Label

Ahad, 20 November 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab1

Panorama indah di tepi pantai, dalam bebayang lembayung petang yang semakin melabuhkan
tirai, tidak jemu memukau pandangan. Suasana yang semakin damai bila mana ramai
pengunjung sudah beransur pulang menambah keharmonian. Sudah berkurangan hiruk‐pikuk,
sudah reda keriuhan. Suara kanak‐kanak dan tempik‐sorak anak‐anak kecil semakin hilang.
Namun masih ada yang belum mahu naik ke darat pun! Masih ada yang berenang‐renang,
bermain‐main sesama sendiri. Masih sibuk menaiki jet ski malah ada yang berlari‐lari di tepi
pantai, berkejar‐kejaran dengan gelak tawa yang meriah.

Di suatu sudut, seorang gadis muncul dari gigi air sambil menggoyang‐goyangkan kepalanya.
Bagai duyung yang cantik, pergerakan itu menarik perhatian ramai untuk menoleh melihatnya.
Dengan berbaju mandi yang seksi melekat di tubuh yang tinggi lampai, tentu sahaja dirinya
menjadi perhatian namun dia bagaikan tidak menyedarinya. Dia bergerak ke darat,
meninggalkan laut dan kawan‐kawannya yang lain, yang masih lagi asyik berenang dan saling
usik mengusik. Dia sudah penat dan ingin mendapatkan kawan baiknya yang sudah lama
berehat di dalam pondok berhampiran.

“Aira, sambut ni!”

Gadis yang dipanggil itu segera menyambut buah epal yang dilemparkan kepadanya. Setelah
hampir tiga jam berendam di dalam air, perut mula berkeroncong. Buah epal segera diunggis.
Hmm, sedap, bisik di hati. Sambil menyelimuti bahagian tubuh yang terdedah, dia terus sahaja
memakan buah itu sehingga habis. Sepasang mata setia menumpukan perhatian ke arah
kawan‐kawan yang kini sedang riuh rendah, berebut‐rebut untuk bermain jet ski pula.

Aira berumur 19 tahun. Aira Syuhada nama penuhnya, anak kepada Tan Sri Fahmi Kamarudin
dan Puan Sri Idayu Yusuf. Ayahnya seorang Ketua Pengarah di sebuah kementerian sementara
ibunya seorang doktor. Satu gabungan elit yang sentiasa sibuk dengan kerja masing‐masing.

Aira anak tunggal. Biasalah, kalau sudah namanya anak tunggal, kan? Tentulah manjanya juga
berlebih‐lebihan? Dia bebas hendak pergi ke mana sahaja. Dia bebas hendak membuat apa
yang disukainya.



“Kenapa kau ada di sini, Aira? Kenapa tak pergi main jet ski dengan Ikram?” soal Norli Diana
atau panggilan mesranya, Noli, kepada Aira. Noli dan Aira bersahabat baik sejak mereka dalam
Tahun 1 lagi.

Aira menjuihkan bibir ke arah laut.

“Noli, cuba kau tengok diorang betul‐betul! Kan dah cukup korum tu? Empat lelaki, empat
perempuan. Apa hal pulak aku nak joinsekali? Nak duduk di mana? Atas tengkuk si Erma tu
ke?” soalnya sambil tersengih pada Noli.

Noli mencubit lengan Aira.

“Kau ni, kan... Tak takut ke boyfriend kacak kau tu jatuh ke tangan Erma? Takkanlah kau tak
tahu yang Erma tu ada hati pada Ikram? Dah lama dia usha, tahu! Kalau kau tak hati‐hati, nanti
dikebasnya pakwe kau tu!”

Aira bagaikan tidak mendengar. Sepasang mata masih dihalakan ke laut. Tidak lama kemudian
diajukan soalan ini kepada Noli.

“Noli, antara aku dengan Erma, siapa lagi lawa?”

Eleh, nak suruh aku puji dialah tu? Hati Noli berbisik.

“Tak lain nak suruh aku cakap yang muka kau tu lebih cantik, ya? Mentang‐mentang ramai
orang cakap yang kau tu mirip Nasya Aziz?” perli Noli.

Aira ketawa. Banggalah juga bila dikatakan dirinya mirip Nasya sedangkan dia tidak pernah
merasakan begitu. Baginya, Nasya terlalu unik dan istimewa.

“Tapi, dagu lekuk kau tu yang best. Macam Siti.” Puji Noli lagi.

Aira tersengih. “Kiranya, aku lebih cantik dari dialah, kan?” dia bercanda.

Noli membaling tisu yang baru lepas digunakannya ke wajah Aira, menyebabkan Aira menjerit
halus.

“Perasanlah kau ni, Aira! Weh, orang lelaki zaman sekarang lebih suka pada gadis yang pandai
bermanja‐manja dan mengada‐ngada, okey! Diorang sukakan gadis yang boleh dipegang-pegang.
Kalau setakat cantik, tapi jinak‐jinak merpati macam kau ni, payah!”

“Dari mana kau dapat fakta tu? Aku tak tahu pun?” balas Aira tercengang‐cengang.

“Apa pulak? Itu kan kenyataan? Satu realiti dalam hidup kita. Perempuan yang cepat mesra,
senang dapat jodoh!” Noli menegakkan pendapatnya.

Lama Aira cuba membolak‐balikkan kata‐kata Noli. Hendak percaya atau tidak? Namun, mungkin benar juga pendapat itu. Dia sudah melihat sendiri buktinya. Ikram, lelaki yang mengaku sudah jatuh cinta padanya minggu lepas, nampaknya tidak dapat melawan godaan Erma Arlina, saingannya. Saat ini, di dalam laut, Erma kelihatannya terlebih manja dengan Ikram Shafi. Bukan dia tidak menyedari semua itu sejak dari tadi lagi. Begitu jelas di pandangan mata betapa Erma menggunakan daya tarikan yang ada pada dirinya untuk menggoda lelaki itu.

Sengaja Aira biarkan! Dia ingin melihat sejauh mana Ikram dapat menepis godaan Erma Arlina.
Kalau Ikram mampu menolak gadis itu, Aira tidak akan teragak‐agak untuk menerima sapaan
cinta lelaki itu padanya. Kalau tidak? Boleh blahlah!

“Yang kau gelak tu, kenapa?”

“Alah, Noli! Biarlah. Aku dengan Ikram belum declare, buat apa aku nak sesakkan kepala aku
dengan apa yang Erma buat pada dia? Kalau Ikram hendakkan si Erma tu, suka hati dialah! Peduli apa aku?” Balas Aira tegas.

Noli ketawa. “Iya? Jangan‐jangan nanti bila balik, kau menangis teresak‐esak tak?”

“Tolong sikit, ya! Tak kuasa nak buang air mata sebab si Ikram tu.”

“Kenapa kau tak nak dia? Ikram tu anak orang kaya, sama macam kau jugak. Anak tunggal lagi.
Habis STPM nanti, dia akan ambil alih bisnes bapak dia. Untung kau nanti, Aira.”

Aira menjuihkan bibir. “Untung? Ke sakit jiwa aku nanti? Kata suka kat aku tapi dengan perempuan lain bukan main mesra lagi. Hari ini dengan Erma, Esok‐esok? Hisy, daripada aku asyik fikirkan dia dan sakit mata hati tengok kelakuan dia, baik tak payah.”

“Kau ni memilih. Entah lelaki macam mana yang kau nak.”

“Noli, kita ni muda sangatlah. Baru 19 tahun. Buat apa nak fikirkan benda‐benda macam ni?
Boringlah!”

Noli ketawa. “Engkau ni... semua benda buat kau bosan. Belajar bosan, buat assignment bosan.

Bersembang fasal lelaki pun bosan juga. Apa yang kau suka?”

“Tidur? Shopping? Travel?”

Noli mencebik. “Itu ajelah yang kau tahu. Tidur, shopping, travel.” Ejeknya. “Malas nak dengar.”

Aira mengekeh ketawa. Gelihati melihat Noli yang sudah marah. Tapi memang itulah kenyataannya. Tidak guna menafikan. Melancung sambil membeli‐belah tidak boleh dipisahkan daripada dirinya. Terutama kalau ibu dan ayah membawa dia ke luar negara. Hmm, mesti borong habis punya............

“Jom!” ajak Aira sambil berdiri.

“Ke mana?”

Aira jegil mata. “Salin bajulah, lol! Ke mana lagi?” ujarnya sambil menyandang beg Guessnya.

“Aira, aku nak tanya sikit, boleh?”

Aira mengangguk.

“Kau ni kan, sekali pandang, mak aii...pakaian kau, mekap kau, memang tak boleh blah.. tapi, bila dengan lelaki, macam mana kau boleh tepis aje tangan dia orang tu? Pandai aje kau mengelak. Ilmu apa yang kau pakai, hah?”

Aira segera menutup mulut supaya tawa yang berderai tidak mengganggu orang‐orang di
sekeliling mereka. Soalan lucu itu dibiarkan seketika tidak berjawab. Wajah kembali tertumpu
ke arah laut. Nampaknya, pasangan‐pasangan itu masih lagi tidak jemu‐jemu bermain air. Jet ski sudah ditinggalkan, kini mereka kembali berenang‐renang. Dia melihat kemesraan kawan-kawannya.

Sekejap‐sekejap, ada yang hilang di bawah air namun tidak lama kemudian mereka timbul bersama‐sama dalam pelukan yang mesra.

Entah mengapa, tiba‐tiba hati dijengah rasa malu melihat perlakuan itu. Sungguh kurang sopan! Begitukah aku tadi di mata orang ramai ini? Dia bertanya‐tanya sendiri.

Tidak! Hanya sekali itulah sahaja! Aira membela diri.

Ya, kejadian yang sekali itulah menyebabkan Aira naik ke daratan. Dia lemas! Dia rimas! Dia
benci bila Ikram mengambil kesempatan. Masih melekat di ingatan, perlakuan lelaki itu yang
kurang sopan terhadap dirinya tadi.

Aira sedang mengapungkan dirinya apabila tiba‐tiba sahaja Ikram mampir dan menarik tubuhnya ke dasar. Kerana terkejut dan tidak bersedia, dia keputusan nafas lantas Aira segera menyambar tubuh sasa itu. Ikram apa lagi? Semakin mengeratkan dakapan dan tangannya sudah mula ber ‘siar‐siar’ di tubuh gadis itu. Kerana geram dan sakit hati, Aira berusaha sekuat‐kuat tenaga menolak tubuh Ikram menjauh. Sebaik berjaya meloloskan diri, bersama sebuah jelingan maut, Ikram ditinggalkan!

“Kata mak aku, bukan susah nak tahu sama ada orang lelaki ini ikhlas nakkan kita atau tidak, Noli.” Aira memulakan bicara yang lama terhenti.

Noli memberi sepenuh tumpuan.

“Katanya, lelaki yang ikhlas itu mencintai Allah mengatasi yang lain. Cintanya kepada Allah
membolehkan dia menjadi pelindung kita. Membolehkan dia menjaga maruah kita. Tidak berani hendak melakukan yang bukan‐bukan pada kita kerana dia tahu Allah sentiasa melihat apa yang dia buat. Dia tidak akan rakus dan tidak akan mengikut hawa nafsu.”

Noli terpesona mendengar apa yang Aira sampaikan. Dia akui semuanya benar. Spontan, pandangan terlempar ke arah kawan‐kawan yang masih leka di laut.

“Macam mana kita boleh berkawan dengan dia orang tu?” Tiba‐tiba Noli bertanya. Soalan yang sekali lagi mengundang Aira untuk ketawa besar.

“Sebab mereka tu aje kawan Melayu yang kita ada di kelas Tingkatan Enam Atas, Aliran Sains,
SMKKJ. Kau dah lupa ke?” balas Aira dalam tawa yang masih bersisa.

“Iya tak ya, jugak, kan?” sahut Noli. Dia kemudian merenung wajah Aira seolah‐olah pelik melihatnya.

“Apahal kau?” tanya Aira musykil melihat perlakuan Noli.

“Kenapa kau tak masuk A Level, Aira? Atau pergi kolej swasta ke? Macam mana kau boleh belajar di tingkatan enam pulak?”

Aira segera mengetuk kepala Noli membuat gadis itu menyeringai kesakitan.

“Kau ni, kan... Bila kau jadi kawan baik aku? Semalam ke? Kau memang nak kena! Macamlah
kau tak kenal diktator yang ada dalam rumah aku tu?” gumam Aira.

Noli tersengih. Mengingati uncle Fahmi, dia pasti merasa gerun. Masih terkenang saat mereka mendapat keputusan SPM dahulu. Sebaik tiba di rumah Aira, mereka dikejutkan oleh suara
halilintar itu.

“Lima tahun kamu bersekolah menengah, Aira. Daripada 8 subjek, kamu dapat kumpul 2A aje? B berbaris pulak tu! Ni, macam mana boleh dapat BM, B, ni? Kamu nak ke mana lepas ni, dengan keputusan kamu yang macam ni hah? Tak ada universiti yang nak terima kamu, tahu!”

Jerkahan itu masih diingati.

“Ayah ni....., itu pun nak marah. Nanti, ayah hantarlah Aira buat A‐level dekat KDU. Apa susah?”
Aira masih berani bersuara.

“Apa? Nak ke kolej swasta? Banyak duit kamu?” marah Tan Sri.

Aira tersengih. “Aira mana ada duit, tapi duit ayah kan banyak? Ayahlah sponsor Aira belajar di situ!” balasnya manja.

“No way! Ayah tak nak membazirkan duit ayah. Punya banyak kerajaan bina segala macam kolej dan sekolah untuk rakyat, kamu pulak mengada‐ada nak ke kolej swasta yang mencekik darah tu? No way! Tak boleh!” keras Tan Sri Fahmi menegah.

“Mak, tengoklah ayah ni! Macam anak dia ada 11 orang, yang dia nak berkira sangat tu!” Aira cuba meraih simpati ibunya, Puan Sri Idayu, yang diam sedari tadi.

Puan Sri Idayu mengeluh. Hendak dibela, dia sendiripun geram melihat keputusan peperiksaan SPM Aira itu. Dia tidak menyangka, keputusan itu yang akan diperolehi oleh anaknya. Kini, dalam menentukan hala tuju masa depan Aira, dia tidak mahu bercanggah pendapat dengan suaminya. Dia sendiripun tidak suka anaknya ke kolej swasta. Buat apa hendak membazir duit, fikirnya.

“Mak setuju dengan pendapat ayah kamu, Aira. Tak payah ke KDU tu. Sambung aje belajar
dalam tingkatan enam. Senang!”

Aira terkedu. Sangkanya, emak akan menyokongnya seperti selalu. Malangnya, hari ini, emak
tidak menyebelahinya. Sedih betul!

“Aira tak nak masuk tingkatan enam. Kalau mak dengan ayah tak kasi, baik Aira duduk di rumah aje.” dia memberontak.

“Bagus juga tu. Ada orang masuk meminang, boleh ayah kahwinkan kamu.” Tan Sri mengusik.

“Ayah...” Aira bersuara sedih sambil menghentak‐hentak sepasang kakinya.

“Okey, kalau kamu tak nak sekolah lagi dan tak nak kahwin lagi, tak apa. Kamu masuk Kolej
Komuniti. Ada banyak kursus di situ. Kamu pilih aje sama ada nak yang diploma atau sijil. Nanti
boleh ayah uruskan.”

“Ayah ni tak adil tau! Berkira! Kedekut!” bentak Aira tidak puas hati.

“Aira, jaga sikit mulut tu! Amboi‐amboi, dah lupa adab bertutur dengan mak ayah, ya?” Puan
Sri membulatkan sepasang mata ke arah anak tunggalnya sebelum menyambung, “Dalam hidup kita ni, Aira, orang bukan pandang harta mahupun rupa kamu yang cantik menawan tu. Tapi orang tengok budi bahasa, orang tengok tutur kata. Kalau dengan mak ayah pun tak hormat, macam mana nak hormat orang lain di luar sana?”

“Alah, Aira.....,”

“Dah, jangan banyak cakap! Sekarang kamu cuma ada dua pilihan saja. Sama ada nak ke Kolej
Komuniti atau naik ke Tingkatan Enam. Cakap, kamu nak yang mana?”

“Garang betul uncle dengan aunty, kan? Kecut perut aku tengok kau kena jerkah masa tu!” kata Noli perlahan.

“Itulah mak dengan ayah aku! Aku ni Noli, nama aje anak Tan Sri, anak tunggal, tapi, cuba kalau aku buat sesuatu yang dia orang tak suka, jenuhlah bernanah telinga ni.” Aira memberitahu.

“Agaknya, apa dia orang akan kata bila nampak apa yang kau pakai sekarang?” perli Noli sambil mengerling ke arah sahabatnya yang mengenakan bikini berwarna krim. Bikini itu berlengan pendek, dengan belahan dada yang luas. Parasnya pendek mencecah paha.

Memang seksi habis.

Aira ketawa. “Mengamuklah, apa lagi!”

Pukul lima. Mereka sedang bersiap‐siap untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Noli, you balik dengan siapa?” Tanya Sherry, singkatan untuk Syarifah.

“Dengan akulah!” Aira yang menjawab. Noli mengangguk.

“Aira, you don’t mind if I go home with Ikram, right?” soal Erma sambil memeluk manja lengan Ikram. Aira merenung dan mengharapkan Ikram berusaha meleraikan sentuhan itu namun Ikram bagaikan sengaja hendak menyakitkan hatinya. Sengaja membiarkan perlakuan Erma yang mengada‐ada.

“Tentulah tidak,” Aira menyahut.

“Aira, apa kata kita racing, nak? Kalau I kalah, I belanja you all makan di semua restoran mahal yang ada di KL, selama seminggu. Tapi, kalau you kalah, you pulak yang belanja kita orang. Okey, tak?” Tiba‐tiba Aizat ‘domok’ bersuara.

Hisy, Aizat ni, tak habis‐habis nak pekena orang belanja dia makan, desis hati Aira Syuhada.

“Eleh, Izat, Aira mana berani pecut kereta BMW dia tu? Takut accidentlah katakan? Nanti habislah lekuk‐lekik kereta kesayangan dia tu!” Ikram menyindir, sengaja menaikkan suhu kemarahan Aira terhadap dirinya.

“Awak jangan cabar sayalah, Ikram! Tak ada maknanya.” Hati Aira yang sedia panas semakin marahkan Ikram.

“Jadi, you setujulah ni?” Aizat inginkan kepastian.

“Alah, setakat makan‐makan di restoran mahal, tak ada hal punya!” balas Aira berani.

Aira disuruh memulakan perjalanan terlebih dahulu. Dia segera masuk dan memecut. Di dalam kepala, dia sudah merangka‐rangka sesuatu. Dia ingin mengambil jalan pintas. Dahulu, ketika dia bersama‐sama ayahnya pulang dari Melaka, ayahnya hanya mengambil masa kira‐kira satu jam untuk sampai ke Kuala Lumpur bila mengikuti jalan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan