Label

Selasa, 29 November 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab14

TU dia! Intan Nawrah sedang sibuk menyusun tray sambal di ruang tengah restoran. Macam dah biasa, Alexander Zulkarnaeen terus mengisi penuh nasi ke dalam pinggannya. Dia mendekati Intan Nawrah yang masih khusyuk dengan kerjanya.

“Saya nak sambal strawberi sesudu, sambal petai sesenduk.”

“Kejap, ye. Saya ambil su‐”

“du? Sudu ke maksud awak? Ke susu?”

Usik Alexander Zulkarnaeen, melihat kejutan pada wajah itu. Intan Nawrah masih berdiri kaku di sebelah Alexander Zulkarnaeen. Dia hilang arah sekejap, tak tahu nak buat apa. Nak lari lagi atau buat biasa sahaja? Ini kes kronik! Kuala Lumpur‐Cameron‐Tapah‐Cameron! Mana saja aku pergi, dia ada. Hisy! Serabutnya!

“Nawrah, customer!” Siti Kamaliah, ibu saudara yang paling muda menegur. Intan Nawrah berpaling kepadanya dan mengangguk. Kemudian, dia nampak langkah anak saudaranya meninggalkan troli sambal.

“Eh‐eh budak bertuah ni! Dia lari pulak.” Siti Kamaliah menggeleng. Dia hendak mendapatkan
pemuda yang masih berdiri di tepi stallsambal tetapi Intan Nawrah muncul dari belakang. Dia
nampak senduk pada tangan anak buahnya. Salah sangka aku rupanya. Dia senyum sendiri.

Satu sudu sambal strawberi dan sesenduk sambal petai sudah beralih di pinggan Alexander
Zulkarnaeen. Intan Nawrah menganggap tugas melayan Alexander Zulkarnaeen selesai lalu dia
menyambung kerja sebelumnya. Dia meletakkan senduk pada setiap tray tetapi terasa bagai diri diikuti.

“Saya jumpa awak sekejap, boleh?” Tanya Alexander Zulkarnaeen.

“Tak boleh. Saya kerja.”

“Sekejap aje.”

“Tak nakkkk.” Tolaknya hampir berteriak.

Kawalan emosinya hilang dek kerana lelaki itu. Anenya, suasana berubah serta‐merta. Tiada suara kedengaran kerana beberapa orang pelanggan yang ada menoleh ke arah mereka berdua. Alexander Zulkarnaeen buat biasa sahaja. Dia sudah lali dengan situasi tegang seperti itu. Tuan punya kedai juga menyorot mata ke arah mereka berdua yang masih berdiri di depan stall sambal.

“Elok tadi tak malu, sekarang siapa yang malu? Saya nak minum kopi o suam. Awak buatkan, ye?” pesan Alexander Zulkarnaeen, mengalah juga akhirnya. Tetapi pesanan akhir membuatkan Intan Nawrah menghadiahkan jelingan buatnya.

“Tak kuasa.” Bidasnya sebelum pergi.



Alexander Zulkarnaeen juga meninggalkan ruang tengah restoran itu, sambil mencari meja yang kosong. Beberapa minit di stall sambal, rupa‐rupanya restoran itu sudah penuh dengan pelanggan. Dia terpandangkan tuan punya kedai yang duduk di kaunter. Mata wanita lingkungan usia empat puluhan itu melekat kepadanya. Ah, pedulikan!

“Kopi o encik.” Sapa Siti Diana, meletakkan gelas minuman di hadapan pelanggannya.

Alexander Zulkarnaeen mengangkat muka dan mengangguk saja. Tentu kerja Intan Nawrah yang memang saja mengelak dari menemuinya.

“Intan Nawrah mana?”

“Ada. Dia kata tak nak jumpa encik.” Jawab Siti Diana, jujur.

“Kata pada dia, selagi dia tak datang jumpa saya, selagi tu saya duduk sini.”

“Hemm... kenapalah saya yang jadi mangsa? Yang gaduh dengan dia tu encik, bukan saya.”

Bebel Siti Diana sebelum berlalu. Dek kerana kawan, dia jadi orang tengah pula. Kejap‐kejap ditarik ke kiri, kejap‐kejap ditolak ke kanan. Hey, penatnya dengan Intan Nawrah dan mamat berkemeja biru ni.

“Kau ni kenapa, Nawrah? Kahwin‐kahwin ajelah dengan mamat tu. Selesai masalah! Tak payahlah aku jadi orang tengah lagi. Serabutlah!” Marah Siti Diana sebaik menghampiri Intan Nawrah di belakang.

“Hisy...kahwin apanya? Dia bukannya teman lelaki aku.” sanggah Intan Nawrah, bersungguh.

Berkerut‐kerut keningnya membalas renungan tidak puas hati Siti Diana. Dia tahu sahabatnya itu marah kerana dipaksa lagi menghadap lelaki itu, tetapi jika bukan Siti Diana, siapa lagi yang sudi membantu?

“Ha ah. Ye lah tu. Dia kata kalau kau tak jumpa dia, dia duduk situ sampai kedai tutup.”

JAM tujuh petang ketika semua pelanggan beransur pulang manakala sang pekerja sedang sibuk mengemas kedai. Alexander Zulkarnaeen masih duduk di mejanya. Dia hanya keluar dari kedai untuk solat sahaja. Kemudian, dia kembali menunggu Intan Nawrah di restoran itu.

Berapa kali pesanan dan berapa kali jelingan dah dilemparkan buatnya, namun dia terus juga menanti.

“Encik, maaf! Kita nak tutup kedai ni.”

Kata Siti Kamaliah, resah melihat pelanggan yang tidak mahu balik itu. Berulang kali dia ke
belakang, memujuk Intan Nawrah supaya menyelesaikan urusan tertangguhnya dengan pemuda itu, tetapi Intan Nawrah berkeras hati, tetap tidak mahu menemui lelaki itu.

“Tak apa, puan. Tutup aje. Saya tumpang duduk, sementara tunggu Intan Nawrah.”

“Yelah. Duduk lah dulu kalau macam tu, nanti saya panggilkan Nawrah.” Kata Siti Kamaliah, bergegas ke bahagian dapur. Kali ini dia tidak boleh bersabar lagi dengan perangai Intan Nawrah. Yang itu tak boleh mengalah, tak apalah sebab orang luar. Yang seorang ini pula anak saudaranya. Kalau yang itu tak mahu mengalah, biar dia tegur pula yang seorang ini.

“Nawrah pergi ke depan sekarang. Jumpa dengan lelaki tu.”

“Tak naklah, Mak Su. Nawrah tak nak jumpa dia.”

“Tak nak jumpa sampai bila? Mak Su perasan, dah tiga kali dia ke sini. Semuanya sebab Nawrah. Pergi uruskan hal Nawrah sekarang. Tinggalkan dulu semua kerja‐kerja ni. Mak Su serabutlah! Kalau tak selesai hari ni, esok lusa tentu dia datang lagi.” Luah Siti Kamaliah, berusaha memujuk.

Lama Intan Nawrah mendiamkan diri, hingga terdengar keluhan panjang dilepaskan. Anak buahnya dilihat mencuci tangan dan menapak juga ruang makan restoran. Anehnya, dia terus berdiri di luar restoran, bukannya duduk di meja. Melihat Intan Nawrah berdiri tegak di luar,

Alexander Zulkarnaeen segera merapati. Mereka berdiri di hadapan Restoran Nasi Lemak Sambal Strawberi Kak Lia sambil memandang jalan raya yang masih sibuk.

“Saya call awak tak dapat‐dapat.”

Intan Nawrah ketawa kecil. Aduhai, penatnya layan mamat ni.

“Memanglah! Saya dah blok nombor awak.” Ejek Intan Nawrah. Alexander Zulkarnaeen senyap
sahaja. Patutlah beratus kali telefon tak diangkat‐angkat, rupa‐rupanya dia memang dah blok nombor telefon aku.

“Semalam saya jumpa mak awak. Dia nampak berkenan dengan saya.” Ujar Alexander Zulkarnaeen, saja nak melihat reaksi wanita itu. Intan Nawrah menjuihkan bibirnya, tanda mencemuh.

“Tak payah nak putar saya. Saya lebih kenal mak saya. Tentu dia suruh awak mintak jawapannya dari saya, kan?”

“Come on, Intan Nawrah. Just say yes.”

“Apa untungnya saya kata yes? Membebankan saya pulak, kan? Tiba‐tiba kena bertanggungjawab pada awak. Gali kubur sendiri.” Bidas Intan Nawrah sungguh‐sungguh.

Alexander Zulkarnaeen cuma tersenyum.

“Takkanlah sampai gali kubur sendiri. Saya nak bawa awak ke syurgalah, Intan Nawrah! Syurga
Alexander Zulkaraneen dan Intan Nawrah. Di syurga tu nanti, saya akan pastikan awak dapat semua yang awak mahu.”

Ujar Alexander Zulkarnaeen, terjiwang karat pula maghrib‐maghrib begini. Kejap lagi tentu azan akan berkumandang. Dia tidak dapat bertahan lama kerana waktu maghrib yang singkat.

“Orang lelaki memang mulut manis. Tak ketinggalan awak. Masa nak, memang berjanji macam‐macam. Lebih baik saya beringat sebelum terkena.”

Amboi! Intan Nawrah cuba mencabar kredibiliti nampaknya. Tergugat juga Alexander Zulkarnaeen dibuatnya.Dalam nak sabar, rasa macam tak berapa sabar juga.

“Awak nak apa? Saya buktikan.”

“Ha ha ha. Gila! Dia ingat semua dia mampu buat.”

“Sekadar dalam kemampuan sayalah. Yang masih tercapai dek akal dan agama. Kalau mintak saya dulang hantaran macam Puteri Gunung Ledang mintak. Kasihan kat awaklah...tak kahwin pulak sampai tua. Mana‐mana lelaki pun tak sanggup dengan syarat tu.” Balas Alexander Zulkarnaeen, serius.

Dia mahu lihat sejauh mana perbualan itu berlangsung, memberi manfaat atau tidak. Jika tanda‐tandanya negatif. Dia mahu angkat kaki dahulu kerana waktu Maghrib yang singkat.

Tapi dari gaya Intan Nawrah, peluangnya tipis. Mungkin dia perlu berusaha di lain waktu pula. Intan Nawrah pula tidak menyahut. Jika betul apa yang dikatanya, dia mahu lihat pula sejauh mana Alexander Zulkarnaeen menzahirkan kata‐katanya. Sebentar lagi dia akan tahu, Alexander Zulkarnaeen pasti kalah dalam pertempuran pertamanya.

“Baik, kita tengok.Mampu awak buktikan? Seratus enam puluh ribu ringgit. Boleh awak beri pada saya duit sebanyak tu untuk membuktikan kesungguhan awak yang katanya nak sangat memberi bukti.”

Alexander Zulkarnaeen terkejut. Dia menoleh ke arah Intan Nawrah, dengan dahi berkerut-kerut. Apa maksud Intan Nawrah pun mata duitan jugakkah? Sama seperti wanita‐wanita lain yang hanya memandang harta? Masya‐ALLAH! Takkan dia yang bertudung pun mahu jadi kaki kikis. Belum kahwin dah minta jumlah duit sebanyak itu, bagaimana pula selepas kahwin?

“Macam mana? Tak mampu, kan?” ejek Intan Nawrah, selamba.

“Saya dah tahu, orang lelaki memang pandai bermain kata. Tengok! Dia sendiri terbelit dengan
janji‐janjinya.”

“Saya balik dulu. Assalammualaikum.”ucap Alexander Zulkarnaeen, terus buat keputusan untuk
mengundur diri. Hatinya hangat dek permintaan Intan Nawrah, yang langsung tak terduga dek fikirannya.

“Waalaikumussalam warahmatullah.”

Jawab Intan Nawrah, lembut dan menyejukkan hati. Akan tetapi ucapan itu tak mampu menyejukkan hati yang berbara. Kali ini dia benar‐benar kalah sebelum bertempur. Kalah kerana terbulat hati hendak mengahwini perempuan mata duitan. Ah, semuanya sama sahaja!

Hanya duit yang dipandang. Tapi mungkin silap dia juga, menawarkan apa sahaja untuk dibuktikan. Padahnya, dia terkedu dengan hajat Intan Nawrah. Sampai di masjid, Alexander Zulkarnaeen terus mengambil wudhu, cuba melupakan kejutan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan