Label

Isnin, 28 November 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab9

AKU tunggu Izz Zahrah seperti biasa hari ni. Aku sudah tak sabar untuk menatap wajahnya lagi.
Pagi tadi bila aku menghadiri mesyuarat dengan pemegang‐pemegang saham kami bertembung dengan Izz Zahrah. Terasa jantung aku bagaikan ingin meletup bila melihat dia di depan mata. Tak aku duga akan bertembung dengan dia di sini. Aku dah banyak tipu dia, jadi aku takut Izz Zahrah akan marah kalau dia tahu.

Terbayang lagi kejadian pagi tadi. Aku terasa darah di wajahku hampir kering akibat terkejut. Tiba‐tiba saja Izz Zahrah sudah ada di depan kami. Aku perasan matanya yang sedang memandang aku. Sengaja aku bekukan wajah dan berpura‐pura tidak mengenalinya.

Aku tengok jarum jam, lima belas minit sudah berlalu. Izz Zahrah masih tak muncul‐muncul lagi. Marahkah dia kepadaku? Tahukah dia siapa aku? Pagi tadi ketika mesyuarat Zuhaimie mengajak Izz Zahrah masuk sekali ke bilik mesyuarat. Aku semakin berdebar mendengarnya. Walaupun setiap kali mesyuarat abang Am dan Zuhaimie yang akan mempengerusikannya. Terdengar‐dengar lagi rayuan Izz Zahrah kepada Zuhaimie di gegendang telingaku.

"Alaa..encik Zuhaimie, please..saya tak mula pun lagi proposal tu. Saya, saya rasa, saya..kena buat kajian dulu pasal smartphone ni. Saya tak ada pengetahuan langsung pasal smartphone ni," kesian aku melihat wajahnya ketika itu. Izz Zahrah dah tergagap‐gagap. Matanya dah merah. Macam orang nak menangis saja.

"Awak tak pernah guna smartphone ke?" Zuhaimie menyoal Izz Zahrah semula. Aku hanya
menunggu untuk mendengar jawapannya.

"Err..kalau guna pun yang murah saja encik Zuhaimie. Tak banyak sangat functions." Izz Zahrah
berkata lagi dan wajahnya sudah bertukar merah. Dia tertunduk merenung lantai. Aku tahu air mata Izz Zahrah sudah mula menitis ke pipi. Aku cuit Zuhaimie dan memberi isyarat agar melepaskan Izz Zahrah pergi. Tak sampai hati aku melihat dia dalam keadaan macam tu.

"Petang ni ikut saya balik boleh tak? Isteri saya pesan, katanya nak jumpa awak lagi. Kemarin
jumpa sekejap sangat. Tak sempat nak berbual panjang, katanya.." abang ipar aku pula bersuara menyebabkan Izz Zahrah memanggungkan kepalanya dengan pantas.

"Hah?" respon Izz Zahrah hampir membuatkan aku tersenyum. Terus aku melangkah dengan laju masuk ke bilik mesyuarat. Aku takut terkantoi dengan perubahan riak wajahku. Ingat senang ke nak tayang wajah kering di depan gadis yang telah berjaya mengetuk pintu hati aku ni?

Zuhaimie~ bro..aku bawa Izz keluar makan. Kau tak payah tunggu la di tepi dinding tu.



Dalam aku melamun, masuk mesej yang dihantar oleh Zuhaimie. Tak guna punya kawan. Mentang‐mentanglah dia tahu, aku dah cakap kepada Izz Zahrah, aku pergi ke luar negara.Aku tak menunggu lama, terus aku balas mesejnya.

Aku~ tak cukup lagi ke dengan awek2 yang kau ada? Izz pun kau nak rembat juga ke?

Aku membalas mesejnya dengan perasaan yang berbaur geram.

Zuhaimie~ yang lain tu betina tapi Izz lain. Dia wanita.Aku~ wanita untuk dihargai bukan untuk
dipermainkan.

Zuhaimie~ kau jangan bimbang. Aku akan hargai dia.

Aku mengengam penumbuk membaca mesej Zuhaimie yang seterusnya. Rasa macam menyesal pula sebab aku dah tipu Izz Zahrah. Patutlah dia tak naik‐naik untuk makan di tingkat atas ni seperti biasa. Izz Zahrah, aku sudah mula merinduimu. Aku merintih di dalam hati.

"Bro!..termenung nampak? Izz makan dalam pantri hari ni. Aku teman dia makan. Kau marah ke?" terdengar suara Zuhaimie, aku menoleh pantas. Kata tadi keluar makan dengan Izz Zahrah? Mana satu yang betul ni?

"Cepat kau makan? Dia bawa bekal apa hari ni?" aku bertanya balas. Sengaja tayang wajah selamba, sedangkan dalam hati aku sudah mengelegak.

"Perghhh..Izz buat steak daging hari ini. Terbaeekk.." ceria saja suara Zuhaimie. Aku mula
memikirkan kata‐katanya. Steak? Biar betul?

"Sedap?" aku bertanya lagi.

"Ehh..hingga menjilat jari," Zuhaimie menjawab dengan yakin. Aku tenung wajahnya. Boleh percaya ke ni?

"Kenapa kau tengok aku macam tu?" Zuhaimie menyoal aku sambil mengerutkan keningnya.

"Nak tipu pun agak‐agaklah. Aku dah lama kot kenal kau. Lagipun, macam tak logik saja kalau Izz Zahrah tu bawa steak?" aku mengumpan Zuhaimie dengan kata‐kataku. Dia sudah ketawa galak.

"Jom makan. Aku dah lapar ni." aku dah agak dah. Auta saja lebih. Macamlah aku tak tahu, Izz 
Zahrah tu cukup payah untuk diajak keluar. Agaknya petang nanti dia akan ikut tak permintaan abang Am?

"Kau boleh tolong aku tak?" tiba‐tiba timbul idea nakal dalam minda aku untuk menguji Izz Zahrah. Zuhaimie akan aku jadikan sebagai perantara.

"Tolong apa?" Zuhaimie bertanya sambil menjungkitkan keningnya.

"Bagitau Izz Zahrah. Aku takkan balik lagi ke Malaysia sebab aku hilang tanpa khabar berita." aku berkata tanpa ragu‐ragu. Zuhaimie memandang tepat ke wajahku sambil mengecilkan matanya.

"Aihh..macam nak bagi green light untuk aku saja. Bolehlah aku take over untuk tackle dia pula," lain yang aku fikir, lain pula yang Zuhaimie ni fikir.

Aku mendengus kasar. Zuhaimie sudah tergelak kuat.

"Kenapa kau nak menghilangkan diri? Kalau ya pun nak test dia, tunggulah dia tangkap cintan
dengan kau dulu," mendengar kata‐kata Zuhaimie, aku berfikir sejenak. Kemudian barulah aku
memberikan jawapanku.

"Dia dah kenal Aswal Madri sebagai drebar dan dia dah tengok aku pagi tadi dengan wajah yang lain. Aku cuba nak uji pengetahuan dia saja. Agaknya dia perasan tak, yang dia jumpa pagi tadi tu aku?" aku bertanya Zuhaimie untuk meminta pandangannya. Dia berjeda lama.

"Izz Zahrah ni, aku rasa jenis yang lurus sikit. Kalau kau dah cakap kat dia kau ni hanya drebar, dia akan pegang kata‐kata tu tapi kau kena berhati‐hati dengan orang macam dia. Sekali dia kena tipu, dia takkan percaya untuk kali kedua." yakin sekali Zuhaimie berkata selepas terdiam lama. Aku pula yang mengelabah di dalam hati.

"Dahlah..jom keluar makan. Lain kali kalau dah berkenan, jangan menipu. Jadi diri sendirikan lebih baik." aku tersentap mendengar kata‐kata Zuhaimie. Memang makan dalam, sebab aku belum pernah lagi menipu perempuan. Ini kali pertama aku buat. Itu pun sebab aku takut Izz Zahrah tak mahu berbual dengan aku. Orang macam dia, tentu suka merendah diri dan malu untuk bergaul dengan orang macam aku? Tentu dia akan fikir aku dengan dia macam langit dengan bumi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan