Label

Jumaat, 2 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab18

Ketika hati sedang marah, segala benda hendak dihempas. Tetapi apabila hati menjadi sejuk, 
menangislah pula melihat telefon kesayangan pecah berderai. Sedihnya! Hati semakin sayu apabila ibu sendiri asyik menyindir dan mengusik.

“Itulah! Ikut sangat perasaan marah tu! Marah ni, Aira, didorong oleh syaitan. Semakin kamu marah, syaitan semakin bersorak gembira. Tengoklah! Tak fasal‐fasal telefon sendiri pecah. Apa agaknya dalam kepala otak kamu tu? Dah tentu kamu fikir yang kamu anak orang berada maka tak apalah kalau telefon tu pecah, kan? Duit mak bapak kamu kan banyak? Tentu boleh beli handset baru yang lebih canggih, iya tak?”

Aira diam, tunduk menghening diri. Bila Puan Sri Idayu sedang mengamuk, dia tidak berani
bersuara. Apa lagi bila memikirkan bahawa ini semua berpunca dari kesilapan sendiri, jadi, lebih baik tidak usah membalas.

“Yang kamu marah sangat dengan si Adham tu, kenapa? Apa lagi yang tidak kena? Budak tu penat bekerja, pagi di bengkel, malam di gerai. Kamu pulak pergi kacau dia malam‐malam.”

Aira mengetap bibir. Rasa tak puas hati apabila dia dikatakan pergi mengacau Adham semalam. Menyampah betul! Kalau dia tahu pertemuan mereka akan berakhir seperti itu, sumpah, tidak kuasa dia hendak mencari lelaki itu. Memang, menyesal sungguh dia!

“Dahlah Adham tu penat, siap kena hantar kamu balik ke sini lagi.” Puan Sri terus merungut lagi.

“Alah, bukan Aira suruh dia pun. Dia yang berkeras nak hantar Aira balik!”



Si ibu sakit hati mendengar anaknya membalas kata. Gadis yang memakai seluar jeans ketat dengan baju singkat terkeluar pusat itu direnung bagai hendak menelan. “Dia tu ada rasa tanggungjawab, tahu tak? Dia tahu, kami risau kalau kamu tu keluar malam. Bukan macam kamu yang tak matang tu! Merajuk tak tentu fasal!”

“Aira tak merajuklah, mak!”

“A’ah, kan? Merajuk pada yang sayang, betul tak?” Puan Sri Idayu tersenyum sinis, sengaja ingin membakar perasaan Aira Syuhada. Puas hatinya melihat sepasang mata anaknya yang berkaca. Sekurang‐kurangnya, Aira nanti akan berfikir sedikit tentang perlakuannya. Tentang perangainya. Tentang hatinya.

“Hmm, merajuk pada yang sayang, tapi dia tak sayang Aira. Dia tak suka Aira. Pantang tengok Aira, dia mesti nak marah‐marah.” Sedikit berbisik, giliran si anak untuk meluahkan perasaannya.

Puan Sri merapati diri lalu duduk di atas kerusi berkembar dua, di sebelah anaknya.

“Sayang, orang lelaki paling sukar hendak menunjukkan perasaannya. Apatah lagi kalau lelaki itu dari kalangan yang merendah diri macam si Adham Faiz tu. Selagi dia ada rasa yang kamu dengan dia tak setaraf, selagi dalam hati dia masih ada rasa takut untuk menerima cinta anak dara kaya macam kamu, yang berperangai manja, sentiasa nak menang, sentiasa sombong, kata kamu aje yang betul, selagi itulah, kamu tak akan berjaya merebut hati dia.”

Aira terkesima. Begitukah dirinya di pandangan mata Adham Faiz? Sombong, manja, keras kepala, ego? Aduhh, ingatan kembali ke suatu waktu ketika Adham memanggilnya dengan panggilan Miss P. P for proud, problem, psiko? Uwaa..... patutlah! Mahukah menerima dirinya yang sebegitu teruk perangai di mata lelaki itu?

“Kan mak pernah cakap pada kamu dulu? Kalaupun rupa paras kamu cantik jelita seperti Nasha Aziz atau Angelina Jolie, tapi kalau sikap kamu tidak berubah, masih lagi ‘you act like a spoilt child’, takkan ada lelaki yang ingin dan berani mendekati kamu. Lupa?”

Hanya gelengan diterima.

“Ni, semalam, apa yang kamu dah buat, sebenarnya, Aira? Mak tengok kamu tak ucap terima kasih pada dia pun. Terkulat‐kulat dia kamu tinggalkan di muka pintu. Begitu ke cara kamu? Mak ada ajar kamu jadi biadap macam tu sekali ke, Aira? Hah?” tanya Puan Sri kepada anaknya.

Aira melepaskan satu keluhan. Dia kesal dituduh biadap. Tetapi, tidakkah ibunya tahu bahawa
hatinya sedang sangat sakit memikirkan penolakan Adham? Arghh, benci! Kenapalah hati ini degil sangat? Kenapa mesti jatuh cinta pada manusia berhati batu itu? Kenapa harus ada perasaan pada lelaki yang tidak pernah menoleh dua kali melihatnyapun? Mengapa?

Mengapa?

Tiba‐tiba suara ayahnya ketawa besar menyebabkan Aira menoleh ke muka pintu. Dia kehairanan. Tak mungkin ayahnya ketawa sendirian kut?

“Bangun lambat lagi, anak dara oi! Si Adham tu dari pukul 8 pagi tadi dah sampai. Dia nak jumpa kamu. Agaknya, dia langsung tak dapat tidur malam tadi!” Puan Sri ketawa melihat wajah Aira yang sudah merona merah sebaik melihat kelibat Adham Faiz di sisi ayahnya.

“Mak!! Orang malulah mak buat macam ni!”

Tanpa menunggu, Aira berlari menuju ke tangga. Sempat berhenti untuk berpaling melihat Adham. Berdebar tangkai hati bila menyedari Adham sedang melihatnya. Dia lantas menyusup secepat mungkin menuju ke biliknya. Sebuah senyuman mula menghiasi bibir.

.......................

Debaran dalam dada masih belum mahu pergi. Malah kini, kelajuan degupannya sedang bertambah. Mahunya tidak! Lelaki idaman sedang duduk berhadapan dengannya. Sedang merenungi dirinya seolah‐olah melepaskan rasa rindu.

Owh...kalaulah benar lelaki ini merinduinya?

“Err, awak tak kerja hari ni?” tanya Aira.

“Hari ini hari Ahad. Bengkel tutup.” Balas Adham. Sedikit hampa kerana Aira tidak mahu 
memandangnya.

Aira menggaru‐garu kulit kepala. “Malam nanti berniaga tak?”

“Tak.”

Aira yang terkejut menatap anak mata Adham. Jawapan itu adalah mustahil. Adham tidak pernah menutup gerai burgernya. Mengapa?

Bagai mengetahui apa yang sedang Aira fikirkan, Adham segera menjelaskan, “Sesekali, saya
perlukan rehat. Adik‐adik saya pun macam tu juga. Takkanlah hendak bekerja 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan dan 12 bulan setahun? Kedai KFC lainlah, pekerja mereka bekerja ikut syif. Saya dengan Udin dan Akub, tidak! Takut nanti jadi terlalu letih pulak, kan?”

Aira menganggukkan kepala. Dia bersetuju benar sekiranya Adham mengambil cuti. Dapatlah lelaki yang terlalu kuat bekerja ini merehatkan dirinya.

“Berapa lama awak ambil cuti?” tanya dia. Adham menunjukkan jari telunjuknya.

“Alah, rehatlah lama sikit. 3 hari ke? Barulah rehat namanya.” Tukas Aira sambil menjeling manja.

“Seharipun cukup, awak! Tambah‐tambah kalau dapat jumpa awak ni. Hilang penat saya.”

Balas Adham perlahan tetapi jawapan itu sampai dengan amat jelas ke pendengaran Aira Syuhada.
Suasana menjadi bisu dan kaku seketika. Adham termalu setelah meluahkan apa yang dirasa. Muka diraup segera. Kalau boleh, nak tutup terus dengan jari jemari dan telapak tangannya.

Kali pertama mengaku macam ni depan seorang perempuan. Dulu, dengan Anita pun, dia tak pernah nak berjiwang karat begini. Tak ada masa nak datang pujuk dan beri muka. Tapi, kenapa bila dengan Aira, lain pula sikapnya?

Satu malam dia tidak boleh lena. Sedih apabila Aira tidak langsung membalas mesej yang dihantar. Dekat 10 kali mendail, namun nombor Aira asyik tidak boleh dihubungi. Kacau jiwanya. Resah! Sesuatu yang amat menyakitkan bila Aira tidak mempedulikan dirinya.

Senyuman Air semakin manis. “Awak dah hilang penatlah ni? Penat aje? Rindu?” tanya dia.

“Siapa rindukan awak? Saya datang ni sebab saya risau. Awak langsung tak balas sms saya. Saya call awak dekat 10 kali, tahu! Satu pun awak tak jawab. Marah benar awak dengan saya, ya?”

Hmm, dia cuma risau. Dia tak rindukan aku. Sedihnya.

Aira bangun dan melangkah ke arah kolam renang. Di situ dia berdiri, memerhati riak di air yang tenang. Di situ seolah‐olah tidak ada pergerakan gelombang namun sebenarnya ada alunan halus dan perlahan. Apakah Adham juga ada perasaan halus itu untuknya?

“Aira, awak tak baca sms saya, kan?”

“Baca! Selepas sms kedua, saya campak telefon tu. Dah berkecaipun telefon tu.”

Bulat mata Adham memandang belakang tubuh Aira. Dia kemudian ketawa kecil. “Jadi, awak tak bacalah apa yang saya tulis?” soalnya.

“Apa yang awak tulis?”

“Tak ada apa‐apa. Tak ada apa‐apa, Aira.” Adham cuba mengelak pandangan tajam Aira yang kini sudah berdiri menghadapinya.

Aira semakin sukar mempercayai. Jawapan itu sedikit pelik. Senyuman di bibir sedikit ganjil.
Membuak‐buak rasa ingin tahu. Kebetulan pula, telefon bimbit Adham berada di atas meja taman itu. Tanpa sempat Adham menduga, Aira berlari lalu mencapai telefon bimbit itu.

“Aira, pulangkan balik telefon saya tu!” desak Adham.

“Tak mahu! Saya nak tengok mesej awak untuk saya.”

Adham semakin hampir. Aira menyorokkan telefon itu di belakang tubuhnya. Dia tahu, Adham tidak akan berani menyentuh dirinya untuk merebut telefon itu.

“Aira, bak saya fon tu! Salah awaklah kalau awak tak baca sms tu. Siapa suruh awak hempaskan fon awak?” marah Adham.

Aira Syuhada tersenyum melirik. “Kalau awak nak, datanglah dekat lagi!”

Adham menjegilkan mata. Dia tahu, Aira tahu bahawa dia takkan buat begitu. Mana mungkin
melakukannya dengan CCTV yang sedang merakam segala peristiwa, kan? Dia kemudian berpeluk tubuh. Membiarkan Aira bermain‐main dengan telefonnya.

“Yang ni dah. Awak minta maaf. Okey, saya dah maafkan sebab awak dah ada kat depan mata saya sekarang. Okey yang ini pulak.” 

‘Aira, jangan katakan "Aku Cinta Padamu" bila kau tidak benar‐benar peduli. Jangan bicarakan soal perasaan bila itu tidak benar‐benar ada. Jangan kau sentuh hidupku bila kau berniat mematahkan hati. Jangan menatap ke dalam mata ini bila apa yang kau kerjakan cuma berbohong. Tahukah kau, Aira, bahawa hal terkejam yang bisa kau lakukan ialah membuat aku jatuh cinta padamu padahal kau tidak berniat sama sekali untuk menangkap aku di saat aku terjatuh?’ 

Adham segera berpaling semasa Aira mengangkat wajah. Dia tidak sanggup menatap seraut wajah itu. Dia malu.

Mesej ke 4, “Aira, cinta dimulai dengan sebuah senyuman, tapi selalunya cinta akan berakhir dengan titisan air mata. Tapi, aku masih ingin memiliki cintamu.”

Wah, romantis giler mamat ni, aku nak nangis dah ni. Bisik hati kecil Aira Syuhada.

“Aku lebih rela kehilangan harga diri dan egoku ini daripada kehilangan kamu yang aku
cintai………..”

Akhirnya! Air mata gembira menitis di pipi Aira Syuhada. Ya, dia terlalu bahagia kini. Tidak mampu diucapkan. Tidak mampu diluahkan. Hanya, Adham pasti dapat melihat cinta, kasih dan sayangnya di air wajah yang ceria ini.

“Awak!”

Adham tetap tidak berpaling melihatnya.

“Adham! Tengoklah sini!” rengek Aira sebaik habis membaca luahan hati lelaki idamannya.

Adham memusingkan tubuhnya perlahan‐lahan. Memandang wajah Aira bersama sekuntum
senyuman.

“Arghh, nak peluk awak!” Aira mendekatkan diri. Adham mengundur.

“Stop! Berhenti! Jangan mengada‐ngada, okey! Nanti saya tarik balik semua pengakuan tu.”

Ugut Adham sambil tergelak kecil.

Aira ketawa. “Tak ada maknanya, Adham Faiz. Hari ini, awak dah mengaku yang... yang...”

“Saya suka awak, Aira. Ya, saya mengaku. Tapi, awak jangan nak ajak saya kahwin dengan awak
pulak. Belum masanya lagi, tahu!” Adham kembali serius.

Aira mengerutkan dahi. “Alah, kenapa pulak? Kenapa tak boleh?” bidasnya, tidak berpuas hati.

Adham menggelengkan kepala. “Ada ke tanya soalan tu pada saya? Weh, awak tu belum cukup umur untuk jadi isteri saya, tahu. Awak tu budak kecik lagi. Awak kena masuk universiti, kena kerja, kumpul duit untuk meminang saya. Faham?”

Aira yang mulanya hendak marah, akhirnya turut tersengih mendengar usikan Adham kepadanya. Alangkah bahagia. Tidak disangka‐sangka, hari ini, kata‐kata keramat yang sering dinanti‐nantikan, meniti keluar daripada bibir lelaki itu. Sungguh, inilah hari yang tidak mungkin luput daripada memori. Saat indah ini akan terukir dalam ingatan. Buat selamalamanya.

“Terima kasih, awak. Terima kasih sebab sudi balas cinta saya, ya!” bisik Aira lembut.

“Terima kasih pada awak juga kerana sudi memilih saya, Aira.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan