Label

Ahad, 18 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab18

PANDANGAN Lewis berbinar. Kesakitan mengalir ke jalinan otot. Apabila penglihatan sudah kembali terang, Lewis memerhatikan persekitarannya. Dia menyedari dia berada dalam satu bilik bertutup. Ketika tangannya bergerak ke atas, dia kehairanan. Tangannya kelihatan lebih gelap dan berbulu. Dia cuba menarik tangan namun gagal. Tubuhnya bergerak tetapi tanpa dirancang.

“Sayang, terima kasih sebab sudi ada untuk Melina. Terima kasih untuk semalam.”

Suara seorang perempuan bergemersik di telinganya. Menghembus cuping telinga dengan elusan nafas lembut. Tangan mulus itu kemudian meliliti pinggangnya. Matanya memandang tubuh ramping gadis itu yang banyak terdedah. Dia diajak duduk di atas sebuah bangku panjang di tepi ruangan itu.

“Favlos?” tanya gadis itu sambil merehatkan kepala pada bahunya.

“Ya.”

Sahutan itu membuatkan Lewis terkejut besar. Dia yakin bahawa dia tidak salah mendengar. Mindanya sukar memahami apa yang berlaku sekarang. Dia berasa, jiwa dan rohnya terperangkap. Tergabung dengan roh milik Favlos. Sifat jahat Favlos turut mempengaruhi tika ini, menyebabkan dia berlawan dengan diri sendiri.

“Melina cintakan Favlos. Cinta sangat‐sangat. Selepas ni, sebut sahaja. Melina sanggup buat apa sahaja untuk sayang. Melina sanggup mati!”

Lewis terasa kepalanya mengangguk‐angguk. Jarinya bermain dengan dagu runcing gadis itu.



“Betulkah, Melina? Pasti? Sebab apa yang aku akan minta nanti, Melina kena tunaikan... tak kira apa pun yang terjadi.”

“Melina dah bersumpah, sayang. Akan buat apa sahaja. Hidup Melina untuk Favlos sampai bila‐bila,” ucap gadis itu sambil mengangkat sumpah. Dia menuang air arak ke dalam gelas di atas meja sisi.

Mereka menikmati minuman itu sepanjang malam. Tenggorokan diisi dengan air haram sehinggalah tersedu‐sedu.

Melinalah yang paling banyak meneguk air arak. Tubuhnya terhuyung‐hayang, mabuk. Lelaki di sebelahnya ditepuk tampar. Dia asyik tergelak. Terbuai dengan bahagia yang disogokkan oleh perlakuan maksiat. Akhirnya dia rebah ke pangkuan Favlos dengan gelas yang jatuh tergeletak ke lantai. Dia sudah tidak sedarkan diri.

Tubuh Melina dikendong keluar dari bilik. Dia dibawa melalui lorong suram di rumahnya sehingga ke bilik hujung. Sebaik sahaja pintu dikuak, dia terlihat ke arah mayat perempuan yang membusuk di hujung bilik pemujaan. Melihatkan mulut perempuan itu yang terkoyak membuatkan bibirnya memperlihatkan segaris senyuman.

Melina dibaringkan di atas lantai. Dia menyambar segulung tali di penjuru bilik yang dilonggok di tempat barang pemujaannya. Tali diikat menjadi gelung dan diikat pada bumbung bilik. Menjadi tali gantung. Kemudian, perlahan‐lahan dia mengangkat tubuh Melina yang longlai sambil memanjat sebuah meja yang didekatkan pada dinding.

Tubuh yang berat itu diangkat bersusah payah. Tengkuk Melina disangkutkan pada tali gantung. Cepat‐cepat dia turun lalu menyepak meja agar Melina tergantung di udara tanpa sokongan.

Jerutan kuat pada leher telah mengejutkan Melina dari tidur. Tangannya cuba menahan tali yang menjerut tengkuk. Namun, kudratnya tidak dapat menandingi berat badan dan graviti yang terus menariknya ke bawah. Kuku panjangnya menusuk tengkuk sendiri sehingga berdarah‐darah.

Melina menggelupur. Matanya sempat melihat ke arah Favlos yang sedang mencekak pinggang. Dia dalam kesakitan. Sakit kerana bertarung untuk nyawanya sendiri. Sakit hati kerana Favlos yang menjadi raja di hatinya selama ini sanggup meragut nyawanya dengan cara sebegini rupa. Mata putihnya terangkat ke atas. Melina akhirnya berhenti meronta‐ronta.

Tubuhnya layu dan longlai di atas tali gantung. Dia mati dengan hina.

Kaki Favlos berjalan mendekati mayat Melina. Rambut panjang mengurai yang menutupi raut wajahnya diperhatikan. Kemudian kaki gadis itu sengaja direntap, menghinanya.

“Melina... Melina. Terima kasih sebab kau sudi berkorban. Jangan risau. Kau akan jadi korban aku yang paling istimewa! Kau akan jadi penyumbang kepada kekuatan aku. Kau tak gembira?”

Melina disoal seolah‐olah dia masih bernafas dengan udara yang dihirupnya. Dia terus bersembang rancak dengan Melina sehinggalah terdengar bunyi panggilan di luar.

“Sekejap ya, sayang. Aku nak pergi berhibur dulu. Aku keluar dulu, carikan teman untuk kau. Nanti, kau tak akan kesunyian di bilik ini lagi.”

Lewis yang berada dalam tubuh Favlos dibawa berjalan keluar dari bilik pemujaan. Dari tadi, dia menyaksikan sendiri pembunuhan Melina. Bahkan dia masih ingat rasa arak yang diteguk sebelum ini. Penat dia meronta‐ronta dengan kejahatan Favlos yang cuba menyarungi perasaannya sendiri. Lewis tidak sanggup menjadi seorang penzina dan pembunuh!

Di tengah‐tengah lorong suram rumahnya, kelihatan seorang gadis sedang tersenyum sambil memeluk tubuh. Dia melemparkan lirikan menggoda dengan gerak tubuh yang menggiurkan mata mana‐mana lelaki yang memandang. Apabila lelaki yang ditunggunya sampai di hadapan mata, bahu lelaki itu diusap penuh mesra.

“Favlos, dah lama aku tunggu kau. Kenapa kau biar aku tunggu seorang di sini? Ingatkan kau akan datang jemput aku dari kampung.” Suaranya berbunyi rajuk yang dibuat‐buat.

“Baru minggu lepas kita jumpa, Thera”

“Tapi, aku dah rindu... Jom, kita berseronok malam ni?” pinta gadis itu. Pipinya terangkat.

Melihatkan balasan daripada Favlos, gadis itu melonjak kegembiraan. Terus dia ditarik masuk ke sebuah bilik di sebelahnya.

Mereka bergembira seolah‐olah menikmati hidup mereka yang terakhir pada malam itu. Setidak‐tidaknya hanya untuk Thera. Thera berseronok seperti Melina. Air haram diteguk sehingga lupa diri. Banyak kali Thera tertawa, begitu terhibur dengan gurauan Favlos.

“Favlos, kau kata kau ada kuasa istimewa. Tunjukkanlah kepada aku...” Thera menolak manja bahu Favlos.

“Betul kau nak tengok ni? Pasti kau tak akan menyesal?” soalnya.

“Mestilah. Kita kan dah rapat. Takkanlah dengan aku pun kau nak berkira.” Thera tertawa lagi.

Dia mengambil tegukan arak yang terakhir. Gelasnya sengaja dihempaskan pada lantai.

“Aku boleh buatkan kau lebih cantik dari sekarang.”

“Betulkah?” Thera bertambah teruja. Saat ini, dia menikmati jari Favlos yang leka menjelajahi wajah cantiknya. “Itulah yang aku nak dengar. Mari, cantikkanlah wajah aku. Aku akan jadi orang yang paling gembira. Untuk jadi cantik disebabkan kuasa kau!” lanjut Thera dengan berani.

Thera begitu percaya dengan Favlos walaupun sebenarnya mereka hanya baru beberapa bulan berkawan. Mereka berkenalan semasa Favlos merantau di wilayahnya. Awal perkenalan mereka, Thera menawarkan Favlos untuk menetap di rumahnya. Kemudian, mereka jadi bertambah mesra. Thera begitu mempercayai cinta Favlos terhadapnya. Bahawa Favlos tidak mungkin mengapa‐apakannya.

“Datang... dekat sikit,” panggilnya. Dia menarik lengan Thera agar berada dalam jarak dua jengkal dengannya.

“Pejam mata kau. Nanti selepas apa yang aku buat ni, wajah kau akan banyak berubah. Kau tentu suka.”

Bahu Thera tergedik‐gedik. Sejurus, matanya dipejam rapat. Menanti keajaiban yang dipercayai akan berlaku kepadanya.

Wajahnya diraup lalu dihembus perlahan. Thera merasakan wajahnya ditutupi asap yang panas. Kulit wajahnya terasa pedih seketika. Thera cuba menguatkan diri dan menahan kesakitan itu sedaya mungkin.

Semakin lama, kesakitan itu semakin membisa. Asap itu kemudian beredar dari kawasan wajahnya. Thera sudah tidak mampu bertahan. Dia mahu membuka mulut dan menjerit kesakitan. Namun, ternyata dia tidak dapat mengangkat bibirnya. Thera meraba‐raba mukanya. Rupa‐rupanya hidung, mata dan mulutnya telah hilang akibat hembusan nafas sihir dari Favlos. Meninggalkan wajah putih yang kosong seperti kanvas.

Teriakan Thera tersekat di kerongkong. Dia tidak dapat menyedut udara dari persekitaran. Thera semakin kelemasan sehingga terkapar‐kapar di atas lantai. Lama dia meronta‐ronta penuh keseksaan sehingga akhirnya pergerakannya berjeda. Roh Thera sudah tercabut keluar dari jasadnya.

“Thera... Thera. Kau ternyata sama seperti Melina. Perempuan... begitu mudah dijerat cinta. Sanggup buat apa sahaja untuk belaian. Hati aku terlalu kotor untuk cinta, Thera. Kau yang sengaja menempah ajal. Selamat datang ke lembah mautku!”

LYSANDRA merasakan dirinya berjalan di dalam hutan. Dia mengira, mungkin hutan ini ialah Hutan Sigalia. Tadinya, dia merasakan pening yang amat sangat. Lysandra ingat‐ingat lupa kejadian sebelum ini. Dia masih dalam keadaan separa sedar.

Setakat yang dia ingat, dia terperangkap dalam dinding lutsinar di dalam Hutan Sigalia. Dia cuba meloloskan diri. Menyerang dinding lutsinar itu dengan tumbukan dan tendangan, namun benteng itu masih kukuh. Tiba‐tiba satu suara nyaring menyengat gegendang telinganya. Suara halus itu diikuti dengan suara garau yang terlalu bingit. Menyebabkan Lysandra merunduk dan melutut menahan kesakitan.

Pandangan di dalam hutan itu ditinjau. Dia sudah sampai di pinggir hutan. Kawasan perkampungan dilihat terletak tidak jauh dari kawasan dia berdiri.

Seorang lelaki sedang merayau di dalam hutan. Pisau yang diikat pada batang kayu dipegang oleh lelaki tersebut. Daripada pemakaiannya, dia kelihatan seperti baru mahu keluar memburu binatang.

Lysandra menatap lama lelaki tersebut. Kemudian, dirinya dibawa mendekati lelaki itu perlahan‐lahan lalu bersembunyi di sebalik pokok. Yang anehnya, pergerakan itu tidak dikawal oleh Lysandra.

Fikirannya sukar memahami tentang apa yang terjadi pada dirinya detik ini. Badannya yang tadi lemah kini mula segar. Lysandra merasakan satu unsur sedang meronta‐ronta dalam diri.

Nafsu dan perasaan jahat cuba untuk mengambil alih jiwanya. Dia seperti sudah memahami kejadian ini. Cuma sukar diterima oleh logik akalnya.

Ketika lelaki itu memandang ke arah lain, tubuhnya perlahan‐lahan mendekatinya.

Lelaki itu sempat menoleh setelah mendengar bunyi derak seperti ranting kayu dipijak. Belum sempat dia mengalihkan badan sepenuhnya, tengkuknya sudah dibaham. Gigi siung terbenam tepat pada urat hijau di tengkuk. Darah membuak‐buak keluar dari tempat tusukan.

Darah yang dihirup oleh tubuh asing yang dihuninya turut Lysandra rasai. Mengenangkan bahawa dia sedang minum darah dari tubuh seorang lelaki malang, Lysandra berasa terseksa.

Setiap tegukan memualkannya. Tapi pada masa yang sama, Lysandra turut rasa ketagih pada bau darah manusia. Itu yang paling tidak dapat diterimanya.

Mangsanya terkapai‐kapai, cuba mempertahankan diri namun tengkuknya pula dipulas sehingga tulangnya patah. Menyebabkan rontaannya terhenti. Darahnya terus dihirup sehingga wajahnya pucat lesi. Kemudian, dia ditinggalkan terlentang di atas lantai hutan.

Bibir yang comot dibersihkan dengan belakang tangan. Lysandra dapat merasakan siung pada rahang yang masih menyinga. Lysandra begitu terpempan dengan apa yang sedang dialami tika ini.

Lysandra kemudian dibawa masuk ke sebuah perkampungan. Dia berjalan melintasi rumah-rumah. Dia berhenti di hadapan pintu pagar rumah yang paling terpencil di kampung ini. Pintu pagar rumah yang sedikit terbuka ditolak lalu dia dibawa sehingga ke pintu hadapan rumah.

Tangan diangkat menghala ke pemegang pintu. Bibirnya meratib sesuatu yang tidak difahami sebelum pintu itu tertolak ke dalam dengan sendirinya. Kemudian, kakinya melangkah masuk ke dalam rumah itu. Daun pintu yang dijumpai ditolak dengan tangan. Menampakkan seorang lelaki yang sedang duduk bersila di atas lantai.

“Kau rupanya, Favlos,” ucap lelaki itu sambil membelakanginya.

Barulah Lysandra sedar. Dia sebenarnya sedang terperangkap dalam tubuh ahli sihir yang paling kejam. Favlos! Lysandra menjerit di dalam hati. Dia tahu, dia bakal menyaksikan, bahkan melakukan perbuatan Favlos yang terkutuk itu. Favlos yang tidak pernah mengenal erti belas dan kemanusiaan. Membunuh hanya untuk kepuasan diri!

“Ya, aku. Kau sudah tunggu aku, Taras?” Suara garau keluar dari mulutnya. Suara milik Favlos dan bukannya Lysandra.

“Memang. Aku dengar, kau sudah banyak bunuh pesihir‐pesihir di seluruh Nicanor. Nama kau menjadi sebutan di kalangan ahli sihir. Kononnya, kau digeruni... paling zalim antara semua. Kau pasti sudah tak sabar nak bunuh aku, kan? Nak jadikan aku koleksi barang pemujaan kau?” sindir Taras.

“Kau adalah ahli sihir terakhir, Taras. Paling hebat antara yang terhebat. Kau akan ditempatkan di ruang pemujaan. Dan aku akan buat kau jadi alat sembahan aku yang paling istimewa. Itu aku janji.”

Taras menolak badannya untuk bangun menghadap lelaki di hadapannya ini. Dia membunyikan tulang tengkuknya. Wajah Favlos dipandang dengan pandangan penuh kebencian.

“Aku dah belajar tentang kau. Kau lebih suka membunuh dengan tenaga lelaki. Bukannya sihir. Itu yang unik pasal kau. Dan semua pembunuhan kau kejam. Mati dalam keadaan yang cukup terhina. Itu hiburan kau, atau memang itu cara kau bekerja?” tanya Taras lagi.

“Kedua‐duanya. Aku tak sabar‐sabar nak bawa balik nyawa kau.”

Taras meludah di sisinya. Favlos dilihat amat menjengkelkan.

“Kau tahu tak. Semua ahli sihir yang aku bunuh, semuanya ditanam di kubur belakang rumah aku. Aku membunuh sebagai hobi, Taras. Juga untuk menguatkan kuasa aku. Persoalannya, kau memang dah bersedia ke belum untuk jadi korban terakhir aku?”

Taras mencabut pedang dari sarung yang disandarkan pada dinding. Pedang diacukan pada Favlos. Kakinya dijarakkan, berada dalam posisi sedia untuk menyerang. Dia melihat Favlos menghunus pedang yang disimpan pada sisipan Tunicnya.

“Kita tengok dulu. Nyawa aku yang kau dapat, atau nyawa kau yang tertinggal di sini.”

Pedang mereka terus berdenting di udara. Hentaman demi hentaman menambahkan debar di dada Taras. Namun, perlawanan dapat didominasi oleh Taras. Segala serangan dan pukulan pedang dapat ditepis dengan cermat sekali. Dia juga dapat memberi beberapa serangan tangkas yang hampir merobek isi kulit Favlos. Sememangnya Taras mempunyai teknik berlawan yang paling baik di kalangan ahli sihir.

Taras terkena serangan mengejut. Kakinya dilibas dengan pedang sehingga dia jatuh terjelepok. Darah memancut keluar dari buku lali. Taras yang terhincut‐hincut cuba mengambil beberapa tapak ke belakang. Dia merapat pada dinding. Pedang diangkat lalu dia mensasarkan kepala lawan yang terdedah.

Belum sempat pedang itu ditujah ke kepala Favlos, tangan kanannya yang memegang pedang ditikam. Pedangnya terjatuh ke atas lantai. Pedang Favlos menembusi tangannya sehingga terpaku pada dinding. Taras meraung kuat. Tangannya menggeletar. Dia cuba sedaya upaya menarik tangannya dari terus melekat pada dinding. Dia diketawakan.

“Sengaja aku tak berlawan sungguh‐sungguh tadi. Aku nak beri peluang pada kau. Nak tengok, sejauh mana kekuatan tenaga kau. Tapi ternyata, kau tetap tak dapat tewaskan aku. Tak ada sesiapa yang boleh.” Suaranya kedengaran bermegah.

Pedang dicabut dari tangan Taras. Taras jatuh mengiring. Sebelah tangannya menekup kesan tikaman pada tengah‐tengah tapak tangannya. Dia kemudian cuba mencapai pedangnya dengan tangan kiri. Namun pergelangan tangan kirinya pula dicantas dengan bilah pedang.

Tubuhnya disepak sehingga tergolek di tengah bilik.

Dada Taras diinjak dengan kaki Favlos. Dia ditekan kuat pada lantai sehingga pergerakannya terkunci.

Kemudian, bermulalah satu siri seksaan yang harus ditanggung sebagai mangsa Favlos. Perutnya ditikam dengan pedang. Tembus sehingga terpaku pula pada lantai kayu. Darah membuak‐buak keluar. Melimpah sehingga membentuk lopak merah di bawah tubuh Taras.

Mata Taras terkebil‐kebil. Wajahnya sudah mula pucat akibat banyak kehilangan darah. Kudratnya yang tadi sudah lesap. Nyawa terasa di hujung tanduk. Dia melihat Favlos mengelilinginya sambil tersengih. Pedang miliknya yang dirampas diseret pada lantai kayu.

“Aku masih belum puas, Taras!”

Taras memerhatikan bilah pedang Favlos dihentak pada lantai. Kemudian, lengannya dipijak. Ibu jarinya dipotong. Dia meraung meminta belas namun tidak dipedulikan. Jarinya yang lain pula satu persatu dicantas dengan pedang.

“Bunuh sahaja aku, Favlos. Aku dah tak sanggup...” rintih Taras. Suaranya sudah tersekat di
kerongkong. Matanya kini terkebil‐kebil memandang Favlos yang berdiri dekat dengan lututnya.

“Tak mungkin aku akan menghapuskan keseronokan. Aku akan tunaikan hajat kau. Hari ini, kau
akan dijemput kematian dengan cara yang paling indah. Cara yang kau puas hati!”

Taras melihat pedang ditarik di atas kakinya. Bahagian kakinya dilapah sehingga menampakkan isi merah. Kemudian proses melapah diteruskan sehingga ke seluruh tubuhnya. Tulang ditolak sehingga terbonjol keluar dan terlihat pada celahan isi. Mulut Taras melopong namun sudah tiada lagi suara yang keluar melaluinya.

“Selamat tinggal, Taras.”

Pedang dijatuhkan sehingga mengenai batang tengkuk Taras. Lehernya dibelah menjadi dua sehingga terpisah dari badan.

Lutut Favlos dijatuhkan di atas lantai. Dekat di sebelah belahan tengkuk Taras. Tangan ditadah pada limpahan darah yang memancut keluar. Apabila penuh, ia diangkat separas muka lalu darah itu dihirup berkali‐kali sehingga puas.

Lysandra dari tadi menyaksikan tragedi pembunuhan yang tragis. Mengingati dengan begitu terperinci. Segala kulit yang dikopek, mahupun setiap jeritan yang terpekik mengganggu jiwanya. Dia semakin benci dengan Favlos. Benci dengan naluri jahat yang mula bercampur dengan perasaannya. Dia mahu sedar dari mimpi ngeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan