Label

Jumaat, 2 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab11

‐Tahun 1999‐

Kayuhan basikalku perlahankan. Aku menekan brek tangan dan berhenti betul‐betul di sebelah Mak Cik Zawiyah.

“Assalamualaikum mak cik.”

“Waalaikumussalam. Eh! Balkis.”

Lebar senyuman wanita yang sudah akrab denganku ini. Cepatku salami tangan Mak Cik Zawiyah sebelum mengambil beg plastik yang dijinjitnya danku letakkan di dalam bakul basikalku.

“Balkis dari mana ni?”

“Dari bendang. Hantar minuman pada walid wan tadi. Banyak mak cik beli barang dapur.”

Ramahku.

“ Bolehlah… Mak cik ingat nak masak sambal udang tengah hari ni. Sementara si Fikri tu tengah bercuti semesta ni bolehlah mak cik masak makanan kegemaran dia.”

Aku sekadar tersenyum.

“Balkis makan tengah hari rumah mak cik hari ni nak?”



Zawiyah berharap agar Balkis menerima. Dia tahu kehadiran Balkis pasti menambahkan selera anak bujangnya itu nanti. Sememangnya sudah diketahui perasaan apakah yang terkandung di hati Fikri terhadap Balkis.

“Emm… Tak apalah mak cik. Lagipun walid wan biasanya lambat balik dari bendang. Kesian umi
tuk makan seorang‐seorang nanti.”

Terasa hampa. Namun, dia mengerti kebaikan gadis yang seusia anak perempuannya ini.

“Mashitah mana mak cik? Dari pagi lagi saya tak nampak dia.”

“Dia ikut ayahnya berjalan. Bosan katanya duduk dekat rumah. Ada hati pulak tu nak kerja… 
Manalah pak cik kamu tu nak bagi. Risau katanya biarkan anak daranya tu duduk jauh‐jauh dengan dia. Lagipun pak cik kamu tu memang tak boleh nak berenggang lama‐lama dengan si Mashitah tu. Dimanjakan sangat anaknya tu.”

Aku kian tersenyum mendengar bebelan Mak Cik Zawiyah.

“Balkis tak nak cari kerja, sementara nak sambung belajar?”

“Taklah mak cik. Lagipun walid wan dan umi tuk tak izinkan. Walid wan kata kalau dah sambung belajar nanti berpisah lagi. Dahlah dulu dari tingkatan satu sampai tingkatan lima saya duduk asrama. Jadi… Sementara nak masuk universiti bulan depan, saya nak habiskan masa yang ada ni sepuas‐puasnya dengan walid wan dan umi tuk.”

“Baguslah macam tu Balkis. Jangan jadi macam Mashitah tu. Asyik nak kerja je dalam kepala otak dia tu. Mak cik suruh masuk tingkatan enam dulu, dia tak nak. Nak tunggu tawaran dari pihak universiti katanya. Entahlah Balkis… Kalau dah bongsu tu. Susah nak cakap. Manjanya berlebih. Nasib baiklah si Fikri tu tak macam tu. Dah habis diploma sambung pulak ambil ijazah. Harap‐harap nanti bila dah habis belajar dapatlah dia bantu‐bantu mak cik dengan pak cik.”

“InsyaAllah mak cik. Saya yakin Abang Fikri seorang anak yang baik.” Ujarku.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah pelbagai topik berkisarkan Abang Fikri dan Mashitah
menghadirkan senyuman dan tawa kami berdua. Adakalanya rasa tidak puas Mak Cik Zawiyah
terhadap suaminya kerana terlalu memanjakan Mashitah terungkit lagi. Aku pula sekadar
mendiamkan diri. Tidak reti untuk memberikan reaksi seperti apa. Kadangkala menjadi pendengar yang setia lebih berkesan dari memberikan komen yang entah apa‐apa.

“Eh! Kau tengok tu. Anak si Nafsiah tu dah besar rupanya. Cantik jugak anak haram ni ya.”

Tersentak aku dan Mak Cik Zawiyah dengan kata‐kata penghinaan yang dilancangkan oleh mulut celupar Mak Cik Bedah sewaktu kami melintasi kawasan rumahnya. Andai nama ibuku diungkitkan pasti sahaja kata‐kata cacian menjadi susulannya.

“Haahlah. Cantik budaknya. Tapi sayang… Tak berbapa. Anak haram macam ni cantik macam 
manapun tak guna. Keturunannya tetap jugak hina.”

Terasa sejuk tubuhku. Dadaku pula sudah kian berombak, menandakan kesedihan sedang menguasai jiwa saat telinga ini begitu peka menangkap satu persatu perkataan yang membarisi kata‐kata penghinaan yang datangnya dari teman rapat Mak Cik Bedah. Mak Cik Audah dan Mak Cik Bedah sedari dulu memang gemar melemparkan kata‐kata cacian dan penghinaan terhadapku. Pantang terlihat bayangku, pasti mulut tua mereka laju mengeluarkan kata‐kata yang sering mengguris perasaan dan menghadirkan kesedihan di hatiku.

“Eh! Siapa kata tak ada bapak. Tu, yang dalam kubur tu bapak dialah tu. Tapi, kalaulah si Mushir tu masih hidup… Kau rasa budak ni nak panggil Mushir tu apa? Bapak ke atau atuk? Yelah, Mushir tukan ke atuk saudara dia.”

“Yelah. Lupa pulak aku yang mak dia tu berzina dengan pak cik dia. Lepas tu bila dah berzina,
lahirlah budak sial ni. Ish… Kalaulah aku berada di tempat Haji Wahab dah lama aku keluar dari
kampung ni. Tak sanggup aku nak berhadapan dengan orang kampung. Aib lagi nak kena tanggung. Buat malu je.”

“Ya Allah. Kau kuatkanlah hatiku.”

Doaku di hati dan tanpa sedar aku mengurut perlahan dadaku yang kian berombak. Aku harus
menguatkan hatiku agar air mata yang mahu hadir mampuku halang kemunculannya. Terbakar hati Zawiyah. Dia pantas berpatah balik dan menghadap kedua perempuan yang sedang tertawa gila. Balkis yang menahannya juga tidak dipedulikannya. Hari ini dia harus mengajar kedua perempuan yang lebih berusia dari dirinya ini.

“Mak cik, sabar mak cik. Tak payah layan mereka.”

Rayuku. Ternyata rayuanku sia‐sia sahaja. Langkah Mak Cik Zawiyah kian laju dan kini dia berdiri di hadapan Mak Cik Bedah dan Mak Cik Audah. Sudah tiada tawa mahupun kata‐kata penghinaan yang berani dilancangkan oleh kedua mereka. Mencerlung Mak Cik Zawiyah menghadap Mak Cik Bedah dan Mak Cik Audah sehingga pucat wajah kedua mereka.

“Mak cik. Sabar mak cik.”

Aku memegang lembut lengan Mak Cik Zawiyah. Harapanku agar kemarahan yang sedang
bermaharajalela di hati wanita ini mampuku padamkan apinya. Tetapi segala usahaku ternyata tidak berhasil.

“Woi! Bedah, Audah mulut kau orang berdua ni kalau aku sepak nanti baru kau tahu macam mana rasa sakitnya!”

Sudah hilang awalan pangkat mak cik yang selalunya Mak Cik Zawiyah gunakan untuk menghormati Mak Cik Bedah dan Mak Cik Audah yang berusia dari dirinya.

Kian pucat wajah kedua mereka. Tertunduk. Takut menghadapi kemarahan Mak Cik Zawiyah.

“Ni… Budak Balkis ni kau kata lahir hasil dari perbuatan zina! Habis cucu‐cucu kau orang tu lahir macam mana?!!! Mana suami anak kau bila dia kandungkan cucu kau yang baru lahir tu? Mana?!”

Kini tumpuan Mak Cik Zawiyah terarah kepada Mak Cik Bedah. Terlihat tubuh tua itu menggigil
ketakutan atau mungkin juga kerana perasaan malu kerana kelahiran cucunya yang baru
seminggu itu sudah dapat dihidu oleh Mak Cik Zawiyah.
“Konon… Kau canang dekat orang‐orang kampung yang cucu kau tu anak orang bunian dan
kononnya anak kau tu masih dara! Tolonglah, Bedah! Kalau orang lain mungkin kau boleh
kelentong. Tapi bukan aku! Aku kenal jenis perempuan apa anak kau tu! Jadi… Mulai saat ni,
kalau kau dengan kawan kau ni hina Balkis lagi. Mampus aku kerjakan kau orang berdua!
Bukan setakat anak kau yang tengah pantang tu tak dapat duduk dekat kampung ni, aku rasa
kalau orang‐orang kampung tahu perkara yang sebenarnya. Mesti kau dengan suami kau pun
malu nak duduk dekat kampung ni lagi!”
Terkedu aku mendengar ugutan Mak Cik Zawiyah yang selama iniku kenali sebagai wanita
yang begitu lembut dan berhemah dalam menuturkan bicaranya. Terlihat air mata laju
mengalir di mata tua Mak Cik Bedah dan Mak Cik Audah pula masih menundukkan wajahnya.
Mungkin masih berasa gerun untuk menghadapi kemarahan Mak Cik Zawiyah yang masih
bersisa dan aku pula… Bersyukur kerana masih ada insan yang sudi membela nasibku.
Ligat tanganku mengatur pinggan mangkuk di atas meja. Waktu makan tengah hari sudah
tiba. Umi tuk yang pada mulanya berniat hendak membantu menyediakan apa yang patut
telahku pinta untuk duduk di ruang tamu sahaja. Sepanjang aku berada di rumah ni, akanku
hadkan segala aktiviti insan kesayanganku ini agar dirinya tidak mengah di malam hari.
Sewaktu aku melangkah ke ruang tamu untuk memanggil umi tuk, terdengar seolah‐olah umi
tuk sedang bercakap dengan seseorang. Segeraku lencongkan langkahku ke bilik untuk
mengambil tudung danku sarungkan ke kepalaku agar auratku terpelihara andai benarlah ada
orang bertandang ke rumah di saat ini.
Mata kami bertemu. Biarpun semenjak kebelakangan ini kami sering bersua muka, namun
entah mengapa kehadirannya di saat ini tetap juga menghadirkan debaran di dadaku.
“Eh… Balkis. Umi tuk baru je nak panggil Balkis.”
“Kenapa umi tuk?”
Cepatku alihkan pandanganku ke arah umi tuk.
“Ni… Fikri ni. Dia datang hantar lauk. Mak Cik Zawiyah kamu tu, rajin betul masak.”
Ku ambil mangkuk yang dihulurkan oleh umi tuk. Bau sambal udang yang penuh beraroma
menusuk ke hidungku sehingga menghadirkan liur di mulutku. Serta merta rasa lapar
menjengah semula.
“Terima kasih.”
Lembut aku menuturkan ucapan itu.
“Sama‐sama.”
Abang Fikri tersenyum. Aku turut membalas senyuman itu.
“Macam mana? Nak tak?”
Aku pelik mendengar soalan yang diutarakan oleh umi tuk kepada Abang Fikri.
“Emm… Tak apalah tuk. Seganlah saya.”
“Alah… Nak segan apa. Fikri dah macam ahli keluarga ni. Jomlah temankan tuk dengan Balkis
makan. Jom.”
Beria‐ia umi tuk mengajak lelaki di hadapanku ini.
“Emm… Baiklah. Terima kasih ya tuk.”
“Terima kasih apa. Makan pun belum lagi.”
Gurau umi tuk dan kemudiannya mempersilakan Abang Fikri masuk. Abang Fikri tersenyum
mendengar gurauan itu. Aku pula sudah melangkah terlebih dahulu ke meja makan. Aku
mengambil sebuah lagi pinggan bersih danku letakkan di hadapan Abang Fikri.
“Terima kasih Balkis.”
“Sama‐sama.”
Umi tuk senang melihat keakraban kami.
“Hari ni Fikri makan banyak‐banyak ya. Semua lauk ni Balkis yang masak. Sepanjang Balkis
duduk dekat rumah ni tuk jadi madam besar. Semua benda dia yang buat.”
“Ya ke? Semua lauk ni Balkis yang masak?”
Aku sekadar tersenyum. Tangan tua umi tuk lambat menyendukkan ayam kurma ke pinggan
Abang Fikri. Nampak benar dia menyenangi kehadiran lelaki di hadapanku ini.
“Makan Fikri. Makan banyak‐banyak. Kamu tu dahlah jarang balik. Sama macam Balkis ni. Nanti
bulan depan dah nak masuk universiti. Tinggallah tuk dengan wan kat rumah ni. Nasib baiklah
mak kamu tu ada, Fikri. Kalau tak… Naik bosan tuk dibuatnya.”
“Balkis dah dapat tawaran dari pihak universiti dalam bidang yang Balkis nak?”
Fikri tahu. Gadis cantik di hadapannya ini sudah acap kali menerima pelbagai tawaran dari
pelbagai Institusi Pendidikan Awam mahupun Swasta. Namun tiada satu pun yang diterimanya
kerana tidak bertepatan dengan bidang yang ingin diceburi.
“Alhamdulillah. Saya dah dapat tawaran. Bulan depan saya daftar masuk.”
“Baguslah macam tu. Tahniah.”
“Terima kasih.”
Umi tuk mendengar sahaja perbualan kami berdua tanpa menyampuk. Namun, di saat dia
teringatkan sesuatu…
“Tuk lupa nak tanya. Ni, Fikri balik ni sekejap je ke? Atau Fikri dah habis belajar dah?”
“Eh… Saya balik ni sebab cuti semesta tuk. Sekejap je. Nanti dah habis cuti saya balik ke
universiti balik. Lambat lagi saya nak habis belajar.”
“Lah… Ingatkan kamu dah habis belajar. Kalau masa zaman tuk dulu, besar‐besar kamu dengan
Balkis ni dah kena kahwin dah. Kalau tak orang panggil bujang telajak dengan anak dara tua.”
Aku dan Abang Fikri tersenyum kecil mendengar leteran umi tuk.
“Tu dulu tuk. Sekarang, semua orang mesti ada ilmu. Kalau tak susah nak cari makan. Semua
orang pandang taraf pendidikan zaman sekarang ni. Mana‐mana majikan pun dia akan
memilih pekerja yang berilmu.”
Aku setuju dengan jawapan Abang Fikri.
“Betullah tu. Tapi, tak salahkan sambil menyelam minum air.”
Suapan makanan di mulutku terhenti. Cuba memahami akan erti yang ingin disampaikan oleh
umi tuk. Abang Fikri meneguk sedikit air sebelum memberikan tumpuan kepada umi tuk yang
sedang memandang ke arahnya.
“Apa maksud tuk?”
Soal Abang Fikri.
“Yelah. Dekat universiti tukan ke pusat ilmu. Jadi… Mesti banyakkan perempuan‐perempuan
cantik dan berilmu yang ingin mendampingi kamu. Takkanlah cucu tuk yang kacak ni tak ada
orang nak ngorat.”
Memerah wajah Abang Fikri. Terasa malu dengan usikan umi tuk itu.
“Umi tuk. Janganlah sakat Abang Fikri. Nanti lain kali dia tak nak datang lagi kat rumah ni.”
Sengajaku tuturkan itu. Agar Abang Fikri tidak terasa kekok lagi untuk menghadapi situasi ini.
“Alah… Umi tuk gurau je. Dah makan‐makan.”
Abang Fikri cepat sahaja menyuapkan makanan ke mulutnya. Dikunyah perlahan dan
kadangkala pandangan matanya terarah kepadaku. Terasa malu saat diri diperhatikan secara
curi‐curi seperti itu. Tanpa sedar umi tuk menyedari perbuatan Abang Fikri.
“Ooo… Patutlah Fikri tak nak cari perempuan‐perempuan dekat universiti tu untuk dijadikan
teman istimewa. Rupa‐rupanya hati dah tersangkut dekat gadis di hadapan mata. Kan Balkis.”
Tersedak aku mendengar kata‐kata yang tidakku tahu untuk mengkategorikannya sebagai apa.
Perliankah? Atau sekadar usikan.
Abang Fikri segera menghulurkan air kepadaku. Sebelum hulurannyaku sambut, mataku
sempat lagi bertemu dengan sepasang mata miliknya. Ternyata dia juga tersipu sepertiku.
“Siap hulur‐hulur air lagi.”
Kata‐kata umi tuk kali ini benar‐benar menghadirkan rasa malu di dalam diriku. Kali ini bukan
Abang Fikri sahaja memerah wajahnya. Aku turut terasa berbahang wajahku akibat rasa malu
yang dihadirkan oleh umi tukku sendiri.
Senang hati tua Hajah Faaidah saat ini. Saat dia dapat menjawab teka‐teki yang bermain‐main
di hatinya selama ini. Rasa syukur tidak lupa untuk dipanjatkan kepada Ilahi. Memang sudah
dijangkakan yang Fikri mempunyai rasa cinta terhadap cucunya. Cuma selama ini dia terlalu
sukar untuk menelah apakah pula perasaan Balkis terhadap lelaki muda yang masih cuba
menahan rasa malu akibat usikannya sebentar tadi. Namun, ternyata cucunya ini juga
mempunyai rasa yang sama. Cuma mungkin rasa itu belum benar‐benar kembang memekar
untuk dipanggil cinta.
Malam yang sunyi menghadirkan sepi. Derita kian megah menjalari hati dan kata‐kata cacian
petang tadi menambahkan lagi sengsara di dalam diri. Bagaikan layar yang memainkan semula
drama penghinaan berputar di ruang mataku saat ini. Satu persatu kata‐kata cacian dan
cemuhan oleh Mak Cik Bedah dan Mak Cik Audah terngiang‐ngiang di telingaku. Andai tengah
hari tadi air mata ini mampuku tahan dari mencemari pipiku kerana tidak mahu terlihat lemah
di mata Mak Cik Zawiyah, tetapi tidak untuk saat ini. Saat ini aku benar‐benar tersungkur
dengan emosi diriku sendiri. Cepat sahaja air mata ini menitis dan kian membesar menjadi
linangan air mata. Terenjut‐enjut bahuku menahan sendu. Sendu yang sudah tidak mampuku
kawal lagi nadanya dari kedengaran.
“Balkis. Balkis dekat dalam ke?”
Terdengar suara umi tuk memanggil.
Ku hentikan tangisan dari kedengaran, namun tidak mampuku kawal sendu yang masih belum
berhenti mengeluarkan bunyinya.
“Ya… Balkis dekat dalam.”
Jawabku dalam sendu dan pastilah suaraku jua sudah serak akibat tangisan yang menggila
sebentar tadi.
Tidak terdengar lagi suara umi tuk. Ku sangkakan umi tuk sudah berlalu. Tetapi sangkaanku
meleset.
Krekkk…
Terdengar daun pintu bilikku dibuka. Umi tuk menghampiriku. Muka yang membengkak tidak
mampu untukku selindungi lagi. Umi tuk duduk di sisi katil dan menghampiriku. Dibelai
rambut panjangku dan dicium ubun‐ubun kepalaku. Saat ini terasa kasih sayang umi tuk
mengusir jauh kesedihan di hatiku.
“Balkis menangis?”
Aku tidak mampu untuk menjawab apa. Menipu bukanlah sikapku dan mustahil penipuan
berjayaku jadikan tabir bagi menutupi sebuah kebenaran. Apatah lagi mata serta wajahku yang
sedang membengkak menandakan tangisan yang telah melanda diriku sebentar tadi bukanlah
sekecil mata air di kaki gunung tetapi sebesar lautan yang sedang dilanda tsunami.
“Kenapa Balkis tak beritahu umi tuk pasal Mak Cik Bedah dan Mak Cik Audah?”
Membulat mataku. Timbul keraguan di dalam diri. Tahukah umi tuk apakah sebenarnya yang
telah terjadi siang tadi?
“Kenapa Balkis tak beritahu umi tuk yang mak cik‐mak cik tu hina Balkis lagi? Kenapa
sembunyikan daripada umi tuk?”
Terlihat air mata bergenang di kelopak mata umi tuk. Pasti dirinya juga sepertiku saat ini. Sedih
dengan apa yang menimpa diri ini.
“Macam mana umi tuk boleh tahu? Siapa yang beritahu umi tuk?”
“Mak Cik Zawiyah kamu yang beritahu umi tuk petang tadi. Sengaja umi tuk diamkan. Umi tuk
nak tengok sampai bila Balkis boleh sembunyikan hal macam ni daripada umi tuk. Kenapa
Balkis?… Kenapa Balkis diamkan diri? Tidak mahu berkongsi apa yang sedang Balkis rasai.
Kenapa?”
Tangisan umi tuk menyebabkan rasa bersalah menghimpit diri.
“Maafkan Balkis umi tuk. Balkis bukan tak nak beritahu. Tapi… Balkis tak nak susahkan hati umi
tuk. Balkis tahu, kalau Balkis ceritakan apa yang telah berlaku siang tadi… Mesti umi tuk akan
sedih dan menangis. Balkis tak nak tengok umi tuk menangis sebab Balkis lagi. Cukuplah dulu
waktu kecil, Balkis banyak mengadu dengan umi tuk setiap kali ada orang hina dan caci Balkis.
Sekarang… Balkis dah tak nak susahkan hati umi tuk lagi. Maafkan Balkis…”
Bukan Hajah Faaidah tidak tahu akan sikap cucunya ini. Dia sedar ketabahan dan kekentalan
jiwa cucunya inilah yang menjadikan dirinya berbeza dengan anak seusianya. Andai di usia
seperti ini anak remaja lainnya masih menghimpit kedua ibu bapa mereka dengan memintaminta
itu dan ini, tetapi tidak bagi Balkis. Pasti sahaja bangun dari tidur azam cucunya ini tetap
jua sama! Ingin terus melangkah ke hadapan tanpa perlu melinangkan air mata andai ada yang
mengata. Mungkin di hadapan insan lainnya cucunya ini mampu menjayakan azamnya itu.
Namun, tidak di waktu cucunya ini bersendirian mengenangi nasib diri.
“Balkis ingat lagi tak apa yang umi tuk beritahu Balkis?”
Aku menganggukkan kepala sambil jari jemari menghapuskan air mata di pipi.
“Umi tuk cakap… Balkis hanya ada umi tuk dan walid wan. Sedih atau sengsara hanya kita
sahaja yang tahu. Pekakkan telinga andai ada yang mengata dan tutupkan mata andai ada
yang memandang hina.”
Cepat umi tuk membawa aku ke dalam pelukan saat melihat tangisanku yang tadinya hendak
reda, lebat semula. Aku masih mahu meneruskan kata‐kata sebagai petanda aku mengingati
tiap patah perkataan yang membentuk nasihat daripada umi tuk.
“Dan… Umi tuk cakap… Kalau Balkis nak jadi seorang kaunselor yang berjaya. Balkis harus
tabahkan diri dan sentiasa pandai mengawal kesedihan dan emosi di dalam diri, kerana tugas
seorang kaunselor adalah untuk menyelami penderitaan dan kesengsaraan insan lainnya. Jadi…
Kalau Balkis tidak tabah dan tidak boleh mengawal kesedihan macam mana Balkis mampu
untuk meringankan penderitaan yang dibebani mereka.”
Lengkap aku menuturkan kembali peringatan daripada umi tuk.
“Tapi… Itu tidak bermakna yang Balkis perlu menahan segalanya seorang diri. Ingat… Balkis
ada umi tuk dan walid wan yang sudi mendengar segala penderitaan Balkis dan akan
memberikan sokongan pada Balkis bila masa pun yang Balkis perlukan.”
Umi tuk mengeratkan pelukan antara kami. Terasa kekuatan ingin disalurkan kepada diriku
yang kian rapuh menangisi kesedihan di hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan