haji Wahab memeluk isterinya yang sedari tadi berdiri di balik pintu. Pintu utama itu sudah tidak lagi menerima tamparan dari tangan Fikri. Namun rayuan daripada pemuda itu masih kedengaran.

“Balkis… Buka pintu ni. Abang sanggup datang dari Singapura semata‐mata untuk bertemu dengan Balkis. Tolong buka pintu ni Balkis. Kalaupun Balkis dah bencikan abang kerana kata-kata
penghinaan daripada nenek semalam, abang tak kisah. Tapi, sekurang‐kurangnya bagilah peluang dekat abang untuk menatap wajah Balkis biarpun hanya sekali. Tolonglah Balkis. Abang merayu…”

Mashitah yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati dari rumahnya berlari mendapatkan abangnya.

“Abang.”

Fikri pantas berpaling. Dilihat wajah adiknya yang sudah dibasahi air mata. Mashitah merapati
abangnya dan mereka akhirnya berpelukan.

“Adik. Tolong abang dik. Tolong pujuk Balkis untuk buka pintu ni. Tolong dik. Tolong abang.”

Kian sayu hati Mashitah mendengar rayuan itu. Setelah lama mereka menjadi adik beradik, inilah kali pertama dia melihat abangnya beria‐ia mengalirkan air mata menandakan kesedihan sedang menguasai jiwanya.

“Adik. Adik dengan tak? Tolong dik. Tolong pujuk Balkis untuk buka pintu ni.”

Fikri meleraikan pelukan. Wajah adiknya dipandang dengan penuh pengharapan, namun belum sempat Mashitah menjawab apa…

Krekkk…

Terdengar pintu yang sedang dibelakangi Fikri terbuka. Sepantas kilat Fikri memusingkan badannya dan berdiri, Mashitah turut melakukan perkara yang sama.

“Tuk. Mana Balkis tuk. Tolong panggil Balkis keluar.”

Wanita tua yang sedang menangisi nasib cucunya itu hanya membisu. Wajah Fikri juga tidak mampu untuk dipandangnya. Setiap kali Faaidah memandang pemuda di hadapannya ini, pasti kesedihannya memuncak kembali.

“Tuk. Kenapa tuk diam je ni? Tuk… Fikri tahu yang tuk bencikan Fikri setelah apa yang berlaku
semalam. Tapi… Kalau Fikri ada semalam, sampai mati pun Fikri takkan biarkan nenek
mengeluarkan kata‐kata kejam macam tu. Percayalah tuk. Fikri terlalu sayangkan Balkis. Mana
mungkin Fikri boleh mendiamkan diri mendengar semua kata‐kata penghinaan dan cacian itu.
Percayalah tuk.”

Mana mungkin Faaidah tidak percayakan semua itu. Sedari kecil dia mengenali siapakah Fikri.
Seorang pemuda yang sememangnya sepadan andai digandangkan dengan cucu tunggalnya itu. Bencikah dia kepada Fikri? Tidak! Dia tidak pernah membenci pemuda ini. Apa yang ada di dalam hati Faaidah ketika ini adalah rasa terkilan. Terkilan kerana tidak mampu untuk membantu kedua insan yang saling menyintai untuk menyambung kasihnya.

“Sudahlah Fikri. Kamu baliklah. Tak ada gunannya kamu menangis dan merayu di sini. Sudah
terlambat.”

Haji Wahab yang sedari tadi membisukan mulutnya, kini sudah bersuara.

“Sudah terlambat? Apa maksud wan?”

Bukan setakat Fikri, malahan Mashitah turut memandang tepat ke arah bekas guru mengajinya itu.

“Balkis… Balkis dah tak ada di sini.”

Bersama tangisan Hajah Faaidah menuturkan kenyataan itu. Wahab memegang erat bahu isterinya.

Terduduk Fikri. Otaknya tiba‐tiba menjadi kosong. Tidak tahu untuk berfikir apa. Namun tangisan kian bermaharajalela saat rasa sedih ditekan ke dalam jiwanya. Sedih kerana dia terlewat untuk menghalang pemergian Balkis!

Mashitah melihat seraut wajah yang menuturkan kenyataan tentang sahabat baiknya itu. Tentang pemergian Balkis yang entah ke mana. Di sebalik kesedihan yang digambarkan dengan linangan air mata dan sendu yang masih berbunyi terpampang sebuah kebenaran tentang kata‐katanya sebentar tadi. Tuk berkata benar! Tapi ke manakah menghilangnya Balkis?

“Puaslah hati nenek sekarang! Sampai hati nenek buat macam tu pada Balkis!”

Jeritan Fikri sedikit pun tidak menghadirkan rasa takut ke dalam diri Aiton.

“Memang aku puas! Hei! Kau dengar sini baik‐baik Fikri. Dalam keturunan aku, tak pernah ada
orang yang beristeri atau bersuamikan anak luar nikah. Masalahnya sekarang ni, budak sial tu bukan sahaja anak luar nikah. Tapi dia lahir hasil hubungan mak dia dengan atuk saudara dia. Bukalah sikit mata kau tu. Takkan budak hina macam tu yang kau nak jadikan isteri! Apa, dah tak ada perempuan lain ke dalam dunia ni yang boleh kau pilih?”

“Astaghfirullahal azhim.”

Fikri beristighfar di dalam hati. Andai tidak diingatnya wanita tua di hadapannya ini adalah neneknya sendiri mahu sahaja ditangankannya muka berkedut itu.

“Kenapa kau diam? Sekarang ni baru otak kau yang bodoh tu boleh berfikir! Boleh kenal siapa
Balkis tu yang sebenarnya?”

“Ya. Baru sekarang saya dapat berfikir dan dapat mengenali. Tapi bukan mengenali Balkis… Nenek! Baru sekarang saya dapat berfikir kenapa selama ini ramai mak cik‐mak cik dan pak cik‐pak cik saya bencikan nenek! Semuanya kerana hati nenek yang busuk tu!”

“Kurang ajar!”

Ishak hampir sahaja hendak menghalang tingkah mak mentuanya itu. Tetapi ternyata Fikri lebih pantas menahan telapak tangan tua itu dari mengenai pipinya.

“Nenek dengar sini baik‐baik! Saya takkan izinkan pipi saya ni kena penampar nenek kalau saya tahu yang saya tak bersalah. Nasib baiklah nenek ni mak kepada mama saya. Kalau tak, dah lama saya lempang mulut celupar nenek tu sebab menghina Balkis. Kalau nenek nak tahu, Balkis lebih suci dan lebih mulia jika dibandingkan dengan keturunan‐keturunan nenek yang kononya tak pernah melahirkan anak luar nikah tu!”

Dicampakkan tangan tua itu sebelum kakinya mengatur langkah. Zawiyah hanya mampu
mengalirkan air mata. Tidak betah untuknya membela sesiapa, kerana kedua‐duanya insan yang amat dikasihinya. Antara anak dan ibu, siapakah yang harus didahulukan?

“Aku tak kisah kalau kau nak cakap apa pun. Tapi keputusan aku muktamad. Kau tak boleh
berkahwin dengan Balkis!”

Mendengarkan itu, Fikri pantas mematikan langkahnya. Amarahnya memuncak kembali.
Dipusingkan badannya dan direnung tajam wanita tua yang terlihat kecil di matanya saat ini.

“Nenek tak ada hak ke atas saya!”

“Aku ada hak! Dan di atas hak itu, aku dah aturkan jodoh kau dengan anak kawan aku di kampung!”

“Nenek!!!”

Kali ini jeritan Fikri benar‐benar menakutkan Mashitah dan kedua ibu bapanya. Namun neneknya itu tetap sahaja beriak selamba. Tidak terkesan langsung kegerunan di wajah tua itu. Mashitah laju mendapatkan Fikri. Dipeluk tubuh abangnya seketika sebelum membawanya pergi.

“Adik kenal budak perempuan tu?”

Masih ada sisa permata di kelopak mata Fikri.

“Siapa?”

“Budak perempuan yang nenek nak jodohkan dengan abang.”

“Tak. Adik tak kenal dan tak nak kenal. Bagi adik, adik hanya akan terima Balkis sebagai kakak ipar adik.”

Balkis… Mendengarkan nama itu air mata Fikri laju kembali. Bertambah sayu hati Mashitah melihat abangnya itu.

“Abang… Apa kata kalau kita cari Balkis. Adik tak rasa dia akan pergi jauh. Dia mana ada sesiapa. Dia cuma ada wan dan tuk je. Adik yakin sangat yang dia masih ada di dalam Malaysia ni.”

Fikri masih melayan kesedihannya.

“Adik lupa ke yang Balkis ada seorang atuk saudara di Singapura?”

“Adik tak lupa. Tapi adik tak rasa yang dia akan ke sana.”

“Kenapa adik begitu yakin?”

“Sebab… Cuba abang fikir kenapa Balkis larikan diri?”

“Balkis larikan diri sebab dia nak berada jauh daripada nenek.”

“Tak. Bukan. Bukan nak larikan diri daripada nenek.”

Fikri mengangkat wajahnya yang tertunduk. Dikesat air mata yang masih tegar membasahi wajahnya. Wajah adiknya menjadi santapan matanya.

“Apa maksud adik?”

Mashitah menghembuskan nafas berat. Takungan air matanya sudah pecah.

“Balkis bukan sahaja nak larikan diri daripada nenek. Tapi…”

“Tapi apa?”

Laju Fikri menyoal.

“Balkis nak larikan diri daripada abang.”

Fikri tersentak. Mashitah menyedari keadaan itu.
“Adik bukan nak tambahkan kebencian abang pada nenek. Tapi, adik cakap perkara yang
betul. Adik cuba letakkan diri adik ditempat Balkis. Dihina, dicaci dan diherdik malahan diugut
agar tidak lagi mendekati abang. Kalau adik jadi Balkis, mungkin adik juga akan melakukan
perkara yang sama. Melarikan diri. Bukan sahaja melarikan diri dari kekejaman perempuan tua
tu, tetapi juga melarikan diri daripada abang.”
“Tapi kenapa Balkis tak berbincang dulu dengan abang? Kenapa dia sanggup tinggalkan
abang seorang‐seorang macam ni?”
Bertambah laju juraian air mata Fikri.
“Abang… Bukan sehari dua abang kenal Balkis tukan. Balkis… Seorang perempuan yang begitu
tabah dan sering menjadikan diri sebagai seseorang yang boleh menyelesaikan masalah
sendiri tanpa mahu membabitkan orang lain. Itu memang dah sifat semula jadinya. Apatah lagi
Balkis mempunyai ketabahan yang begitu tebal sehingga memustahilkan untuknya
menyusahkan orang lain.”
“Orang lain? Jadi dia anggap abang ni orang lainlah?”
“Tak. Abang adalah insan yang teramat dia cintai. Disebabkan itulah Balkis mengambil
keputusan untuk melarikan diri daripada abang. Dia tidak mahu abang melihat dirinya yang
sedang kecewa dan sengsara akibat cacian perempuan tua tu. Dia tidak mahu abang
melihatnya sebagai insan yang lemah dan yang lebih penting… Dia sudah tidak sanggup untuk
menerima penghinaan seperti itu lagi. Balkis dah cukup menderita sejak kecil lagi. Cukuplah…”
“Itu abang tahu. Sebab tulah abang nak jumpa dia. Abang nak beritahu yang abang akan jaga
dia dan abang takkan benarkan sesiapa pun memanggilnya sebagai anak haram lagi!”
“Bukan sesiapa abang. Tapi nenek kita.”
Perlahan. Tapi sudah cukup untuk melajukan linangan air mata Mashitah. Imbauan semalam
kembali. Rasa sedih dan simpati pada Balkis bertambah dan kebenciannya pada neneknya
sendiri kian memuncak.
“Kenapa wan dan tuk tak nak beritahu kita di mana Balkis berada?”
“Sebab mereka nak melindungi cucu mereka dari terus terluka.”
Sepi seketika tanpa bicara. Hanya tangisan yang menggambarkan suasana.
“Abang… Nak pergi ke Singapura.”
“Nak buat apa?”
“Nak cari Balkis di rumah mak ciknya.”
“Abang…”
Panggilan lembut itu menumpukan kembali pandangan Fikri ke wajah adiknya.
“Balkis tak mungkin berada di sana… Dia sememangnya hendak melarikan diri daripada abang.
Mana mungkin dia ke rumah mak ciknya sedangkan dia sudah sedia maklum abang turut
berada di Singapura.”
Impian yang tadinya terbina untuk bertemu dengan insan tercinta di Kota Singa itu berderai
bagaikan kaca. Air mata yang mencurah‐curah laju sudah tidak diendahkan dan anggukan
keyakinan Mashitah terhadap kenyataannya sebentar tadi benar‐benar memusnahkan segalagalanya.
“Ya Allah di manakah Balkis berada? Di manakah sebenarnya Balkis menyembunyikan dirinya?
Ya Allah, aku benar‐benar buntu dan memerlukan pertolongan dariMu. Bantulah aku Ya Allah.
Bantulah aku…”
Bergema rintihan doa Fikri di hatinya yang sedang dipaut sengsara.
“Betul Balkis tak nak umi tuk beritahu dekat Fikri di mana Balkis berada?”
“Betul umi tuk. Balkis tak nak dia tahu.”
“Tapi… Umi tuk kesiankan dia. Tak sampai hati umi tuk bila teringatkan kejadian petang tadi.
Sampai terduduk dia bila dia dapat tahu yang Balkis dah pergi dari kampung ni.”
Kesayuan suara umi tuk di hujung talian menambahkan lagi deraian air mataku.
“Kalau betul umi tuk kesiankan dia. Tolong jangan beritahu di mana Balkis berada. Balkis tak
nak dia menderhakai neneknya hanya kerana hendak mepertahankan cinta kami. Balkis yakin…
Seiring dengan waktu, pasti Abang Fikri akan dapat melupakan Balkis.”
“Habis tu Balkis macam mana?”
“Maksud umi tuk?”
“Yelah… Fikri mungkin dapat melupakan Balkis. Tapi macam mana dengan Balkis? Dapatkah
Balkis melupakan Fikri?”
Tersentak aku mendengar pertanyaan itu. Haruskah aku menjawabnya? Jawapan apakah yang
harusku berikan? Mampukah perasaan cinta yang sedang bergunung ini menjadi rata setelah
ditarah oleh masa?
“Balkis…”
Lembut insan yang telah menjagaku sedari bayi itu memanggil namaku.
“Umi tuk kenal sangat dengan cucu umi tuk seorang ni. Biarpun luarannya tampak kental
dalam menghadapi pelbagai dugaan, tapi jauh di sudut hati… Balkis masih memerlukan
seseorang yang mampu membela dan mempertahankan Balkis dari kekejaman manusia di luar
sana. Balkis… Kalau Balkis rasakan Fikri adalah orangnya, umi tuk sanggup mempertahankan
cinta kamu berdua.”
Mata yang terasa pedihku pejamkan. Linangan air jernih itu tetap jua deras.
“Umi tuk. Kalau betul umi tuk sayangkan Balkis tolong jangan ungkit lagi perkara ni. Keputusan
Balkis muktamad. Balkis akan berusaha untuk melupakan Abang Fikri. Jodoh adalah rahsia
Allah S.W.T. Andai benar Abang Fikri adalah lelaki itu, Balkis yakin satu hari nanti kami akan
bersatu. Tetapi andai tidak… Balkis pasti akan ada insan lain yang sedang menanti Balkis. Apa
yang penting sekarang, Balkis nak buktikan kepada semua bahawa anak haram ini mampu
untuk berdiri dan mengukir nama di atas sebuah kebaikan yang mampu mengusir sejuta
kejahatan! Balkis takkan biarkan kata‐kata cacian dan penghinaan daripada nenek Abang Fikri
serta orang kampung menjadi racun yang akan membunuh semangat dan keyakinan Balkis. ”
Andai itulah keputusan cucunya siapa yang mampu menidakkannya. Balkis… Biarpun dirinya
tampak sebagai seorang yang lembut dan sopan, namun di balik hatinya tersimpan sedikit
kekerasan dalam membulatkan keputusannya.
“Ya Allah andai itulah yang terbaik untuk cucuku, maka Kau permudahkanlah segalanya dan
sentiasalah letakkan dirinya di dalam lingkungan rahmatMu.”
Rintih hati Hajah Faaidah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan