Label

Rabu, 14 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab24

REZAL HAIQAL mula hilang pertimbangan. Kesabaran yang menabiri hatinya semakin menipis. Perasaan marah dan geram bercampur baur. Sudah tiga hari dia cuba menghubungi Sarah Aqilah namun penantiannya hampa. Sudah tiga hari juga Sarah Aqilah senyap dari hidupnya. Nombor telefon yang didail tiada sebarang jawapan. Hanya terdengar, talian yang anda hubungi berada di luar kawasan. Setiap kali didail, hanya suara mesin itu yang menjawap jawapan yang sama.

Bosan! Memang dia sedang bosan sekarang. Bengang dan marah apabila Sarah Aqilah sanggup berbuat begitu kepadanya. Fikirannya semakin bercelaru. Runsing bercampur gelisah yang tidak menentu. Apa yang dilakukan semuanya serba tidak kena. Berdiri salah, duduk pun salah. Puas berdiri, Rezal Haiqal melabuhkan punggung ke sofa empuk di ruang tamu itu. Sekeping potret bisu wajah Sarah Aqilah yang tergantung di dinding direnung tajam.

“Mengapa tak jawab? Jawablah!!!!” jerit Rezal Haiqal.

Namun tetap tiada sebarang jawapan. Sekali lagi nombor talian Sarah Aqilah didail. Jawapannya tetap hampa. Mendidih tahap kesabarannya. Marah yang teramat sangat. Tanpa berfikir panjang, tangannya segera melemparkan telefon itu dari genggaman. Sudut sofa menjadi destinasi akhir lemparannya itu.

“Kurang ajar! Tak guna punya perempuan! Tahulah nasib kau nanti!” omelannya memanjang.



Kini langkahnya semakin terhad. Sejak Sarah Aqilah keluar menemani Datuk Zulkifli tiga hari lalu, dia terpaksa berkurung di dalam apartmen itu. Hidupnya semakin tidak selamat apabila berada di luar sana. Setiap pergerakannya terpaksa berhati‐hati. Dia dapat merasakan ada banyak mata yang sentiasa mengekori ke mana sahaja dia pergi. Hidupnya semakin tidak senang dan amat tertekan. Nasib baiklah ada apartmen itu, dapat juga dia menumpang bersembunyi di situ. Walaupun pada mulanya dibantah keras oleh Sarah Aqilah, namun dia memang tidak ada pilihan lain. Baginya, sudah tidak ada tempat yang selamat kini. Selagi hutangnya belum terlangsai, selagi itulah hidupnya semakin tertekan. Bagaikan telur yang berada di hujung tanduk, nyawanya kini terancam.

“Qilah dah tak sayang abang ke? Sanggup Qilah buat abang macam ni!” desak Rezal Haiqal.

Muka Sarah Aqilah masam mencuka. Dia semakin rimas dan lemas melihat gelagat suaminya itu. Lama‐lama semakin meluat pun ada. Bebunga benci pun mula tumbuh terhadap lelaki itu. Hidupnya turut sama terseret dengan masalah suaminya itu. Semua keraguan dan kebencian itu disimpan di dalam hati. Dia sendiri sudah tidak larat untuk bersabar melayan kerenah suaminya yang suka mendesak itu.

“Abang boleh sabar tak? Qilah pun tertekan juga tau! Abang ingat senang ke nak kelentong orang tua tu? Kalau ikutkan hati, memang Qilah tak sanggup…tak sanggup nak berlakon lagi abang!” tukas Sarah Aqilah mulai bengang dengan desakan demi desakan dari Rezal Haiqal.

“Memang Qilah dah tak sayang abang….memanglah!”

Tiada jawapan untuk omelan itu. Geramnya semakin berganda. Sesak nafasnya memikirkan masalah yang sedang ditanggung sekarang. Segalanya hitam, segalanya kelam. Sinar bahagia yang diharapkan dalam membina kehidupan bahagia semakin sirna. Denai kehidupan yang dilalui semakin penuh dengan duri. Setiap kali masa berdetik, hanya kesakitan yang dirasainya.

“Qilah dengar tak ni? Abang bukan tunggul tau!” desak Rezal Haiqal berkali‐kali.

Sakit telinga Sarah Aqilah mendengar omelan demi omelan dari lelaki itu. Bertambah beserabut otaknya untuk berfikir. Lama‐lama dia rasa boleh menjadi gila.

“Qilah tak pekak lagi bang….Qilah tahu apa yang Qilah buat. Abang tak fahamkah atau saja buat‐buat tak faham!”

Rezal Haiqal menarik tangan Sarah Aqilah lalu rapat kepadanya. Matanya nampak melingas. Geram hatinya apabila Sarah Aqilah meninggikan suara kepadanya. Cengkamannya agak kuat. Sarah Aqilah memang tidak selesa apabila dilakukan sebegitu.

“Abang ni kenapa? Lepaskan tangan ni….sakitlah!”

Mata lelaki itu terus merenung tajam ke mata Sarah Aqilah. Tajam renungannya bagai menusuk ke jantung Sarah Aqilah. Jiwanya semakin berdebar‐debar. Dia takut lelaki itu mula hilang pertimbangan. Kalau tidak terkawal amarahnya, pasti satu penampar percuma hinggap ke pipinya. Sarah Aqilah faham benar dengan perangai Rezal Haiqal. Bukan dia tidak pernah merasai penampar percuma daripada lelaki itu malah sudah berkali‐kali. Jangan ada tersilap cakap atau perkara yang boleh menyinggung perasaannya pasti lelaki itu tidak dapat mengawal perasaannya.

“Tahupun sakit….habis tu kenapa nak sakitkan hati abang?”

“Hati abang saja yang sakit….hati Qilah macam mana?”

“Abang tak nak ambil tahu semua tu…abang nak masalah ni selesai segera. Hanya Qilah saja yang dapat tolong abang….hanya Qilah saja yang boleh bantu abang selesaikan masalah kita ini….,” jawab Rezal Haiqal mula mengendur nadanya.

“Bukan Qilah tak berusaha tapi keadaan yang belum mengizinkan. Kalau ikutkan hati memang tak mahu Qilah buat perkara ni….tapi semuanya kerana abang. Itupun abang masih tak faham
lagi….kalau abang selalu mendesak macam ni….makin susahlah nanti….tolong fahami Qilah
juga bang!”

Rezal Haiqal mula mengetap bibirnya. Di fikirannya mengiyakan kenyataan itu tetapi di hatinya
masih tersimpul perasaan geram. Dia juga terpaksa berlakun di hadapan isterinya itu. Sarah
Aqilah adalah sumber kekuatannya ketika itu. Tanpa wanita itu, semakin sukar hidupnya ketika
itu. Berbulan‐bulan dia tidak bekerja, berbulan‐bulan jugalah wanita itu menanggung segala
keperluannya.

“Abang bukan marahkan Qilah…..abang nak semua masalah ni selesai segera. Abang janji lepas
semuanya selesai, kita akan mulakan hidup baru. Abang janji!”

“Errmm….dari dulu sampai sekarang….dah berapa banyak janji yang abang buat? Satupun belum tertunai. Bukan selesai segala masalah malah semakin bertambah beban….Qilah rasa tak sanggup berterusan begini….tak sanggup bang!”

“Qilah jangan cakap macam tu….apa yang abang buat semua untuk kebahagiaan kita juga….susah senang kenalah hadapi bersama….,”

“Betul cakap abang tu….tak Qilah nafikan. Itu semua apa awal‐awal perkahwinan kita dulu tapi
sekarang lain bang….terlalu lain bang!”

“Apa yang lainnya? Kasih dan sayang abang pada Qilah tak pernah berubah…walau seincipun…,”

Senyap. Tiada apa‐apa balasan jawaban daripada Sarah Aqilah. Desakan demi desakan daripada Sarah Aqilah membuatkan Rezal Haiqal mula jemu dengan wanita itu. Geram juga hatinya apabila ada sahaja jawapan daripada Sarah Aqilah. Satu yang ditanya, sepuluh yang dijawabnya. Rasa kebencian itu hanya disimpan di dalam hati. Jika diluahkan tentu yang menjadi mangsa dirinya juga. Walaupun rasa sabarnya sudah tidak terbatas, segalanya harus ditelan demi kebaikan dirinya juga.

“Abang tahu…Qilah dah tak percayakan abang lagi. Abang banyak menyusahkan hidup Qilah…
abang memang tak guna!” luah Rezal Haiqal, berlakon untuk memujuk hati Sarah Aqilah.

“Qilah tak cakap apa‐apapun….itu abang yang cakap.” Sarah Aqilah menjawab.

Sekali rasa benci mula tumbuh di dalam jiwanya, selamanya juga rasa itu akan terus subur. Apa yang penting sekarang nyawanya. Selagi hutangnya dengan Ah Long tidak selesai, hidupnya tidak akan aman.

“Habis itu kita nak buat apa sekarang?” soal Rezal Haiqal terus mengharap.

“Abang kena sabar…banyak‐banyak bersabar,”

“Sabar! Sabar! Sabar! Itu saja yang Qilah suruh abang buat! Macam mana abang nak sabar kalau hidup terus dalam buruan!” Rezal Haiqal kembali memberontak. “Tak senang duduk 
dibuatnya….sentiasa berhati‐hati…sentiasa diawasi….dah rasa macam dalam penjara….ruang
terbuka tapi hati abang tersiksa!”

“Salah yang siapa? Nak senang semudah ABC … inilah hakikat yang kita kena tanggung…,” perli Sarah Aqilah, menambah lagi bara kepanasan di hati Rezal Haiqal.

“Qilah nak salahkan abanglah ya? Kalau abang senang … Qilah pun senang jugakan?”

“Tak ada orang yang nak hidup susah bang … bodohlah orang tu kalau menolak senang yang tiba,”

“Habis tu apa yang abang buat ni untuk apa? Bukan untuk kesenangan kita juga!”

“Memanglah abang … betul kata abang tu tapi caranya saja yang tak betul. Bukan begini caranya untuk kita senang bang? Niat abang betul tapi cara abang itu yang salah,” ujar Sarah Aqilah seperti memulangkan paku buah keras kepada Rezal Haiqal.

Semakin terbakar hati lelaki itu. Ingin sahaja ditampar pipi gebu Sarah Aqilah. Panas hatinya
mendengar omelan Sarah Aqilah. Akhirnya tetap kesilapan dan kesalahan ditujukan kepadanya. Pusing‐pusing akhirnya dia juga yang menjadi punca kekalutan rumah tangga mereka.

“Berapa lama kali ni Qilah nak pergi?” soal Rezal Haiqal sambil memerhatikan isterinya itu
berkemas untuk keluar bekerja bersama Datuk Zulkifli.
“Entahlah bang…katanya tiga hari. Mungkin juga seminggu…,”
“Lamanya….abang macam mana?”
“Ehh…macam tak biasa pulak. Abang buatlah macam biasa….pandai‐pandailah jaga diri,”
“Itu abang tahu …. tapi….,”
Sarah Aqilah faham benar apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu. Di dalam kepalanya
sudah dapat membaca apa yang sedang berlegar‐legar di dalam fikiran lelaki itu.
“Duit! Duit! Duit! Itu saja yang abang tahu! Cubalah berusaha sikit … orang lain ada masalah
jugak tapi tak adalah macam abang!”
“Ehhh…Qilah jangan nak samakan masalah abang dengan orang lain pulak. Kalau abang boleh
keluar bebas macam orang lain tu … dah lama abang cari kerja. Janganlah Qilah nak
tambahkan lagi pening di kepala abang ni! Errmm….lain macam saja abang tengok Qilah akhirakhir
ni. Qilah jangan buat hal dan nak cari pasal dengan abang!” tukas Rezal Haiqal kembali.
“Baru semalam Qilah bagi dua ratus … tak kan dah habis?” ujar Sarah Aqilah sambil
memandang tepat ke muka Rezal Haiqal.
Terkebil‐kebil mata Rezal Haiqal membalas pandang kepada Sarah Aqilah. Tiada jawapan
untuk soalan itu. Dia buat tidak kisah. Biarlah omelan Sarah Aqilah menyakitkan telinga tetapi
yang penting baginya dia suka buat apa yang dia suka.
Sarah Aqilah terus tekun mengemaskan pakaiannya. Satu persatu dilipat kemas pakaian yang
hendak dibawa. Bebelan Rezal Haiqal cukup menyakitkan telinganya. Suka atau tidak dia
terpaksa mendengarnya. Menjawab omelan dari Rezal Haiqal itu membuatkan gegendang
telinganya hampir pecah. Lebih baik dia berdiam seketika. Biar reda sedikit rasa marah yang
juga telah lama bersarang di dadanya.
“Kali ni ke mana pulak destinasinya? Qilah kena ingat abang walau di mana Qilah berada …
abang sayangkan Qilah…,” luah Rezal Haiqal seakan mahu memujuk isterinya itu. “Mengapa
diam? Qilah marahkan abang ya?” bertalu‐talu Rezal Haiqal cuba mengumpan Sarah Aqilah
supaya tunduk dengan segala arahannya.
“Apa yang Qilah buat ni semua kerana abang … kalau ikutkan hati tak mahu Qilah buat kerja
gila ni … Qilah dah penat bang….sangat penat!” Sarah Aqilah meluahkan rasa yang terbuku di
hatinya.
Sarah Aqilah masih lagi tidak puas hati. Desakan demi desakan dari Rezal Haiqal
menambahkan tekanan kepadanya. Belum lagi kerenah Datuk Zulkifli yang memang miang
dan gatal. Pantang ada kesempatan pasti dia akan ambil peluang untuk menduga hati
perempuannya. Sudah beberapa kali dia mahu melamarnya namun terpaksa disediakan alasan
kukuh untuk menolak kemahuan Datuk Zulkifli itu. Mana mungkin keadaan itu boleh berlaku.
Dia masih lagi isteri yang sah kepada Rezal Haiqal.
“Qilah tak jawab lagi soalan abang?”
“Errr….abang tanya apa tadi?”
“Errmm…tak ada apalah. Tak penting sangat bagi abang … yang penting Qilah jaga diri dan
ingat abang di sini. Setia abang hanya untuk Qilah seorang … percayalah!”
Bagai nak muntah Sarah Aqilah apabila mendengar pengakuan macam jujur Rezal Haiqal.
Pengakuan yang ada maksud dan tujuan yang lain. Dia faham benar dengan perangai lelaki itu,
lain ucapan di mulut dan lain pula maksud di hatinya.
“Sudah….jangan nak mengada‐ngada pulak. Sekarang ni bukan masa nak bercinta … banyak
kerja kita yang tak selesai lagi. Abang duduk saja kat apartmen ni….abang mesti selamat…,”
ujar Sarah Aqilah sebelum meninggalkan Rezal Haiqal.
“Memanglah abang selamat di sini … bagilah abang sikit duit. Susah abang kalau Qilah tak ada
nanti….,”
Muka Sarah Aqilah nampak culas. Perasaan geram terbit di hatinya. Dalam keadaan yang tidak
selesa itu, ditarik dua keping duit seratus ringgit.
“Nah…ini saja yang Qilah ada.!”
“Dua ratus saja?”
“Kalau Qilah bagi satu ribu tetap tak cukupkan?”
Menyirap darah Rezal Haiqal apabila Sarah Aqilah memerlinya. Serta merta ingatan kepada
Sarah Aqilah kembali bertamu. Kian reda api kemarahannya apabila menyedari Sarah Aqilah
turut berkorban masa dan tenaga hanya untuknya. Dia amat berharap misi mereka terhadap
Datuk Zulkifli akan berhasil secepat mungkin. Segalanya hanya di tangan Sarah Aqilah. Hanya
wanita itu sahaja harapannya untuk membebaskan diri dari terus menerus menjadi mangsa
buruan kuncu‐kuncu Ah Long. Saat memejam mata, dia menghitung hari agar penderitaannya
akan segera berakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan