Label

Sabtu, 24 Disember 2016

NOVEL Residual Bab9i

Ahad, 2014, 2.10 tengah hari, ﴾betul‐betul selepas melawat Shazwan﴿

Lobi aras empat tak ramai sangat pelawat ﴾aras empat tempat terletak wad kelas satu﴿, tak seramai lobi aras tiga dan dua ﴾masing‐masing menempatkan wad pembedahan dan wad perubatan, kelas tiga dan dua﴿. Tapi yang paling ribut adalah wad aras satu yang ada ICU. Di situ tadi, sesak betul dengan orang. Ada yang baru keluar, ada yang baru sampai, tapi banyak yang sedang menunggu giliran untuk masuk melawat. Anak‐anak kecil yang memang tidak dibenarkan masuk ke dalam ICU dibiar bermain di ruang legar lobi. Ada yang berlari pusing-pusing, ada yang turun‐naik tangga, ada yang menekan‐nekan punat lif.

Lobi lif bertapak segi empat sama, bersambung dengan empat koridor di setiap empat bucunya. Setiap koridor memanjang menghala ke bilik‐bilik atau jabatan lain di aras ini. Di setiap aras, di sepanjang koridor itu disediakan bangku‐bangku. Di salah satu bangku itu, Irwan dan Fateh duduk sebelah‐menyebelah.

Shazwan baru sedar, dan mereka baru keluar dari wad Shazwan. Shazwan masih di dalam wad, tapi di dalam fikiran mereka, Shazwan ligat berlari‐lari mengganggu. Kepala mereka tersandar pada dinding, dan mata mereka memandang depan. Tapi tak ada bual‐bual yang tercetus setakat ini.

“Irwan..” Fateh lebih dulu bersuara, tanpa dia mengalihkan pandangan yang masih pandang ke depan. Mata Irwan juga masih tertancap pada dinding di depan.



“Irwan, aku minta maaf. Dulu aku biar kau sorang‐sorang.” Irwan terkejut mendengar kata‐kata yang tiba‐tiba keluar. Mungkin telah terjeruk terlalu lama, ungkapan maaf itu terdengar sarat dengan asam‐asin rasa. Fateh berpaling memandang Irwan di sebelahnya, namun gelengan dan senyuman Irwan mengundang tanya‐tanya pula di hatinya.

“Dalam banyak‐banyak orang, kau paling tak patut minta maaf dengan aku, Fateh.” Irwan tunduk, memeriksa jam di telefon bimbit di dalam tangannya. Dia mahu bercakap dulu dengan ‘kawan lama’nya itu, tetapi waktu rehatnya masih berbaki sedikit‐‐ terlalu singkat buat menebus empat belas tahun yang sudah lepas, tapi terlalu penting buat percik semula persahabatan mereka yang telah lama padam.

“Aku yang patut minta maaf dengan kau.” Di antara Irwan dan Fateh, satu demi satu dinding pemisah runtuh.

“Aku tak tahu kau ingat ke tak. Malam lepas aku kena belasah dekat Dewan Selera tu, lepas aku balik hospital. Masa aku menangis dalam bilik…” Irwan terhenti. Empat belas tahun sudah lepas, tapi malam hujan lebat itu, setiap kali dia terimbas, hatinya pasti tempias. “Malam aku menangis sorang‐sorang dalam bilik tu, aku tahu kau ada dekat luar, teman aku.”

Fateh terkejut. Malam itu pasti dia ingat, cuma baru dia tahu, rupa‐rupanya Irwan sedar akan
kehadiran dia.

Malam yang hujan lebat itu, masih tak surut dari kepala Irwan. Malam dia menangis lebih lebat dari hujan, dan desah nafasnya yang lebih kuat dari ribut. Masih Irwan ingat, cahaya lampu dari dua batang lampu kalimantang lama yang berpinar‐pinar di koridor asrama, walaupun malap, masih berdaya menyelit di celah‐celah ruang antara kaki pintu dan lantai biliknya, mencalit satu garis halus cahaya di dalam bilik.

Dari luar pintu, cahaya halus tiba‐tiba tersekat. Ada bayang‐bayang yang memekat, tanda ada orang yang datang mendekat. Irwan mengesat‐ngesat air mata, bersedia kalau pintu diketuk orang, namun orang yang di luar itu tiba‐tiba bersandar pada pintu, sebelum lurut jatuh ke bawah, duduk bersandar betul‐betul di belakangnya. Orang itu tidak pula mengetuk, tidak mengganggu, malah seolah ‘memberi ruang’ untuk Irwan terus menangis. Semerta Irwan tahu, orang yang duduk bersandar betul‐betul di belakangnya itu, dengan hanya terpisahkan oleh sepapan pintu itu pasti Fateh. Hatinya kembali sebak. Air matanya, semakin diseka, semakin berjurai turun. Pasti Fateh basah tempias oleh air hujan di luar, tapi dia tidakpun mengetuk pintu untuk masuk, padahal mereka berkongsi bilik. Irwan cuba lagi mengesat air matanya, tapi esakannya jadi makin tak terkawal. Akhirnya, raungannya kembali pecah. Biarpun dia cuba tekup muka dengan tapak tangan, dia pasti Fateh pasti tetap dapat mendengar suaranya yang herot‐berot dirempuh esak. Irwan masih ingat kejadian pada malam itu.

“Orang lain semua lari dari aku. Pulaukan aku. Engkau saja yang tak.” Irwan terdekih kecil, “Tapi
aku pula yang lari dari kau. Jadi, Fateh. Aku yang patut minta maaf dari kau, lebih‐lebih lagi lepas aku cabut dari SYP Gerik, sebab aku tahu, kau mesti rasa bersalah sangat‐sangat, atas benda yang engkau sebenarnya tak salah.”

Alhamdulillah. Ada rasa lega yang tersimbah‐simbah, mencuci habis sesak‐sesak dalam lohong tekak dan paru‐paru Fateh, hingga seolah‐olah rasa lega itu hampir tertumpah keluar ke tubir matanya. Kata‐kata Irwan itu ertinya amat tinggi. Ibarat ubat, merawat kuping‐kuping kesal yang masih melekat sejak lama dahulu.

Alhamdulillah.

Irwan menoleh memandang Fateh, kemudian tersenyum. Fateh juga tersenyum, mata sepetnya
seolah‐olah terpejam, tercengkuk ke bawah. Iya, begitulah Fateh selalu senyum sejak dari dulu. Cuma baru hari ini dia dapat lihat semula ‘senyuman mata’ oleh si sepet itu. Tapi, Irwan perasan di balik garis halus mata itu, ada air yang bergenang. Senyum Irwan sedikit kendur.

Kasihan dan rasa bersalah bersilih ganti.

Aku minta maaf Fateh.

Irwan dan Fateh masing‐masing memandang kembali ke depan, dengan senyum yang tak putus‐putus. Keadaan kembali kendur, mereka lebih selesa. Gejolak dalam perasaan mereka juga kini kembali tenang.

Fateh memandang Irwan, berkira‐kira untuk memulakan semula perbualan. “Irwan, macam mana kau rasa, lepas jumpa Shazwan tadi?” Fateh membaling joran tanya. Irwan tertoleh ke arah Fateh, terkejut dek soalan yang tiba‐tiba itu. Fateh memang begitu sejak dulu, selalu ‘tiba-tiba’.

Keluh berat dilepas, badan disandar ke dinding. Dia melihat ke arah atas‐ ke arah dinding koridor. Tapi sudah pasti bukan siling itu yang direnungnya.

“Macam mana dia boleh jadi macam tu?”

Fateh terdekih kecil, sambil menggeleng‐gelengkan kepala. “Siapa tahu?” Fateh menjungkit bahu.

“Tapi, aku tengok dia memang dah lama murung Irwan.” ….“Cuma tak sangka, sampai akhirnya jadi begini.”

Shazwan murung? Susah Irwan hendak percaya. Iya, walaupun apa yang dikatakan Fateh ini kurang lebih saja bunyinya macam yang dikatakan Fatimah kepadanya semalam, tapi kepalanya susah hendak mempercayai. Shazwan, lelaki yakin, terampil dan penuh karisma-hampir sempurna! Bagaimana mungkin semuanya mereput sampai begini?

Bingung di hati Irwan beriak di mukanya, tangkas ditangkap Fateh.

“Aku rasa, dia murung sebab banyak benda. Semuanya bertindan‐tindan.”… Jeda seketika..”Tapi, aku rasa, titik mula kemurungan dia adalah engkau.” Fateh bermain ‘tarik‐joran’ dengan cermat, agar dia dapat memancing perhatian Irwan tanpa mengguris perasaannya.

Kerana ada sesuatu yang perlu Irwan tahu tentang Shazwan. Shazwan yang berbaring di atas katil di dalam wad itu, tidak sama dengan Shazwan yang Irwan tinggalkan empat belas tahun lepas.

Jelas, air muka Irwan berkocak tidak senang. Fateh tidak menunggu lama. Sebelum kocak kecil
berubah menjadi pusar besar, dia terus menyambung kata. “Lepas kau lari dari SYP Gerik dulu,
banyak bahagian dari diri kau yang tertinggal kat situ, sedangkan kau bawa sekali bersama kau
banyak perkara dari diri Shazwan.” Fateh menoleh memandang Irwan.

Menung Irwan memuncung, bingungnya membusung. Seketika, koridor senyap, seolah memberinya ruang untuk menghadam fikir.

“Lepas kau hilang, Shazwn berubah terus, Irwan. Tak bercakap, tak berkawan. Kalau bersembang apa‐apa pun, dengan aku sajalah. Dengan orang lain dia dah tak bergaul. Dia jadi orang lain.”

“Habis… semua tu salah aku?” Irwan tidak menyerah mudah pada umpan Fateh.

“Bukan…bukan tu maksud aku, Irwan.” Cepat‐cepat Fateh memujuk.

“Aku tahu, besar betul salah dia pada kau, Irwan. Tapi, budak tu betul‐betul rasa bersalah. Dia betul‐betul nak minta maaf.”

Tarik joran tarik umpan, nampaknya menegangkan suasana. Fateh tidak mahu terus mengacah‐acah kesabaran Irwan. Bukan senang Irwan nak bercakap balik dengan dia! Tak pasal‐pasal nanti kembali berpaling muka. Fateh memandang Irwan yang hanya tunduk sambil menongkat lengan pada pahanya.

“Kalaulah kau dapat tengok macam mana keadaan Shazwan lepas kau hilang.” Perlahan saja suara Fateh kali ini, sekadar cukup untuk ditangkap oleh telinga Irwan.

Irwan melihat telefon bimbitnya. Dia sepatutnya sudah angkat punggung dan pergi ke jabatannya. Waktu rehatnya sudah luput. Irwan masih mendengar. Satu‐satu perkataan Fateh itu dia dengar. Tapi, entahlah. Dia tak tahu. Nak buat apa?

Dia lari dari SYP Gerik dulu, untuk memberi peluang bagi dirinya untuk terus ‘hidup’, bukan
membuka jalan untuk orang lain mati. Lagipun, siapa yang dulunya mula‐mula terkinja‐kinja
membulinya sampai SYP itu berubah jadi bagai neraka untuknya? Sekarang, dia pula yang salah? Karut.

“Fateh…Aku… aku kena pergi.” Irwan mengangkat punggungnya perlahan‐lahan. “Waktu rehat aku dah habis,” sambil dia menunjuk‐nunjuk pada nombor‐nombor digital yang tertera pada skrin telefon bimbit yang digenggamnya.

Fateh bingkas bangun. “Oh, ok. Ok. Kau balik ke unit kau?”

Irwan mengangguk. “Aku pergi dulu.” Irwan menamatkan perjumpaan mereka petang itu dengan senyuman. Kemudian dia melangkah pergi dari koridor ICU. Fateh melihat Irwan berjalan pergi dari tempat dia berdiri.

Banyak hal‐hal kerja yang perlu dibereskan Irwan:

· Perbincangan dengan pasukannya berkaitan pembedahan seorang pesakit VIP.

· Kertas‐kertas kajian yang belum siap untuk dua konferens. Oh, ada juga kertas‐kertas kajian yang minta segera disiapkan.

· Dua minggu lagi dia akan menyertai pasukan di IJN untuk satu prosedur baru yang agak rumit. Perlu banyak sikit kajian berkenaan itu.

Langkah Irwan terhenti. Banyak hal‐hal kerja yang cuba disumbatkan masuk ke dalam kepalanya sebaik dia mula berjalan tadi. Tapi, semuanya terlantun keluar oleh susuk Shazwan yang sendat memenuhi fikirannya kini. Dia memejamkan mata, dan melepas keluh berat.

Serabutnya kepala…..

Irwan berpaling semula memandang Fateh, yang sekarang berjarak beberapa depa darinya setelah dia berjalan pergi tadi. Fateh masih bediri di situ lagi, masih belum bergerak. Dari kejauhan, Irwan senyum ke arah Fateh‐ itu sebenarnya tanda perdamaian. Biar apa pun sudahnya kisah dia dengan Shazwan, Irwan bertekad, dengan Fateh dia mahu baiki semula hubungan.

Fateh membalas senyuman Irwan dengan lambaian.

Irwan turut angkat tangan, isyarat mahu permisi. Kemudian dia terus berpusing semula dan berjalan pergi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan