Label

Khamis, 1 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab12

MASA terus berlalu tanpa sedar. Aku pun sudah ada ramai kawan. Waktu rehat bukan saja Baya yang menemaniku. Kami sudah ada geng untuk makan, sama ada di pantri ataupun di café sebelah pejabat. Kadang‐kadang kami berpakat untuk makan di restoran yang jauh dari pejabat. Bila dah ramai kawan, langkah pun semakin panjang.

Hari ini hari minggu dan aku bercadang untuk keluar ronda‐ronda seorang diri di tengah Bandaraya ini. Banyak barang‐barang dapur yang harus aku beli dan aku juga teringin nak bershoping baju baru. Almaklumlah, dah mula merasa hasil titik peluh sendiri.

Semalam aku mendapat berita terbaru daripada kak Ieta, katanya dia akan diijab kabulkan dengan abang Fizie secepat mungkin. Dah setahun lebih mereka bertunang. Inilah masanya mereka mengakhiri zaman bujang. Aku tumpang gembira mendengarnya. Semalam juga aku telah berbual lama dengan abang Izzhar. Kami berbual dalam video kamera dan saling bertanya khabar. Abang Izzhar juga sudah punya calon untuk disunting. Nampaknya aku seorang saja yang masih solo. Hai..kalaulah encik Awal tak salah faham dan tak membawa diri ke Luar Negara, dah tentu aku ikat hatinya itu agar dia hanya setia kepadaku saja. Err..kenapa dengan aku ni? Asyik benar menyebut nama encik Awal di dalam hati? Dah tersampuk ke hapa?

Sudahlah. Lupakan saja encik Awal tu. Apa yang penting, hari ini aku dapat tenangkan hati aku ni. Dapat berjalan‐jalan dan makan apa yang aku suka. Yeaa, senangnya dalam hati..lalalala. Aku sudah bernyanyi riang di dalam hati sambil menjamu mata memerhatikan kiri dan kananku. Sesekali aku akan berhenti melihat apa saja yang menarik minatku. Semua kedai yang aku jumpa dan menarik minatku, aku masuk.


Bila ada keinginan yang terbit dalam hati aku untuk melupakan encik Awal membuak‐buak, di depan aku tiba‐tiba menjelma wajah seseorang yang mirip encik Awal.Aku memerhatikan pemuda yang sedang berjalan di hadapanku dengan perasaan yang keliru. Dia sedang berpampasan dengan seorang wanita ayu. Wajah pemuda itu memang mirip encik Awal, apatah lagi dengan baju yang dipakainya itu. Aku pernah tengok encik Awal memakainya.

Takkan pelanduk dua serupa? Aku bertanya di dalam hati.

Kalau benarlah itu encik Awal, bermakna dia dah pulang ke Malaysia. Tapi kenapa aku tidak pernah bertemu lagi dengannya di pejabat? Dia dah berhenti kerja ke? Aku selalu jumpa encik Zuhaimie yang datang ke pejabat seorang diri. Agaknya, betullah kata encik Zuhaimie tu? Encik Awal bawa diri sebab gosip yang tersebar antara aku dengan encik Zuhaimie?

Aku memerhatikan gelagat pemuda itu dengan pasangannya si gadis ayu. Mereka amat mesra seperti sudah lama kenal. Aku cuba mendekati mereka secara diam‐diam. Aku takut diri aku dikenali dan kegiatan aku mengintai gerak geri mereka disedari, aku menutup mukaku dengan beg tangan.

"Eh..kenapa dengan aku ni? Dah macam penyiasat persendirian pula." aku berkata kepada diriku sendiri dan memerhatikan sekeliling. Agaknya, ada orang perasan tak dengan gelagat pelik aku tadi? Malu pula bila memikirkannya. Aku kembali beriak biasa dan mengambil keputusan untuk berjalan menghampiri mereka dan berpura‐pura tidak mengenali kedua-duanya.

Aku melintasi mereka sambil berjalan dengan selamba. Sempat aku mengerling mereka namun
pemuda itu langsung tak memandang aku. Agaknya bukan encik Awal kot? Ataupun encik Awal ada saudara kembar? Aku meneka di dalam hati. Mustahil sangat kalau encik Awal tak kenal aku.

"Has!.." aku terdengar ada suara yang cukup aku kenali di belakangku. Spontan aku menoleh dan mata aku sudah terbuka luas bila melihat wajah si pemilik suara. Aku terus menerpa ke arahnya. Aku capai tangannya dan bersalam dengannya. Aku cium tangan itu. Bibir dia sudah mekar dengan senyuman untukku.

"Abang kata hujung tahun baru nak balik. Kenapa tak bagitau Has nak datang sini? Kalau tak, mesti Has dah hampar carpet merah untuk sambut abang," aku cuba berseloroh dengan lelaki di depan aku ini. Dialah abang Izzhar yang sangat aku rindui. Semalam kami berchatting lama dan dia tanya tentang aktiviti aku hari ini. Tak sangka, rupanya dia sengaja nak susprizekan aku di sini.

"Mana boleh bagitau. Ni kenapa keluar sorang‐sorang ni? Tak takut ke keluar di bandar besar ni tanpa teman? Nasib baik abang datang dan cari Has di sini." abang Izzhar sudah mula membebel. Kalau di kampung ibu dan abah memang tak pernah izinkan aku keluar seorang diri. Nak pergi mana pun, aku wajib ditemani.

"Has dah tualah abang. Dah pandai jaga diri. Abang janganlah risau, lagi pun Allahkan ada!" aku berkata yakin dan dalam masa yang sama aku menarik tangan abang Izzhar untuk masuk ke medan selera. Terlupa seketika dengan encik Awal yang aku intip tadi. Atau mungkin bukan encik Awal. Salah orang barangkali?

"Dah alang‐alang jumpa abang ni, Has nak makan puas‐puas. Tak apa Has belanja, nanti abang yang bayar." aku cuba berseloroh lagi. Abang Izzhar mematikan langkahnya.

"Macam tu pun boleh ke?" aku tergelak mendengar pertanyaannya.

"Boleh, boleh, boleh.." aku berkata dalam nada manja. Sengaja nak mengada‐ngada dengan abang Izzhar yang dah lama tak ku tatap wajahnya. Dulu, masa zaman sekolah kami pernah menyamar sebagai couple dan mengenakan kawan‐kawan kami. Kami bersekolah berasingan kerana abang Izzhar bersekolah di sekolah tahfiz dan aku dan kak Ieta bersekolah di sekolah menengah biasa. Bila kami berlakon sebagai couple, abang Izzhar yang teruk kena kutuk dengan kawan‐kawannya tapi abang Izzhar ni memang jenis lelaki hati kering. Dia kata, bukannya berdosa pun sebab kami ni mahram. Lagipun kami bukan betul‐betul bercinta pun.

Nak takut apa?

"Kenapa pula ni? Sempat lagi nak berangan?" aku tersenyum mendengar pertanyaan abang Izzhar. Tiba‐tiba saja tadi minda aku melayang seketika.

"Izz Zahrah.." ada lagi suara yang menyeru namaku. Pemuda yang aku tengok bersama gadis ayu tadi sudah ada di depanku. Di sisinya masih ada gadis ayu tadi. Aku teringat kata‐kata encik Zuhaimie tempoh hari. Encik Awal dah jatuh hati dengan aku, tapi siapa pula gadis ini?

Takkan dia sudah putus asa untuk memikat aku? Takkan begitu mudah dia melupakan aku?

Kalau betullah dia dah suka aku, seharusnya dia berusaha untuk mendapatkan aku. Aku sudah
membebel di dalam hati. Melihat kemesraan mereka tadi buat jantung aku bergetar hebat.

Minda pula berfikir yang bukan‐bukan. Aku pun tak faham dengan hati aku sekarang ni.

‘’Eh, encik Awal ke ni? Bila balik ke Malaysia? Encik Zuhaimie cakap encik Awal tak mau balik dah ke Malaysia sebab merajuk. Betul ke? Sebelum terlupa, saya kenalkan, ini tunang saya.’’

Aku berkata ramah dan laju tanpa berfikir panjang. Bukannya apa, sebelum encik Awal perkenalkan aku dengan gadis di sebelahnya, lebih baik aku yang terlebih dahulu perkenalkan abang Izzhar kepadanya. Walaupun aku sedang berbohong, tapi sekurang‐kurangnya hati aku taklah terluka teruk sangat kalau dia pun perkenalkan gadis di sebelahnya sebagai kekasih dia.

Sungguh, dalam tak sedar sebenarnya, aku pun sudah mula merindui lelaki yang sedang berdiri di depan aku ini.

‘’Tunang? Awak kata, awak ni orang melayu dan beragama Islam dan awak tak sentuh lelaki yang bukan mahram awak. Tadi saya nampak awak bukan main lagi bersalam dengan lelaki ni. Dan Zuhaimie bagitau saya, kalau saya sukakan awak, awak suruh masuk melamar baru awak akan sambut hati saya ni? Saya tak fahamlah, apa permainan awak sebenarnya ni?’’ aku terkejut mendengar kata‐kata lelaki di depan aku ini dan aku benar‐benar pasti dialah encik Awal. Apa yang aku nampak, dia memang berubah daripada sebelum ini. Wajah dia merah dan matanya juga turut merah ketika dia mengungkapkan ayat‐ayat itu tadi.

‘’Err..tadi tu bukannya apa encik Awal. teroverdos teruja, sebab tunang saya ni baru balik dari Mesir. Lima tahun tak jumpa dia, rindu teramat sangat, sebab tulah saya tak dapat nak kawal diri tadi. Err..reaksi spontan separuh sedar sebenarnya. Encik Awal nampak ke? Saya ingatkan encik Awal dah tak kenal saya lagi. Tadi saya lalu di depan encik Awal, encik macam tak kenal saja?’’ sambil menjawab pertanyaannya, aku juga meneruskan pembohonganku disamping cuba menyindir dia yang buat‐buat tak nampak aku tadi. Aku tahu, sebenarnya tadi, dia turut memandang ke arahku tapi dia buat tak hairan saja, macam aku ini halimunan saja. Haa..kan aku dah bayar cash secara tak langsung. Selepas ini buatlah lagi!

‘’Siapa ni Has?’’ abang Izzhar baru nak bersuara. Aku pula sudah sebak mendengar pertanyaannya. Macam dah tiada daya untuk terus berdiri di depan encik Awal dan terus bertelagah dengannya. Aku tak tahu dengan emosi aku yang seakan berubah ketika ini.

Alangkah baiknya kalau dia langsung tak tegur aku tadi. Tentu aku tak emosional macam sekarang ni. Ya Allah! Tolong aku dan kuatkanlah hati aku ini.

‘’Saya nak cakap dengan awak sekejap.’’ Tiba‐tiba encik Awal yang bersuara dan menarik tangan aku supaya mengikutnya. Aku meronta‐ronta untuk melepaskan diri. Sakit betul hati aku diperlakukan sebegini rupa. Sudah hilang rasa hormat aku terhadapnya. Aku tarik tanganku kuat dan berjaya lepas daripada pegangannya.

‘’Apa ni encik Awal? Tadi tu saya tersalam dengan tunang saya tu, yang encik Awal sengaja pegang‐pegang tangan saya ni kenapa? Di depan tunang saya pula tu. Encik Awal memang sengajakan nak rosakkan perhubungan kami?’’ aku masih meneruskan lakonan aku. Abang Izzhar yang tertinggal di belakang beberapa langkah tadi menghampiri kami dan diikuti gadis yang bersama dengan encik Awal tadi.

‘’Has..’’ abang Izzhar cuba bersuara tapi..

‘’Saya nak awak Izz Zahrah. Awak tahukan, saya dah lama sukakan awak. Ketika kak Ifa tanya awak hari tu, awak kata awak belum ada calon suami sebab awak baru bekerja. Bulan depan awak baru habis tempoh training awakkan? Tup‐tup, dari mana datang tunang ni? Awak jangan nak main‐mainkan perasaan saya!’’ encik Awal terlebih dahulu mencelah dan menyoal aku dengan soalan maut.

‘’Encik Awal pun dah ada awek. Takkan saya tak boleh?’’ aku serkap jarang lagi. Wajah dia berubah lagi, daripada tegang menjadi sedikit tenang. Aku terperasan bibirnya semacam ingin tersenyum.

‘’Awak marah ke? Awak cemburu?’’ soalan dia membuatkan wajah aku pula yang berbahang.

Aku terus tarik tangan abang Izzhar yang sejak tadi hanya menonton drama spektra yang tak
dirancang di depan matanya. Aku dah tak peduli lagi apa saja yang encik Awal nak fikir dan semua orang fikir. Aku terus melangkah dan melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi hinggalah kami masuk ke dalam sebuah restoran.

‘’Wah! Tak sangka, adik abang ni dah ada peminat. Dah pandai cemburu.’’ Ayat pertama yang keluar dari bibir abang Izzhar sambil ketawa mengusik. Aku menjeling tajam ke arahnya dan mencari tempat untuk duduk dan melepaskan penat. Lelah nafas aku dibuatnya bila terpaksa berjalan laju dan mengawal perasaan dalam masa yang sama.

Beberapa minit kemudian encik Awal turut masuk ke dalam restoran dan mengambil tempat di meja bersebelahan dengan kami. Dia memandang ke arah kami dan melemparkan senyuman sebaliknya aku hanya menayangkan wajah cuak terhadapnya. Dia mula duduk dan bergurau senda dengan gadis di sebelahnya. Selepas makanan yang mereka order tiba, mereka mula saling suap menyuap. Aku memandang abang Izzhar dan pasangan dua sejoli itu silih berganti.

Abang Izzhar pula seakan memahami kata hatiku lantas dia menjungkitkan bahunya kepadaku. Aku kebingungan seketika.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk terus bersabar saja menyaksikan kerenah mereka dan makan dengan begitu payah. Hati aku benar‐benar terluka tanpa sebab dan ketika ini aku sedang bertanya hatiku sendiri. Sudah adakah rasa sayang aku kepada encik Awal? Aku sungguh‐sungguh tak memahami hati aku sendiri.

‘’Nganga..daripada makan hati berulamkan jantung tu, lebih baik makan spaghetti ni pun sodap.’’ Abang Izzhar cuba bergurau sambil menyuakan aku makanannya. Aku pun terus mengangakan mulut dan menjamah makanan di dalam sudu yang disuakan untukku. Macam sedap pula spaghetti yang abang Izzhar order ni, terus aku menukar pinggan dengannya.

Abang Izzhar sudah ketawa melihat kelakuanku dan dia terus makan makanan aku yang sudah aku tukarkan dengan spaghetti miliknya.

‘’Nak rasa jus mangga tu pula.’’ Aku menarik pula jus mangga milik abang Izzhar dan menukar pula jus tembikai milikku dengannya. Terkebil‐kebil abang Izzhar memerhatikannya. Aku terus ketawa dan cuba melupakan rasa sakit hati aku tadi.

‘’Lain macam saja Has hari ni? Adik abang memang ada hati dengan lelaki tu ke? Kalau tak, takkan jadi macam ni? Kalau ya, suruh dia masuk melamar. Boleh kita bersanding tiga serentak. Senang sikit kerja ibu dan abah nanti.’’ Abang Izzhar menyuarakan pendapatnya. Aku letakkan jari telunjukku di bibirnya sebagai tanda supaya dia diam dan jangan menyebut lagi kejadian tadi. Seketika cuma aku menjeling orang di meja sebelah kami dan ternyata mereka juga sedang memandang ke arah kami. Aku berpura‐pura melemparkan senyuman, kononya nak bagitau orang di meja sebelah kami tu, kami sedang berbahagia saat ini.

‘Biar takdir yang menentukannya. Kalau abang nak kahwin dulu, dipersilakan. Has takkan sesekali menghalang. Full stop!’’ aku mengeluarkan kata‐kata akhir dan terus menyuap hingga licin spaghetti yang telah aku rampas daripada abang Izzhar tadi. Aku sedut pula jus mangga sampai habis. Tak cukup dengan itu, jus tembikai yang aku tukarkan dengan abang Izzhar tadi pun aku capai juga gelasnya dan menyedut airnya hingga kering. Tercenggang abang Izzhar dengan gelagat aku.

‘’Ya allah, kenapalah adik aku boleh berubah sampai begini sekali? Hebat juga penangan cinta dia. Hmm..abang suka tapi abang tak suka sebab dia tarik tangan adik kesayangan abang ni tadi, betul‐betul di depan mata abang.’’ Aku pula yang bereaksi pelik mendengar kata‐kata bang Izzhar. Suka tapi tak suka? Maksudnya?

‘’Suka tapi tak suka?’’ keluar juga pertanyaan itu.

‘’Abang suka kalau dia jadi adik ipar abang sebab dia handsome tapi abang tak suka dengan perangai dia yang lepas laku tu. Tak hormat abang langsung. Dah tahu Has dengan tunang pun, masih berani lagi nak pegang tangan Has. Tak senonoh betul perangai,’’ abang Izzhar berkata sambil menjeling meja sebelah.

‘’Kenapa abang tak bagi warning ja?’’ aku pula cuba provok abang Izzhar. Dia sudah tersengih
kepadaku.

‘’Boleh ke? Abang cuma takut, dia tak apa‐apa, adik abang ni yang menangis tak berlagu nanti?’’ ayat‐ayat abang Izzhar yang seterusnya buat aku mencebik pantas. Abang Izzhar sudah ketawa melihat perubahan wajahku. Sportingkan abang kesayangan aku ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan