Label

Jumaat, 2 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab13

MANISSA sudah tidak dapat menahan sabarnya. Bagaikan gunung berapi yang mahu meletup, perasaan amarahnya terhadap Sarah Aqilah begitu meluap‐luap. Panasnya bagaikan lahar yang sedang membuak‐buak dan tidak dapat ditahan‐tahan lagi. Satu perhitungan mesti dibuat. Dia mahu bersemuka dengan Sarah Aqilah. Perempuan perampas kasih sayang ibu dan dirinya itu mesti diajar. Perempuan itu mesti menerima akibatnya.

“Hari ini tahulah nasib kau! Kau tunggu aku!”

Bukan sahaja kasih sayang yang dirampas malah harta benda Datuk Zulkifli satu persatu jatuh ke tangan perempuan itu. Wang ringgit memang sudah tidak terkira malah kini apartmen milik ayahnya pula menjadi taruhan. Dari sumber yang diperolehi, memang Sarah Aqilah tinggal di situ sekarang. Senangnya perempuan itu mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kebodohan ayahnya. Ayah memang tidak sedar diri. Kalau dengannya bukan main garang lagi tetapi apabila berhadapan dengan Sarah Aqilah sikap ayahnya terus cair. Agaknya ayah sudah kena guna‐guna dari perempuan gedik itu!

Kereta yang dipandu oleh Manissa terus memasuki perkarangan apartmen Mentari Height. Di situlah terletaknya rumah apartmen milik ayahnya. Dahulu apartmen itu pernah disewakan kepada satu keluarga warga Arab yang bekerja di sini. Namun sudah hampir 6 bulan apartmen itu kosong kerana penyewanya sudah kembali semula ke negara asal mereka kerana kontrak kerja sudah tamat. Bukan itu yang menjadi persoalannya sekarang. Persoalannya mengapa Sarah Aqilah yang tinggal di situ sekarang? Dia sudah masak benar dengan perangai Sarah Aqilah. Permainan yang ditunjukkan oleh Sarah Aqilah memang sudah melampau.



Selepas kereta diparkir, Manissa terus sahaja menuju ke lif untuk naik ke tingkat 4 apartmen itu. Langkah kakinya diatur kemas namun hatinya terasa berdebar‐debar. Perasaan amarahnya masih belum lagi reda. Sebentar lagi dia akan membuat perhitungan dengan Sarah Aqilah. Dia sudah tidak peduli dengan kata‐kata ayahnya lagi. Selagi dia tidak bertentang empat mata dengan Sarah Aqilah, hatinya tidak akan puas. Kakinya terus melangkah menuju pintu apartmen bernombor 20‐04‐04.

Sampai sahaja di depan pintu, Manissa terus mengetuk bertalu‐talu. Senyap seketika. Diketuknya lagi sekuat tenaganya yang ada. Jawapannya tetap sama. Tidak ada tanda‐tanda pintu rumah itu akan dibuka. Ke mana pula perginya perempuan ini? Sudah hampir pukul 11 malam sekarang ini dan memang sengaja dia memilih masa sedemikian. Dia mengandaikan Sarah Aqilah ada di rumah pada masa ini. Dia benar‐benar hampa apabila misinya tidak kesampaian malam itu. Geram sungguh hatinya, marahnya tetap tidak berkesudahan.

“Err…..ada apa masalah cik? Boleh saya bantu?” kedengaran satu suara lelaki menegur Manissa dari belakang.

Dia agak terkejut apabila ditegur secara tiba‐tiba. Tangannya sempat mengurut dada. Rupa-rupanya
ada kehadiran seorang pengawal keselamatan apartmen itu.

“Ohh….maafkan saya kalau buat cik rasa terkejut,”

“It’s okey…..tak mengapa. Err….saya cari kawan, katanya tinggal di sini….,” ujar Manissa cuba
mencari alasan supaya pengawal keselamatan itu tidak mencurigainya. “Tapi kalau ikut alamatnya di sinilah….,” sambungnya lagi.

“Kenapa tak telefon dulu sebelum datang? Ini dah menyusahkan cik saja…,”

“Tak sangka kredit habis pulak……kebetulan lalu kawasan ini, teruslah ke mari…,”

Manissa terus mencari dalih. Ermm….banyak soal pula lelaki ini. Sibuk hendak tahu apa urusan orang, getus Manissa di dalam hati.

“Err….betulkah ada seorang perempuan yang tinggal di apartmen ini?” soal Manissa kalau-kalau
lelaki itu tahu penghuni yang tinggal di situ.

“Ehh….tadi cik kata kawan tinggal dekat sini. Kenapa tanya pulak?”

“Tak adalah…..manalah tahu kalau tersalah rumah…,”

“Ermm….setahu sayalah, sebelum ini ada pasangan dari Arab yang menyewa di sini tapi lama dah mereka keluar. Lama jugak kosong sebelum kawan cik pula datang menyewa…,”

Mendengar jawapan itu maka pastilah benar yang Sarah Aqilah tinggal di situ. Bertambah mendidh hatinya saat itu tetapi harus ditahan. Walaupun dada terasa panas, perasaannya perlu dikawal. Dia hanya mengangguk kepala tanda memahami.

“Itu saja yang saya tahu…..Cuma sesekali nampak ada lelaki yang datang berjumpanya....,”

“Lelaki? Awak tahu siapa lelaki itu?”

“Ehh…..manalah saya tahu.….mungkin…..,”

Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayat itu, Manissa terus mencelah. Kenyataan itu mungkin merujuk kepada ayahnya. Memang dasar perempuan gedik! Ayahnya pun sama juga tidak memikirkan tentang dirinya yang sudah tua. Patutlah ayahnya jarang balik ke rumah, di sini rupanya tempat dia menginap. Tempat dia melepaskan rindu agaknya!

“Ermm…..dia memang ada seorang ayah yang rajin menjenguknya…..maklumlah anak tunggal…,” pintas Manissa untuk terus memerangkap lelaki itu supaya terus bercerita.

Walaupun Sarah Aqilah tidak ada malam itu tetapi maklumat yang diperolehi ini amat berguna. Kali ini ayahnya pasti lebih terkejut. Dia hanya menunggu masa untuk bersemuka dengan ayahnya. Segala‐galanya akan terbongkar. Rahsia ayahnya dan Sarah Aqilah sudah ada dalam genggaman tangan.

“Tapi yang pernah saya nampak orang muda……bukan orang tua,”

“Orang muda?”

Terkejut besar Manissa mendengar penjelasan lelaki itu. Siapa pula gerangan lelaki itu? Kalau
ayahnya mengapa pula dikatakan orang muda. Masakan lelaki ini tidak dapat membezakan lelaki tua yang sudah beruban berumur lebih separuh abad dengan lelaki muda? Persoalan demi persoalan bertubi‐tubi menujah kotak fikirannya. Mungkin adik beradik atau suaminya!

Yang jelas jika bukan ayahnya, ada lelaki lain lagi dalam hidup Sarah Aqilah. Atau mungkin Sarah Aqilah bermain kayu tiga. Di hatinya ada lelaki lain tetapi yang menjadi korban sudah tentu ayahnya. Kasihan ayah, dalam baik tertipu juga dengan perempuan itu. Hanya Sarah Aqilah yang ada jawapannya!

“Err……kenapa cik? Macam ada yang tak kena saja?”

“Ohh….tak ada apa‐apa. Err……saya minta diri dulu. Terima kasih kerana bantu saya…..,”

Manissa terus melangkah meninggalkan lelaki itu yang masih tercegat berdiri di situ. Langkahnya agak pantas sederas degupan jantung yang berdenyut. Dendamnya terhadap Sarah Aqilah semakin membuak‐buak. Marahnya sudah tidak tertanggung lagi. Ayahnya mahupun Sarah Aqilah mesti bertanggungjawab meledaknya rasa benci itu. Semua rasa itu menikam sampai ke kalbunya yang paling dalam.

DERINGAN telefon yang bertalu‐talu benar‐benar mengganggu ketenangan Syafika Aziera. Setiap kali melihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon bimbitnya, hanya nama Luqman Adzlie yang timbul. Lantas tangannya cepat mematikan panggilan itu. Seingatnya sejak dari pagi tadi sehinggalah ke malam sudah puluhan kali Luqman Adzlie menelefon.

Namun satu pun panggilannya tidak dijawab malah terus dimatikan begitu sahaja.

“Sekarang baru puas hati aku!”

Syafika Aziera terus melemparkan telefonnya di atas katil. Puas rasa hatinya apabila berjaya membuat Luqman Adzlie bagaikan mahu merayu kepadanya. Kalau tidak masakan lelaki itu berterusan menelefonnya. Sejak dari perjumpaan yang terakhir dengan Luqman Adzlie. Jiwa Syafika Aziera semakin dingin dengan sikap lelaki itu. Lelaki yang hanya mementingkan kerjaya daripada perasaan perempuannya. Dia ingat aku ini batukah? Tidak ada rasa untuk disayangi, rasa ingin dibelai oleh seorang lelaki. Aku bukannya tunggul kayu yang selamanya mati. Aku ada perasaan yang halus, perasaan ingin disayangi. Lelaki jenis apakah engkau, sanggup menidakkan kasih yang kucurahkan kepadamu?

Terdengar ketukan yang bertalu‐talu dari luar kamarnya. Ingatan terhadap Luqman Adzlie terus terpadam. Syafika Aziera terus bingkas menuju ke daun pintu kerana berkunci dari dalam. Hmm…..ada sahaja gangguan yang mengganggu ketenangan hidupnya. Namun dia tahu, tentu ibunya yang ada di balik pintu itu. Sambil berjalan, dia menyikat rambut dengan anak‐anak jari supaya tersisir rapi. Semakin lama semakin kuat ketukan dari luar pintu. Apabila pintu dibuka, wajah ibunya terpampang di situ.

“Tak reti‐reti nak turunkah? Dari pagi sampai malam asyik terperuk dalam bilik ni?” bebel Mak Jah kepada anak daranya itu.

“Err…..nak turunlah ni…..,”

“Kalau tak diketuk pintu ni, sampai esok belum tentu pintu ni terbuka!”

Syafika Aziera faham benar perangai ibunya itu. Dia terkulat‐kulat apabila ibunya membebel kepadanya. Kalau tidak ditahan, bebelnya akan terus memanjang.

“Mak dah masak? Laparlah perut ni….,”

“Dah lapar baru nak turun……mak ingat kau dah kenyang duduk dalam bilik ni!”

“Hiss…..mak ni…..perli orang pulak!”

“Patutnya kau yang masak untuk mak….ni tidak, masa cuti pun mak jugak nak masak untuk kau….,”

“Okey…okey…..jom kita masak sama‐sama…,”

“Hmm….tak payah! Semuanya dah siap atas meja….nak tunggu makan saja!”

Syafika Aziera terkedu dengan jawapan ibunya itu. Hanya senyum yang lebar terpancar di bibirnya. Dia tahu, ibunya hanya bergurau. Hakikatnya dia memang jarang masak di rumah menolong ibunya di dapur sebab seharian bekerja. Dipeluk ibunya dengan penuh kasih sayang.

“Sayang mak…..tak apa lain kali, orang belanja mak makan dekat luar. Tak payah susah‐susah nak masak!” seloroh Syafika Aziera sambil disambut dengan sebuah senyuman terukir di bibir tua Mak Jah.

“Iyalah tu…..,”

“Tunggu orang dapat gaji!”

“Ermm….entahlah…..dah berapa kali gaji dah!”

“Betul……ni orang janji!”

Mereka berdua terus turun beriringan menuju ke ruang makan. Di atas meja sudah siap terhidang makanan. Lauk asam pedas ikan parang bersama terung, sayur kangkung belacan, ikan masin dan telur goreng menjadi menu mereka malam itu. Nasi disenduk ke dalam pinggan manakala Mak Jah menuang air sirap ke dalam gelas. Syafika Aziera menyedari seperti ada kekurangan di meja makan itu. Lantas dia terus bertanya kepada ibunya.

“Ayah dengan Syafiq mana? Tak nampak pun kelibat dia orang!”

“Ohh…..mereka ke rumah Pak Adam…..ada kenduri tahlil dan bacaan yassin untuk arwah isterinya. Kejap lagi baliklah tu….,”

Syafika Aziera mengangguk perlahan sambil mengambil lauk asam pedas dan sayur kangkung belacan lalu diisikan ke dalam pinggan nasinya. Melihatkan lauk asam pedas itu, dia teringatkan Luqman Adzlie sekali lagi. Lelaki itu memang menggemari lauk asam pedas.

Maklumlah dia berasal dari negeri Melaka. Setiap kali makan tengahari kalau berkesempatan, mesti gerai yang menjual asam pedas menjadi pilihannya. Sejak daripada itu, dia pun suka menikmati lauk asam pedas. Nasib baiklah ibunya seorang tukang masak yang serba boleh.

Sebut sahaja apa masakan tradisional pasti menjadi air tangannya.

“Yang tersengih‐sengih tu kenapa? Masa makan pun boleh berangan!”

“Err….tak ada apalah mak. Ada kenangan mengusik jiwa!”

“Banyaklah kamu punya kenangan……baik‐baik tulang ikannya. Nanti tak pasal‐pasal tercekik
tulang……baru ada kenangan!”

“Ermm….mak ni ada‐ada saja!”

Selepas makan, Syafika Aziera membantu ibunya mengemas di dapur. Pinggan mangkuk yang kotor di angkat ke singki. Mak Jah sedang membersihkan sisa‐sisa makanan yang terlekat di pinggan.

“Biar orang tolong mak…..mak pergilah buat kerja lain,”

“Tak apalah…...sikit saja lagi ni. Kamu pergi jerang air……nanti ayah kamu balik, boleh buatkan air kopi,”

Syafika Aziera tidak membantah cakap ibunya. Dia segera mendapatkan cerek dan terus mengisi air sebelum menjerangnya di atas dapur gas.

“Mak ada hal nak tanya kamu ni?” tiba‐tiba Mak Jah bersuara sambil menoleh ke arah Syafika Aziera.

“Ada apa yang boleh saya bantu cik puan?” balas Syafika Aziera dengan gaya berjenaka.

“Mak tak main‐main tau…..mak serius ni!”

Serius! Apakah maksud ibunya berkata begitu? Dia memang biasa berseloroh dengan ibunya. Kali ini lain macam pula nada percakapan ibunya. Apa halnya yang hendak disampaikan kepadanya? Benaknya juga tertanya‐tanya. Satu perkara yang terlintas di kepalanya saat itu ialah Luqman Adzlie. Janganlah ibunya bertanya tentang lelaki itu. Lelaki yang menjadi tunangannya sekarang. Dia sudah berkira‐kira apakah jawapannya yang harus disediakan. Perasaan tenanglah, jangan mengelabah pula. Duhai semangat kuatlah, berilah kekuatan kepada diriku ini!

“Pasal apa mak?” Syafika Aziera juga serius bertanya.

Mak Jah tidak segera menjawab pertanyaan itu. Diamnya seribu bahasa, sehinggakan meninggalkan seribu tanda tanya di fikiran Syafika Aziera. Serius sangatkah halnya? Ibunya juga membuatkan hatinya berdebar‐debar. Selagi tidak dirungkaikan persoalan itu, selagi itulah debarnya berpanjangan. Bunyi cerek yang kuat menandakan air panas sudah mendidih menyebabkan Syafika Aziera tersentak seketika. Persoalan yang berlegar di kepalanya saat itu melayang pergi.

“Kamu dengan Luqman macam mana?”

Berderau rasanya darahnya ketika itu. Bagaikan mahu tercabut nyawanya apabila nama Luqman Adzlie disebut ibunya. Memang dia sudah dapat mengagak bahawa nama lelaki itu akan disebut. Terasa hendak luruh jantungnya bila teringatkan perangai Luqman Adzlie tempohari. Lelaki hipokrit dan hanya mementingkan diri sendiri! Semakin lama bertunang semakin banyak kerenahnya. Benarlah kata orang, lagi lama bertunang lagi banyak dugaan yang harus ditempuhi. Apalah jawapan yang terbaik supaya ibunya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk tentang perhubungan mereka.

“Hmm….sempat termenung lagi!”

Sekali lagi sapaan Mak Jah mengejutkan Syafika Aziera dari lamunan yang panjang. Entah mengapa, jiwa dan perasaannya tidak tenteram ketika itu. Haruskah dia menceritakan hal yang sebenarnya atau terpaksa berbohong demi menjaga hati ibunya? Ya Allah…..berilah aku kekuatan untuk menepis segala prasangka yang tidak baik!

“Err…..okey…kami okey saja….,” itu perkataan yang sempat keluar dari mulut Syafika Aziera
apabila diasak persoalan yang bertalu‐talu dari ibunya.

“Mak dengar macam tak okey saja. Kau orang berdua ada masalahkah?”

“Okeylah mak……masing‐masing sibuk sebab itulah macam tak okey saja…,”

“Kalau macam itu….lega hati mak mendengarnya. Bertuah kau Fika……Luqman tu baik budaknya…,”

Rasa hendak tergelak Syafika Aziera di dalam hatinya. Baik sangatlah lelaki bernama Luqman Adzlie itu! Di mata ibunya mungkin lain tetapi di hatinya saat itu siapa yang tahu? Dia terpaksa menjeruk perasaan mengenangkan sikap Luqman Adzlie sejak akhir‐akhir ini. Ada sahaja alasan yang dibuat untuk tidak bertemu dengannya. Ada sahaja kerja yang hendak dibuat sehinggakan dia rasa tersisih dari lelaki itu. Kalau pun bertemu, ada sahaja perbalahan yang berlaku. Jauh di sudut hati perempuannya, Syafika Aziera amat menyayangi lelaki yang bernama Luqman Adzlie itu. Cinta yang berputik telah lama mekarnya, hanya menanti saat indah mengecapi bahagia bersama.

“Dah hampir setahun kamu berdua bertunang. Kalau mengikut janji sepatutnya kamu berdua sudah boleh disatukan….,”

Satu lagi kenyataan yang pahit untuk ditelannya. Syafika Aziera rasa terdera perasaannya apabila mengingatkan kembali kata‐kata itu. Dia hanya seorang perempuan, apalah dayanya untuk menjawab persoalan itu. Sepatutnya Luqman Adzlie yang mesti bersedia menjawab persoalan itu. Lelaki itulah sepatutnya yang memberikan jawapan, bukannya dia. Apakah yang harus kukatakan pada ibu? Berterus terang atau berbohong!

“Nantilah mak……orang bincang dengan Luqman….,”

“Nak tunggu bila lagi? Bukannya elok bertunang lama‐lama…..banyak dugaannya nanti!”

Betulah kata ibunya itu. Lama‐lama bertunang memang banyak dugaan yang menanti. Dia takut juga peristiwa putus tunang yang dialami oleh Umi Salwa, rakan sepejabatnya menjadi badi kepadanya. Dua tahun bertunang akhirnya terputus akibat hadirnya orang ketiga. Sampai sekarang Umi Salwa tidak berkahwin kerana serik katanya. Perasaan fobia itu mula menunda ke segenap ruang dadanya ketika itu. Rasa bimbang mula bercambah menjadi retak seribu.

“Ayah kamu pun dah banyak kali bertanya……apa yang boleh mak jawab?”

“Suruhlah ayah sabar sikit……sampailah nanti masanya…..,”

“Bersabar memang ada hadnya……janji mesti dikota…,”

Nampaknya ibunya terus mendesak. Kalaulah dia Luqman Adzlie, bolehlah dia berikan jawapan. Apalah dayanya, dia hanya seorang perempuan. Keputusan tetap di tangan Luqman Adzlie. Ibunya tidak akan faham apa yang sedang dialaminya sekarang. Dia perlukan banyak masa lagi untuk mengenali lelaki itu. Kalau dia terlalu mendesak, mungkin sesuatu yang tidak diinginkan bakal berlaku. Walaupun dia marah kepada Luqman Adzlie namun perasaan sayang masih lagi bersisa di hatinya. Cemburu itu tandanya sayang, benci itu sebenarnya rindu.

Hakikat itu memang tidak dapat dinafikan. Semakin lama semakin tebal rasa sayangnya terhadap lelaki itu. Atau mungkin lelaki itu mahu menduga hatinya! Sejauh manakah setianya dia kepada lelaki itu! Kesetiaan membuatkan dirinya pasrah dalam penantian yang panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan