Label

Isnin, 5 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab16

SARAH AQILAH melangkah kemas menuju ke bilik Datuk Zulkifli. Sampai di pintu bilik, dia
membetulkan pakaiannya supaya nampak cantik di pandangan mata. Lebih‐lebih lagi kepada Datuk Zulkifli yang menghadiahkan pakaian berjenama itu kepadanya. Dia mahu Datuk Zulkifli kagum apabila melihat dirinya. Hubungan baiknya dengan Datuk Zulkifli bukanlah suatu yang rahsia lagi di kalangan pekerja di syarikat itu. Sarah Aqilah bagaikan kaduk naik junjung kerana mula bersikap tinggi diri dan berlagak sombong.

Masuk sahaja ke bilik itu, Datuk Zulkifli sudah terpegun dengan penampilan Sarah Aqilah. Melopong mulutnya seketika apabila Sarah Aqilah tersenyum nakal. Senyuman itu dibalas kembali oleh Datuk Zulkifli.

“Cantik tak Datuk?”suara manja Sarah Aqilah menujah cuping telinga Datuk Zulkifli.

“Mestilah cantik….you kalau pakai apa saja memang cantik….memang kena!”

“Ermm…..memuji atau perli Qilah…..,”

“Dah memang you cantik…..apa lagi yang I boleh katakan….,”

“Datuk ni…..suka tau….,”



Sarah Aqilah pantang dipuji, mulalah lupa diri. Cepat perasan apabila dipuji oleh orang lelaki. Lebih‐lebih lagi lelaki gatal dan miang macam Datuk Zulkifli. Dia sudah faham sangat kadang-kadang
pujian yang datang itu tidak ikhlas. Pujian yang ada maksud di sebaliknya. Bukan hanya Datuk Zulkifli sahaja, malah lelaki‐lelaki lain pun agaknya sama. Lelaki itu bangun lalu menuju ke pintu bilik lalu menutup rapat pintunya. Dia seharusnya mengunci pintu itu tetapi debar yang bergelora di dada membuatkan dia lupa.

“Err…...ada apa Datuk panggil Qilah ni?”

“Duduklah dulu…..kita sembang‐sembang…..beberapa hari tak jumpa you…..rasa rindulah pulak!”

“Rindu ke?” soal Sarah Aqilah kembali.

“You masih tak percayakan?”

Datuk Zulkifli menekan butang intercom di telefonnya.

“Siti…….kalau ada siapa‐siapa nak jumpa…..beritahu yang saya sibuk. Suruh mereka buat temujanji dahulu…...,” beritahu Datuk Zulkifli kepada Siti Naquiah, kerani penyambut tetamu yang bertugas hari itu.

“Baiklah Datuk….,” akur suara Siti Naquiah di hujung talian.

Sebentar kemudian Datuk Zulkifli menarik anak laci mejanya. Perlahan‐lahan dia mengeluarkan satu kotak kecil berwarna merah. Diletakkan kotak kecil itu di tapak tangan lalu memandang ke arah Sarah Aqilah. Pandangan mereka bersatu buat seketika.

“Datuk pandang macam tu…..buat dada ini berdebar‐debar…,”

“Dada I pun berdebar‐debar…..itu tandanya cinta kita serasi….,”

Sarah Aqilah tersenyum lagi. Tetapi tidak di hatinya kerana cinta baginya adalah kemewahan dan wang ringgit. Apa lagi kalau ditabur emas dan permata. Memang menjadi lakonannya terhadap Datuk Zulkifli. Kalau dia seorang artis mungkin sudah layak menerima trofi pelakon terbaik wanita. Kasihan orang tua ini, senang sangat hendak kena tipu. Dengan lirikan mata Sarah Aqilah, jiwanya terus cair. Datuk Zulkifli bangun lalu berdiri rapat di sebelah Sarah Aqilah. Lantas kotak kecil itu disuakan kepada Sarah Aqilah.

“Ikhlas dari I untuk you…..,”

“Ehh…..apa ni Datuk?” sela Sarah Aqilah buat‐buat terkejut.

“Bukalah dulu kotak tu…..,”

Sarah Aqilah memang menunggu peluang itu. Dengan pantas kotak kecil itu dibuka. Kelihatan seutas rantai berloket memukau pandangan matanya. Hatinya berbunga riang bukan kepalang.

“Cantiknya……tapi Datuk layak ke Qilah menerimanya?”

“Mengapa pulak tak layak? Memang untuk you…..sebab I memang sayangkan you! Masih tak
percaya lagi?”

“Bukan tak percaya Datuk….Qilah rasa terharu sangat….,”

“I akan lebih terharu kalau you sudi terima pemberian I ini…,”

“Kalau Datuk ikhlas…..apa daya Qilah nak menolaknya…,”

Terharulah sangat perasaan Sarah Aqilah kepada Datuk Zulkifli. Musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Tidak ada perempuan yang tidak sukakan barang kemas, apa lagi Sarah Aqilah. Memang bertuah kalau dapat hidup terus dengan lelaki seperti ini. Sangup berhabis demi perempuan yang disayangi. Bagi Sarah Aqilah cintanya kepada Datuk Zulkifli hanyalah mainan sandiwara. Dia amat berharap tidak terperangkap dalam jerat yang dibuatnya sendiri. Jerat yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Berkali‐kali dia memujuk dirinya agar tidak cepat lupa diri. Hanya lelaki yang bernama Rezal Haiqal ada di hatinya walaupun perasaan benci kepada lelaki itu semakin tumbuh di dalam diri.

“Err….bila lagi you nak buat keputusan tu?”

“Keputusan?”

Sarah Aqilah merenung tajam mata Datuk Zulkifli. Di minda teringat janjinya untuk memberitahu Datuk Zulkifli sama ada sudah bersedia untuk menjadi isterinya. Berdebar sekali lagi jantungnya saat itu. Dia memang sudah dapat mengagak, mesti ada sesuatu muslihat Datuk Zulkifli di sebalik pemberian ini. Dia mesti mencari dalih yang masuk di akal supaya Datuk Zulkifli akan terus berharap kepadanya. Serta merta air muka di wajahnya bertukar menjadi sedih.

“You ada masalah ke?”

Dia hanya mendiamkan diri. Reaksinya menuntut rasa prihatin Datuk Zulkifli kepadanya. Kali ini apa lagi alasan yang mesti diberikan? Datuk Zulkifli memang benar‐benar berharap sedangkan dia terpaksa berlakon. Dia bagaikan menolak tuah tetapi apakan dayanya.

“Memang Qilah ada masalah……tapi Qilah tak sanggup nak beritahu Datuk….,”

“Mana tahu I boleh bantu…..ceritalah…,”

Sarah Aqilah menarik nafas dalam‐dalam. Perasaan bercelarunya mesti ditenangkan dahulu supaya apa yang ingin disampaikan akan difahami oleh Datuk Zulkifli. Apa yang sangat penting misinya untuk mendapatkan RM 100,000.00!

“Err…..Qilah sangat tertekan sekarang…...bukan Qilah tak sudi nak jadi isteri Datuk tapi keluarga
Qilah ada masalah sikit……itu yang buat Qilah serba salah…..serba tak kena. Qilah memang
sayangkan Datuk….,”

“Kalau dah sayang…..I sanggup buat apa saja. Ermm…..boleh I tahu apa masalahnya?”

“Tak apalah…..nanti menyusahkan Datuk. Memang Qilah tak sampai hati nak beritahu pada
Datuk…..,”

Sarah Aqilah berterusan memainkan perasaan Datuk Zulkifli. Nampaknya lelaki itu sudah mula
termakan pujuk rayu Sarah Aqilah.

“Apa gunanya I kalau tak dapat menolong you? Kalau you tak cerita, macam mana I boleh tolong you! Tak ada masalah dalam dunia ni yang tak boleh diselesaikan…..,”

“Iya Datuk…...Qilah sayang Datuk tapi dalam masa yang sama Qilah pun sayang keluarga…..dua‐dua Qilah sayang…..Qilah tak ada masalah tapi masalah keluarga membuatkan Qilah tak berani nak bagi keputusan itu lagi….,”

“Cuba you berterus terang saja…..I memang nak bantu you….,”

Datuk Zulkifli memang sudah termakan kata Sarah Aqilah. Mungkin inilah masa terbaik untuknya menjerat perasaan Datuk Zulkifli. Penat berdiri Sarah Aqilah duduk di sofa empuk yang terdapat di dalam bilik itu. Datuk Zulkifli terus sahaja mengekori ke mana sahaja Sarah Aqilah pergi.

“Keluarga Qilah perlukan duit……nak selesaikan masalah keluarga di kampung….,”

“Hanya duit masalahnya? Kenapa tak beritahu I awal‐awal lagi…..no problem….I boleh bantu
you…..,”

“Tapi bukan sikit Datuk…..tak menyusahkan Datuk ke nanti? Masalah keluarga Qilah…..Datuk
pulak terpaksa bersusah payah….”

“I pun nak tahu juga…..berapa banyak dan untuk apa duit itu?”

Inilah masanya untuk Sarah Aqilah meluahkan perasaannya. Dia amat berharap alasannya ini akan terus membuka hati Datuk Zulkifli untuk membantunya. Membantu menyelesaikan beban yang ditanggung oleh dia dan suaminya, Rezal Haiqal.

“Err…..sebenarnya orang tua Qilah perlukan duit untuk tebus tanah keluarga yang tergadai…..tak sangka pulak nak jadi macam tu…..kalau tanah tu tergadai, susahlah keluarga Qilah….tak tahu nak duduk mana lepas ni….,”

“Itu saja masalahnya? Berapa yang keluarga you perlukan?”

Saat yang cukup mendebarkan bagi Sarah Aqilah. Terasa sangat berat untuk dia menyebut angka RM 100,000.00 itu. Dalam hatinya sempat berkata‐kata, sanggupkah Datuk Zulkifli mengeluarkan duit sebanyak itu? Kalaulah itu menjadi kenyataan pasti permainannya menuju garisan penamat. Namun jiwa tetap bersarang rasa ragu sebab masalahnya selesai tetapi urusan hatinya dengan Datuk Zulkifli tetap belum selesai. Apa lagi alasannya untuk menutup mulut Datuk Zulkifli dari bercerita soal kahwin. Arrghh….masalah tetap ada walaupun satu perkara sudah selesai. Malah lebih berat lagi masalah yang mendatang.

“Err….cuma RM 100,000.00 saja…..,”

“RM 100,000.00!”

“Ermm….mengapa Datuk? Qilah dah beritahu…..tapi Datuk tak percaya…,”

“Err…..it’s okey….tapi kalau dalam masa terdekat ni memang Itak ada duit sebanyak itu.
Errm…..kalau you sanggup tunggu…..bulan depan ada payment masuk……masa tu I boleh tolong you….,”

Hampa sungguh Sarah Aqilah apabila mendengar jawapan itu. Dia terpaksa menunggu lama lagi sedangkan masalahnya mesti diselesaikan dengan segera. Nampaknya dia terpaksa mencari ikhtiar yang lain. Apakah yang harus diberitahu kepada suaminya nanti? Rancangan mereka berjaya tetapi hanya masa yang tidak dapat menyelesaikan masalah. Sebulan bukannya lama tetapi menanti itu satu penyiksaan baginya.

“Maaflah Datuk kalau Qilah dah menyusahkan…..,”
“You tak perlu minta maaf…...I faham masalah you…..Cuma bagi I sikit masa….,”
“Terima kasih Datuk…...,”
Sementara itu, Manissa baru sahaja menolak daun pintu untuk masuk ke pejabat ayahnya. Dia
terus menuju ke meja Siti Naquiah untuk bertanyakan sesuatu.
“Datuk ada?”
“Err….Cik Nissa…...err…..Datuk ada urusan…..,”
“Okey…..terima kasih,”
Manissa terus sahaja bergerak menuju ke bilik Datuk Zulkifli. Siti Naquiah agak tergamam
tetapi terpaksa menahan Manissa dari terus masuk ke bilik Datuk Zulkifli.
“Maafkan saya Cik Nissa……Datuk sibuk…..dia pesan sesiapa nak jumpa, sila buat temu janji
dulu…,”
Menyirap darah Manissa apabila mendengar kata‐kata Siti Naquiah itu. Sambil berpaling dia
sempat menghamburkan kata‐kata marahnya.
“Datuk tu ayah saya……perlukan saya nak buat temu janji untuk bertemu dengannya?”
“Tapi itu pesan Datuk….,”
“Saya tak peduli…..saya ada urusan penting untuk berjumpa dengannya!”
Siti Naquiah terkebil‐kebil matanya apabila dijerkah oleh Manissa. Selalunya anak gadis Datuk
Zulkifli itu datang ke pejabat dengan penuh sopan, tetapi kali ini lain pula perangainya.
Sudahlah datang tidak memberi salam tetapi marah‐marah pula desis hatinya. Dia tidak kesah
pun akan hal itu tetapi melangkahnya Manissa ke bilik Datuk Zulkifli pasti mengundang
masalah. Apa yang pasti, masalah itu turut menjadi kemarahan Datuk Zulkifli kepadanya nanti
kerana membenarkan Manissa masuk ke bilik. Kehendak Manissa sudah tidak dapat ditahan
lagi. Peperangan bakal meletus sebentar lagi.
Manissa menolak dengan pantas pintu bilik ayahnya. Dia sungguh terkejut apabila melihat
ayahnya dan Sarah Aqilah sedang duduk dengan cara mencurigakan. Ketika itu Datuk Zulkifli
cuba mengenakan seutas rantai ke leher Sarah Aqilah. Datuk Zulkifli dan Sarah Aqilah juga
terkejut yang amat sangat. Sehinggakan terlepas rantai itu dari tangan Datuk Zulkifli. Sarah
Aqilah serta merta menjauhkan diri dari Datuk Zulkifli.
“Nissa dah agak……perkara buruk ni pasti berlaku! Ayah tak payah nak sorok lagi…..dah jelas
sekarang! Ayah memang lelaki tak guna! Ayah pentingkan diri sendiri! Memang patut ibu
pergi…..ayah memang tak mengenang budi! Nissa benci ayah! Benci!”
Datuk Zulkifli tahu bertapa hancurnya perasaan Manissa ketika itu. Namun sebagai lelaki
egonya mesti dipertahankan. Malu juga dirinya apabila dituduh sebegitu oleh darah dagingnya
sendiri. Apa dayanya semua itu sudah berlaku. Pahitnya harus ditelan juga walaupun Sarah
Aqilah ada di situ. Baginya, Manissa sudah semakin melampau sehingga sanggup menjatuhkan
maruahnya di hadapan Sarah Aqilah. Dia rasa tercabar apabila dimalukan sebegitu.
“Hey perempuan gedik……jangan harap aku boleh terima kau! Macam dah tak ada jantan lain
nak buat laki? Dah terdesak sangat ke?”
Sarah Aqilah tidak terkecuali menerima hamburan kata‐kata kesat daripada Manissa. Geram
juga hatinya apabila dikata begitu. Kalau Datuk Zulkifli tidak ada di situ, agaknya sudah lama
penampar singgah di pipi Manissa. Memang dia terdesak dan sanggup buat apa sahaja.
Bimbang juga hatinya kalau Manissa bakal menggagalkan seluruh rancangan jahatnya.
“Kau jangan harap dapat kahwin dengan Datuk! Kalau nak kena bunuh…..silakan!”
Kecut perut Sarah Aqilah apabila diugut begitu oleh Manissa. Anak gadis itu bagaikan dirasuk
hantu, kata‐kata yang keluar dari mulutnya sudah tidak bertapis lagi. Apa yang terlintas di
fikiran terus sahaja dihamburkan. Datuk Zulkifli benar‐benar malu dengan sikap anaknya itu.
Hatinya mula mendidih, marahnya sudah mencapai tahap kepanasan yang paling tinggi. Tanpa
dipaksa, tangannya ringan menghayun satu penampar ke pipi Manissa. Sarah Aqilah
tersenyum sinis, tanda puas hati. Manissa terdorong ke belakang.
“Jangan kurang ajar! Ayah tak ajar kamu kurang ajar!”
“Tamparlah lagi……tampar sampai puas hati ayah!”
“Diam!”
“Nissa tak akan diam! Selagi ayah tak berubah….Nissa tak akan diam!”
Saat itu ada sedikit penyesalan di hati Datuk Zulkifli. Dia menarik nafas dalam‐dalam dan
berundur sedikit ke belakang. Renungannya masih tajam menusuk ke mata Manissa yang
masih lagi tercegat berdiri. Air mata telah banyak yang tumpah di pipi anak gadisnya itu. Sarah
Aqilah mengetap bibir dan di wajahnya nampak bercelaru. Terbayang olehnya rancangan
jahatnya itu akan digagalkan oleh Manissa. Sakit benar hatinya melihat gadis yang ada di
hadapan matanya itu.
“Kalau ayah tak berubah……jangan cari Nissa lagi! Biar saja Nissa pergi…..sekali ayah lukakan
hati ibu……malah beribu kali ayah dah lukakan hati Nissa dengan perangai buruk ayah
ni…..selamat tinggal!”
Terus sahaja Manissa meninggalkan Datuk Zulkifli tanpa sempat dibalas dengan kata‐kata.
Pintu bilik dihempas dengan kuat sekali. Dia terus keluar dengan hati yang retak seribu.
Lukanya bertambah parah dan mungkin tidak boleh diubati lagi. Perginya mengikut ke mana
sahaja kaki melangkah. Destinasinya masih kelam, arah tujunya masih berbalam.
Manissa terus membawa diri. Dengan perasaan yang bercelaru dia terus memandu keretanya
menuju ke destinasi yang dia sendiri tidak tahu. Dia terus memandu mengikut gerak hati. Ke
mana keretanya pergi di situlah dia akan berada. Perasaannya hancur dan hatinya remuk
apabila mengenangkan tingkah laku ayahnya yang sungguh memalukan itu. Rasa benci
terhadap lelaki itu mula menular ke segenap urat dan nadinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan