Label

Khamis, 5 Januari 2017

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab20

CAHAYA tanglung menyinari perkarangan Majlis Resepsi bertemakan Fantasi Bulan Madu.. Beberapa batang lilin dipasang di setiap meja hidangan menyerlahkan lagi jambangan bunga mawar yang dihias bersama hidangan. Kedengaran lagu melodi perlahan dimainkan. Setiap tetamu yang hadir mengayakan pakaian mengikut tema yang telah ditetapkan. Suit hitam untuk lelaki dan pakaian rona putih untuk wanita. Pihak pengantin dengan murah hati juga telah menjemput semua pelancong yang menginap di resort bagi memeriahkan lagi majlis.

Ridduan melangkah masuk ke perkarangan majlis. Dia mengayakan suit hitam mengikut potongan badan bersama kemeja putih menampakkan susuk tubuhnya yang sasa dan menyerlahkan lagi ketampanannya serta ketinggiannya. Bow tie hitam tersemat di lehernya.

Dia tercari‐cari kelibat Hana dalam kesesakan orang ramai tapi, tiada. Yang ada, hanya gadis-gadis cantik memberi senyuman manis dan cuba menarik perhatiannya. Bagaikan dia pula pengantin lelaki bila menjadi tumpuan gadis‐gadis di situ.

Hana berbaju kurung moden putih yang dihiasi bunga‐bunga organza di lengan, di leher dan di tubuhnya serta taburan belian‐belian kecil. Skarf putih diikat atas kepalanya seperti cekak. Rambut yang di lengkung‐lengkung, diselak kesemuanya di bahu sebelah kanan menyerlahkan lehernya yang jinjang. Solekannya tebal sedikit berbanding biasa bersesuaian untuk majlis di malam hari. Matanya juga kelihatan besar dan galak bila mengenakan bulu mata palsu serta contact lens. Hana melangkah masuk ke perkarangan majlis perkahwinan. Kakinya yang masih sakit cuba dikawal untuk berjalan seperti biasa. Matanya melirik‐lirik mencari Sofea dan stafnya yang lain.



‘Hana...’ Eric yang nampak kehadiran Hana terpaku dengan kecantikan Hana malam itu.

Matanya tidak berkedip. Dia sedar daripada lamunan bila seorang lelaki terlanggar bahunya. Dia menyelinap dicelah‐celah orang ramai untuk menegur Hana. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Tidak sabar nak menegur Hana. Dia terbayangkan dapat berbual sepanjang malam bersama Hana. Hatinya gembira.

Ketika itu juga terdapat sepasang mata tidak berkedip melihat Hana. Kakinya kaku badannya membeku bagaikan dipaku. Terpaku melihat kejelitaan gadis yang dicintainya. Jantungnya berdegup laju. Matanya tidak lepas memandang setiap pergerakan. Dia pasti, Hana akan lalu di sebelahnya.

“Sorry. You tak ada teman ke? Jika keseorangan, I boleh jadi partner you.” Tegur seorang gadis.

“It’s okey...” Sapaan gadis itu melenyapkan semua yang dirasainya tadi.

“Dari tadi I tengok you keseorangan. You datang seorang dirikan. I pun datang seorang diri tak berteman. Jadi, you boleh jadi partner I malam inikan.” kata gadis itu dengan gaya menggoda.

Ridduan memberi senyuman. “I think I'vefoundmy parter.” Ketika itu Hana berselisih bahu dengannya ditahan dan dipusing menghadap gadis itu. Dirangkul bahu Hana menarik rapat padanya.

“Okey. Never mind.” Sempat dia menjeling pada Hana sebelum meninggalkan mereka.

Hana menepis tangan Ridduan di bahunya. Hana melangkah perlahan dan duduk di sebuah kerusi paling belakang, di mana tiada orang di situ tetapi masih jelas kelihatan kemeriahan majlis itu. Ridduan yang menurutinya dari tadi bingkas duduk di sebelah Hana. Tapi, Hana tidak mengendahkan kehadiran Ridduan di sebelahnya. Dia masih mencari bayang Nabila, Shahrul dan Sofea dalam kerumunan orang.

“Maafkan saya jika kata‐kata tadi menyinggung perasaan awak.” lembut dan perlahan tuturnya seperti berbisik.

Bila Ridduan bersuara Hana bingkas bangun.

“Hana! Tolong... jangan pergi. Jika awak tak suka, lupakan apa yang saya cakapkan petang tadi.”

Hana duduk kembali. Hatinya meminta dirinya berbuat begitu. Mereka berdiam diri. Mata mereka membuntang pada kemeriahan majlis perkahwinan. Hanya kedengaran keriuhan di depan mereka memecah kesunyian di antara mereka. Kedengaran dendangan kompang dan lagu pengantin baru menandakan pasangan pengantin telah masuk ke perkarangan majlis dan duduk bersanding di atas pelamin. Bagai pinang dibelah dua. Jelas kelihatan rona bahagia di wajah pasangan itu. Hari ini, hari di mana kebahagiaan mereka akan di rai dan berkongsi rasa bersama ahli keluarga dan teman rapat. Hati Hana terusik.

“Lihat mereka. Adakah mereka mencintai satu sama lain?” Hana bersuara perlahan.

Ridduan melihat arah pasangan mempelai yang dimaksudkan Hana. Seumur hidup dia tidak pernah hadir ke majlis‐majlis sebegini. Dia selalu ke parti liar yang diadakan oleh Razak. Itu pun hanya menunjukkan mukanya pada Razak supaya dia tidak dimarahi, kemudian dia akan keluar dan pulang. Tidak sanggup melihat perempuan‐perempuan beraksi panas seperti tiada harga diri. Dia bukan menunjuk baik, tapi itulah sifatnya yang datang dari hati. Jika dia tidak hadir, Razak akan meminta body guard mengheretnya ke parti itu juga. Itulah yang terjadi ketika dia bertegas tidak mahu menyertai mereka. “Saya tidak tahu apa itu cinta. Saya juga tidak pernah bercinta dan saya tidak tahu bagaimana rasanya cinta.”

“Mestilah mereka bercinta. Jika tak, kenapa mereka berkahwin. Tengok mereka... mereka telah buat perjanjian dengan Allah, akan berkongsi kasih, sayang dan mencintai satu sama lain. Menghadapi keadaan susah senang bersama dan yang paling penting, memikul tanggungjawab bersama‐sama.”

“Awak pun begitu? Mahu berkongsi semua itu bersama pasangan awak?”

“Insya‐Allah. Itu yang saya harapkan. Setiap perempuan pasti ada angan‐angan begitu. Ingin pengakhiran seperti fairy tale. Saya juga begitu. Saya nak habiskan hidup saya bersama orang yang saya cintai. Menjadi kelebihan pada kekurangan dia dan kekurangan saya merupakan kelebihan dia. Mengharungi suka duka bersama‐sama hingga hari tua. Saya nak dia menemani saya sepanjang hidup saya hingga saya menutup mata.”

“Hana dah jumpa orang itu?”

Hana tersentak. Lantas memandang Ridduan. Ridduan suka bertanya soalan yang mengejutkan. Soalan yang langsung tidak dijangka akan ditanya. Dalam cahaya samar‐samar wajah Ridduan tetap kelihatan kacak. Hatinya berdebar‐debar. Matanya tidak mampu berpaling lagi. Terus berpusat, menatap di segenap wajah Ridduan.

“Saya juga inginkan kehidupan seperti awak katakan tadi. Hidup seperti orang normal. Dicintai dan disayangi oleh seorang bernama perempuan. Sebelum ini hati saya seperti membeku, perasaan saya seperti tidak berfungsi terhadap perempuan. Sejak saya terlihat awak dan berjumpa awak, jantung saya sentiasa berdegup laju, hati saya berdebar‐debar, badan saya menggeletar, hati saya sakit bila lihat awak disakiti dan perasaan saya membuak‐buak gembira melihat senyuman awak.” Ridduan memandang Hana yang sedang memerhatinya. Mata mereka bertaut lagi. Melihat Hana yang sungguh cantik menenangkan fikirannya dan menyejukkan matanya. “Hana... kahwin dengan saya...” mulutnya lancar berkata‐kata tanpa dipaksa.

“Apa?” Hana terpukau dengan Ridduan.

“Cuba Hana pandang langit di atas sana?”

Hana menurut kata Ridduan. Langit gelap dan kosong tanpa bintang dilihat. Terbit perasaan sedih dan kesunyian. Sayu hatinya. ‘Hati aku seperti langit ini... gelap dan kesejukan’ Tapi kata-kata Ridduan menyenangkan hatinya, menyejukkan tubuhnya hingga dia tidak berdaya pergi meninggalkan Ridduan. Dia terbuai dengan kata‐kata indah Ridduan. Dia ingin mendengar lagi dan lagi.

“Lihat langit di atas sana. Hitam... kosong... sejuk... seperti itulah hati saya.” Ridduan menunjukkan cincin emas putih ke atas langit.

“Cincin saya.” Hana terkejut dan teruja. Cincin yang selama ini hilang, disangka tak mungkin jumpa lagi, kini di depan matanya. Dia cuba mengambil tapi dielak Ridduan. Lantas Hana memandang wajah Ridduan kembali.

“Gembira? Seperti itulah perasaan saya gembira bila bertemu awak Hana. Awak telah mengusik perasaan saya, mencairkan hati saya dan masuk ke dalam fikiran saya hingga saya tidak berdaya menolak dan membuang awak keluar. Saya... tak mampu melupakan awak, Hana...”

Hana mendiamkan diri. Mulutnya terkunci rapat. Tidak mampu membalas kata‐kata Ridduan. Ridduan menarik lembut jari‐jemari Hana dan menyarungkan cincin ke jari manis Hana yang telah lama kosong. Hati Hana semakin tersentuh. Badannya sudah sejuk membeku. Dia bagaikan tidak tahu di mana sebenarnya dia berada dan apa telah berlaku.

“Sempurna.” Melihat cincin muat di jari manis Hana. Ridduan menggenggam lembut jari-jemari Hana “Hidup saya juga akan sempurna jika Hana bersama saya. Kahwin dengan saya Hana.” Tangan Hana dikucup lembut.

‘Dia melamar aku...’ berderau darah Hana. Badan yang sejuk menjadi panas. Jantungnya mengepam laju darah dalam badannya. Fikirannya bercelaru, perasaannya keliru bagai tidak tentu arah. Masih tidak sedar di mana sebenarnya dia berpijak. Dia juga tidak dapat bezakan antara mimpi atau realiti. Badannya masih kaku dan terpaku tertawan dengan kelakuan Ridduan. Beberapa orang yang terlihat mereka bertepuk tangan mengejutkan Hana itu adalah realiti.

Eric melihat semua adegan di antara Hana dan Ridduan dari jauh. Kakinya melangkah ke belakang lalu terus meninggalkan perkarangan dengan hati yang kecewa.

Hana melarikan diri tanpa arah tujuan. Dia tak mampu mengawal perasaannya lagi. Lagi lama dia bersama Ridduan, dia akan terus hanyut. Terperangkap dalam cinta Ridduan. Pergelangan kaki yang masih sakit menyebabkan dia tidak dapat mengawal badan hampir tersadung ke dalam kolam.

Ridduan menarik tangan Hana. Dirangkul pinggang Hana dan mengimbangkan badan mereka berdua agar tidak jatuh di dalam kolam bersama. Hana ketakutan memeluk bahu Ridduan. Mata mereka bertaut lama, nafas berombak laju, badannya sejuk membeku kembali. Tepukan gemuruh menyedarkan Ridduan dan melepaskan rangkulannya.

Hana cuba mengimbangkan badannya untuk berdiri lebih teguh supaya kejadian tadi tidak berlaku lagi. Nasib ketika itu semua orang sedang memberi tumpuan pada pasangan pengantin yang sedang memotong kek di jambatan di tengah‐tengah kolam. Jika tidak, pasti mereka menjadi perhatian.

Sepasang mata melihat kemesraan Hana dan Ridduan dari jauh. Dia melihat mereka sejak tadi. Pada mulanya dia ingin melihat kemeriahan majlis perkahwinan saja, di situ muncul kelibat Hana. ‘Cantik tunang aku...’ bisik hatinya. Niatnya ingin menyapa terhenti kakinya bila seorang lelaki merangkul bahu Hana mesra. Sejak itu dia membuat keputusan memerhatikan dari jauh gelagat mereka dan menonton adegan yang tidak sepatutnya berlaku hingga mengusik hati.

Hatinya berasa sakit tapi masih mampu menahan kesabarannya. Dia melangkah perlahan mendekati Hana.

“Hana...”

Hana seperti mengenali suara yang datang dari arah belakangnya. Matanya mengerling perlahan‐lahan ke arah suara itu. Dalam cahaya samar‐samar, dia mengecam susuk tubuh itu.

Lelaki yang cukup dikenalinya berdiri tegak di bawah pokok. “Abang...” Hana tergamam. Betul ke apa yang dilihat sekarang ini? Aman ada di pulau ini.

“Hana...” Aman senyum seperti biasa walaupun hatinya sakit.

“Abang... abang buat apa kat sini? Bila abang datang?” Hana melangkah perlahan mendekati Aman. Jantungnya berdegup lebih kencang. Hatinya cemas dan ketakutan. Takut Aman nampak dia bersama Ridduan.

“Surprise...” sambil mendepakan tangannya. Pada asalnya, dia ingin membuat kejutan untuk Hana akhirnya dia yang terkejut melihat seorang lelaki bermesra bersama tunangnya. “Abang nak buat kejutan pada Hana. Abang sampai sini petang tadi.” Aman mengerling arah Ridduan di belakang Hana. Dia mendekati Ridduan dan menghulur tangan. “Saya Aman, tunang Hana.” Dengan bangganya, Aman memperkenalkan diri.

‘Tunang...’ Giliran Ridduan pula tergamam. Cuba dikawal perasaan dan tubuhnya seperti biasa.

Tangan Aman disambut. “Ridduan... pelancong di sini.” Cuba memberi senyuman untuk menutup wajahnya yang sedih. Dia rasakan bagai dihempap batu besar ketika itu. Sakit yang teramat sangat. Tidak pernah dirasainya. ‘Hana rupanya milik orang...’ bisik hatinya.

“Boleh saya bawa Hana pergi?”

“Sure... it yours...”

“Thank you..” Aman merangkul bahu Hana dan membawanya pergi.

Hana pergi mengikut Aman. Kakinya yang sakit tidak dirasainya. Hati yang lebih berdebar dan terkejut melihat Aman di situ. Hana cuba menyembunyikan perasaan cemas, takut dan bersalah.

Ketika melangkah pergi, Hana sempat mengerling Ridduan di belakangnya. Wajah Ridduan sungguh kecewa sambil memegang pokok di tepinya.

Dia melihat Hana hilang dalam kegelapan malam. Kini tinggal dirinya keseorangan tidak berteman. Pokok di tepinya masih dipegang agar badannya tidak jatuh. Kerana seorang perempuan, dia boleh jadi lemah sebegini. Melihat Hana dibawa pergi lelaki lain, hatinya teramat sakit. Kakinya lemah, tidak mampu berdiri. Tersungkur melutut ke bumi. Perasaan sedih dan kesunyian memeluk diri. Perasaan yang sama pernah dirasainya suatu ketika dahulu, di mana ayahnya meninggalkannya untuk selamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan