Label

Selasa, 27 Disember 2016

NOVEL Takdirku Hanyalah Untukmu Bab20

Hari pertama menghadiri kuliah sebagai pelajar jurusan Farmasi begitu mendebarkan hatinya. Sesi orientasi selama seminggu yang diadakan oleh pelajar senior telah pun berakhir. Lega hatinya kerana tiada lagi aktiviti membuli pelajar baru yang menjengkelkan Irina. Di dalam dewan kuliah tersebut, tiada seorang pun yang dikenalinya pada ketika itu. Rata – rata yang dilihatnya sudah berpasang – pasangan. Rancak berborak sesama sendiri membuatkan dewan kuliah sedikit bingit.

Irina pula duduk sendirian di tempat duduk hadapan. Irina mengelamun sendiri. Wajah Laila yang keriangan terpamer di kaca matanya. Laila kini berada di Universiti Sains Malaysia ﴾USM﴿, Pulau Pinang dalam jurusan Fizik. Aizat pula sudah lama berada di United Kingdom, jarang dia mendengar berita daripada lelaki itu. Raya Aidilfitri pada tahun lepas, Aizat tidak pulang ke kampung. Email juga jarang – jarang dibalasnya. Mungkin sibuk benar dengan kuliahnya.

Harris? Tiba – tiba nama lelaki itu terbit di dalam benak fikirannya. Entahlah, dia pun tidak tahu. Lelaki itu sudah lama terputus hubungan dengannya. Kali terakhir dia mendapat tahu daripada Laila, setahun yang lalu. Harris belajar di Matrikulasi Johor. Ketika itu dia berada di Matrikulasi Melaka. Nasibnya baik kerana mendapat tempat yang sama dengan Laila, cumanya Laila aliran Fizikal dan dirinya di aliran Sains. Selepas habis belajar di Matrikulasi, dia mengikut bapanya ke Melbourne selama dua bulan.

Kuliah pada hari itu berjalan dengan lancar. Untuk hari pertama hanyalah sesi berkenalan antara pelajar dan pensyarah serta penerangan tentang sub‐tajuk yang bakal dipelajari. Dr.Suraya, profesor bagi subjek Pharmaceutical Microbiology mengakhiri sesi kuliah setengah jam lebih awal daripada jadual sebenar. Kesemua pelajar bersurai dan berpusu – pusu keluar daripada dewan kuliah. Irina menyimpan buku notanya di dalam beg. Selesai sahaja mengemas barangnya, Irina melangkah keluar daripada dewan.



Irina melihat jam tangannya. Pukul 11.30 pagi. Patutlah perutnya sudah berasa lapar, sudah hampir waktu tengahari rupanya! Lagipun dia tidak sempat bersarapan memandangkan mahu mencari dewan kuliah itu pun sudah dekat setengah jam. Mujur dia tidak lewat.

Irina memilih kafe yang terdekat dengan dewan kuliah tadi. Masih tidak ramai orang, lagipun belum masanya waktu makan tengahari. Cuma yang ada beberapa sekumpulan pelajar dan beberapa orang pensyarah sahaja. Irina mengambil pinggan kosong yang disediakan oleh pihak kafe. Selesai mengambil nasi putih dan beberapa jenis lauk, Irina terus ke kaunter untuk membayar harga makanan dan air yang dipesannya.

Irina mengambil tempat duduk di hujung kafe. Kebiasaannya dia memang gemar memilih lokasi yang agak strategik memandangkan dia dapat melihat keseluruhan kawasan kafe dan gelagat orang yang berada di situ. Dia bukanlah orang yang pandai bergaul mesra dengan orang sekeliling apatah lagi mahu menegur sesiapa sahaja orang yang dia tidak kenali. Orang yang tidak mengenalinya dengan lebih dekat sudah pasti akan mengatakan dia sombong.

Sesudah selesai makan tengahari, Irina pulang ke bilik. Memandangkan kuliah subjek Basic Anatomy pada petang ini dibatalkan, Irina mahu berehat sahaja di dalam bilik. Irina teringat pada rakan barunya Hajar, pelajar jurusan Undang ‐ undang yang baru dikenali ketika sesi orientasi. Lantas, Irina segera menghubungi nombor telefon yang diberi oleh Hajar kelmarin.

“Hello?” suara Hajar sudah berada di talian.

“Hello, Hajar. Ni aku, Irina.” Irina memulakan bicara.

“Hah Irina! Dah dua tiga hari baru kau nak call aku ye! Ada hal penting ke?” suara Hajar separuh menjerit, gembira mendapat panggilan daripada Irina.

“Aku nak ajak kau pegi library petang ni. Tak ada member la. Boleh tak?”

“Ala Irina… sori sangat – sangat. Aku petang ni ada kuliah la. Next time? Eh, malam ni nak keluar makan sama – sama tak? Aku datang bilik kau ye?”

“Boleh jugak. Nanti kau call aku ok?”

“Okay. Irina, aku tengah busy sikit ni. Later ok? Bye~~”

“Bye…” Irina mematikan talian. Hai nampak gayanya terpaksalah pergi ke library sorang – sorang! Irina memandang katil sebelah, kosong. Patutlah minah ni tak ada.

Vee, rakan sekuliah dengan Hajar. Tetapi memandangkan sikap Vee yang tidak sebulu dengan Hajar, Hajar sememangnya anti dengan perempuan itu. Kebetulan, Irina pula sebilik dengan Vee. Terpaksalah dia berhadapan dengan musuhnya itu.

Irina termenung sendirian. Baru masuk dua minggu di sini, Irina rindukan kampung halaman, terutamanya tok dan tok wannya. Apalah yang tok tengah buat sekarang? Mungkin sedang mengangkat kain jemuran tak pun sedang duduk – duduk berehat – rehat sambil menganyam bakul mengkuang. Gumam Irina sendirian.

Nek Jah memang tidak reti duduk diam. Walaupun umurnya sudah menjangkau dekat 80‐an, tapi syukurlah dia masih sihat dan bertenaga lagi. Mungkin disebabkan penjagaan makanan dan pergerakannya yang sentiasa aktif itu memberi kesan kepada kesihatan Nek Jah. Dan pada sebelah malamnya pula, Nek Jah akan mengaji al‐quran dan bersolat tahajjud. Kata Nek Jah, itulah petuanya yang diamalkan sejak berkahwin sehingga hari ini untuk kekal sihat dan mendapat hati yang tenang. Dengan ketenangan yang diperolehilah kesihatannya terjaga.

Alhamdulillah, ingatannya juga masih kuat dan cerdas.

Irina melihat jam tangannya. Sudah pukul 1.30 petang dan menandakan sudah masuk waktu Zohor. Irina bingkas bangun daripada pembaringannya dan keluar menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Irina mencari – cari buku rujukan yang sesuai di rak buku tersebut. Di tangannya terdapat nota kertas yang menyenaraikan beberapa tajuk buku yang diperkatakan oleh pensyarahnya untuk dijadikan rujukan. Lagipun Irina mahu membuat rujukan awal sebelum sesi pengkuliahan bermula. Irina yang sedang leka mencari tidak sedar dirinya diperhatikan seseorang.

Irina berhenti daripada mencari buku. Terasa seperti ada mata – mata yang memandang.

Hatinya berdebar. Dia cuba mencari – cari jikalau ada orang yang memerhatikannya tetapi tiada sesiapa di situ kecuali sekumpulan pelajar yang sedang membuat assignment.

“Hah!”

Terasa bagai mahu gugur jantung Irina ketika itu. Hajar pula terkekek – kekek ketawa melihat Irina yang sedang mengurut – ngurut dadanya. Habis buku – buku yang dipegang tadi berterabur di lantai. Terdapat beberapa pelajar yang sedang menyiapkan kerja mereka memerhatikan gelagat dua sekawan tersebut. Mungkin sedikit terganggu dengan bunyi ketawa Hajar.

Irina mencubit lengan Hajar. Hajar mengaduh sakit tetapi masih bersisakan baki ketawanya. Irina membuat isyarat supaya berhenti ketawa. Hajar menekan – nekan perut agar geli hatinya berkurangan.

“Kau kata ada kuliah?” Irina menyoal, separuh berbisik.

“Memang ada, tapi dah habis. Lecturer aku lepaskan awal. Lepas tu bagi quiz suruh kitorang submit esok jugak. Melampau.” Hajar merungut – rungut. Profesor Adnan, lecturer subjek Malaysian Constitutional Law baru memberi kuliah dua kali tetapi sudah ‘menembak’ mana – mana pelajarnya yang ‘bertuah’ dengan pelbagai soalan yang pelik – pelik. Ramai yang kecut perut dengan Profesor Adnan, baik pandangannya yang tajam ataupun soalannya yang tidak masuk akal itu.

Irina ketawa kecil, geli hati melihat Hajar yang mencebik – cebik mulutnya kerana tidak puas hati diberikan kerja extra oleh lecturernya. Buku – buku yang jatuh tadi dikutip dan dibawa ke kaunter pinjaman.

“Dah tu, kau tak nak cari bahan ke untuk kuiz kau tu? Nanti kena ceramah lagi dengan profesor kesayangan kau tu baru kau tahu.” Irina menegur Hajar yang mengekorinya ke kaunter pinjaman. Tersengih – sengih gadis kecil molek itu ditegur rakannya. Sememangnya niatnya ke library untuk mencari Irina, bukan mencari bahan untuk kuiznya itu. Alah! Tanya kat Pakcik Google la malam nanti! Susah apa!

“Malaslah! Bukannya aku tau buku apa yang sesuai untuk soalan maut dia tu. Cari dalam internet je malam nanti. Sekarang ni kan semua maklumat di hujung jari~~” Hajar memetik jarinya senang hati.

Irina hanya menggeleng – gelengkan kepalanya melihat keletah Hajar. Sekurang – kurangnya tidaklah dia keseorangan di kampus itu apabila Laila tiada di sisi. Hajar seorang gadis yang ceria dan penuh dengan gelak ketawa. Nakalnya juga boleh tahan. Pertama kali berjumpa dengan Hajar, mulutnya tidak berhenti bercakap. Macam mulut murai!

Harris yang bersembunyi di sebalik rak buku memerhatikan gelagat dua sekawan itu. Hampir tidak percaya apabila melihat Irina berada di depan matanya. Hampir dua tahun tidak bertemu dan tidak mendengar khabar berita, takdir menemukan mereka kembali di tempat pengajian yang sama. Matanya bagai tidak mahu berpaling daripada melihat kelibat Irina dan Hajar yang sudah pun melangkah keluar daripada library itu… dan Harris tersenyum dengan penuh makna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan