Label

Rabu, 14 Disember 2016

NOVEL Di Penjara Rindu Bab14

PUAN ASIAH sedang menyidai kain di ampaian. Ada seraga kain yang dibasuh selepas subuh tadi. Dikibas‐kibas kain sarung suaminya itu berkali‐kali sebelum menyidainya di ampaian. Sesekali matanya memandang kelibat suami di atas bukit sedang menebas kebun pisang mereka. Hasil daripada kebun pisang dan dusunlah dia dan suami dapat membesarkan anak-anak sehingga berjaya menamatkan pengajian mereka. Kesemua anaknya boleh dikatakan berjaya dengan hasil titik peluh suaminya selama ini.

Encik Zainal seorang suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Namun, dia juga seorang ayah yang tegas dalam soal pelajaran. Maka, tidak hairanlah kesemua anaknya cemerlang dalam akademik. Puan Asiah faham benar dengan sikap suaminya itu. Dalam lembut dia bertegas.

Apabila selesai menjemur pakaian, biasanya Puan Asiah akan menyiram bunga. Ada pelbagai jenis bunga yang ditanam di tepi pagar. Dahulu taman kecil itu di urus oleh Nurin Amira. Setelah lama gadis itu tidak pulang ke rumah, dialah yang menjaganya. Banyak perkara yang disukai dan diminatinya dikongsi bersama anak gadisnya itu. Kini boleh dikatakan bakat menjahit pakaian perempuan dan kanak‐kanak, menjahit sulaman, mengait, dan memasak diwarisi anaknya itu. Setiap saat dan detik anak itu yang dikenangnya. Ibu mana yang tidak mengenangi anaknya yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu.

Air mata yang mulai menitis diseka dengan hujung jarinya. Kemudian dia berlabuh duduk di atas pangkin di bawah rumah. Segala kerja rumah telah dilakukannya awal pagi tadi. Tinggal untuk memasak tengah hari sahaja lagi.



Mira! Mak rindukan kamu, nak. Bila agaknya kita akan hidup seperti dulu lagi? Apa yang dibuat Mira saat ini? Semoga Allah sentiasa memberi perlindungan dan keselamatan kepada anak-anakku
dari mara bahaya baik di dunia mahupun di akhirat. Terutama sekali anakku, Mira, Ya Allah. Engkau peliharalah dia dalam rahmat‐Mu. Andai dia tidak bersalah, Engkau tunjukkanlah buktinya. Amin.

“Assalamualaikum, Kak Siah.”

Telinga Puan Asiah mendengar seseorang sedang memberi salam. Dipandang ke arah gerangan yang memberi salam. Sisa‐sisa air mata yang bergenangan di pelupuk mata segera di sapunya sebelum menitis lalu membasahi pipinya itu.

“Waalaikumusalam. O Limah rupanya. Ingat siapalah yang datang tadi.”

“Dari jauh saya nampak Kak Siah termenung jauh. Apalah yang diingatnya. Abang Nal mana?”

“Di mana lagi kalau tak ke kebunnya tu. Tunggulah sampai dia balik. Manalah tau rezeki Limah, dia bawak balik pisang sesikat dua.”

“Tak apalah, Kak Siah. Saya datang ni nak ambik baju. Dah siap ka, Kak Siah?”

“Dah banyak hari dah siap. Eh, marilah kita masuk dulu.” Puan Asiah menjemput tetamunya masuk ke dalam rumah.

Halimah yang datang melenggang masuk dan terus duduk di sofa di ruang tamu. Sementara menunggu Puan Asiah masuk ke dalam kamarnya untuk mengambil pakaian yang ditempahnya. Dia selalu menempah pakaian dengan Puah Asiah. Di kampung itu ramai orang yang mengambil upah menjahit baju. Akan tetapi, dia lebih rasa selesa dengan pakaian yang dijahit oleh Puan Asiah. Maka tidak hairanlah dalam sebulan, lebih sepuluh orang yang menempah baju dengan Puan Asiah. Jahitan Puan Asiah halus dan memuaskan hati. Tambahan pula Puan Asiah juga pandai menjahit sulaman.

Tidak lama kemudian Puan Asiah keluar dari kamar tidurnya sambil menjijit beg plastik berisi
pakaian yang dimaksudkan oleh Halimah.

“Saya cuba ya, Kak Siah,” ujar Halimah sambil menyambut beg plastik yang dihulur oleh Puan
Asiah itu.

“Akak ke dapur kejap. Rasanya teh O dengan goreng pisang pagi tadi ada lagi tu,” kata Puan Asiah, lantas berlalu ke dapur. Namun, pantas sahaja dihalang oleh Halimah.

“Tak payah susah‐susahlah, kak. Saya datang kejap aja ni.”

“Tak ada susahnya. Kamu duk kalut apa nak balik awai? Laki kamu kerja, kan?”

Biarpun dihalang, Puan Asiah tetap berlenggang menuju ke dapur. Halimah hanya mampu menggeleng melihat langkah kaki Puan Asiah itu. Ketika menunggu Puan Asiah tiba di ruang tamu, dia mencuba pakaian baharu itu.

“Cantik sungguh baju kamu ni. Pandai kamu memilih kain,” puji Puan Asiah tiba‐tiba. Halimah
mengukir senyuman.

“Bukan saya yang beli, kak. Adik ipar bagi. Oh ya, kak. Hari minggu ni kalau tak keberatan, harap akak dengan abang dapat datang ke rumah. Ada jamuan sikit. Ala, anak buah saya baru habis belajar. Maklumlah itulah satu‐satunya anak buah saya.”

Rupa‐rupanya kedatangan Halimah ke rumah Puan Asiah bukan sekadar hendak mengambil pakaian yang ditempahnya. Dia hendak menjemput Puan Asiah sekeluarga datang ke majlis doa selamat anak saudaranya.

“Insya‐Allah kalau tak ada aral melintang nanti,” jawab Puan Asiah.

“Yang mana satu anak saudara kamu ni?” tanya Puan Asiah tiba‐tiba.

“Shamninalah. Siapa lagi? Dua orang saja anak buah saya, kak. Dulu‐dulu selalu belajar dengan
Mira. Tak lama lagi nak bertunang pulak. Cepat benar masa berlalu,” jawab Halimah.

Puan Asiah kembali teringatkan anak gadisnya, Nurin Amira. Dahulu anaknya itu selalu menceritakan kenakalan rakan‐rakannya, termasuk Shamsul yang sering mengusiknya. Kini rakan sekolah anaknya itu bakal menamatkan zaman bujangnya. Sudah tentulah majlis kahwin itu nanti meriah dengan dihadiri sahabat handai, jiran tetangga dan saudara mara jauh dan dekat. Dia terkilan kerana pada hari pernikahan anaknya, dia tidak merasai kemeriahan itu.

“Kak ada apa?” tegur Halimah apabila menyedari Puan Asiah tiba‐tiba sahaja berdiam diri.

“Saya mintak maaf kalau‐kalau saya...”

Kenapa pulak dengan Kak Siah ni? Aku tersilap cakapkah?

“Err... tak, tak ada apa. Cuma, akak... emm... Tunang Shamnina orang mana?” tanya Puan Asiah, cuba menyembunyikan gundah hatinya.

“Tunang dia dekat‐dekat sini saja. Baru habis belajar. Sama macam Shamsul.”

Barangkali juga Kak Siah ni teringatkan anaknya, Mira. Kasihan. Tak pulang‐pulang ke rumah!
Hati emak mana yang boleh tahan?

Dia baharu sahaja mendapat tahu Nurin Amira sudah lama tidak pulang ke rumahnya. Itu pun
melalui anaknya yang berkawan rapat dengan Nurin Anisha.

“Mira apa khabar, kak?” tanya Halimah, sekadar ingin tahu.

“Mira sihat‐sihat saja. Adiknya tu selalu berSMS dengannya. Dengan akak tak pernah nak ditelefonnya.” Ada sendu dari nada suara Puan Asiah. Halimah bersimpati.

“Yalah. Saya faham, kak. Takut abahnya marah, mungkin.”

“Sudahlah, Limah. Akak tak nak ingat apa‐apa lagi. Dah nasib kami.”

“Bersabaqlah, kak,” ujar Halimah sambil menepuk bahu jiran tetangganya itu.

“Eh! Dah lama benaq saya kat sini. Saya nak beransur dululah, kak. Masak pun belum ni.”

“Yalah! Yalah! Hati‐hati di jalan ya, Limah.”

“Jangan lupa 27 hari bulan ni, kak.” Halimah sekali lagi mengingatkan Puan Asiah yang sudah
dianggapnya sebahagian daripada ahli keluarganya itu. Mereka sudah lama saling mengenali.

Semenjak di alam remaja lagi mereka berhubungan baik.

“Kamu, Limah. Ingatkan siapa tadi. Patutlah tak nampak akak kamu kat depan. Ada tamu rupanya,” tegur Encik Zainal yang baharu sahaja mahu duduk di pangkin di bawah rumah. Ada titisan peluh meleleh di wajahnya yang kepenatan itu.

“Saya nak ambik baju ni hah. Dah lebih sebulan saya hantaq. Alang‐alang datang ke sini, saya nak beritau majlis doa selamat anak buah saya. Baru habis belajar. Datanglah ya, bang pada 27 hari bulan ni.

“Insya‐Allah. Yang mana satu?”

“Shamnina, adik Shamsul. Dulu kecik‐kecik saya yang jaga dia. Duk mai sini main‐main dengan Mira. Takkan abang dah lupa?”

Mendengar nama Nurin Amira, berubah sedikit seri muka Encik Zainal. Puan Asiah menyedarinya. Lantas segera dia mengalih perhatian suaminya itu.

“Akak dah cakap tadi. Ada rezeki untuk kamu, Limah. Tunggu kejap akak ambik beg plastik,” kata Puan Asiah selepas memandang setandan pisang dan beberapa biji labu air di atas pangkin. Pantas saja dia berlalu ke dapur untuk mengambil beg plastik yang dimaksudkan.

Setibanya Puan Asiah di luar, setandan pisang itu sudah pun dipotong menjadi beberapa ikat
pisang. Dia mengambil dua ikat pisang lalu memasukkannya ke dalam beg plastik yang
diambilnya itu.
“Buat susah‐susah saja, Kak Siah ni. Banyak ni nak buat apa?”
“Bawak ajalah balik. Pisang emas ni buat kerepek pun sedap. Rebus makan dengan kelapa
parut pun sedap. Buat gulai lemak campur dengan ikan masin pun sedap jugak,” kata Puan
Asiah, memberi idea.
“Dengan Kak Siah hang ni, semua menjadi. Benda dah ada di depan mata.”
Puan Asiah ketawa mendengar pujian suaminya itu.
“Yalah. Kak Siah ni wanita serba boleh. Tapi, Kak Siah saja yang tak nak akui. Kalau tak, dah
lama dia mau jadi tenaga pengajaq kelas KEMAS yang baru ditubuhkan di dewan. Ha... Kak
Siah tak tau lagi ka? Kampung kita ni dah ada persatuan wanita,” jawab Halimah.
“Akak dah tau. Akak malas nak masuk persatuan‐persatuan ni. Kat rumah ni banyak kerja yang
nak dibuat,” ujar Puan Asiah pula. Suaminya tersengih sahaja.
“Terima kasih, Kak Siah, Abang Nal. Saya balik dulu. Assalamualaikum.”
Kedua‐dua suami isteri itu menjawab salam Halimah serentak. Puan Asiah menghilang ke
dalam rumah. Kemudian keluar dengan membawa mug berisi air kopi kegemaran suaminya.
Baru sahaja Puan Asiah hendak berlabuh di sisi suaminya, telefon mendering minta diangkat.
Dia berlalu ke tengah rumah.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam, kak ngah.”
“Aina.... Awat hang lama tak telefon akak? Sampai hati hang.”
“Aina sibuk, kak. Abang, akak dengan anak‐anak di sana semua sihat ka?”
“Kami sihat, Na. Sihat orang tua faham‐faham aja la.”
“Ain dah sebulan balik. Dia nak pi sana. Rindu kat mak ngah, katanya.”
“Bila dia balik? Mai la.” Ceria wajah Puan Asiah apabila diberitahu anak saudara kesayangannya
sudah pulang dari perantauan.
“Dah sebulan dah.”
“Amboi... dah sebulan balik, baru nak habaq. Sampai hati noh.” Kedengaran tawa meletus dari
corong telefon.
“Dia cadang nak surprisekan akak. Sebelum tu, Na nak bagitau. Nanti akak marah pulak.”
Faham benar dia sikap anak saudara kesayangannya itu.
“Tapi... kalau tak beritau awai‐awai, tak sempat akak nak masak. Karang merajuk pulak dia,”
ujar Puan Asiah pula.
“Yalah, kak. Ain tu bukan tak tau perangai dia. Okeylah, kak. Saya nak pi makan ni. Kirim salam
kat Abang Nal.” Serta‐merta talian terputus.
Tersenyum‐senyum seorang diri Puan Asiah di dapur apabila diberitahu oleh adiknya, anak
saudaranya hendak datang ke rumah. Aina, adik perempuannya yang kedua bongsu. Itulah
satu‐satunya saudara kandung yang dia ada selepas abang yang sulung meninggal dunia
disebabkan serangan jantung beberapa tahun lalu.
Nurain yang dijaga semenjak kecil sudah dianggapnya seperti anak sendiri. Nurain sungguh
rapat dengan Nurin Amira dan Nurin Anisha. Mereka bagaikan tiga sekawan yang tidak boleh
dipisahkan lagi. Nama pun bersaudara, apa jua perkara ingin dilakukan bersama. Sehinggakan
dia dan suami tergaru‐garu kepala melihat telatah mereka. Ditambah pula anak sulung dan
anak keduanya yang suka menyakat adik‐adik mereka. Bertambah meriah suasana dibuatnya.
Tetapi, kini segalanya sudah berubah. Masing‐masing mempunyai tanggungjawab yang harus
dilaksanakan. Sebagai seorang ibu, dia hanya mendoakan yang baik‐baik sahaja untuk
kebahagiaan anak‐anaknya. Dan senyuman terus terukir apabila mengenangkan itu semua.
“Siapa yang telefon tu, Siah?” tegur Encik Zainal yang sudah tercegat di depan pintu tengah
rumah.
“Aina, bang!”
“Apa dia nak?”
“Nak beritahu hujung minggu depan Ain nak datang. Nak surprisekan kita.”
“Nak surprisekan kita? Patutlah tak jadi datang hari ni, ya. Bertuah punya anak,” kata Encil
Zainal sambil menggeleng‐geleng kepala.
“Itu la. Nakalnya tak pernah berubah. Kalau Aina tak telefon tadi, tak merasalah budak tu
makan sedap‐sedap.”
“Yalah. Anak saudara awak jugak.”
Dalam hati kedua‐dua suami isteri itu berbunga bahagia. Sekurang‐kurangnya terubat kecewa
yang mencengkam, terubat rindu yang hadir di laman hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan