Label

Selasa, 6 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab17

BILA kami tiba ibu dan kak Ieta menghidangkan kami air dan sedikit buah‐buahan untuk kami. Kata ibu hidangan ini hanya sekadar pengalas perut sebelum makanan tengahari kami dihidangkan. Memandangkan lagi beberapa minit akan masuk waktu zohor jadi ibu mencadangkan agar kami makan tengahari selepas solat zohor saja. Kata ibu lagi, kalau kami dah mula makan takut terlewat pula solat zohor nanti. Tak elok pula kalau kami melewat-lewatkan untuk menunaikan solat.

Kebetulan badan kami pun masih letih lagi, kami iakan saja saranan ibu. Sempatlah kami berehat melepaskan lelah terutamanya Umai dan Lina yang teruk aku kerjakan dengan memberikan pengalaman ‘terindah’ dalam hidup mereka. Perjalanan asalnya dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan selalunya hanya dua jam kalau tak ada kesesakan lalu lintas. Tapi oleh kerana rancangan aku untuk memberi mereka sedikit pengalaman berharga jadi perjalanan kami sudah mengambil lima jam lebih termasuk terpaksa menunggu bas tiba di Stesen bas sebelum kami bertolak.

Masuk solat zohor kami solat berjemaah yang diimamkan oleh abang Izzhar. Ramai kaum keluargaku yang turut berjemaah bersama termasuk opah, atuk, pak usu, mak usu, anak‐anak mereka juga pak ngah suami isteri yang kebetulan turut bertandang ke rumah di tengahari ini.

Lina dan Umai pula terlupa nak membawa telekung. Nasib baiklah ibu mempunyai telekung
tambahan untuk mereka gunakan, jadi mereka juga turut solat berjemaah bersama kami. Usai solat aku pergi ke dapur bersama kaum‐kaum wanita untuk bersama‐sama menghidangkan makanan. Lina dan Umai yang masih kelihatan kekok pun teringin juga nak turut serta walau sudah penat aku melarang.



‘’Bestlah kak Izz, rumah kak Izz memang selalu ramai macam ni ke?’’ soalan Lina buat bibir aku
spontan terukir dengan senyuman.

‘’Kalau semua orang ada ja Lina. Bukan semua boleh berkumpul macam ni. Abang Izzhar tu baru saja balik dari Mesir. Kak Ieta pula bekerja di Melaka. Hujung minggu ni dia nak menikah. Kenduri kahwin dia hujung bulan depan. Mereka nak buat nikah gantung sebab itu permintaan ayah mertua kak Ieta yang sedang sakit sekarang ni. Kak Izz balik ni pun sebab kenduri dialah,’’ aku terlepas cakap tanpa sengaja. Pada asalnya aku nak rahsiakan kenduri tu sebab nak kenakan encik Awal dan nak bagitau mereka aku yang akan dinikahkan.

‘’Kak Izz, kakak kak Izz tu muka dia memang seiras dengan kak Izzlah? Macam kembar pula?’’ kata‐kata Lina buat aku tersenyum lagi. Aku perhatikan kak Ieta yang kebetulan sedang menceduk nasi ke dalam bekas nasi tambah.

‘’Lina tak tahu lagi ke, kak Izz, abang Izzhar dan kak Ieta ni sebenarnya kembar tiga?’’ soalan aku membuatkan mulut Lina terbuka luas. Umai yang turut menyibuk di sebelah kami sudah memandang kak Ieta tak berkelip.

‘’Really? Patut pun seiras sangat.’’ Lina bersuara lagi. Aku sudah terangguk‐angguk mengiakannya.

‘’Has!, sudahlah berbual sikit‐sikit. Ajak kawan‐kawan tu ke depan. Ibu dan mula kecoh dah tu. Ada pula tetamu dibawa masuk ke ceruk dapur ni,’’ kak Ieta mengajak kami ke depan. Aku menolong membawa pinggan yang diisi dengan tembikai yang aku potong tadi. Lina dan Umai pula tolong membawa minuman dan gelas masuk ke ruang makan di depan serambi rumah. Ini semua idea abah, katanya nak ajak kami berkelah hari ini beramai‐ramai. Lagi pun di atas serambi ini udaranya segar dengan angin sepoi‐sepoi bahasa. Walaupun cuaca panas tapi terasa sejuk dengan angin yang bertiup perlahan.

‘’Siapa nak baca doa ni?’’ bila semua orang sudah duduk dan mengadap hidangan, abah yang
bertanya dan memandang wajah‐wajah kaum adam yang ada di sebelahnya. Atuk tanpa disuruh sudah mengangkat tangan dan mula membaca doa panjangnya. Kami pula turut berbuat perkara yang sama dan mengaminkan doa atuk. Aku perhatikan wajah Lina dan Umai yang nampak begitu kusyuk mendengar doa yang atuk alunkan. Selepas solat tadi Lina sempat berbisik dengan aku.

‘’Serius, Lina cemburu sangat dengan kak Izz sebab kak Izz masih ada ibu dan abah, ada atuk dan nenek, sedangkan kami berdua ini sudah lama jadi yatim piatu. Wajah atuk dengan nenek macam mana pun kami tak pernah tahu. Nak tengok gambar sebagai kenangan pun tak ada.’’

Ayat‐ayat yang Lina tuturkan dalam nada sedih. Aku tak tahu macam mana perasaan mereka tapi aku cuba bayangkan bagaimana kalau aku dah kehilangan permata yang paling berharga dalam hidupku. Kehilangan ibu, abah, atuk dan opah suatu hari nanti. Aku tak dapat nak mengambarkannya dengan kata‐kata kalau aku kehilangan mereka semua. Pasti sangat sedih dan sakitkan?

‘’Has bawa mereka ronda ke mana tadi?’’ bila semua orang sudah focus dengan makanan yang ada di dalam pinggan masing‐masing, abang Izzhar pula mencuit aku dan menyoal aku dengan soalan cepubelian dia tu. Aku mengenyit mata sebelum menjawab soalannya.

‘’Dah masuk Felda Changkat Lada,’’ aku menjawab sambil tersengih.

‘’Naik apa?’’ dia masih menyoal aku sambil mencubit bantut ikan haruan﴾ikan haruan bakar yang dimasukkan sambal kelapa di dalamnya﴿ yang ada di depannya. Dia ambil juga sambil yang sarat di dalam perut ikan haruan tu. Aku pun suka sambal ni sebab ibu memang tahu kegemaran aku. Ibu selalu masukkan cili padi di dalam sambal kelapa yang dimasaknya.

‘’Tuu..’’ aku muncungkan bibirku mengahala ke arah Aznil yang ada di sebelahnya. Aznil sudah
tersengih dan menayang wajah tenangnya.

‘’Pinjam motor Nil, dia pinjam motor kawan dia. Kami merempit. Best abang, dah lama Has tak
merempit macam tu,’’ aku berkata bangga sambil merenung ibu yang berada di hadapan aku.

Ibu menjeling sekilas sambil menyuruh Lina dan Umai mengambil apa saja yang mereka nak. Jangan malu‐malu kata ibu. Abah pula sudah tergelak mendengar aku berkata begitu.

‘’Lina dan Umai makan ke ikan darat?’’ bila perbualan aku dan abang Izzhar tak mendapat sambutan, aku menyoal pula Lina dan Umai bila melihat mereka makan apa saja yang ada di depan mata. Masakan ibu tengahari ini memang kebanyakannya lauk ikan darat. Gulai ikan keli, bantut ikan haruan, ikan sepat kering goreng. Sambal udang galah dan juga sambal belacan bersama tempoyak dan ulam‐ulaman.

‘’Lina makan semua, kenapa kak Izz tanya?’’ Lina menjawab sambil menyoal aku kembali.

‘’Kak Izz ingatkan orang Bandar tak makan ikan darat.’’ Aku berkata lagi sambil memerhatikan 
mereka menyuap nasi dengan tenang. Nampak sangat menyelerakan di mataku. Aku dah biasa
dengan makanan ikan darat ini sebab abah memang rajin keluar menjala.

‘’Abang Awal lagi suka makan ikan darat ni. Kak Izz tahu tak, abang Awal tak kisah kalau membeli ikan ni dengan harga mahal. Asalkan ada orang nak masak. Tapi masalahnya ikan darat ni kalau salah masak pasti berbau hanyair. Nanti bolehlah kak Izz selalu masak untuk abang Awal macam ni.’’ Aku sudah menelan liur berkali‐kali mendengar keterujaan Lina bercerita tentang encik Awal. Abang Izzhar sudah menahan tawa sedangkan wajah‐wajah kesayangan aku yang lain sudah merenung pelik ke arahku.

‘’Siapa Awal tu Has? Bakal suami Has ke? Cepatnya Has dapat calon? Pak usu ingatkan Has nak 
suruh pak usu yang tolong carikan calon suami untuk Has. Nampaknya pak Usu kena cuci tanganlah selepas ni. Lega rasanya..’’

‘’Alah, pak usu lupalah tu, kan Has pernah cakap dulu. Impian Has bercinta dengan orang lain,
bertunang dengan orang lain dan berkahwin dengan orang lain. Pak usu masih ada lagi peluang untuk cari calon suami untuk Has tu,’’ aku cuba memangkas kata‐kata pak usu sambil mengingatkan dia tentang ayat‐ayat yang pernah aku katakan kepada semua ahli keluargaku dulu. Abah dengan spontan sudah ketawa kerana abah sudah tahu, aku tak pernah serius bila bercakap tentang calon suami.

‘’Yalah..pak usu percayalah cakap Has ni, hari tukan..’’ aku meletakkan jari telunjukku di bibir
abang Izzhar sebelum sempat dia bercerita sambil membeliakkan mataku kepadanya.

‘’Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Okey abang tersayang?’’ aku memberikan amaran
sambil memandang Umai dan Lina.

‘’Kalau betullah impian kak Izz macam tu, bakal meranalah abang Awal tu..’’ perlahan saja Lina
bersuara. Aku sudah mengulum senyum.

‘’Don’t worry, be happy. Sebenarnya kak Izz dah banyak kali ulang ayat‐ayat ni dengan encik Awal dan Lina nak tau apa dia cakap?’’ Lina terus mengangguk mendengar pertanyaanku.

‘’Bos kak Izz tu cakap macam ni tau, kalau awak berani awak buatlah! Dan sudah semestinya Izz Zahrah Hasyilla ni seorang yang sangat berani seberaninya. Tunggu sajalah hujung minggu ni..’’ aku gantungkan ayat‐ayatku sambil meneruskan suapanku. Perghh..masakan ibu tengahari ini memang terangkatlah. Tapi betul ke encik Awal tu suka makan makanan macam ni? Habislah aku, sebab aku paling malas nak masak makanan macam ni. Huhuhu…

LINA dan Umai macam sudah dapat menyesuaikan diri di rumah kami. Mereka juga menolong kami menyiapkan persiapan untuk kenduri yang bakal diadakan hujung minggu ini.

Memandangkan abah hanya bercadang mengadakan kenduri kecil‐kecilan saja jadi tak banyak
persiapan yang harus kami lakukan. Selebihnya kami membawa Lina dan Umai berjalan‐jalan di Pekan Teluk Intan sambil keluar membeli barang‐barang keperluan. Kami juga sempat membawa mereka ke Sungai Besar di Sabak Bernam yang terkenal dengan tempat barang-barang murah. Teruja betul mereka bila barang‐barang yang ada di depan mereka lebih murah daripada barang‐barang yang mereka pernah beli sebelum ini.

Dua hari sebelum kenduri pula kami pergi ke pantai Teluk Batik dan kak Ieta pun turut ikut bersama kami untuk menghilangkan tekanan kerana debaran bakal menjadi isteri orang. Tak tahu pula aku, nak jadi seorang isteri ini harus melalui situasi begini. Lebih‐lebih lagi kak Ieta dengan abang Fizie tu bakal bernikah kerana suka sama suka. Bagi aku pula, kalau dah suka sama suka mesti best bila bakal disatukan?

‘’Kak Ieta, kenapa orang nak nikah ni harus ada perasaan takut? Sepatutnya kena sukalah, lebih‐lebih lagi kalau dah sama‐sama jatuh cinta. Kenapa nak takut bagai?’’ soalan tak boleh blah aku pun sudah keluar. Kak Ieta membeliakkan matanya kepadaku.

‘’Sebab, selepas jadi isteri tanggungjawab kita semakin berat. Kita tak tahu sama ada kita mampu atau tak untuk memikul tanggungjawab tu. Has tahu tak, tanggungjawab yang wajib sebagai isteri adalah melayan suami? Agak‐agaknya kita mampu ke tak melayan kehendak suami kita sebaik mungkin?’’ soalan kak Ieta buat aku tersenyum gatal. Aku cuba bayangkan kalau aku dah berkahwin dengan encik Awal dan melayan semua kehendak dia dan tiba-tiba.. eh? Kenapa encik Awal pula? Tak ada lelaki lain ke yang aku boleh bayangkan?

‘’Apa yang susahnya nak layan suami? Tunaikan sajalah apa yang dia nak.’’ Mudahnya aku berkata‐kata. Aku dengar kak Ieta sudah menghela nafas panjang.

‘’Bila dah jadi isteri ni, keluarga dia pun akan menjadi keluarga kita. Sebagai manusia kita bukan boleh puaskan hati semua orang. Kawan‐kawan kak Ieta di pejabat tu macam‐macam pengalaman yang mereka cerita pasal keluarga mertua masing‐masing. Kadang‐kadang seram juga kak Ieta nak fikir. Tu tak termasuk pengalaman malam pertama mereka lagi. Seram tau tak? Seram sangat!’’

Penuh perasaan kak Ieta meluahkannya. Kalau aku berkahwin dengan encik Awal, rasanya masalah di sebelah pihak dia mungkin takkan membebankan aku bila melihat layanan mereka sebelum ini terhadap aku. Tapi, kalau bab malam pertama tu, aku rasa encik Awal mungkin seorang lelaki yang sangat romantik. Eh? Aku sebut encik Awal lagi ke? Aku tepuk dahi aku dengan tiba‐tiba.

‘’Kenapa pula ni? Dia pula yang tepuk dahi..’’ soalan kak Ieta membuatkan aku tersengih malu.

Kalaulah kak Ieta tahu apa yang sedang aku fikirkan.

‘’Kak Ieta tu la fikir banyak sangat. Bukan semua orang akan hadapi masalah yang sama. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. In Sha Allah, segalanya akan dipermudahkan untuk kak Ieta. Berdoa sajalah kerana Dia yang mengetahui segalanya,’’ aku cuba mencari helah dengan menyalahkan kak Ieta, padahal minda aku dah menyimpang ke lain tadi. Redha sajalah kak Ieta dengan ayat‐ayat aku tadi. Aku berbisik di dalam hati sambil mengulum senyum.

‘’Belum kena batang hidung Has, pandailah Has cakap macam tu,’’ kak Ieta memangkas katakataku.

‘’Hmm..agaknya Has tak macam tu kot? Kak Ieta tengok Umai dengan Lina tu okey tak? Mereka tu bakal adik‐adik ipar Has tau, Encik Awal tu macam sungguh‐sungguh saja nak dengan Has. Kalau kak Ieta jadi Has, nak terima tak encik Awal tu? Has rasa kami berdua ni macam tak sesuailah…’’ kata‐kata yang bercampur aduk antara pasti dan ragu aku utarakan untuk kak Ieta. Aku pandang kak Ieta dan menunggu jawapannya.

‘’Has testlah dia!’’

‘’Macam mana?’’ aku sudah teruja untuk tahu. Macam best saja.

‘’Whatssap dia bagitau Has nak kena nikah paksa, dan tunggu tindakan selanjutnya daripada dia. Tapi jangan bagitau sekarang. Tunggu hari kak Ieta akad nikah nanti. Bagitau dia pukul berapa akad nikah tu. Kalau dia sampai tepat pada masanya, maknanya dia memang betul-betul sukakan Has..’’

Saranan bernas daripada kak Ieta aku sambut dengan senyuman lebar. Mesti encik Awal akan tertipu kalau dia datang dan tengok kak Ieta dengan baju pengantinnya? Hahaha...aku sudah ketawa penuh muslihat dan niat jahat di dalam hati. Tunggu ya encik Awal. Malam tu awak dah kenakan aku dan suruh aku naik ke atas pentas tanpa persediaan. Dah tiba masanya awak muncul tanpa persediaan juga. Tapi, macam mana kalau encik Awal tak muncul?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan