Label

Khamis, 8 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab23

USAI sesi temubual dengan pemain badminton wanita perseorangan negara, Intan Nawrah dan Kudin menaiki kereta bersama‐sama. Semenjak bertugas di Unit Sukan, kerap kali juga mereka dipasangkan bersama. Kadang kala dia berpasangan dengan Kak Natrah, ada masanya bersendirian.

“Laparlah. Kita makan dulu, nak?”

“Abang Kudin belanja kan?”

“Ha...ha...ha.” Kudin gelak dahulu. Rasanya ada juga dua hingga tiga kali dia belanja Intan Nawrah makan. Dia tak kisah pun berbahagi rezeki, tambahan pula Nawrah masih belum menikmati gaji pertamanya.

“Kalau bab belanja, cepat aje, kan?”

“Rezeki...tak baik tolak.”

Sengihnya, menuruti Kudin yang terlebih dahulu masuk ke sebuah restoran. Dia mencari tempat memandangkan Kudin memberi isyarat hendak masuk ke bilik termenung terlebih dahulu. Kiri dan kanan, depan dan belakang semua ditolehnya, mencari kalau‐kalau ada ruang kosong. Hampir tak kelihatan sebuah meja makan di sudut hujung restoran kalau tak diteliti betul‐betul.

“Sebelum orang lain kebas, baik cepat.” Pesannya pada diri sendiri.



Dia duduk, melepaskan keluhan panjang. Ada masa terluang begitu, Intan Nawrah lebih suka mencari bilik sewa dari mobile web. Dah dua hari berlalu, masih tiada iklan bilik kosong yang sesuai dengan kemampuannya. Bukan tak ada bilik kosong di Mont’ Kiara Palma Apartment, tempat tinggalnya dengan Melia buat masa ini, namun harga yang hendak disewakan itu lebih mahal, bezanya sehingga dua ratus ringgit. Manalah Intan Nawrah nak cekau duit. Rasanya duit simpanan dalam bank pun dah semakin susut. Takkan dia nak meminjam dengan emak pulak. Emak sendiri pun sedang mengumpul duit untuk kos pembedahan Naufal.

“Kenapalah aku cari pasal waktu‐waktu susah macam ni? Kan bagus kalau aku bersabar sikit aje dengan Melia, atau masuk jarum perlahan‐lahan. Drastik sangat teguran aku hari tu.” keluh Intan Nawrah, perlahan.

Kadang‐kadang dia rasa menyesal pula di atas keterlaluannya menegur Melia tempoh hari, tetapi kebanyakan masa dia rasa tindakan itu paling betul. Menegur pada masa dan tempatnya. Tetapi padah berkata benar, Intan Nawrah perlu angkat kaki dan keluar dari kediamannya kini.

“Cik, air.” Sapa seseorang. Intan Nawrah mengangkat mukanya kerana rasa seperti dipanggil.

“Air apa?”

“Air cik lah.”

“Bila pulak saya order?” tanya Intan Nawrah, hairan.

“Entah, brother tu yang order. Dia mintak saya hantar pada cik.” Jawab pelayan itu.

Dia menunjukkan jarinya, sopan pada seorang lelaki berkemeja ungu, yang duduk selang semeja di baris sebelah. Air muka Intan Nawrah berubah kemerahan apabila matanya menangkap susuk tubuh Alexander Zulkarnaeen sedang tenang menjamu selera. Nampak sangat dia saja buat tak nampak sedangkan dia yang menghantar minuman ini.

Aduhai Alexander Zulkarnaeen! Dah berapa hari dia tak melihat dirimu di perhentian bas. Terderanya rasa. Mujurlah surat kirimannya tak pernah tiada. Ia menjadi pengubat rindu. Sesungguhnya Intan Nawrah tak dapat menafikan perasaannya yang dah berbunga‐bunga buat lelaki itu, tetapi dia sendiri terperangkap dengan syarat yang ditetapkannya pada awal pertemuan mereka. Takkan dia nak meruntuhkan syarat itu pula? Lalu, untuk menghargai sikap prihatin Alexander Zulkarnaeen, air itu terus dihirupnya.

Nun di sana, Alexander Zulkarnaeen hanya mampu melirik pada sang pujaan hati. Ada senyuman yang berbunga. Dia senang hati menikmati kebetulan itu. Intan Nawrah yang tekejut dan berubah warna wajahnya. Setiap kali bertentangan mata, walaupun jauh, dia selalu melihat reaksi itu, wajah yang merona kemerahan. Terdetik di hati kecilnya, barangkali ada ruang buatnya di hati Intan Nawrah kerana ikatan perasaan itu dapat dirasakannya jauh di dalam.

Tak mengapalah, akur saja dengan syaratnya. Dia sudah memateri janji, menjelang 31 Disember, rombongan pengantinnya akan tiba di rumah keluarga Intan Nawrah. Tiap kali mengutus surat, dia tak pernah berhenti mengingatkan Intan Nawrah tentang hal itu.

“Hai bos. Senyum sorang‐sorang?”

“Sibuk lah kau.”

“Ha...ha...ha.”

“Bila nak makan nasi minyak bos? Surat cinta dah. Tiap hari tak pernah tertinggal.” Adam galak
menyakat tetapi tidak lama kerana wajah selamba Alexander Zulkarnaeen berubah. Dia melihat pada arah yang ditenung Alexander Zulkarnaeen. Dalam keadaan begitu ramai pelanggan, dia tidak dapat meneka siapa yang dilihat oleh lelaki itu, tetapi dia yakin orang itu ialah Intan Nawrah. Siapa lagi yang Alexander Zulkarnaeen angaukan akhir‐akhir ini?

Di seberang sini, Intan Nawrah tersenyum pada Kudin yang baru duduk di depannya. Jika tadi dia rasa selesa dan nyaman, kini dia berasa tidak selesa pula. Apa kata Alexander Zulkarnaeen tentang Kudin? Mudah‐mudahan Alexander Zukarnaeen tidak salah sangka. Dia hanya keluar dengan rakan sekerja sahaja, itupun kerana menjalankan tugas.

“Wahhh! Dah order air? Abang Kudin ingat nak belanja air suam aje.”

“Kedekut! Tak baik sungguh.”

“Ha...ha...ha.”

“Nawrah nak makan apa?”

“Dah kenyang. Minum air tembikai ni.” katanya, buat‐buat merajuk. Dia menjuihkan bibir, buat
Kudin ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan