Label

Rabu, 7 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab22

SURAT pemberian Alexander Zulkaraneen dibaca setiap kali berada di perhentian bas. Kali ini
pemberiannya lebih istimewa kerana dia sendiri yang menghantarnya ke pejabat. Dan walaupun terserempak, dia masih berpegang pada janji untuk tidak mendekati. Bertambah-tambah “Hai Intan Nawrah!

Sihat?

Entah kenapa, saya sedang berfikir tentang majlis kita. Oktober yang bakal menjelang, diikuti rapat oleh November. Duhai Intan Nawrah, saya tak mahu Oktober atau November. Yang saya mahu hanyalah diri awak, Intan Nawrah di majlis akad dan nikah saya nanti.

Tolong tandakan tarikhnya.31 Disember 2015

Bye bye.Take a good care.

Alexander Zulkarnaeen

Walaupun tersenyum, dia melipat surat itu dengan rasa kecewa. Alexander Zulkarnaeen tak kelihatan lagi sedangkan nun di belakang sana, bas Rapid sedang menghampiri.

“Hemm...tak ada jugak.” sungutnya lantas menahan bas itu.



Dia memanjat tangga sebelum duduk di sebuah bangku yang kebetulan kosong. Pemandangan dari atas bas dinikmati dengan separuh hati. Adakah benih‐benih rasa sudah bercambah mekar buat Alexander Zulkarnaeen? Tanpa dirinya menanti seperti selalu, Intan Nawrah mula rasa kekurangan dan ketidaksempurnaan.

Padahal dia punya peluang untuk mencari calon suami yang lebih baik dari Alexander Zulkarnaeen. Tiga minggu di Balai Berita Metro, Intan Nawrah bertemu dengan ramai orang, tetap ingatannya kuat mengingat Alexander Zulkarnaeen. Apa tandanya itu? Saban hari, kerjanya menanti panggilan Julia sahaja walaupun khusyuk dengan tugasan lain. Kemudian, sebelum pukul lima petang, dia akan keluar lebih awal untuk mengambil surat dari kaunter perkhidmatan. Gembiranya usah dikata. Jika dia bersendirian, tentu sudah lama dia melompat.

Tiba masa untuk turun, Intan Nawrah menekan loceng. Dia perlu berjalan kaki lebih kurang lima ratus meter lagi sebelum tiba di lif. Apartment yang disewanya terletak di tingkat tujuh belas. Begitulah rutin hariannya semenjak tiga minggu ini. Turun naik lif, rasanya berat badan pun dah berkurang sikit. Dah ideal kot! Intan Nawrah senyum tawar sambil menolak daun pintu.

Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati teman rumah sedang berpeluk sakan dengan seorang lelaki yang tak pernah dilihatnya sebelum ini. Melia terkejut, begitu juga dengan Intan Nawrah. Dek kerana terlaluterkejut, dia cepat‐cepat mengatup pintu dan berpatah balik. Dia hilang arah dan tak tahu nak ke mana. MasyaALLAH! Tak sangka Melia sanggup berkhalwat dengan seorang lelaki, begitu intim tanpa rasa malu.

Intan Nawrah menekan butang lif, lalu masuk ke dalamnya. Baginya, hari ini adalah hari yang
mengecewakan. Alexander Zulkarnaeen yang tak kelihatan, dan Melia yang memalukan. Dia masuk ke dalam lif dengan air mata yang tiba‐tiba menitis.

“Assalammualaikum Kak Nat. Boleh Nawrah jumpa akak?” Tanya Intan Nawrah sebaik suara Kak Natrah kedengaran di telinganya.

“Bila? Sekarang ke?”

“Ye, kak.”

“Alah, sayang. Maaf! Akak ada di luar dengan sepupu.”

“Okay, kak. Tak apa, terima kasih.” Ucap Intan Nawrah sebelum memutuskan perbaualan.

Kemudian, deringan di telefon kedengaran lagi. Kali ini, ia datang dari Melia.

“Maaf, Mel. Aku belum sedia nak bercakap dengan kau.”

Katanya, lalu mengalih panggilan tersebut ke kotak pesanan suara. Dia mematikan talian telefon bimbit sebelum keluar semula dari pagar pangsapuri itu. Dia membuat keputusan untuk melangkah ke kiri tapi tidak tahu ke mana. Sehinggalah mindanya teringatkan sebuah masjid di selekoh jalan. Dia sudah tahu ke mana hendak ditujui.

Lebih baik dia menenangkan diri di sana, solat dan membaca Al‐Quran. Selepas itu, baharu dia akan putuskan apa yang perlu dibuat. Di mana hendak bermalam. Tak sanggup rasanya nak duduk serumah dengan orang yang bergelumang dengan dosa. Dia tak sanggup nak memikul sama beban itu. Air mata yang masih mengalir disekanya perlahan.Intan Nawrah cuba bersangka baik dengan ujian ALLAH.

“Jika aku tak kecewa hari ini, adakah aku mendekati rumah ALLAH ini? ALLAH beri aku peluang
hari ini, patut aku gunakannya dengan baik.” Desis hatinya perlahan. Dia masuk ke dewan solat 
wanita untuk meletakkan beg tangan sebelum menuruni anak tangga ke bilik wudhuk.

INTAN Nawrah hanya mendiamkan diri sebaik duduk di ruang tamu. Dia sedar dia orang baru di apartment itu, tetapi itu bukan sebab untuk mendiamkan sahaja apa yang salah pada mata dan agama. Ketika dia menghidupkan kembali telefon bimbitnya, berpuluh‐puluh pesanan sampai padanya dari Melia. Melia mengajaknya pulang untuk berbincang.

“Sampai bila kau nak berdiam diri macam ni?” Tanya Melia, menongkat kepalanya pada sofa.

“Okay, aku cakap. Kau tak segan ke Melia, buat kawan serumah kau macam tu?”

“Taklah. Nak segan apa? Bukan aku ajak kau join pun. Aksi solo aje tu.”

“Astargfirullah hal azim.” Intan Nawrah beristighfar. Sakit dadanya mendengar jawapan selamba teman serumah. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, malah tidak menghormati perasaan kawannya.

“Apa yang kau buat tu memalukan dan menjatuhkan maruah kau sebagai perempuan. Orang lelaki, dia nak yang manis aje. Lepas dapat habuannya, dia campak kau tepi jalan. Kau nak begitu?”

“Campak? Kau dah pernah kena campak ye, Nawrah? Lepas tu, kau dengkikan aku, kan?” tebak
Melia sesedap hatinya.

Intan Nawrah menggeleng kepala. Dah tak masuk akal si Melia ni, terlalu bertuankan nafsu sehingga tidak dapat menerima sedikitpun nasihat orang lain buatnya.

“Buat apa aku dengkikan kau, Mel? Aku tak nak kau terseret masuk ke lembah dosa, sebab itu aku nasihat. Kalau tak, buat apa aku ambil peduli?”

Soalnya, cuba menurunkan suara. Tak guna melawan Melia dengan kekerasan, dia tak akan terima. Fikir Intan Nawrah lagi.

“Itu bukan peduli! Itu dengki. Tak boleh tengok orang lain senang. Kau rasa sakit hati, kan? Tapi kalau kau buat, tak apa?”

“Masya‐ALLAH! Tak ada sikit pun rasa dengki pada kau, Mel!”

“Alah! Manis di mulut. Kawan‐kawan aku sebelum ni tak kisah pun. Kau tu dahlah baru. Aku beri kau tinggal kat sini pun dah cukup untung. Baru tiga minggu, kau dah nak berlebih‐lebih pulak, ye?”

Bidas Melia, buat Intan Nawrah berasap. Dia tahu dirinya orang baru di rumah itu, tetapi ada hal‐hal yang dia tak boleh pejam mata. Takkan dia nak tengok saja kemungkaran dalam rumah itu. Itu pun di depan mata, kalau di belakangnya, sebelum dia sampai tadi? Astargfirullahhal Azim!

“Habis tu, takkan aku nak pejam mata?”

“Kalau tak suka, jangan tengok! Atau lebih baik jangan balik. Atau nak lebih baik lagi, cari aje rumah lain.”

“Habis kau?”

“Aku boleh ajak balak aku pindah masuk. Duduk sebilik, kongsi bantal dan katil.” Jawab Melia.

Dia senyum mengejek tatkala Intan Nawrah membuntang mata ke arahnya.

“Jangan begitu, Mel! Belum terlambat untuk kau betulkan diri. ALLAH kan Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Kau masih muda, masih cantik. InsyaALLAH ada lelaki yang lebih baik boleh membimbing kau ke jalan ALLAH.”

“Memang aku cantik! Tak payah puji‐puji untuk pujuk aku balik. Keputusan aku muktamad. Kalau tak suka cara aku, kau boleh pindah keluar. Aku mampu bayar apartment ni seorang diri.” Kata Melia angkuh.

Intan Nawrah mula mendiamkan diri. Mana nak cari apartment lain dalam keadaan belum bergaji? Sudahlah deposit tiga bulan perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah baru. Belum campur dengan deposit api dan air lagi. Tapi, dia tak sanggup nak berkongsi duduk di rumah penuh maksiat ini. Apa yang dia perlu buat? Bertahan dan bersekongkol dengan maksiat Melia atau mencari bilik lain untuk disewa? Bagaimana kalau dia jumpa hal yang sama jugak di rumah baharu nanti? Berapa kali dia nak berpindah?

“Beri aku masa, Mel. Aku cari bilik dulu. Dapat aje, aku pindah keluar.”

“Hemm.” Melia angkat kaki, deras masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikatup deras, tanda protes barangkali. Tinggallah Intan Nawrah terkebil‐kebil di atas sofa, namun bila teringat yang sofa itulah tempat Melia memadu asmara petang tadi, dia deras bangun. Bahagian kain di belakang, dikibas‐kibasnya tanda geli. Pintu bilik ditolak dan dia mengunci diri di dalamnya.

Seharian tubuh tak mengenai air, dia rasa melekit. Dek kerana sikap Melia, Intan Nawrah terpaksa membawa diri hingga pulang pada lewat malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan