Label

Isnin, 5 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab13

‐Tahun 2001‐

“Woi!”

“Astaghfirullahal azhim…”

Fikri mengurut laju dadanya. Lantas pandangannya terarah kepada lelaki yang sedang tersengih di hadapannya.

“Kau nikan kalau sehari tak buat aku terkejut tak boleh ke? Suka hati kau kan tengok aku terkejut macam ni.”

“Alah, bro… Aku main‐main je. Takkan merajuk kot. Rilekslah.”

Sudah hampir dua tahun dalam pengiraan Fikri, dia mengenali lelaki yang sedang menepuk-nepuk
perlahan bahunya berserta senyuman yang akhirnya melahirkan tawa. Mahu sahaja diikut sama rentak riang itu. Namun, ditetapkan hatinya kali ini agar tidak termakan dengan pujukan temannya ini. Adiib… Itulah nama insan yang telah menjadi teman sebiliknya semenjak pertama kali dia menjejakkan kaki ke Pusat Pengajian ini.

“Banyaklah kau punya rileks. Nasib baiklah aku ni sihat walafiat. Kalaulah dibuatnya aku ada sakit jantung, dah lama kojol.”

“Jangan cakap macam tu. Nanti kalau kau kojol macam mana kau nak pikat gadis idaman kau tu.”



Tawa Adiib kian beria.

“Ketawa… Ketawalah… Aku tak kisah kau ketawakan aku. Sebab aku tahu usaha aku selama ni
takkan sia‐sia. Aku yakin gadis idaman aku tu, akan jadi milik aku jugak suatu hari nanti.”

Tawa Adiib terhenti. Terlihat riak keyakinan di wajah Fikri.

“Kenapa berhenti ketawa?”

“Err… Aku… Aku main‐main je. Alah… Kau ni dengan aku pun kau nak terasa.”

“Mana ada terasa. Aku okey je. Cuma, aku dapat rasakan yang aku dah makin hampir memiliki hati gadis idaman aku tu.”

“Maksud kau?”

Laju Adiib menyoal. Sudah diketahui setinggi manakah rasa cinta temannya itu terhadap gadis
pujaannya itu. Setelah lama mengenali Fikri, dia yakin yang temannya ini seorang yang amat setia. Biar secantik dan semanja manapun perempuan yang datang untuk mendampinginya pasti ditolak ke tepi kerana cinta dan kasihnya hanyalah untuk insan yang masih belum berjanji untuk sehidup semati dengannya. Kadangkala Adiib tertanya… Akan hancurkah hati Fikri andai cinta yang sudah merimbun di hatinya dibiarkan terus menyepi oleh insan yang teramat dicintainya? Gadis itu setahu Adiib tidak pernah memberikan kata putus tentang perasaannya terhadap Fikri. Melalui Fikri dia mengetahui rasa cinta di hati temannya itu sudah mula terukir buat insan teristimewa semenjak dari bangku sekolah menengah lagi. Pelbagai kebaikan si gadis diceritakan oleh Fikri kepadanya dan kecantikan paras rupa pula merupakan pelengkap mengapa temannya ini memilih gadis idamannya itu untuk menghuni hatinya. Setelah bertahun‐tahun lamanya Fikri membiarkan bayangan gadis pujaannya itu menari di tabir mata di waktu jaganya dan memenuhi setiap ruang mimpinya. Kini! Pada tahun akhir pengajiannya di sini temannya itu sudah nekad untuk berterus terang tentang perasaan yang semakin lama semakin memberat di jiwanya. Rasa cinta itu akan diluahkan oleh Fikri agar si gadis mengerti tanggapan seperti apakah yang melingkari perhubungan mereka berdua. Apa yang diharapkan oleh Fikri bukanlah perhubungan seperti abang dan adik. Tetapi lebih daripada itu. Namun apakah pula impian si gadis terhadap perhubungan mereka? Ikatan seperti apakah yang
didambakan oleh insan pujaan temannya ini?

“Fikri. Kau dengar tak aku tanya tadi.”

Adiib bertanya untuk kedua kalinya setelah melihat lelaki di hadapannya ini masih mendiamkan diri tanpa menjawab persoalan yang terdahulunya. Hanya senyuman gila bayang yang terukir di bibir temannya ini.

“Dengar.”

“Kalau dah dengar jawablah. Ni tak… Senyum seorang‐seorang. Macam orang gila pun ada aku
tengok.”

“Memang aku gila. Aku gilakan gadis pujaan aku tu. Hai… Alangkah baiknya kalau dia pun ada
perasaan yang sama macam aku. Alangkah baiknya kalau”

“Kalau dia pun cintakan kau? Kalau dia pun berjanji untuk sehidup semati dengan kau? Dan kalau dia menjadi milik mutlak kau? Macam tu? Fikri… Fikri... Aku nak kata kau ni bendol, tak jugak. Sekarang ni tunjang utamanya, adakah kau sudah meluahkan perasaan kau pada dia?”

“Dah… Aku dah berkias pada dia. Tapi… Dia buat‐buat tak faham je.”

Wajah Fikri berubah muram.

“Dia bukannya buat‐buat tak faham. Tapi, aku memang yakin yang dia langsung tak faham apa yang kau cuba sampaikan. Fikri, perempuan bukannya macam kita. Dia orang ni kadang-kadang kalau kita berkias‐kias ni, dia orang susah sikit nak tafsir. Bukan apa… Nanti kalau tersalah tafsir dia orang jugak yang malu. So, pada pandangan orang yang lebih arif daripada kau. Apa kata kalau kau berterus terang tanpa ada kiasan pada gadis idaman kau tu. Aku yakin kalau betul dia pun cintakan kau. Mesti dia takkan buat‐buat tak faham punya.”

Fikri cuba mencernakan tiap patah perkataan daripada sahabatnya ini.

“Macam mana kalau…”

Fikri mula meluahkan kerisauannya sedangkan cadangan sahabatnya itu tidak disambut dengan anggukan mahupun gelengan.

“Kalau apa?”

Soal Adiib.

“Macam mana kalau dia buat‐buat tak faham jugak lepas aku berterus terang dengan dia lepas ni?”

Hampir sahaja tawa kedua kalinya terhambur saat Adiib melihat kegusaran yang jelas di wajah
temannya ini.

“Kalau dia buat tak tahu jugak… Itu maknanya dia sudah ada teman istimewa dan ternyatalah yang kau tu bukannya pilihan dia.”

Membulat mata Fikri dan kali ini tawa yang ditahan oleh Adiib pecah jua.

“Tahu pun kau takut. Tulah aku suruh kau cepat‐cepat luahkan perasaan, kau ambil endah tak endah je. Nanti dah melepas baru kau tahu. Dahlah, aku nak pergi kafe ni. Kau nak kirim apa-apa tak?”

Fikri masih terdiam dan pandangannya terhala kehadapan persis seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai permasalahan. Berkerut‐kerut dahi Fikri. Berat benar apa yang sedang difikirkannya kali ini.

“Dahlah tu Fikri. Tak payahlah kau nak bazir masa fikirkan kebarangkalian yang entah apa‐apa tu. Kan kau jugak yang beritahu aku, gadis pujaan kau tu seorang yang warak dan berpegang kuat pada ajaran Allah. Takkanlah perempuan sebaik tu begitu mudah untuk menerima sembarangan orang untuk dijadikan pasangan. Kalau aku jadi kau, aku takkan buang masa melayan perasaan yang dihuni oleh syaitan tu. Lebih baik aku tingkatkan lagi usaha aku untuk memiliki insan yang amat‐amat aku cintai. Macam sekarang ni.”

“Macam sekarang ni?”

Ulang Fikri kurang mengerti.

“Yelah. Sekarang ni aku nak ke kafe untuk bertemu buah hati aku. Sambil makan‐makan bolehlah aku tambahkan lagi perasaan yang sudah erat menjadi kian rapat. So, untuk kedua kalinya aku nak tanya kau. Kau nak pesan apa‐apa tak? Jangan nanti aku dah habis makan barulah kau terhegeh‐hegeh nak pesan itu‐ini.”

“Kau nak keluar makan dengan Amira ke?”

“Yelah. Dengan Amira lah. Berapa banyak pulak buah hati yang aku ada. Amira tulah satu-satunya
kekasih merangkap bakal tunang aku. Cepatlah.”

“Cepat? Cepat apa?”

Soal Fikri persis orang dungu.

“Cepatlah. Kau nak pesan apa‐apa tak?”

“Tak. Aku… Aku tak nak pesan apa‐apa. Nanti kalau aku lapar, aku turun makan.”

Saat nama Amira memenuhi ruang bilik ini serta merta dada Fikri berdebar. Ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Fikri kepada Adiib mengenai gadis itu. Otak dan hatinya bertelagah sesama sendiri. Otak menyuruh dan hati melarang. Akhirnya…

“Adiib.”

Adiib yang pada waktu itu baru sahaja hendak memboloskan dirinya keluar, pantas memusingkan semula tubuhnya menghadap Fikri.

“Kau nak pesan apa?”

Pada sangkaan Adiib itulah punca temannya itu memanggil perlahan namanya.

“Tak. Aku tak nak pesan apa‐apa. Cuma… Aku… Aku nak beritahu kau…”

“Beritahu apa? Cepatlah. Amira dah tunggu aku kat kafe dah ni. Kang membebel pulak ratu aku tu.”

Amiira. Gadis itu memang cantik jelita. Namun sikap panas baran dan kesabaran yang hampir
langsung tiadanya itu sering sahaja menguji diri Adiib. Tetapi kerana terlalu menyintai gadis itu, Adiib sanggup mengetepikan semua itu. Keyakinan Adiib tetap jua sama, dia yakin sekeras manapun hati seorang wanita andai pandai dilenturkan pasti jua terbentuk mengikut lenturan kemahuannya. Adiib mahu melentur Amira menjadi seorang wanita yang akan memuliakan dirinya sendiri. Aurat yang terdedah di sana sini akan ditutupinya dan juraian rambut yang berombak hanyalah untuk tatapan dirinya seorang sahaja. Semua itu sudah berada di dalam kotak fikirannya sejak pertama kali dia bertentang mata dengan kekasih hatinya itu.

“Aku nak cakap pasal…”

Belum sempat Fikri meneruskan ayat seterusnya, Adiib meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat agar Fikri membisukan suaranya.

“Assalamualaikum. Ya, sayang. I nak sampai dekat kafe dah ni. Sayang tunggu kejap ya. Ya…
Iminta maaf. Sayang tunggu sekejap je lagi. Lagi lima minit I sampai. Assa…”
Belum sempat kata salam pengakhiran bicara dituturkan, Amira pantas menekan butang
merah. Petanda bengangnya dengan kelewatan Adiib.
“Fikri. Kau simpan dulu apa yang kau nak cakap tu. Nanti balik kita sambung. Aku cau dulu.”
Belum sempat Fikri menjawab apa. Adiib lantas melangkah laju sebagai bunga larian. Dia perlu
sampai ke kafe dalam masa lima minit. Andai tidak pasti perang akan tercetus. Tidak sanggup
lagi rasanya untuk Adiib berperang dengan insan kesayangannya itu. Dia tidak mahu gadis
yang teramat dicintainya itu meletuskan kemarahan dan kebenciannya di hadapan khalayak
ramai. Malu dan segan tetap sahaja bersimpuh di hatinya saat dirinya sebagai lelaki diherdik
dan ditengking.
“Aku kena cepat. Kalau tak mampus aku!”
Kegusaran di hati menambahkan lagi tingkat larian Adiib.
Bayangan seseorang menguasai penglihatan Fikri. Andai sebentar tadi senyuman dan
keriangan membungai hati Fikri kerana kehadiran bayangan Balkis di siang hari tetapi tidak
untuk kali ini. Imbauan semalam menghadirkan kegusaran di jiwanya. Amira, gadis itu dilihat
oleh Fikri sedang tertawa manja dan pinggangnya dipeluk erat oleh seorang lelaki yang
langsung tidak diketahui siapakah empunya dirinya. Apa yang pasti lelaki itu bukanlah
temannya, Adiib. Lelaki yang sedang merangkul Amira di pekan semalam kelihatan lebih
berusia dari usia mereka bertiga. Melihatkan kereta mewah yang dipandu oleh lelaki itu, Fikri
yakin lelaki itu bukanlah sembarangan orangnya.
Keluhan terpacul dan kekesalan menguasai diri. Kesal kerana dialah yang memperkenalkan
Amira kepada Adiib. Amira teman sekuliahnya itu begitu beria‐ia meminta Fikri
memperkenalkan dirinya dengan teman sebiliknya, Adiib. Andailah masa mampu diputarkan
semula pasti Fikri akan menggunakan helah seperti apa pun untuk mengelakkan Amira
daripada bertemu dengan temannya itu. Fikri yakin, Amira tidak pernah jujur dan gadis gedik
sepertinya sememangnya tidak layak untuk dipadankan dengan lelaki sesetia Adiib.
Kadangkala Fikri terfikir sendiri, kelebihan apakah yang dilihat oleh Adiib sehingga
menyebabkan hatinya terpaut kepada Amira? Andai kecantikan yang dikejar oleh temannya
itu… Mustahil! Kerana dia yakin Adiib bukanlah lelaki seperti itu.
Fikri bangkit dari duduknya dan mula bermudar mandir sambil otaknya memikirkan permulaan
bagaimanakah sebaiknya perlu dikiaskan kepada Adiib tentang kecurangan gadis yang amat
dicintai temannya itu?
Aku tersenyum sendirian. Senyuman yang mengiringi perbualanku dengan Abang Fikri masih
mekar biarpun talian sudah termati. Kata‐kata Abang Fikri pada malam ini lebih jelas akan
maksud yang ingin disampaikan. Bukan aku tidak mengerti selama ini perasaan apakah yang
sedang membungai jiwa insan yang sudah terpahat namanya di hatiku ini. Tetapi kerana
jurang usia menjadikan aku takut untuk mentafsir maksud yang tersirat di setiap bait kata‐kata
yang keluar dari mulutnya. Aku takut andai aku sudah mula menerima, Abang Fikri akan
berpaling daripadaku. Aku takut di saat aku baru sahaja melangkah kehadapan untuk
menggapai cita‐citaku, Abang Fikri akan gopoh hendak menikahi wanita yang boleh
menemani hari‐harinya. Sedang aku baru sahaja hendak mengukir namaku di universiti ini,
Abang Fikri akan melangkah pergi dari alam pendidikan dan terus melangkah ke alam
pekerjaan. Mungkinkah di sana nanti dia akan bertemu dengan seseorang yang lebih istimewa
daripadaku?
Kerisauan membangkitkan aku dan pembaringanku. Aku toleh katil di sebelahku. Kosong.
Seperti biasa, rakan sebilikku masih belum menghadirkan dirinya. Ku sandarkan tubuhku di
kepala katil. Ku pejamkan mata dan saat inilah bayangan dua orang insan yang telah menjadi
sahabatku sedari kecil lagi menerpa. Seorang gadis seusia denganku tersenyum sambil
menarik lembut lenganku dan membawa aku kepada abangnya. Suasana petang di bendang
pada waktu itu menyempurnakan lagi saat‐saat indah kami bertiga. Mashitah kemudiannya
meninggalkan aku berdua‐duaan dengan Abang Fikri dan pada saat itulah buat pertama
kalinya aku yakin yang jiwaku sudah dikuasai lelaki itu. Aku tersenyum sipu saat Abang Fikri
menyatakan rindunya kepadaku dan pada waktu itu hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu
betapa kuatnya debaran di dada ini. Aku tersipu malu dan…
Deringan handphone memisahkan aku dari alam khayalan. Cepat‐cepat aku menurunkan kadar
debaran di dada sebelum melihat siapakah pengganggu di waktu bahagia ini.
“Mashitah?”
Soalku sendirian sebelum menekan butang hijau.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Mashitah. Saya ingat siapa tadi.”
“Kenapa? Awak ingat abang saya ya?”
Terdengar riang suara Mashitah di hujung talian. Keriangan itu berpunca dari pengakuan
abang kandungnya mengenai luahan perasaan yang telah dicurahkan kepada Balkis. Saat
mengetahui perihal itu, Mashitah terjerit kecil. Tidak disangka abangnya seberani itu. Ucapan
tahniah dan harapan penerimaan daripada Balkis cepat sahaja diutarakan. Tugas abangnya
sudah selesai. Kini giliran dirinya pula memainkan peranan untuk menyatukan dua insan yang
sememangnya sepadan. Andailah Balkis menerima abangnya, pasti dialah insan yang teramat
bahagia. Bahagia kerana bakal berkakak iparkan gadis sebaik Balkis. Wanita itu sepanjang
pengenalan Mashitah begitu sempurna. Kecatikannya usah dinafikan lagi. Tetapi dia yakin itu
bukanlah faktor utama, abangnya tertarik hati. Pasti kebaikan dan kesempurnaan akhlak Balkis menjadi tunjang utama mengapa sedari dulu lagi abang kandungnya itu tergila‐gilakan
sahabatnya itu.
“Tak adalah. Awak sihat?”
Aku cuba mengubah topik perbualan. Aku takut andai perihal Abang Fikri dibangkitkan
semula, debaran di dada akan menghadirkan getaran suara dan pastilah Mashitah dapat
mengesannya.
“Sihat. Awak?”
“Alhamdulillah sihat. Macam mana dengan pembelajaran awak dekat kolej tu. Okey?”
“Okeylah. Tapi barang kat sini semuanya mahal. Makan mahal, minum mahal. Yelah dah nama
pun kolej swasta. Kan bagus kalau saya dapat masuk satu universiti dengan awak. Lagi bagus
kalau Abang Fikri pun satu universiti dengan awak.”
Aku terdiam. Tidak tahu untuk menjawab apa. Apa yang penting saat ini aku harus mengawal
apa yang sedang bergolak di jiwaku ini.
“Balkis.”
“Ya… Saya.”
Jawabku gugup.
“Kan bagus kalau awak satu universiti dengan Abang Fikri. Tak adalah abang saya tu angau.”
“Angau?”
Soalku tanpa sedar.
“Yelah. Dia angaukan awak. Hari‐hari dia telefon saya. Dia kata dia rindu sangat dekat awak.
Dia kata dia sayang sangat dekat awak. Menyampah saya. Kalau nak kata rindu ke, apa ke
telefon jelah awak. Kan senang. Betul tak Balkis?”
Sengaja Mashitah menambahkan bahan perasa agar sahabatnya ini mengerti apa yang hendak
disampaikan. Andailah abangnya sedang mendengar tika ini. Pasti mampus dia dikerjakan
abangnya itu! Cepat pula ketakutan itu ditolak tepi. Apa yang penting dia harus berusaha
sehabis mungkin pada malam ini untuk mengetahui isi hati Balkis. Gadis yang begitu pandai
menyembunyikan rasa dan rahsia hatinya.
“Balkis. Awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni?”
“Saya… Dengar.”
Hanya itu yang mampuku lahirkan dalam bentuk kata‐kata.
“Emm… Balkis. Saya nak tanya awak boleh? Tapi awak kena janji yang awak akan jujur dengan
saya kali ni. Boleh?”
Debaran kian memuncak. Apakah sebenarnya yang mahu diketahui oleh sahabatku ini?
“Apa dia?”
Lambat aku bertanya.
“Kalau abang saya betul‐betul sukakan awak. Awak akan ada perasaan yang sama tak pada
dia?”
Aku menekan perlahan dadaku.
“Suka? Saya pun sukakan dia. Kan dia tu abang awak. Abang awak, abang saya jugakkan.”
Sengaja aku menjawab itu. Aku takut tafsiranku lebih daripada apa yang hendak disampaikan
oleh sahabatku ini. Aku takut termalu sendiri dalam membuat tafsiranku.
“Come on Balkis. Takkan awak tak faham. Kita bukannya budak‐budak lagi. Baiklah… Biar saya
berterus terang. Kalau abang saya Mohd. Fikri Bin Mohd. Ishak telah jatuh cinta kepada awak.
Adakah awak sudi untuk menerima cinta abang saya?”
Soalan yang berlainan corak katanya tetapi membawa maksud yang sama dengan apa yang
diharapkan oleh Abang Fikri melalui panggilannya sejam yang lalu. Soalan yangku biarkan
tergantung tanpa jawapan kerana mahu diri diberikan kesempatan untuk berfikir. Tetapi belum
sempat aku memikirkan kewajaran menerima atau menolak. Kini adiknya pula seakan‐akan
menggesa aku untuk memberikan jawapanku. Andai diikutkan kata hati yang sedang berbunga
bahagia pasti kata ya ku berikan. Tetapi andai diikutkan pula bahagian jiwa yang dipagut keraguan dan ketakutan andai cinta yang bakal disemai tidak kesampaian, kata tidak akanku
tuturkan. Kini! Pada saat ini! Apakah jawapan terbaik yang harusku hulurkan kepada sahabatku
yang sedang menunggu di hujung talian. Ya atau tidak? Penerimaan atau penolakan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan