Label

Selasa, 22 November 2016

CERPEN Muzik Cinta Kita

“Nadrah... Azriq,” panggil Dato Ihsan cukup perlahan. Dia tidak berdaya untuk berkomunikasi seperti biasa,dadanya yang sakit dipegang berkali‐kali, dia rasa macam ada satu beban berat yang menghempap dadanya tika itu. Lama ditatap wajah kedua‐dua cucunya sebelum dia meneruskan kata‐katanya. “Tok ada satu benda nak minta tolong dari kamu dan tok harap kamu akan setuju.Tok...tok nak kamu berdua kahwin.”

*****

Melihat wajah terkejut cucu lelakinya, Dato Ihsan memegang tangan cucunya. Dia bukan berniat mahu mendesak tetapi untuk kali ini dia berharap cadangannya diterima. Biarlah orang nak kata dia mementingkan diri sendiri atau mengongkong cucunya, yang pasti dia tahu aka nada hikmah disebalik keputusannya itu nanti. Mudah‐mudahan, doanya.

Sebaik sahaja telinga Azriq mendengar ayat terakhir lelaki tua itu, cepat aje dia menepis tangannya yang dipegang lelaki tua itu. Bukan bertindak biadap tapi dia terkejut dengan permintaan tak berasas tok wannya. Terjenggil biji mata Nadrah melihat tindakan Azriq yang dirasakan agak kurang ajar. Dia pun juga terkejut tapi taklah sampai begitu sekali. Dijelingnya lelaki itu dengan pandangan sinis.

Kalau tidak bersetuju pun bukan begitu caranya. Dia jatuh simpati pada tok wannya yang ketara nampaknya perubahan wajah lelaki tua itu. Mungkin tidak menyangka begitu tegar sekali Azriq membantah walaupun bukan pada lisan tapi lelaki tua itu mengerti.

“Tapi kenapa tok wan, kenapa tok wan buat Zriq macam ni, kenapa tok wan tak tanya Zriq dulu? Zriq tak nak tok wan.” Senafas dia menuturkan rasa tidak puas hatinya, bertambah geram dia bila gadis di depannya hanya membuat muka tidak berperasaan dan langsung tiada respons yang dipamerkan. Kalau diikutkan hatinya mahu aje dia melenyapkan gadis itu dari pandangan matanya, baru puas hatinya tapi yang dia hanya mampu adalah memandang gadis itu dengan pandangan yang cukup tajam.

“kenapa? Kamu dah ada calon ke? Tok wan ada sebab kenapa tok wan suruh kamu berdua kahwin. Nadrah, tok wan buat macam ni sebab tok wan sayangkan kamu, tok wan tak nak hilang kamu untuk kali kedua, cukuplah sekali tok wan hilang anak dan menantu tok wan disebabkan ego tok wan yang tinggi.Tapi sekarang ni tok wan tak nak lagi kehilangan kamu, tu sebab tok wan buat macam ni. Zriq, walaupun kamu bukan cucu kandung tok wan, tapi kamu tok wan dah anggap kamu macam cucu kandung tok wan, kalau tok wan tak buat macam ni tok wan takut kamu berdua akan tinggalkan rumah ni lepas ni.

Walaupun perbuatannya dianggap mementingkan diri sendiri tapi dia terpaksa, dia tak nak Azriq terus membenci kaum hawa selepas dirinya ditinggalkan dulu dan dia juga tidak mahu Nadrah hidup sendiri andai dia tiada suatu hari nanti. Kalaupun dia dah tak ada tapi masih ada Azriq yang mampu diharapkan untuk menjaga satu‐satunya cucu perempuan yang dia ada. Dia tahu permintaannya walaupun agak berat untuk ditunaikan tetapi akan diterima kedua‐dua cucunya walaupun akan mengambil masa.



“Sebelum tok wan tutup mata, tok wan harap sangat yang kamu berdua disatukan.”

Hilang kata‐kata yang ingin diluahkan oleh Azriq bila melihat kesungguhan pada wajah tok wannya. Dia dah banyak terhutang budi dengan lelaki tua itu. Walaupun dia hanya cucu tiri tapi lelaki itu cukup menyayanginya dan mana mungkin dia melukakan hati itu. Kali ini dia tekad, biarlah hatinya yang terluka dan terseksa asalkan tok wannya gembira.Lambat‐ lambat dia mengangguk tanda setuju dan diikuti pula Nadrah, itupun dia yang menjeling tanda menyuruh gadis itu mengagguk, kalau tak entah apa respon gadis itu.

Puan Hani yang melihat hanya mampu menitiskan air mata dan dia berharap sangat yang Nadrah dapat mengubah anaknya. Dia harap sangat yang sinar keceriaan akan muncul semula dalam hidup anak terunanya.Dulu dialah yang merana bila melihat Azriq terseksa jiwa dan kini dia mahu melihat kebahagiaan anaknya. Dia berharap Nadrahlah yang akan mengubahnya.Itu harapannya!

*****

Nadrah yang sedari tadi berkhayal terkejut bila mendengar tombol pintu dipulas dari luar. Habis berterbangan peristiwa sebulan yang lalu bila sahaja terpandangkan wajah keruh Azriq. Macam manalah dia nak teruskan hidupnya dengan lelaki yang paling ego dan tak berperasaan yang pernah hadir dalam kamus hidupnya. Kekok pula dia mahu berdepan dengan lelaki yang sudah bergelar suami kepadanya. Melihat Azriq bergerak ke almari cepat sahaja dia mendekati lelaki itu. Walau apapun lelaki itu dah sah menjadi suaminya dan bermula saat itu juga dia dah ada tanggungjawab, walau apapun dia perlu belajar untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya.

“Abang nak apa? Tuala?”

Mendengar aje gadis di depannya menggelar dirinya abang cepat aje anak matanya menikam tajam ke mata bundar Nadrah hinggakan tertunduk gadis itu.Sempat pula gadis itu mengomel saat dia tertunduk, menyesal pula dia bertanya tadi, kalau dia tak tanya pasti dia tak menjadi mangsa panahan mata tajam suaminya itu.Mulutnya yang terlebih ringan tu ditampar berkali-kali, kalaulah dia tak bertanya pasti tak akan jadi seperti sekarang dan mesti lelaki itu akan kata yang dia terhegeh‐hegeh nakkan lelaki itu.Huh!

“Aku nak apa pun, aku boleh ambik sendiri.Aku bukannya budak nak suruh ambik itu ini.Selagi
aku sihat macam ni aku boleh ambik sendiri.Satu lagi! Aku tak sukalah kau panggil aku abang,
jijik kau tahu tak. Kalau kat luar kau boleh panggil aku abang tapi bila dalam bilik dan hanya
ada kita berdua please jangan, kau ingat aku nak sangat ke kau panggil aku abang.Geli kau
tahu tak, tak selera aku! Kenapalah kau hadir dalam hidup aku hah? Kalau kau tak datang pasti
semua ni tak jadi!”

Tanpa melihat ke wajah Nadrah lelaki itu terus bergegas masuk ke bilik air, lagi lama dia melihat wajah Nadrah lagi sakit hatinya. Dia tak kisah kalau isterinya itu terasa dengan sikapnya tapi itulah cara dia menunjukkan yang dia tak suka gadis itu. Lagipun hatinya akan bertambah sakit bila melihat wajah tak berperasaan gadis itu. Wajah bersih gadis itu membuatnya sakit hati.

Tersentak Nadrah dengan kata‐kata yang dituturkan lelaki itu tadi, kini dia tahulah betapa bencinya lelaki itu kepadanya, dia tahu siapa dia tapi perlukah lelaki itu membencinya sebegitu rupa.Matanya tiba‐tiba terasa panas tetapi cepat aje dia tertunduk sambil mengerdipkan kedua‐dua matanya kerana itu sajalah cara dia menahan tangisnya. Kalau boleh dia tak nak satu pun air matanya menitis di depan lelaki itu. Hatinya tertanya adakah ini malam bahagia bagi dirinya dan kenapa dia tak dapat menikmati alam perkahwinan sepertimana orang lain.

Tak layak ke dia untuk merasa bahagia walaupun untuk seketika Cuma. Tanpa sedar jatuh jua
setitik dua air matanya tapi cepat aje dia menyekanya. Hatinya sebak dan tersangat sebak malam itu. Dia tak nak sampai orang lain Nampak wajah galaunya. Rahsia hatinya biar dia dan ALLAH aje yang tahu. Cukuplah.

Azriq yang sedari tadi berada di bilik air hanya memandang kosong pili air, jiwanya benar-benar
kosong tika itu. Entah kenapa amarahnya terhadap Nadrah bertambah dan itupun kerana wanita lain yang menyakitkan hatinya Nadrah pula yang menjadi mangsa keadaan. Lama dia termenung di situ.

Sebaik sahaja keluar dari bilik air, tidak pula lelaki itu melihat bayang Nadrah, entah ke mana
hilangnya gadis itu langsung dia malas fikir. Yang dia tahu sekarang adalah masa untuk dia tidur.Dah beberapa hari dia tidak dapat tidur lena dan sekarang ni dia mahu tidur sepuasnya.Tapi sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal kedengaran tombol pintu dipulas dari luar. Dia yang baru melelapkan mata membuka kembali matanya dan sebaik sahaja melihat wajah isterinya laju aje dia mendengus kasar.

*****

“Mana kau pergi tadi?”

“Bawah, cakap dengan tok, tok wan dan mama,” jawab Nadrah jujur dan senada.Disebabkan begitu lama suaminya berada di dalam bilik air dan semakin menjadi‐jadi rasa sebaknya tadi dia terus turun. Daripada berdepan dengan Azriq lebih baik dia melayan ketiga‐tiga orang tua itu bercakap, boleh jugak dia gembirakan hatinya. Dari dulu asyik dia aje yang menjaga hati orang, tapi hati dia tak ada orang nak jaga. Tapi dia bukan jenis yang kisah.

“Ooo..dah pandai dah nak complaint kat orang, kenapa? Kau nak cakap kat mama, tok ngan tok wan yang aku ni tak anggap kau macam isteri, macam tu?” sinis soalan Azriq kali ini, dia tahu yang Nadrah tidak sebecok itu tapi saja dia mahu memprovok gadis itu.

“Mana ada, kenapa awak cakap macam tu. Sejahat‐jahat saya pun saya tak kan cerita apa yang terjadi antara kita, saya pun ada maruah.” Sebaik sahaja menghabiskan ayat terakhirnya terus gadis itu ke bilik air. Dia tak nak mereka berdua terus berbalas kata sebab dia tahu kalau dia tersalah cakap dia tak dapat merasa indahnya syurga kerana sekarang syurga dia di bawah tapak kaki suaminya.

“Ohhh...melawan lagi rupanya, ingat dah tinggal perangai tu, ingat lepas kahwin kau tak akan cakap macam tu dengan aku, ingat nak jadi isteri baik, rupanya sama aje.” Katanya tergelak besar. “Mana kau nak pergi, kau tak payah nak tidur atas katil ni.Tempat kau kat bawah tu.Nah ambik bantal ni...tu je yang ada. Nak atau tak ambil je.” bersahaja Azriq berkata. Wajah Nadrah yang ceria tadi berubah mendung, cepat‐cepat gadis itu membelakangi Azriq. Takut terperasan oleh lelaki itu.

“Terima kasih... saya dah terbiasa macam ni,” dengan selambanya gadis itu membentangkan 
comforter yang diambil dari Azriq tadi dan entah kenapa ayat yang dituturkan Nadrah meresap hingga ke dasar jantungnya.Entah kenapa dia pula yang terasa. Tubuh Nadrah yang bertentangan denganya dipandang lama. ‘Adakah gadis ini lebih terluka kalau nak dibandingkan dengan dirinya dan adakah gadis ini pernah melalui liku‐liku hidup yang pedih kalau nak dibandingkan dengannya hinggakan kata‐katanya yang kejam itu bagaikan tidak terdengar di telinga gadis itu.Tapi Azriq tetap dengan tekadnya, dia tak mahu berbaik dengan gadis itu dan akan butakan mata dan hatinya untuk gadis itu sebab dia takut! Takut hatinya akan terpaut dengan Nadrah. Luka lama masih terpalit dalam hatinya dan dia tak mahu dirinya terluka untuk kali kedua. Bukan semudah itu dia akan jatuh cinta lagi walaupun dia akui rasa itu kerap bertandang bila dekat dengan Nadrah. Itu jugalah antara sebab‐sebab dia menyewa di tempat lain. Entah bagaimana nanti perjalanan muzik cintanya kelak bersama Nadrah?

Bunyi guruh yang berdentum kuat membuatkan tidur Azriq terganggu.”patut sejuk pelik, tingkap tak tutup.” Dalam hatinya sempat lagi dia mengutuk Nadrah kerana dia tahu gadis itulah yang terlupa menutup tingkap. Tiba‐tiba matanya terpaku pada sesusuk tubuh Nadrah yang mengerekot kesejukan di atas permaidani tanpa beralaskan tilam ataupun diselimuti selimut. Dengan perlahan dia mendekati isterinya, lama dipandang wajah polos itu. Betapa bersalah dia rasakan saat itu tapi cepat aje dia menidakkan satu perasaan halus yang ingin hadir dalam jiwanya. Tipulah kalau dia tak sukakan isterinya walaupun sedikit, tapi setiap kali perasaan itu ingin bertandang cepat aje dia menyekatnya daripada menceroboh masuk, dia tak nak kedua‐dua mereka berduka suatu hari nanti. Biarlah Nadrah nak benci macam mana pun kat dia kerana paling penting, kalau ada rasa benci taklah sukar untuk dia lepaskan gadis itu nanti.

Selepas menyelimuti gadis itu cepat aje dia bangun tapi saat terdengar esakan kecil terus lelaki
itu mencangkung kembali. Alangkah terkejut dia bila melihat ada air mata yang mengalir keluar dari mata bundar itu. Tiba‐tiba Azriq terduduk sambil memegang dadanya, kenapa harus dia yang merasa sakit saat air mata Nadrah gugur.Adakah dalam diam, selama ini dia dah jatuh hati dan sayang pada gadis itu.Dalam teragak‐agak dia menyapu juga air mata yang jatuh ke pipi Nadrah. Dalam sekelip mata aje tubuh gadis itu dicempung lalu diletakkan di atas katil. Adakah dia punca gadis itu menagis dalam tidur? Soalan itu yang kerap bermain di fikirannya.

Tersenyum geli hati Azriq bila melihat tudung yang masih membaluti kepala isteri yang baru
dinikahinya.kalau tadi dia cuba menahan rasa nak ketawa tapi sekarang dia melepaskan juga tawanya, tergeleng‐geleng kepalanya.Teragak‐agak dia mahu membuang tudung yang ada di kepala Nadrah tapi kalau tak dibuang kasihan pulak kalau gadis itu kepanasan.Dalam dia berfikir tangannya terlebih dahulu bertindak dan saat tudung ditanggalkan matanya lama terpaku.’ Comelnya,’ getus hatinya tiba‐tiba tapi cepat aje dia beristigfar.

Selepas menyelimuti tubuh Nadrah dia pula mengambil tempat di sisi Nadrah, melihat gadis itu yang masih tersedu menahan tangis, cepat aje dia menarik tubuh kecil itu kedalam pelukannya, rambut ikal paras bahu gadis itu dielus lembut. Tenang jiwa dan fikirannya tika itu.

“Aku tak nak macam ni, aku tak nak kau diam je bila aku buat macam‐macam kat kau, aku nak
Nadrah macam dulu, gadis yang selalu melawan cakap aku walau apa saja aku buat kat kau.Tapi kenapa kau dah tak macam dulu.Sakit hati aku ni kau tau tak! Dah tak melawan cakap aku, bila kau diam aje hati aku yang sakit, kau tahu tak..aku yang rasa sakit.” Benar, memang dia mahukan gadis itu membencinya tapi entah kenapa dia pula yang merasa sakit.Ya ALLAH adakah aku dah jatuh cinta dengan dia?

*****

“Ahhhh!!!!”

Terpinga‐pinga Azriq bila mendengar suara jeritan isterinya, dengan cepat dia menekup mulut
gadis itu tapi cepat aje digigitnya.

“Sakitlah budak!” Nah, terkeluar juga ayat itu daripada mulutnya selepas lama tidak
menggunakanya.Selalunya ayat itulah yang akan keluar dari mulutnya kalau mereka bertikam
lidah atau bergaduh, tapi sejak dia melanjutkan pelajaran ke luar Negara dan Nadrah ke asrama jarang dah dia gunakan dan sekarang sekali lagi dia mempraktikkannya.

“Apa yang awak dah buat kat orang ni? Cakap?” Tanya Nadrah cemas dengan wajah takutnya.

Mana tak takutnya bila bangun je dia dah ada atas katil, tudung yang dipakainya pula entah ke mana dan yang paling ngeri kenapa pula dia boleh tidur bersebelahan dengan Azriq. Dia takut lelaki mengapa‐apakan dirinya.

Selimut yang ada di tepi ditarik lalu digunakan untuk menutup kepalanya. Alang‐alang tudung
dah tak ada jadi dia main tarik ajelah. Sesuka hati aje lelaki itu membuang tudung yang dipakainya. Nampak sudah auratnya. Eh! Aurat ke kalau dengan suami sendiri. Nadrah menggaru‐garu kepalanya yang tidak gatal.

“Sekarang ni siapa yang peluk siapa?Aku tak buat apa‐apa pun kat kau. Kalau aku nak buat pun tak apa kan, kau isteri aku.” Bagaikan tahu sahaja apa yang difikirkan oleh Nadrah lalu cepat aje dia menggiat. Gembira pula dia bila melihat wajah Nadrah yang memerah bagaikan udang yang kena bakar dalam api yang marak.

“Ahhh!! Apa ni...apa ni...,” alangkah malunya dia tika itu. Cepat aje dia melompat turun dari katil
lalu mengambil tuala yang tersangkut di sebelah almari pakaian dan tanpa sedar tuala yang diambil adalah milik Azriq.

“Nak bawa ke mana tuala aku tu?”

Bila mendengar aje dengusan kasar Nadrah yang melempar semula tualanya sambil berlalu ke
bilik air, lelaki itu tersenyum sendiri. Nasib baiklah gadis itu kembali kepada perangai asalnya
dan saat itu juga dia tekad untuk mengenali siapa itu Nadrah. Biar dia yang menjadi composer
muzik cinta mereka. Ketulusan gadis itu serba sedikit membuatkan hatinya sedikit terbuka untuk menerima gadis itu dalam hidupnya. Pelik ke kalau dulu benci dan dalam masa tak sampai dua hari dia dah jatuh hati ataupun dia dah lama jatuh hati pada gadis itu tapi hati, mulut dan mindanya aje yang menidakkan?

*****

Lama Azriq memandang skrin galaxy miliknya, masuk hari ini dah sebulan lebih dia bergelar suami orang dan sejak hari tu macam‐macam ragam antara dia dan Nadrah berlaku, memang dia akui Nadrah gadis yang baik tapi kadang‐kadang terlebih naif, sinis, kelakar, kelam kabut dan macam‐macam lagilah. Tapi entah kenapa setiap kali dia ingin membenamkan rasa cintanya seratus peratus untuk gadis itu dia gagal. Kenangan silamnya dulu bagaikan menghantui jiwanya dan adakah sebab itu dia takut untuk jatuh cinta sedangkan dia berhak.Tanpa sedar lelaki itu sudah terlena di katil dengan tangan di atas dahi bagaika memikirkan perihal hidupnya dan Nadrah.

“Awakkkkkkkkkk.......bangunlah....punyalah kuat suara orang panggil dia, boleh pulak dia tidur,
awak eh....tok wan dah panggil tu, ni nak makan ke tak nak makan ni.” Bila tiada respon daripada Azriq dia terus menggoncangkan badan lelaki itu tapi masih juga seperti tadi.Dia tengok ada banyak keringat di wajah lelaki itu walhal aircond di bilik itu 24 jam terbuka. Bila saja tangannya tersentuh dengan tangan Azriq, gadis itu terkejut.

“Panasnya .”Berkali‐kali dia meletakkan belakang telapak tangannya ke dahi dan tengkuk Azriq.
Sah! Memang sah yang lelaki itu demam. Belum pun sempat dia bangun untuk mengambil
kain basah untuk diletakkan ke dahi lelaki itu pergelangan tangannya dipegang Azriq.

“Kenapa? Saya nak ambik ubat dengan tuala, badan awak panas ni..” Tapi semakin erat pegangan lelaki itu pada tangannya.Dia buntu seketika dan antara nak dan tak nak dia duduk juga di sisi Azriq dan paling mengejutkannya tangannya dicapai lelaki itu lalu dibenamkan di dahi. “Kenapa ni?” Pelik Nadrah dengan perilaku Azriq saat itu hinggakan dia pula yang terkejut.Buang tabiat ke apa? Tetapi kenapa tidak pula dia menolak tangan lelaki itu kalau benar dia tidak suka?

“Biarkan macam ni, jangan larikan tangan kau.” Antara sedar dan tidak lelaki itu bertutur dan
akhirnya dia terlelap dengan tangan Nadrah masih melekap di dahinya. Bila dia sedar‐sedar aje
Nadrah masih ada di sisinya.Kepala gadis itu terlentok di bahunya. Dia menggapai jam di sisi, dah puluk 11 lebih, lamanya dia tidur.Rambut ikal Nadrah diusap berkali‐kali dan bila Nadrah bergerak sedikit terus dia olok‐olok tidur. Dia dapat merasa tangan Nadrah menyentuh dahinya dan beralih pula ke tengkuk.Lambat‐lambat Azriq membuka mata, gayanya seolah-olah seperti anak kecil yang baru terkejut daripada tidur.

“Maaf, orang tertidur tadi...tunggu kejap erk..orang pergi panaskan balik bubur..tadi orang masak bubur tapi awak tidur.”Matanya yang terasa berpinar digosok berkali‐kali, baru aje punggungnya dilarikan dari birai katil laju aje tangan Azriq memegang lengannya.

“Aku tak nak bubur, aku nak nasi putih dengan telur dadar masak kicap.”

Sedikit terangkat kening Nadrah bila mendengar permintaan agak ‘pelik’ Azriq. Tapi dia hanya
mengangguk aje.Malas dah dia nak bertekak dengan Azriq, tak ada untungnya yang dia dapat, buat sakit anak tekak aje.Tiba‐tiba perutnya yang sedari pagi tadi tidak terisi berkeroncong entah lagu apa hinggakan Azriq yang ada di situ turut mendengar.Kening lelaki itu pula yang terangkat.

“Kau tak makan lagi ke. “

“Tak. Malas nak makan,” selamba Nadrah membalas.Yang lelaki itu sibuk pehal.ikut dia la nak
makan ke tak ke, perut dia.Entah kenapa nak marah aje dia rasa, tapi tak sampai hati nak bertekak seperti selalu, malas dia rasa dan lagipun tak ada untungnya dia kalau berbalah mulut dengan Azriq yang sedang demam itu.

“Kau pergi makan sekarang!” kedengaran agak serius suara lelaki itu. Sejak bila pula lelaki itu
kisah akan perihalnya.Sebelum berlalu sempat gadis itu menjeling tajam ke arah Azriq.

“Tak melawan pun tapi boleh pulak dia jeling‐jeling aku,” kata Azriq senyum meleret.

Nadrah...Nadrah.Pelik!

Azriq yang baru mahu melelapkan matanya membuka mata bila ada tangan mencuit bahunya, bila memandang ke kiri dilihatnya wajah Nadrah tersengih dengan selamba badaknya.

“Makan.” kata gadis itu tersengih mengalahkan kera sumbang.

“Kau dah makan?”

“Belum.”

“Degil tahap gaban la engkau nih.Tak nak dengar kata. Pergi ambik makanan, makan kat sini dengan aku.” Hampir terjatuh pinggan yang dipegang bila mendengar permintaan Azriq. ‘Biar betul dia ni...tetiba jek baik, pelik aku.’

“Malaslah nak turun balik, makan ajelah, orang makan jap lagi.” Huluran pinggan yang berisi nasi tidak bersambut. Keningnya diangkat tanda dia bertanya.

“Aku nak kau suap, aku tak berdaya ni.” Kata Azriq lemah.

“Mengada betulla awak ni. Orang tolong ambik dah kira bagusla ni. Ni siap nak suruh suap bagai.”

Azriq hanya buat wajah tak berperasaanya aje, yang penting dia tahu gadis di depannya akan menurut juga walaupun bebelan gadis itu didengarinya dulu. “Macam mana kau nak suap aku kalau tak ada sudu.”

“Alaa..tangan ada, orang gunalah tangan orang, bukannya kotor, dah beribu kali basuh, dah tak ada infeksi mikroorganisma pun,” selamba Nadrah menjawab.

Azriq pula yang terkedu dengan kata‐kata Nadrah, setelah beberapa bulan tinggal sebumbung dengan gadis itu dia tahu serba sedikit perihal gadis yang dibencinya suatu masa dahulu, tapi sekarang entah kenapa dia rasa ada satu perasaan asing yang singgah dalam lubuk hatinya saat bersama dengan gadis itu. Semakin dia menidakkan semakin mendalam rasa itu.

“kau tak kisah ke kalau suap aku pakai tangan kau?” Berkali‐kali Nadrah menggeleng. “Betul kau tak kisah? Kalau aku tergigit tangan kau macam mana?”

“Orang gigit tangan awak balik,” jawab Nadrah ketawa lepas. “Kali ni je pon, tu pun sebab awak demam, kalau tak jangan haraplah orang nak suap, pakai tangan pulak, jarang orang nak buat macam ni.” Dengan selambanya dia berkata sambil tangannya menggaul nasi di pinggan.

“Kalau tak ikhlas baik tak payah.” Entah kenapa boleh pulak lelaki itu bercakap baik dengan Nadrah, kalau selama ni menengking aje dia pada gadis itu, padahal tak ada salah yang gadis itu buat pada dia.Dia pun pelik dengan sikap Nadrah yang kadang‐kadang banyak melawan daripada mendengar, pada masa lain pula diam sambil menunduk, kadang‐kadang apa yang dia kata gadis itu buat tak tahu aje, pelik sebenarnya dia dengan perangai Nadrah.Kadang-kadang dia dan gadis itu boleh bercakap baik‐baik seperti sekarang ni.

“Nah...satu suapan dimasukkan ke mulut Azriq.” Lelaki itu cuba menyembunyikan senyumannya, entah kenapa hatinya berbunga bila disuap oleh Nadrah.Berkerut hebat dahi Azriq bila mendengar perut Nadrah yang berbunyi.Bila pandangan mereka bertemu, Nadrah tersenyum malu kepadanya dan kali ini dengan jarak dekat dia dapat melihat wajah gadis itu yang merona merah, mahu aje dia mencubit pipi gadis itu.

“Pergi makan sekarang.”

“Tak nak.” Memang dia lapar tapi biarlah dia menyuap lelaki itu dahulu.Tiba‐tiba sesuatu terlintas di fikirannya. Kenapa pulak dia nak ambil kisah sangat pasal lelaki itu.Tak kan dia dah sukakan lelaki merangkap sepupunya itu.

“Bak sini pinggan tu,” antara nak dan tak nak terpaksa juga Nadrah menghulurkan kepada Azriq, takut dia melihat pandangan tajam lelaki itu padanya.Entah apa yang nak dibuatnya, kalau dia tahu awal‐awal yang lelaki itu boleh makan sendiri tak adanya dia nak suapkan. Tak terlayan dia.

*****

“Bukak mulut besar‐besar, aaa...” kata lelaki itu sambil membuat gaya buka mulut, bukan main
terkejut lagi Nadrah tika itu. Antara nak percaya dan tidak aje tapi itulah realitinya.Malu pula
dia rasa tapi bila Azriq dah mendesak dia buka juga mulutnya. Nak tak nak selamat juga nasi tu
masuk dalam mulut dia, nasi telur kicap pun...telur kicaplah.Bila lagi dia nak merasa lelaki itu
menyuapnya.Selesai makan, terus dia menghulurkan ubat kepada lelaki itu tapi ditolak lelaki itu.

"Kenapa?”

“Letak aje ubat tu kat situ, kejap lagi pandailah aku nak makan, kau pergilah tidur.”

“Huh! Tak nak. Orang nak awak makan sekarang, depan orang.Selagi awak tak makan orang tak nak turun dari katil ni, biar awak aje yang tidur bawah.” Berkeras Nadrah menyuruh Azriq makan ubat padahal dia sendiri liat nak makan ubat.

Dengan selamba badaknya, Nadrah menarik selimut menyelimuti badannya, Azriq yang ada di
sisi tercengang dengan tindakan berani mati gadis itu. Nak tak nak dipaksa juga dirinya menelan ubat yang amat sukar untuk masuk ke tekaknya.Bila dia memandang ke sisi gadis itu sudah tertidur ,tak sanggup pula dia nak mengejutkan gadis itu jadi dia biarkan aje gadis itu tidur di katilnya yang suatu masa dahulu dilarang keras gadis itu tidur.

“Tidur macam hantu bungkus.” Tergelak kecil Azriq dengan Nadrah yang tidur menutupi hampir keseluruhan badannya.Daripada dia tengok mayat gadis itu esok pagi lebih baik dia buang selimut yang menutupi wajah Nadrah.Lama diamati wajah itu dan terlintas di hatinya kenapa dia tak boleh nak terima kehadiran gadis itu dalam hidupnya padahal gadis itu lengkap, sempurna semuanya.Tak ada cacat celanya.Ada semua yang lelaki nak, tapi itulah...kata orang hati tak boleh dibeli, cinta sukar datang lebih‐lebih hati dah pernah dikecewakan.Dia tersenyum melihat Nadrah yang tidur pulas di tepinya.

‘Benarkan aku cintai kau,’ kata hati Azriq lewat malam itu.

*****

Nadrah terkejut bila melihat tubuhnya ada di sebelah Azriq, terbuka mulutnya tapi dia cuba berlagak tenang.Dahi Azriq disentuh lagi, dia berharap yang demam lelaki itu sudah surut.Bila terasa ada tangan di dahinya Azriq terus tersedar dari tidurnya.Terkejut Nadrah bila dia tidak sempat nak larikan tangannya dari dahi lelaki itu. Bila saja gadis itu mahu melarikan tangan dari dahi, cepat aje dia mencapai pergelangan tangan Nadrah. Lama mereka berkeadaan begitu, tajam matanya memandang Nadrah hingga menyebabkan gadis itu tidak keruan.Sengaja dia berbuat demikian kerana dia tahu gadis itu tak dapat nak memandang lama matanya.kesian pulak dia dengan Nadrah.

“Mana kau nak pergi tu?” Tanya Azriq laju bila gadis itu ingin beredar dari situ. “Duduk sini
balik, aku ada hal nak cakap, kau perlu dengar dan angguk je,”

Antara nak dan tak nak aje Nadrah duduk kembali di sisi lelaki itu. Entah apalah yang nak dikatakan lelaki itu padanya. Dahlah tadi dia dimalukan.Dengan sabar dia menunggu butir bicara lelaki itu.Bila lelaki itu hanya memandangnya tidak berkelip dan langsung tak membuka mulut dia jadi geram.

“Cakap ajelah, tadi nak cakap sangat.”Terkejut dia bila lelaki itu ketawa lepas, lawak ke apa
yang dia cakap?

“Aku dah buat peraturan baru, dan yang pasti kau kena ikut, sama ada kau suka atau tak.Yang
pertama kita kena tidur sekatil.” Bila melihat Nadrah ingin membantah cepat aje Azriq membalas. “Sebabnya aku tak nak ada yang perasan apa yang dah jadi kat kita sejak kahwin. Kedua, setiap kali bangun tidur, pergi dan balik dari kerja kau kena cium pipi aku.Kalau kau buat muka atau tak setuju kena bagi aku double kiss.Pilih mana yang kau nak.”sambung Azriq bila Nadrah membuat mula loya. “Ketiga, kau kena pakaikan aku necktai, kalau kau tak pandai tak apa nanti aku ajar.Keempat, setiap hari ahad kau kena buat nasi ayam untuk aku sebab nasi ayam kau sedap.Yang terakhir dan yang paling penting, antara hidup dan mati.Kalau ada orang buli kau , bagitau aku, itu wajib!!” Selepas memberitahu semua peraturan barunya Azriq terus ke bilik air. Tidak sampai seminit pintu bilik air dibuka kembali oleh Azriq dengan berus gigi di tangan.

“Apa lagi?” Malas sahaja kedengaran suara Nadrah. Dia tahu, pasti ada lagi yang mahu dikatakan lelaki itu padanya. Entah apa lagi yang hendak dimintanya.

“Lupa nak cakap tadi. Mulai hari ni panggil abang dengan panggilan abang. Tak kisah kat mana‐mana pun. 24 jam. Abang akan panggil Nadrah sayang. Okey? Berkuatkuasa daripada saat jugak.” Selepas itu kedengaran pintu bilik air ditutup kembali.

Nadrah yang pada asalnya ingin membantah semua peraturan itu terkaku sementara bila mendengar peraturan kelima dan keenam lelaki itu tapi semua itu hanya sementara bila telefonnya berdering.Bila bercakap dengan orang di talian terus telefonnya di pegangan terlepas daripada tangan. Berita yang baru diterimanya sebentar tadi amat sukar untuk dipercayai dan membuatkan jantung seperti berhenti berdenyut kala itu. Rasa terkejutnya dengan kata‐kata Azriq tadi belum habis tapi ada lagi satu berita yang mengejutkan yang dia dapat.

*****

Walaupun sudah seminggu arwah nenek Nadrah pergi menghadap ILAHI gadis itu tetap diam
seribu bahasa, tiap‐tiap petang kubur arwah neneknya pasti dilawati.Kalau Azriq tidak memanggilnya pulang tak akan pulang gadis itu.Hari tu hampir putus nyawa lelaki itu mencari Nadrah,bila magrib baru dia nampak bayang gadis itu.Dia masih ingat ayat yang pernah dia tuturkan pada gadis itu. “Mana Nadrah pergi hah? Abang ni dah macam orang gila cari Nadrah tau tak!” tengking Azriq bengis.Tapi gadis itu tidak menjawab seperti biasa, tapi terus dia memeluk Azriq dengan linangan air mata.Lelaki itu pula yang terkejut dengan perilaku di luar sedar Nadrah.

Bermula hari itu jugalah dia cuba untuk berdiplomasi dengan Nadrah, gadis itu jadi sedemikian
rupa disebabkan pemergian nenek yang dia amat cintai. Selepas magrib tadi dia langsung tak nampak kelibat Nadrah.Kini hanya dia dan Nadrah aje yang tinggal di rumah neneknya, yang lain selepas kenduri terus balik ke rumah sebab jarak rumah mereka yang dekat. Kalau yang ada pun mak su Han, anak tok yang bongsu.

Perlahan‐lahan tombol pintu bilik dipulas, rasa kantuknya sudah lama datang dan dia mahu
merebahkan badannya walaupun seketika.Dia ingin merehatkan badannya untuk seketika dan
selepas menutup lampu dia berbaring di sisi Nadrah.Baru aje matanya mahu lelap dia berpaling ke sisi bila mendengar suara orang menangis.

Dia tahu yang gadis itu menangis, tanpa bersuara tubuh gadis itu ditarik supaya berdepan dengannya, air mata yang jatuh di pipi gadis itu diseka dengan hujung jarinya.Hatinya pedih bila mendengar esak tangis gadis itu dan untuk kali ini dia menarik tubuh gadis itu rapat ke dadanya, biarlah gadis itu mahu memeluknya sampai ke akhir hayat pun. Dia sanggup asal tak ada lagi air mata gadis itu yang jatuh.Dahi gadis itu dikucup berkali‐kali dan tika itu juga tangan gadis itu memeluk tubuh bidangnya dengan kuat, mungkin meminjam kekuatan lelaki itu untuk menghadapi semuanya. “Benarkan aku mencintai kau,”bisik Azriq ke telinga Nadrah.

Dia tahu yang gadis itu dengar.

*****

Kini genap sudah sebulan pemergian arwah neneknya tapi Nadrah dah banyak berubah, tak ada lagi Nadrah yang selalu membantah cakapnya, Nadrah yang selalu buat muka tak puas hati bila tak setuju atau marah dengan dirinya.Dan bermula hari itu dia tekad untuk mengembalikan gadis itu pada keadaan asalnya.


“Ni jadual untuk pagi ni, nak ke tak nak ke Nadrah kena ikut.Lepas sarapan kejap lagi sayang kena ikut abang pergi jogging, lepas tu pergi beli barang dapur, balik sayang kena tolong abang basuh kereta, lepas tu tolong buat nasi ayam untuk abang, dah lama abang teringin nak makan tapi tak ada yang nak buatkan.Yang selebihnya nanti abang cakap kemudian.Faham.”

Tanya Azriq bila tiada respons daripada Nadrah. Bila melihat gadis itu seperti berada dalam
dunianya sendiri Azriq mencuit hidung isterinya.

“Dengar ke tak ni?”

“Dengar!” Geram pula dia dengan sikap Azriq yang semakin lama semakim naik lemak.Geli
telingannya mendengar kata‐kata Azriq. Azriq yang ralit menyuap mee goreng ke mulut tersenyum lega bila melihat wajah tidak puas hati Nadrah.Nampaknya apa yang dah dia buat kepada gadis itu selama ini semakin naik peningkatan, kalau dulu gadis itu hanya menurut tanpa kata, macam robot aje tapi hari ni dah pandai balik dia memberontak, walaupun tak ketara tapi perkembangan itu ada. Kini dia mampu tersenyum, seleranya pun makin bertambah hari ini.

Selepas balik dari membeli barang dapur tadi Nadrah hanya memerhati dari jauh Azriq yang
membasuh kereta, jarang dia melihat lelaki itu membasuh keretanya sendiri, selalunya pembantu rumah itu yang akan basuhkan, entah kenapa dan entah angin apa yang melanda lelaki itu. Memandangkan dah lama dia tak main‐main air waktu basuh kereta hatinya tergerak mahu menolong lelaki itu walhal pada mulanya dia menolak.Walaupun neneknya dah tak ada tapi dia ingat semua pesanan neneknya, dan dia juga tahu yang pergi tak akan kembali, dan yang pasti walaupun neneknya dah tak ada dia akan selalu letakkan neneknya di dasar hatinya dan akan dibawanya sehingga hujung nyawa.Dia tahu yang neneknya pasti tak nak dia bersedih dan untuk itu dia harus berterima kasih kepada Azriq kerana lelaki itulah yang banyak membantunya selama ini walaupun kadang‐kadang cara lelaki itu sangat keterlaluan.

“Ingatkan tak nak tolong tadi,”sindir Azriq.

“Orang dah nak tolong ni berterima kasihlah, bukan kutuk macam ni.Bak sini getah paip tu. “Nak tak nak Azriq bagi juga kepada Nadrah, baru sikit disabun keretanya gadis itu dah simbah dengan air.Bukan main marah lagi dia, walaupun berkali‐kali dia larang gadis itu tetap buat juga.Makin menjadi‐jadi loyar buruk gadis itu.

“Ishh dia ni....tak nak dengar kata kenapa, lenguhla macam ni, tak habis sabun lagi dah sembur
dengan air.”

 “Okey.....okey... bising!” tergelak sakan gadis itu bila melihat wajah Azriq yang tidak puas hati
dengannya. Sekali sekala kacau lelaki yang berwajah serius itu bagus jugak. Tak adalah Nampak ketat aje mukanya. Melihat senyuman Nadrah, akhirnya Azriq turut ketawa. Wajah riang itulah yang selalu dia nantikan.

Disebabkan lelaki itu tak bagi sembur kereta jadi Nadrah dengan selamba badaknya menalakan getah paip itu kepada Azriq dan dengan bilangan satu..dua..tiga...habis basah baju lelaki itu disemburnya.

Bila mendengar lolongan lelaki itu cepat aje dia berlari mengeliling kereta, dia yakin yang lelaki itu tak dapat menangkapnya.Geram Azriq bila diperlakukan sedemikian, bajunya yang basah terus dibuang.Walau apapun dia harus dapatkan juga gadis itu.Semakin galak Nadrah ketawa bila Azriq tak dapat mengejarnya tapi disebabkan tersepak getah paip dan terkejut dengan sergahan Azriq yang tiba‐tiba ada di depannya membuatkan tubuh Nadrah melayang ke belakang tapi cepat aje tangan gadis itu ditarik oleh Azriq dan dalam sekelip mata tubuh gadis itu melakap di dada bidangnya.

Nadrah memang kurang selesa dengan keadaan itu, hatinya berdetak tak menentu dan hadir debaran tika itu.Dia cuba bangun tapi setiap kali dia bangun pasti dia terjatuh balik atas lelaki itu.Mengaduh lelaki itu bila siku Nadrah terkena perutnya. “Sakitlah.”

“Sorry.” Tersengih aje gadis itu, cuba menutup rasa malu kerana jarak yang terlalu dekat antara
mereka.Mana tidak malunya bila bibirnya tersentuh dengan pipi Azriq. Terbuntang luas matanya bila Azriq dengan selambanya mencium kedua belah pipinya. Rasa macam di awan-awangan aje dia rasa tika itu.

“Tolong jangan bangun, biar macam ni je.”pinta Azriq di luar sedar.Nadrah yang pada mulanya
ingin bangun tersentak mendengar permintaan lelaki itu.

“Saya nak bangun, nanti tok wan nampaklah.”

Walau sekuat manapun tenaga dia tenaga Azriq lagi kuat.Antara nak dan tak nak, antara malu dan sedar dia terpaksa mengalah dan mengikut juga. “Benarkan abang mencintai Nadrah, walaupun Nadrah bukan pertama tapi biarlah jadi yang terakhir. Jadikan abang composer dalam muzik cinta kita.” Ketulusan kata‐kata Azriq membuatkan hati gadis itu sebak. Air mata di tubir mata dibiarkan lepas jatuh ke pipinya.

Mendengar aje kata‐kata yang terluah dari mulut Azriq dia hanya mampu diam, lidahnya terkelu dan dunia dirasakan berhenti berputar, pergerakan alam perlahan‐lahan berjalan.

“Abang rasa abang dah mula jatuh cinta dengan Nadrah. Abang akan bagi masa untuk Nadrah
terima cinta abang, dan mulai hari ni tolong bahasakan diri Nadrah orang sebab abang suka sayang cakap macam tu dengan abang. Mulai sekarang panggil abang, bukan awak. Kalau tak panggil macam tu dendanya cium pipi abang tiap kali abang suruh. Sayang kena ikut apa abang kata.”

Sambil itu tangannya menyapu lembut air mata yang mengalir di pipi mulus isterinya. Dia bahagia bila dapat meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya sejak dulu lagi. Kini dia hanya memerlukan masa untuk memenangi hati gadis itu.

Nadrah masih keliru, adakah dia berpijak di bumi atau dia berada di awangan, sedang terbangkah dia.Tapi bila sebuah lagi ciuman hinggap di pipinya dia tersedar.Merona merah wajahnya bila sedar Azriq yang mencium pipinya.Pipinya ditekup dengan tangan kanannya.

Lama! Matanya pula terbula luas.

“Kenapa awak ni. Apa yang awak buat?”

“Dah...siapa yang suruh berangan, tak pasal‐pasal dapat ciuman free.”selamba aje Azriq berkata.Lagi lebar senyumannya bila melihat wajah gadis itu yang merona kemerahan.

*****

“Aku rasa aku dah jatuh cinta dengan Nadrahla.”

Patutla lain macam aje Irfan tengok wajah sahabatnya.Dah macam orang baru jatuh cinta gamaknya. Tergelak sakan dia dengan perilaku Azriq yang seolah semuanya tak kena itu. Dulu mati‐mati kawannya itu menidakkan. Tak percaya lagi dengan cinta tapi sekarang ni dah macam cacing kepanasan aje setiap masa. Selalu aje nak balik awal.

“Pelik sangat kau ni, dah nama pun bini kau kan.Tapi aku faham apa yang kau rasa sebab aku pun rasa benda yang sama bila dah lama aku kenal Shakira, naik gila aku bila jatuh cinta dengan Shakira, dengan isteri aku sendiri.”

Dulu dia pun sama kes dengan Azriq, kahwin atas pilihan keluarga. Mula‐mula dulu pun bukan
senang dia nak terima kehadiran Shakira dalam hidupnya selepas kematian tunangnya tapi jodoh seseorang itu rahsia ALLAH.

“Sebut pasal Shakira, macam mana dengan bini kau sekarang. Due date bila?” Entah macam manalah keadaan isteri kawannya itu. Agak lama juga mereka tidak berjumpa, kali terakhir dia berjumpa dengan Shakira semasa kandungan wanita itu baru mencecah 3 bulan.

“Lagi dua minggu.Kau, kalau kau benar‐benar cintakan Nadrah kau jangan sesekali kecewakan dia. Cepat sedarkan dia yang kau cintakan dia. Kau jangan nak tukar topik. Aku cakap benda betul ni.”

*****

Nadrah yang baru menapak terhenti langkahnya bila melihat Azriq dan seorang perempuan di
hadapan wad.Dia cuba menolak segala prasangka buruk yang bergayut di fikirannya.Tapi bila
gadis itu memeluk erat Azriq dia jadi sakit hati, hatinya terasa remuk tinggal debu.Sanggup Azriq menipunya selama ini, adakah cinta yang dikatakan lelaki itu hanya dusta dan hanya mahu menyakitkan hatinya saja.Bila melihat Nadrah menapak meninggalkannya Azriq terus berlari mendapatkan gadis itu, tangan Nadrah ditarik.Di saat dia menyayangi dan mencintai lelaki itu, hatinya pula yang disakiti.

“Mana sayang nak pergi.”

“Keluar kejap, ada barang tertinggal,”Bohongnya cuba menahan rasa di dalam hati.Entah kenapa dia terasa dengan apa yang dia lihat sebentar tadi.Belumpun sempat dia pergi Azriq terlebih dahulu memegang pergelangan tangannya dan ketika itu jugalah perempuan tadi datang.

“Ni orang yang pernah abang cerita kat sayang hari tu.Kenalkan ni isteri i.” Bahu Nadrah dipeluk erat, dia tak nak isterinya itu salah faham dengan apa yang dia lihat tadi.Cintanya hanya untuk Nadrah seorang dan bukan lagi milik Zara.

Nadrah menghulur tangannya tapi langsung tidak bersambut oleh Zara, hanya pandangan sinis gadis itu diterimanya. “Erm...tak sangka yang you dah ada isteri selama i tak ada.Dulu you kata cinta you hanya untuk i tapi baru setahun lebih i tak ada you dah dapat pengganti i Doktor Azriq. You kata i yang pertama dalam hidup you, tapi sekarang ni boleh pulak yang you kahwin dengan perempuan entah apa‐apa ni!”

Bergenang juga air mata Nadrah bila mendengar penghinaan daripada Zara, macam ni ke gadis yang dicintai Azriq selama ni.Baru aje dia mahu meninggalkan perkarangan hospital itu Azriq terus menarik Nadrah ke dalam pelukannya dan dahi gadis itu diciumnya.Terkelu Nadrah tika itu dah orang yang lebih terkejut ialah Zara. Terkejut dengan tindakan drastik Azriq. Lagi bertambah rasa bencinya pada gadis itu. Sepatutnya dia yang berada di sisi lelaki itu dan bukannya Nadrah.

“Memang kau yang pertama tapi dia yang terakhir dan hanya dia dapat buat hidup aku bererti. Kalau betul kau cintakan aku mesti kau tak hilang tiba‐tiba.Macam orang bodoh aku rasa bila kau olok‐olok mati dulu. Sebab nak capai cita‐cita kau tu sanggup kau buat aku macam orang gila. Kalau nak dibandingkan kau dengan isteri aku dia lebih jauh baik daripada kau.”

Selesai berkata‐kata Azriq terus menarik tangan Nadrah, panas hatinya jika dia berlama‐lama
di situ.Dia juga tak nak Nadrah makan hati dengan kata‐kata Zara yang tak bertapis. “Kalau
Zara kata apa‐apa awak jangan dengar!” tiba‐tiba suaranya ditinggikan.

Entah kenapa mudah sahaja dia menitiskan air mata waktu itu, waktu itu dia tidak lagi mempedulikan kalau ada orang yang melihat. Biarlah air matanya jatuh sebanyak mana pun, yang dia tahu dia hanya nak menangis.Tubuh lelaki itu pasti dipeluknya setiap kali dia menangis tetapi untuk kali ini walaupun hatinya meronta mahu memeluk lelaki itu tapi ditahannya.Dia sedar yang dirinya adalah penghalang cinta Zara dan Azriq. Kalau dia tahu yang Zara masih hidup dan akan datang balik kepada suaminya, dia pasti tak akan berani mencintai Azriq.

“Saya minta maaf sebab dah jadi penyebab awak dan Zara tak boleh bersatu.Kalau awak nak
lepaskan saya pun saya sanggup.” Bila habis aje ayatnya Nadrah terasa longgar lututnya.Tersentak hati lelakinya dengan apa yang baru dia luahkan oleh Nadrah sebentar tadi dan secara automatic pegangan pada tangan Nadrah terlerai.

Nadrah cuba menahan tangisnya yang bila‐bila masa aje boleh luruh bagaikan hujan yang lebat. Bukan dia suka‐suka nak cakap, dia rasakan ada benda halus yang sangat tajam menusuk ke tangkai hatinya.Bertambah bersalah dia rasa bila melihat wajah suaminya tapi daripada dia yang terseksa di situ lebih baik dia beredar dari situ.Baru aje dia mahu melintas jalan tiba‐tiba muncul sebuah motosikal dari arah belakangnya dan tika itu juga Azriq menarik dan menolaknya ke tepi tapi lelaki itu pula yang terpaksa menerima musibah itu.Laju aje air mata Nadrah jatuh bila melihat tubuh Azriq yang kaku di tepi jalan.Penunggu motosikal tadi pula melarikan diri entah ke mana.

*****

“Nadrah, baliklah dulu, Azriq tak nak jumpa sesiapapun sekarang ni termasuk awak,”kata Irfan
terus berlalu pergi, kesian pulak dia tengok gadis itu tapi dia buat semua ni hanyalah untuk kawan baiknya, Azriq.

Nadrah yang mendengar permintaan Azriq tersandar lemah, setiap langkahnya ditemani air mata yang berjuraian. Dia nak tahu macam mana keadaan lelaki itu.Tapi kenapa? Saat itu juga dia tekad, walau apa pun jadi dia tak nak jumpa lelaki itu, makin dia jumpa makin sukar dia nak lepaskan lelaki itu sedangkan lelaki itu tidak berhak untuknya sama sekali. Walapun hatinya kuat mahu berjumpa dengan Azriq tapi dia terpaksa menahan rasa itu.

Hanya kerana apa yang berlaku kepada mereka tadi, tegarnya suaminya itu tidak mahu berjumpa dengannya. Dalam sekelip mata sahaja lelaki itu berubah watak. Kalau benar rasa benci kepadanya telah hadir, tolonglah izinkan dia mengetahui perkembangan lelaki itu. Teruk sangat ke cedera lelaki itu. Macam mana agaknya keadaan Azriq? Pertanyaan itu hanya mampu berlegar di ruang hatinya sahaja tanpa dapat diluahkan. Mungkin ini akhir cinta mereka.

Bila melihat wajah sahabatnya, Azriq tersenyum. “Macam mana?”

“Okey, tapi aku kesian tengok dia bro, lama gile dia tunggu kau tapi kau buat macam ni kat dia. Menangis isteri kau beb. Kau tak takut ke, kalau dia benar‐benar pergi macam mana bro?”

Kalau diikutkan hati Irfan malas aje dia mengikut cadangan Azriq itu. Kalaupun betul nak selesaikan masalah bukan macam tu caranya. Tapi nak buat macam mana. Dah itu yang dikehendaki Azriq jadi dia ikut ajelah rentak lelaki itu. Yang paling penting kawannya itu beroleh bahagia. Kehadiran Zara benar‐benar menghuru‐harakan kehidupan kawannya itu.

Mendengar perkataan menangis dia tersentak, kejamkah dia memperlakukan isterinya begitu.Tapi dia buat semua tu pun kerana dia cintakan isterinya.Kalau boleh dia tak nak sakiti hati isterinya walaupun sekelumit. Hujan yang turun dengan lebat membuatkan dia bimbang, sedang berhujankah dia sekarang.Macam mana Nadrah balik sedangkan sekarang ni hujan.Tapi disebabkan mahukan rancangannya berjalan dengan lancar dia tahankan juga walaupun hatinya merintih.

“Tapi kalau aku tak buat macam ni macam mana aku nak buat, aku tak tahu wei.Aku dah buntu
sebenarnya, ini aje yang aku boleh buat.” Pandangannya singgah pula ke wajah Shakira yang
sarat mengandung. “Aku harap korang tolong aku eh....kalau ikutkan aku tak naklah berbalut
macam ni, rimas gile tapi untuk Nadrah aku sanggup, aku tak nak dia tinggalkan aku sebab
Zara yang tetiba muncul balik. Kau tahu kan macam mana aku cintakan Nadrah.”

“Kau tak cakap terang‐terang dengan bini kau tu mana dia tak salah faham wei.”Pelik juga Irfan
dengan sikap kawannya yang satu ni.Suka sangat buat orang salah faham, dari zaman sekolah
sampailah sekarang.

“Kau ni cakap banyaklah, tolong ajelah aku.Pergilah panggil Nadrah, kau cakap ajelah apa yang
aku suruh kau cakap tadi, kalau boleh berlakon tu biar dia betul‐betul percaya.Cepat wei, aku tak sabar ni. Kalau betul dia bencikan aku pasti dia tak dating. Aku buat semua ni sebab aku nak tahu aje. Aku yakin yang dia akan datang.”

“Banyak songeh betullah kawan awak ni Shakira.”

Shakira yang berada di sofa bersebelahan tersengih memanjang, malas dia nak masuk campur
dalam urusan dua sahabat itu.Tapi dia dan suaminya betul‐betul nak membantu Nadrah dan Azriq. Dia tahu yang Azriq sangat sayangkan Nadrah dan sayang lelaki itu pada isterinya melebihi sayang lelaki itu kepada Zara suatu ketika dulu. Hampir dua jam juga Azriq menunggu tapi jangankan batang hidung Nadrah tapi batang hidung Irfan pun dia tak nampak. Akhirnya dia tertidur dalam menunggu.

*****

Tadi selepas dijemput Irfan, Nadrah bergegas ke hospital, dia betul‐betul bimbang dengan apa yang berlaku, dan yang paling dia terasa bila lelaki itu tidak mahu berjumpa dengannya walaupun dah lama dia menunggu.Mungkin dia juga yang salah sebab dah buat lelaki itu terasa, memang dia patut diperlakukan sebegitu, tapi sejak peristiwa itu jugalah air matanya tak pernah kering.Ada juga dia menunggu panggilan daripada Azriq tapi hatinya lagi kecewa.

Dia takut! Takut Azriq tidak mahu menerimanya lagi. Semalam dia akui silapnya, mudah terasa
dengan apa yang dikatakan Zara hinggakan dia mengenepikan kata‐kata suaminya walhal dialah yang patut mempercayai lelaki itu, bukannya percaya kepada Zara. Wanita yang tetiba aje muncul dalam hidup mereka.

Bila saja pintu wad persendirian yang dihuni Azriq dibuka dia dapat melihat Irfan dan Shakira
di satu sudut dan bila dia menapak masuk mereka berdua bergerak keluar, kata mereka mahu ke klinik untuk rawatan lanjutan Shakira.Lagi beberapa minggu lagi due date tapi isterinya bukan reti nak duduk diam, mana dia pergi nak ikut aje kerjanya.

“Kami balik dulu ye, nanti kalau ada apa‐apa call kami erk,”kata Shakira sebelum berlalu.

Selepas mereka berdua berlalu dia menapak ke katil Azriq. Setiap langkahnya ditemani air mata,dia dapat melihat lelaki itu lena dan sesekali berkerut dahi mungkin terasa sakit, tak sanggup dia nak kejutkan lelaki itu.Tanpa dia minta air matanya jatuh dan menitis di wajah Azriq. Bila menyedari apa yang terjadi cepat aje dia menyapu air matanya yang jatuh ke wajah Azriq dan tika itu juga Azriq tersedar.

“Nadrah.” serunya perlahan. Nadrah cuba nak melepaskan diri tapi cepat aje tangannya dicapai oleh lelaki itu.Tangan lelaki itu ditumbuk berkali‐kali agar tangannya dilepaskan tapi dia berhenti bila aje mendengar lelaki itu mengaduh kesakitan.

“Sakit ke?” Saya tak tahu awak sakit kat mana, saya nak tengok awak, awak tak bagi tapi kenapa sekarang ni awak panggil saya. Kenapa?”

Tangan Nadrah yang menumbuk dadanya dipegang kejap. Sakit dadanya bila menjadi tempat
gadis itu melepaskan geram. Tersenyum dia bila gadis itu sanggup datang dan tanpa banyak kata tubuh gadis itu ditarik ke dalam pelukannya.

“Tadi tanya sakit ke tak ni pukul abang pulak, abang buat macam tu sebab abang sayangkan Nadrah. Kalau tak sebab sayang, abang tak akan buat macam ni tau tak,”katanya sambil mencuit hidung mancung Nadrah. Air mata yang mengalir di pipi mulus itu diseka lembut.

“ Sakitlah! Kenapa semalam abang tak nak jumpa orang? Kenapa sekarang ni nak jumpa pulak?"

“Sayang nak tau kenapa abang buat semua ni, sebab abang nak sayang tahu macam mana seksanya hidup abang kalau berpisah dengan sayang, apa yang sayang rasa sekarang nilah apa yang abang rasa bila sayang mintak yang bukan‐bukan, abang tak nak berpisah dengan sayang, Zana tu perkara silam yang dah lama abang tinggalkan, sekarang hidup abang hanya untuk awak Nadrah.Jadi tolonglah, tolonglah berada di sisi abang untuk selamanya, ” kata Azriq mengucup tangan isterinya.Setitis demi setitis air mata Nadrah menitis di pipi. Kata‐kata Azriq membuatkan hatinya sebak, dia benar‐benar tidak mampu untuk hidup tanpa Azriq, lelaki yang pernah dibencinya dan lelaki yang juga dapat menambat hatinya.

“Teruk sangat ke sakit abang, Nad minta maaf sebab Nad abang jadi macam ni,” katanya
dengan sisa air mata. Sedu sedan gadis itu kedengaran lagi untuk kesekian kalinya.

“Dahlah sayang, abang tak nak tengok sayang sedih‐sedih macam ni. Taknaklah nangis‐nangis
macam ni.Erm..tak adalah...luka sikit jek, kaki je yang kena pakai POP ni, yang lain‐lain gimik
jek.” Kata Azriq tergelak besar.Sekali lagi dadanya dipukul kasar oleh Nadrah. Kini hatinya
lapang selapangnya, hati Nadrah dah ditakluknya.

“Tapi orang bukan cinta pertama abang, abang boleh dapatkan balik cinta abang.”

“Norizyan Nadrah Bt Hamkar, sekali abang kata abang cintakan Nadrah maknanya hanya sayang aje yang ada dalam hati abang, dan abang dah kata walaupun sayang bukan yang pertama tapi sayang adalah cinta terakhir abang, Zara tu masa lalu abang, dengan Nadrah, abang tahu apa itu cinta. Izinkan abang jadi komposer sepenuh masa dalam muzik cinta kita.”

Katanya dengan pandangan yang redup, sempat lagi dia mengenyitkan mata kepada isterinya.

“Awakkk...”Belumpun sempat Nadrah menghabiskan kata‐katanya pipinya dicium berkali‐kali oleh Azriq.

“Gelilah,” katanya sambil memukul dada bidang Azriq . Bila melihat wajah berkerut Azriq dia jadi serba salah.

“Yang kat dada ni betul‐betul sakit tahu, abang tak tipu, maih duduk sini, tolong gosok kurang
sikit sakit, ni tak asyik nak tumbuk abang aje kerjanya.”

“ Tadi kata tak sakit, tipu lagi.”

“Memanglah tak sakit sayang oiii, tapi kalau dah berbelas kali sayang tumbuk naik senak jugak
dada abang ni.” Kata lelaki itu tergelak besar. Melihat senyuman di wajah Nadrah sudah cukup
menggembirakan hatinya tika itu. Dalam dia tidak percaya akan cinta, akhirnya cinta itu datang
dengan sendirinya tanpa dia mengundang. Dia percaya jodoh adalah rahsia ALLAH, dan mereka percaya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan