Label

Rabu, 21 Disember 2016

NOVEL Kalau Aku Kaya Bab27

Amzar Mikail memandu Viva milik Wardah mencari Teman Sejati seperti yang diceritakan oleh
Wardah. Entah kenapa gadis itu beriya‐iya mahu mencari Teman Sejati. Mujur di antara orang ramai yang ditanya di kawasan Gombak ini, ada juga yang tahu di mana letaknya Teman Sejati. Kalau tidak, mungkin seharian dia terpaksa memandu sekeliling Gombak yang bukan kecil daerahnya.

“Ha… itu pun dia!” Seru Wardah yang ligat memandang sekeliling dari tempat duduk belakang.

Benn dan Amzar Mikail ikut mendongak ke arah pintu gerbang di sebelah kanan jalan yang tertulis ‘Teman Sejati’. Pantas lampu isyarat diberi dan kereta itu membelok ke kanan memasuki pintu gerbang yang besar dan gah itu. Terdapat sederet bangunan kedai di luar perkarangan Teman Sejati yang menjual berbagai hasil tangan para gelandangan di situ.

Berpandukan papan tanda, mereka menuju ke bangunan tengah yang ada tertulis ‘pejabat’ untuk mendapat maklumat lanjut tentang Teman Sejati. Wardah memang teruja bila mendengar cerita dari Kak Hasnah, gelandangan yang punya anak satu itu tentang Teman Sejati. Dia yang mengetahui tentang Teman Sejati dari teman‐teman gelandangan memang sudah lama berhasrat untuk ke situ bagi mendapatkan bantuan. Namun pertemuannya dengan Wardah lebih menguntungkan. Apabila Wardah menyebut mahu terus membantu gelandangan namun tidak mampu bersendirian, maka dia mencadangkan agar Wardah bekerjasama dengan Teman Sejati.

“Elok sungguh hasrat cik bertiga. Memang ramai sukarelawan yang datang nak membantu. Kebetulan hari ni, Cik Puteri ada di sini jadi bolehlah kalau nak berbincang panjang. Sebentar ya,” ramah penyambut tetamu yang sudah agak berusia itu menyambut kehadiran mereka.



Sempat dia meminta pihak dapur menghantar minuman dan kuih‐muih bagi meraikan tetamu. Ruang pejabat itu agak luas dengan hiasan dalaman bernada klasik kontemporari. Kebanyakan perhiasan diperbuat daripada bahan‐bahan terpakai namun kelihatan begitu klasik. Dua buah set sofa di susun di dua pojok bertentangan dan di tengah‐tengahnya adalah ruang informasi tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan masyarakat. Wardah, Benn dan Amzar Mikail sempat membaca risalah‐risalah berkaitan Teman Sejati yang disusun di rak kayu di tepi sofa di ruang tamu itu.

Teman Sejati merupakan sebuah pertubuhan amal yang diusahakan di bawah Barakah Associates sebagai sumbangan mereka kepada masyarakat. Dua buah bangunan utama di situ adalah hostel yang menjadi rumah tumpangan percuma bagi gelandangan, penagih dadah, pesakit AIDS, remaja bermasalah dan sesiapa yang mengalami masalah sosial dan kehilangan tempat bergantung. Di situlah sukarelawan di Teman Sejati berperanan mengenalpasti punca masalah dan mereka akan disalurkan kepada badan‐badan berwajib untuk ditangani secara profesional. Semua perbelanjaan ditanggung oleh Barakah Associates selain dari bantuan kewangan dari individu‐individu yang turut membantu.

Seorang gadis cantik, anggun bertudung dan berjubah seluar muncul tidak lama kemudian, menyapa mesra dan berkenalan dengan mereka. Dialah Cik Puteri Zulaikha Megat Hasyim yang disebut sebagai pembantu pengurus Teman Sejati yang dibangunkan dan dinaungi oleh Encik Muhamad Nuqman Abu Bakar seperti yang dinyatakan di dalam risalah di tangan mereka. Terpegun semuanya, gadis muda di hadapan mereka punya karisma yang memukau tetapi menguruskan gelandangan?

“Apa yang bawa Wardah dan kawan‐kawan ke sini?” Soal Puteri dalam senyuman. Terpaku mereka bertiga dengan akhlak dan budi bahasanya. Lagi‐lagilah Amzar Mikail. Terpegun sampai tak berkelip mata!

“Err… kami… kami ada ziarah beberapa orang gelandangan baru‐baru ni. Dari salah seorang yang kami bantu tu, kami dapat tahu tentang Teman Sejati. Rasanya kalau setakat kami saja, tak banyak yang dapat kami buat untuk bantu mereka. Itulah yang kami datang ke sini. Kalau ada aktiviti yang kami boleh ikut, kami nak sangat bekerjasama,” jelas Wardah dengan panjang lebar.

“Syukur, alhamdulillah. Kami memang sangat mengalu‐alukan orang ramai berganding bahu
menjalankan tanggungjawab kita kepada yang memerlukan. Ramai orang sangka mereka ni perlu duit saja. Sebenarnya tak. Mereka perlu lebih dari tu. Mereka perlukan kita. Kita yang Allah anugerahkan kelebihan dari sudut yang berbeza‐beza. Kelebihan itu sebenarnya adalah untuk menyempurnakan mereka yang kekurangan. Contohnya, kalau mereka lemah berfikir, kita yang bijak berfikir dapat bantu mereka berfikir untuk kehidupan yang lebih baik. Kalau kita kreatif, kita bantu mereka yang langsung tak ada daya kreativiti. Kalau kita kuat, kita bantu mereka yang lemah untuk bangun bina hidup baru. Kita yang hidup dalam limpahan kasih sayng patut mampu menyayangi mereka yang terbiar. Antara mereka, ada yang tak pernah rasa kasih sayang sesiapa. Yang paling penting, kalau kita beriman, kita bantu mereka belajar mengenal Allah dan kembali kepada Allah. Itulah kemuncak bantuan yang mereka perlukan sebenarnya. Bukan duit dan makanan semata‐mata. Yang itu, kita boleh sama‐sama cari, betul tak?” Puteri Zulaika tertawa manis.

Mereka bertiga ikut ketawa tetapi hati tersentap, hanya Tuhan saja yang tahu. Begitu besar tanggungjawab sebagai seorang manusia yang Allah kurniakan kelebihan sebenarnya. Namun sempitnya pemikiran membuatkan hal‐hal seperti makan dan minum sahaja yang difikirkan. Air jernih tergenang di tubir mata Wardah. Lalu dia tunduk melindungi wajah namun Amzar Mikail sempat menjamah wajah sedih itu.

Mereka berbual panjang tentang aktiviti di Teman Sejati terutama tentang peringkat‐peringkat yang dilalui oleh gelandangan yang datang ke situ. Memang masalah utama mereka adalah kewangan tetapi atas bantuan banyak badan‐badan sukarelawan, masalah itu dapat diatasi sedikit demi sedikit. Tetapi masalah asas dalam diri mereka adalah iman. Amzar Mikail, Wardah dan Benn dijemput datang ke Teman Sejati pada satu tarikh yang akan ditetapkan kerana satu program ‘Kenal Diri’ bakal diadakan di kalangan gelandangan baru yang berpindah ke situ.

Sukarelawan dijemput datang seramai yang boleh untuk mendekati gelandangan dari hati ke hati.

Wardah sempat berkongsi tentang perancangannya untuk membina Kompleks Anak Yatim ditapak yang sudah dikenalpasti. Dia meminta nasihat dan pandangan Puteri Zulaikha untuk melaksanakan projek itu dengan lebih baik dan terperinci. Rupanya Teman Sejati memang bekerjasama dengan beberapa buah rumah anak yatim terutama dari sudut membangunkan prasarana di tempat tinggal mereka. Gelandangan yang mahu membina hidup baru selalunya sangat mudah membantu apa sahaja aktiviti samada di dalam atau di luar Teman Sejati.

Puteri Zulaikha kelihatan sangat berminat dengan Wardah malah sempat bertanyakan tentang latar belakang gadis itu. Berubah riak wajahnya apabila mengetahui yang Wardah juga adalah seorang anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak yatim. Jemarinya segera meraup tangan Wardah di riba.

“Wardah punya jiwa yang sangat hebat. Akak kagum dengan Wardah. Dan sekarang, Wardah ada seorang kakak. Kak Ika. Panggil akak, Kak Ika ya. Wardah boleh hubungi akak bila‐bila masa saja. nak kongsi apa pun boleh. Akak tak ada adik. Seronok kalau dapat adik macam Wardah.” Wardah terkedu, memandang tepat ke wajah polos itu. Namun pandangannya semakin berkaca.

“Benn juga ya! Benn anak sulung yang kuat semangat. Akak suka dengan perempuan yang cekal dan berani macam kamu berdua,” Puteri Zulaikha beralih kepada Benn pula. Sementara itu air jernih sudah jatuh ke pipi Wardah. Dia tunduk memandang tangannya yang masih dalam genggaman Puteri Zulaikha. Hati gadis rupawan itu memang luar biasa kasih sayangnya!

Mereka bersalaman dan berpelukan sebelum meninggalkan Teman Sejati. Sempat juga dibawa Puteri Zulaika melawat persekitaran Teman Sejati dan bertegur sapa dengan ramai penghuni Teman Sejati yang sedang melakukan pelbagai aktiviti petang. Di Teman Sejati, siang mereka padat dengan pelbagai aktiviti dan malam mereka hangat dengan pengisian jiwa di surau Teman Sejati yang luas.

Sungguh! Hati Wardah bagaikan tertinggal di Teman Sejati. Tiada keakuan di sana. Semuanya dikongsi dan dilakukan bersama. Malah keegoan dilurut oleh perikemanusiaan. Begitu berbeza bila membantu atas dasar simpati berbanding dengan rasa tanggungjawab yang diamanahkan Tuhan.

Menung gadis itu yang menebar pandangannya menembusi tingkap kaca kereta itu menarik perhatian Amzar Mikail yang asyik mengintai imej di cermin pandang belakang. Hatinya terasa pedih setiap kali airmatanya tumpah. Namun mekar berbunga bila melihat senyum dan tawanya. Belum pernah seseorang memberi kesan sehebat itu dalam dirinya.

“Arda, jadi ke kita nak ke Bandung?” Soal Benn, memecah sunyi dalam kereta itu.

“Hmm… Encik Azam suruh pergi Sabtu dan Ahad ni. Sebab Isnin cuti. Macam mana? Kita pergi ya?” Ingatan Wardah memintas laju kepada pesanan Encik Azam semalam.

“Sempat ke kalau kita nak ke sana Sabtu ni?” Wardah bertanya lagi. Dia memang tak pernah ke luar negara apalagi hendak pergi bercuti. Jadi dia memang tidak arif dalam merancang perjalanan terutama dalam masa yang singkat.

“Itu kau jangan bimbang. Kita ada encik abah yang boleh aturkan semuanya. Kalau kau pasti nak pergi hujung minggu ni, abah boleh semak kalau masih ada tiket hendak ke sana.” Suara Benn bukan main ceria sampai tak perasan si abah sudah menjeling tajam. Memandai melantik dia menjadi agen pelancong pula.

“Aku rasa elok kita pergi sebab lepas ni aku mungkin sibuk nak uruskan hal rumah yang dibina tu. Aktiviti di Teman Sejati lagi. Hmm… kita pergi ya.” Wardah memberi kata putus.

“Okay. Kau relaks saja. Aku dengan abah akan uruskan tiket, kenderaan dan tempat tinggal di sana.” Mudah mereka sebulat suara. Amzar Mikail hanya menadah telinga. Perempuan! Bukannya reti nak bertanya dulu. Seronok sangat bila buat keputusan. Tak payah fikir betul ke tidak. Orang setuju ke tidak. Aci redah saja!

Sebaik saja sampai di rumah Wardah, Amzar Mikail dan Benn turun dari kereta untuk mengambil motosikal yang ditinggalkan di situ.

“Awak dapat seorang kakak hari ni,” tutur Amzar Mikail bila Wardah menghampirinya untuk
mengucapkan ‘terima kasih, abah!’.

“Alhamdulillah, saya pun tak sangka. Kak Ika begitu baik hati… sudi nak terima saya sebagai adik,” Wardah tunduk meramas jemari sambil berbicara.

“Tapi awak jangan lupa. Awak juga ada yang menjaga. Saya akan jaga dan lindung awak sedaya yang termampu. Itu ikrar saya dengan Allah. Saya akan sentiasa ada untuk awak,” lafaz Amzar Mikail menyentak diri Wardah sehingga dia terngadah memandang. Kelu lidahnya untuk berkata dek terkejut dengan pengakuan Amzar Mikail yang tidak langsung dijangka.

Apakah maksudnya…

“Tapi bukan sebagai abah…” ujar Amzar Mikail sambil merenung ke dalam anak mata Wardah
sedetik dua. Kemudian dia berpaling dari Wardah yang semakin kaget dan terpaku. Lelaki itu melangkah pergi mendapatkan Benn yang baru saja masuk ke rumah untuk mendapatkan topi keledar yang ditinggalkan tadi.

“Apasal kau?” Sergah Benn bila dia melihat Wardah tercegat berdiri memandang entah ke mana.

“Hah! Err… terima kasih. Terima kasih banyak tau sebab teman aku ke sana,” kelam‐kabut Wardah mencari suaranya yang hilang. Dia ikut melangkah mendekati Benn yang sedang membonceng motosikal yang sudah dihidupkan enjinnya. Matanya bersabung dengan pandangan dalam dari Amzar Mikail. Cepat‐cepat Wardah melarikan wajah. Namun dia teringatkan kata‐kata lelaki itu tadi. Sambil menarik nafas dalam‐dalam, Wardah mengangkat muka, memberanikan diri sekali lagi menatap wajah lelaki itu.

“Terima kasih.” Ujarnya hampir berbisik.

Amzar Mikail senyum. Senyum meleret kerana tiada lagi ‘abah’. Dia dan Benn berlalu pergi meninggalkan Wardah yang semakin keliru dan terharu. Namun dalam hatinya sudah ada taman. Abah! Hati itu menyeru dan tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan