Label

Rabu, 14 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab26

IZZ ZAHRAH menghantar mesej ketika aku sedang sibuk dengan urusan pejabat. Lagi beberapa minit aku terpaksa masuk ke bilik mesyuarat untuk berbincang mengenai pemasaran smartphone baru ke peringkat Antarabangsa. Tiba‐tiba mesyuarat terpaksa ditunda kerana ada beberapa pemegang saham tidak dapat hadir kerana urusan peribadi.

Aku turun ke tingkat dua untuk mencari Izz Zahrah bila membaca mesejnya yang mengatakan dia akan makan saja di dalam pantri. Tak sangka pula, bila sampai saja di depan pantri sudah terbau aroma yang tak pernah aku bau sebelum ini.

Aku memang tak pernah makan mee segera sejak lahir. Bukan saja tak pernah makan, membelinya pun tidak pernah. Ketika aku mengemas rumah Izz Zahrah semalam, aku jumpa banyak paket mee segera di dalam almari dapurnya. Rupa‐rupanya dia menjadikan mee segera sebagai makanan tambahan di rumahnya. Pada mulanya aku ingin memarahinya kerana dia telah makan makanan yang tak berkhasiat namun aku tangguhkan dulu.

Hari ini aku terserempak dengan Izz Zahrah di dalam pantri yang sedang menghadap mee segera. Kerana tak mahu Izz Zahrah terus makan makanan tak berkhasiat aku mengambil keputusan untuk menghalangnya makan dengan menjadikan mee segera itu aku punya. Tak sangka pula setelah merasanya sedikit, tanpa sedar aku telah menghabiskan mee segera Izz Zahrah.



Bila melihat Izz Zahrah mengelus perlahan perutnya dan mendengar perutnya yang sedang berbunyi, aku jadi kasihan pula. Tanpa sedar aku melanggar janji kami dan memegang tangannya di dalam pantri.

Aku juga membahasakan diriku abang dan tak semena‐mena ada pekerja yang masuk ke dalam pantri dan menegur aku. Tak tahu apa jawapan yang harus aku berikan, aku mengambil keputusan untuk menjawab apa saja yang terlintas dalam fikiranku.

‘’Bos, jauh lagi ke nak sampai? Orang sakit perutlah bos. Boleh berhenti depan farmasi tu tak? Orang nak beli ubat tahan sakit,’’ aku terkejut bila mendengar suara Izz Zahrah yang bergema di sebelahku. Aku menoleh sekilas ke arahnya sambil mula membelokkan kereta di tepi jalan.

‘’Sakit sangat ke sampai nak kena beli ubat?’’ aku bertanya cemas sambil menghentikan keretaku betul‐betul di depan farmasi. Ini semua sebab Izz Zahrah tak mahu kami bertembung dengan pekerja pejabat dan meminta kami makan di tempat lain. Aku terus mengambil keputusan untuk membawanya makan di restoran yang sedikit jauh dari pejabat kami.

‘’Biasalah bos, jadi orang perempuan macam ni dah ler.’’ Dia menjawab selamba soalanku sambil menekan perutnya dan mengerutkan keningnya. Nampak sangat terseksa dipandangan mataku.

‘’Tak faham, explain please!’’ aku bertanya dengan perasaan berbaur risau tapi soalan aku tak
dijawabnya, sebaliknya dia membuka pintu kereta dan keluar dari kereta sambil mengambil beg tangannya. Aku juga turut keluar dari kereta dan mengekorinya dari belakang.

‘’Akak, Has nak ubat tahan sakit. Macam biasa ya.’’ Aku dengar Izz Zahrah berkata kepada penjaga farmasi itu. Pekerja farmasi itu sudah tersenyum sambil menurut saja kemahuan Izz Zahrah. Aku semakin risau bila mendengar permintaannya tadi. Izz Zahrah sakit apa? Ubat tahan sakit? Macam biasa? Hatiku mula menyoal bertalu‐talu.

‘’Yang hari tu dah habis ke Has? Teruk sangat ke Has?’’ pekerja farmasi bertanya Izz Zahrah.

Aku memandang Izz Zahrah dengan perasaan risau yang membuak‐buak.

‘’Ada lagi kak Lynn, tapi Has lupa nak bawa pula hari ni. Tak tahu pula nak sakit macam ni. 
Selalunya seminggu sebelum datang dia dah mengamuk tapi bulan ni, dia pelik sikit. Angin bertukar arah kot kak,’’ aku dengar mereka berbual sambil minda terus berfikir. Serius aku langsung tak faham maksud mereka. Nak mencelah malu pula memandangkan aku tak tahu hujung pangkal perbualan mereka. Terpaksa aku diamkan diri.

‘’Tak lambatlah tu. Lepas ni naik pangkatlah Has?’’ aku mengerut kening. Naik pangkat?

‘’Apa kena mengena penyakit bulanan Has dengan pangkat pula ni kak Lynn?’’ Izz Zahrah menyoal pekerja farmasi tu. Aku juga sedang menunggu untuk mendengar jawapannya.

‘’Buat‐buat tanya pula. Kalau dah jadi isteri orang time subur ni, tentulah lepas ni naik pangkat. Tak kena gaya Has dulu yang naik pangkat sebelum Ieta.’’ Aku biul seketika mendengar perbualan mereka. Izz Zahrah sudah ketawa mendengar kata‐kata pekerja farmasi itu dan mengambil ubat yang diberikan. Bila dia nak membayar aku yang menghulur duit terlebih dahulu.

‘’Untungnya orang ada abang ni kan? Jelous pula kak Lynn tau,’’ pekerja farmasi berkata sambil
ketawa dan mengambil duit yang aku hulurkan. Selepas dia memberikan aku baki duit mereka
bersalamam‐salaman. Aku melihat mereka berbisik selepas itu dan dengan pantasnya Izz Zahrah mencubit lengan pekerja farmasi. Aku tergaman lagi. Mereka kenal rapat ke?

‘’Kenal ke dengan pekerja farmasi tu?’’ bila kami dah masuk ke dalam kereta aku bertanya kepada Izz Zahrah. Dia tak segera menjawab. Perkara pertama yang dia buat selepas masuk ke dalam kereta adalah menelan ubat yang baru dibelinya dan menselesakan kedudukannya selepas memakai tali pinggang keledar.

‘’Kak Lynn, takkan abang tak perasan kot? Hari tukan dia ada sekali masa kita nikah,’’ aku macam nak melompat saja mendengar Izz Zahrah memanggil aku abang tapi..

‘’Ehh bos, macam mana boleh tersasul pula ni,’’ Izz Zahrah menyambung kata dan wajahnya sudah bertukar warna. Bibir aku sudah menguntum senyum. Alahai Izz Zahrah isteri kesayanganku. Tersebut perkataan abang pun sudah membuatkan wajahnya bertukar warna.

Tu belum aku apa‐apakan lagi. Aku sudah tersenyum nakal di dalam hati.

‘’Bukan ada orang dengar pun. Apa salahnya panggil abang? Abang suka sangat. Bagus tau kalau seorang isteri sentiasa membahagiakan hati suaminya dengan kata‐kata. Ubat apa tadi? Sayang sakit apa? Jangan nak berahsia dengan abang. Ingat janji kita, abang tak mahu ada rahsia antara kita,’’ sambil menyuarakan apa yang aku rasa aku juga bertanya Izz Zahrah akan kemusykilan aku.

‘’Bos ni nyanyuk betullah. Tadi bos tak kenal kak Lynn, sekarang ni tanya pasal sakit pula. Orangkan dah bagitau bos semalam, orang MC solat. Tadi tu ubat tahan sakit untuk sengugut saja pun. Biasalah jadi orang perempuan, sebulan sekali tanggung azab macam ni,’’ suara Izz Zahrah tengelam timbul antara dengar dan tidak. Wajahnya terus merah sejak tadi. Izz Zahrah berkata sambil menundukkan wajahnya. Malu agaknya kerana terpaksa menjelaskan apa yang aku nak tahu. Aku manalah ada pengalaman dengan orang perempuan ni.

‘’Oh, sengugut. Abang manalah tahu, nampak macam teruk sangat. Memang sakit sangat ke?’’ aku masih tak berpuas hati. Soalan masih aku ajukan kepada Izz Zahrah. Dia sudah menoleh ke arahku sambil merenung tajam. Sekejap cuma, dia berkalih pandang ke arah luar kereta dan mula melentokkan kepalanya di kusyen kereta tanpa menjawab soalanku.

‘’Kalau sakit sangat, kerja separuh hari sajalah hari ni. Nanti abang minta tolong Mie buatkan cuti untuk sayang. Kita balik rumah ya? Sayang berehat, nanti abang tolong masakkan untuk sayang,’’

Aku sudah merasa belas dan membuat keputusan untuk Izz Zahrah. Dia terus diam tanpa kata. Aku mengambil jalan mudah dan meneruskan pemanduanku menuju ke rumah aku. Hari ini biar Izz Zahrah pula masuk ke dalam rumahku kerana rumah aku lebih selesa berbanding di rumah Izz zahrah. Itu yang aku fikir.

Izz Zahrah

BILA kereta berhenti, aku membuka mata dan memerhatikan sekeliling kemudian aku menoleh ke sebelah dan mataku bertembung dengan wajah encik Awal yang sedang merenungku. Aku berpaling kalut dan melihat pula keluar kereta. Bangunan rumah flat aku di seberang sana, kenapa encik Awal berhentikan keretanya di sini. Tadi dia kata nak ajak aku balik?

‘’Kita nak ke mana ni?’’ aku menyoal sambil menoleh ke arahnya lagi. Dia menolong aku membuka tali pinggang keledar tanpa menjawab soalan aku. Aku terkesima seketika bila hidungnya menyentuh pipiku. Saat ini, jantung aku terus berlari laju. Encik Awal hanya tersenyum bila melihat wajahku yang mungkin sudah berubah warna.

‘’Jom turun. Malam ni sayang tidur di rumah abang pula. Abang nak jaga sayang. Kesian abang
tengok sayang.’’ Aku berjeda lama mendengar kata‐katanya.

‘’Cepatlah turun.’’ Encik Awal sudah keluar dari kereta dan membuka pintu kereta untukku. Dia
memaksa aku keluar sedangkan minda aku masih tidak dapat mencerna maksud kata‐katanya tadi.

‘’Yang mana satu rumah bos? Kenapa..’’ aku tak menghabiskan ayat‐ayatku. Selama ini aku tak
mengambil tahu pun di mana dia tinggal. Tak sangka pula dia hanya tinggal di depan flat aku saja. Adakah ini suratan atau kebetulan? Hatiku mula bertanya sendiri.

‘’Dulu rumah abang di Taman Perumahan belakang pejabat kita tapi selepas Nur Izz Zahrah Hasyilla bersemadi dalam hati abang, inilah rumah abang.’’ Encik Awal membuka pintu rumahnya sambil mempelawa aku masuk. Rumah apartment sepuluh tingkat dan dia tinggal di tingkat lima sama aras dengan tingkat rumah flat aku. Cuma bezanya rumah apartment ini lebih mewah daripada rumah flat yang aku tinggal.

‘’Dah lama bos tinggal di sini?’’ terkeluar juga soalan itu. Sambil itu langkah tetap ku atur dan
melangkah masuk ke dalam rumahnya. Memang jauh bezanya dengan rumah sewaku.

‘’Sayang ingat tak bila abang cakap abang nak pergi ikut bos abang ke Luar Negara tu?’’ aku
mengangguk mendengar pertanyaannya.

‘’Selepas sayang tak naik makan di tingkat atas lagi, abang selalu ikut sayang balik. Bila abang tak sibuk, abang akan intip sayang dan tunggu di depan rumah sayang sampai pukul sepuluh malam. Kalau sayang keluar ke mana‐mana abang akan ikut sampai sayang balik ke rumah semula,’’ aku mendengar ceritanya sambil berjalan menuju ke dinding kaca rumah dan melihat permandangan luar. Dari sini bangunan flat rumah aku dapat dilihat dengan jelas.

‘’Motifnya?’’ aku bertanya sepatah sambil berpaling ke belakang. Terpaksa aku panggungkan kepala untuk melihat wajahnya.

‘’Motif? Sebab abang sayang Nur Izz Zahrah Hasyilla dan abang tak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada dia.’’ Dia menjawab sambil mencuit hidungku.

‘’Tak penat ke?’’ aku menyoal lagi. Dia mengeleng laju dan tangannya sudah mendepa ke arahku. Aku jungkitkan keningku dan saat ini bibirnya sudah tersenyum lebar sedangkan wajah aku berbahang lagi. Aku pura‐pura menekan perut dan mengerutkan wajahku.

‘’Sakit lagi? Kan sayang dah makan ubat tadi?’’ aku mengulum senyum mendengar pertanyaannya. Setiap kali aku makan ubat tahan sakit memang kesakitan aku akan berkurangan, cuma aku keletihan dan mata asyik mengantuk saja. Tapi sekarang ni aku terpaksa berpura‐pura sakit bila melihat tindakan nakalnya.

‘’Lapar. Tadi abang cakap nak masak?’’ aku cuba mengubah topik kami. Dia sudah melebarkan
senyuman lagi dan aku baru perasan, aku memanggil dia abang sekali lagi. Semakin ringan mulut aku untuk memanggil dia begitu bila dia selalu membahasakan dirinya abang.

‘’Kekalkan panggilan tu ya?’’ dan aku sudah berada dalam rangkulannya sambil dahiku dikucup
lembut. Terbuai seketika perasaan aku menerima hadiah terindah ini.

‘’Janji tetap janji. Masak tetap kena masak,’’ aku bersuara sambil menolak dadanya menjauh daripadaku.

‘’Okey, sayang pergi tidur dulu. Nanti dah siap masak, abang kejutkan.’’ Aku terasa bagaikan
menjadi seorang puteri bila dilayan sebegini. Di pejabat dialah bos besar kami dan tak pernah aku duga selepas aku bergelar isteri, dia akan melayan aku sampai macam ni. Kalau nak difikirkan semula, aku bukan sakit tenat pun. Kalau sekadar sakit perut kerana sengugut itu adalah perkara biasa bagi seorang wanita sepertiku, walau adakalanya boleh membuatkan tubuhku menjadi lemah selemahnya.

‘’Serius? Pandai ke abang masak?’’ aku masih menyoal untuk melihat reaksinya. Tadi memanglah aku teruja tapi dalam hati aku ini tetap ada keraguannya.

‘’Sayang macamlah tak tahu, kebanyakan pakar‐pakar masakan dalam dunia ni terdiri daripada kaum lelaki dan abang adalah salah seorang di antaranya,’’ macam yakin saja dia berkata sambil bibirnya melebarkan senyuman. Aku sudah mencebik. Kita tunggu dan lihat. Aku berkata di dalam hati.

‘’Tak apalah kalau macam tu. Selamat memasak ya. Tuan puteri nak masuk bilik. Nak beradu
sekejap. Nanti kejutkan tuan puteri ya?’’ aku berkata selamba dan melangkahkan kakiku. Aku
membuka pintu yang ada di hadapan ruang tamu. Aku sudah teruja melihat bilik encik Awal.

Lebih kemas dan bersih dari bilik aku. Rumah dia pun aku perasan sejak masuk, memang kemas dan cantik.

Aku mula merebahkan tubuhku di atas katil. Mata yang masih lagi mengantuk menyeru aku untuk melelapkannya buat seketika lagi. Ini semua sebab ubat tahan sakit yang aku telan tadi. Selalunya kesan ubat itu memang macam ni la. Aku tak berdaya untuk terus bertahan. Suasana bilik yang nyaman membuatkan mataku semakin cepat untuk pejam dan akhirnya aku sudah tidak sedarkan diri lagi. Hanya mimpi‐mimpi di siang hari yang menemani tidurku.

‘’SAYANG..’’ aku menenyeh mataku perlahan. Bayang‐bayang yang muncul di depanku buat aku mengecilkan mata.

‘’Bangun sayang. Abang dah siap masak. Kita makan, jom..’’ aku mengeliat malas sambil menguap. Tiba‐tiba aku baru tersedar di mana aku berada. Pantas aku menutup mulut.

‘’Eh, bos? Sorry, tertidur pula. Mengantuk sangat. Makan ubat tahan sakit tadi kot. Katil bos ni pun empuk sangat, tu pasal tidur sampai tak sedar diri. Bos cakap apa tadi?’’ akibat termalu dengan gelagat aku tadi, sengaja aku berceloteh panjang. Haih! Macam mana sampai boleh terlelap ni? Aku ingat tadi nak baring‐baring saja. Hati aku sudah mula membebel.

‘’Bangun makan. Tadi kata lapar, boleh pula sampai tertidur?’’ aku sudah tersengih mendengar kata‐kata encik Awal. Dengan wajah berbahang aku mula turun dari katil. Dan ketika inilah aku rasakan perut aku memulas sakan. Pedih kelaparan dan sebagainya ditambah dengan pengaliran darah yang keluar dengan banyak. Inilah cobaan seorang wanita seperti aku. Tak boleh tidak, kena juga mengharunginya.

‘’Opsss..’’ wajah aku semakin berbahang akibat menahan malu. Terasa ada sesuatu yang sudah
mengalir dengan laju dan sudah menitis di atas permaidani gebu yang berwarna putih di dalam bilik ini. Aku sudah mengelabah.

‘’Sorry,’’ aku berkata perlahan sambil mendongak dan memandang wajah encik Awal. Rasa macam nak menangis pun ada.

‘’Kenapa?’’ sepatah dia bertanya dan memandang aku dengan wajah hairan.

‘’Bocor,’’ sepatah juga aku menjawab.

‘’Hah?’’ aku tahu dia tentu masih tak faham maksud aku. Sedangkan aku kalau boleh tak mahu
bergerak dari tempat aku berdiri. Macam‐macam yang sedang melanda perasaan aku sekarang.

‘’Macam mana ni? Bos boleh tolong tak?’’ encik Awal sudah mengangguk laju mendengar
pertanyaanku.

‘’Tolong ambilkan beg tangan orang. Orang nak ambil barang dalam tu. Please!’’ aku cuba merayu dia. Dalam masa yang sama aku sudah menunduk dan memandang permaidani yang sudah tercemar.

‘’Sayang! Banyak sangat ke keluar?’’ tak sangka pula tindakan aku dapat dikesan oleh encik Awal. Dia yang nampak lebih mengelabah berbanding aku. Dan tanpa diduga dia sudah mencempung aku dan membawa aku masuk ke bilik air.

‘’Tunggu di sini, abang ambilkan pakaian. Sayang mandi dulu, lepas ni kita makan. Tentu sayang tak selesakan? Perut masih sakit lagi tak? Memang selalu macam ni ke? ‘’ encik Awal bersuara cemas. Tiba‐tiba hati aku digeletek lucu. Aku terbayang pengalaman pertama aku datang bulan dulu, sampai menangis aku kerana takut.

‘’Ishh, orang okeylah. Tolong ambilkan beg tangan orang ya? Orang letak atas sofa tadi.’’ Aku sudah tersenyum lebar melihat betapa mengelabahnya encik Awal. Baru jadi suami dah terpaksa berdepan dengan babak‐babak tak diundang ini pula. Aku ini pula kalau tertekan memang pengaliran darahnya jadi tak stabil dan adakalanya terlalu banyak macam ni, ditambah pula dengan sengugut yang tak mampu aku tahan.

Beberapa minit kemudian encik Awal datang semula ke bilik air bersama beg tangan aku dan
pakaian tidurnya berserta sehelai tuala. Nampaknya aku tiada pilihan selain menyarung baju tidurnya yang terlebih saiz ini. Nak saja aku meminta tolong daripadanya agar dia pergi ke rumah aku dan mengambil pakaian aku. Tapi, kesian pula untuk menyusahkan dia lagi.

‘’Okey ke tak ni?’’ dia masih bertanya dan aku sudah tersenyum. Dalam masa yang sama tangan aku sudah menolak dia supaya keluar dari bilik air agar aku dapat membersihkan diriku dan menyalin pakaian secepat mungkin. Perutku sudah lama berdondang sayang. Tak tertahan rasanya.

‘’Kalau ada apa‐apa panggil abang tau! Abang tunggu kat luar ni,’’ aku dengar encik Awal melaung dari luar bilik air selepas aku mengunci pintu. Aku sudah melebarkan senyuman sambil kepalaku tergeleng berkali‐kali. Hati terasa bahagia tak terkata bila ada orang yang sudi risaukan aku begini.

Tak sangka inilah perasaannya bila ada orang yang menyayangi diri. Mudah‐mudahan sikap ambil berat dia akan berterusan begini sehingga aku menghembuskan nafasku yang terakhir.

Aku berharap di dalam hati.

KAMI mula menuju ke meja makan selepas aku selesai bersiap ala kadar. Dengan wajah ori tanpa sebarang solekan aku melebarkan senyuman buat encik Awal. Dia pula mencapai tangan aku dan memimpin tangan aku. Dia tarik kerusi untuk aku dan pelawa aku duduk.

Wah! Aku benar‐benar terasa bagaikan seorang puteri. Dahlah dia yang masak untuk aku. Aku
menghidu haruman masakan yang dimasaknya. Lain daripada yang lain dan aku sudah tidak sabar untuk merasanya.

Erkkk? Respon pertama aku selepas merasanya. Tawar dan langsung tiada rasa pedas tapi bau dan rasa keju begitu kuat sekali. Untuk mengambil hatinya, aku cuba juga menelan dalam kepayahan. Sesuap, dua suap dan masuk suapan ketiga, aku sudah tidak mampu untuk berpura‐pura lagi.

Aku bangun dan menuju ke arah peti ais. Aku buka peti ais dan mula menyelongkar. Namun, apa yang aku cari tidak aku temui. Aku mengeluh panjang. Mana nak jumpa kalau tuan rumah pun tak suka makan makanan pedas?

‘’Sayang cari apa tu?’’ encik Awal mula bertanya bila melihat sikap pelik aku yang membisu seribu bahasa.

‘’Cili padi tak ada ke bos? Tak pedas tak bestlah bos. Bukan nak komplen bos masak tapi lidah
orang ni, pandai makan belacan dengan makanan pedas saja. Keju, keju ni lidah orang reject awal‐awal lagi,’’ akhirnya aku berlaku jujur saja.

‘’Belajarlah makan, nanti sayang tetap nak kena masak untuk abang juga. Hari pertama kita makan sekali tu, boleh ja abang makan nasi pedas sayang tu?’’ amboi! Nak balas dendam ke apa ni? Aku sudah bersoal jawab di dalam hati. Perut aku berbunyi lagi dan aku menekan perut aku dengan kuat.

‘’Sakit lagi ke?’’ encik Awal menyoal dalam nada bimbang.

‘’Tak! Perut orang ni cakap, tak nak makan keju! Tak nak! Tak nak!’’ aku mencari alasan untuk
mengelak dari terus menjamah masakan ala‐ala western food dia tu.

‘’Lada bengala ada tu, tingkat bahagian sayur tu. Serbuk lada sulah dengan serbuk lada hitam pun ada. Sayang nak ke?’’ aku terus mengangguk laju. Yang penting ada rasa pedas dan aku kembali menyelongkar peti ais. Encik Awal sudah datang dan membantu aku mengeluarkan bahan‐bahan yang aku nak tu. Rumah diakan? Aku bukannya tau mana dia letak. Dahlah peti ais besar gedabak. Banyak pula pintu. Aku cari pun tak jumpa.

‘’Jangan amalkan sangat makan makanan pedas ni. Takut rosak pula usus tu.’’ Encik bos sudah mula berleter. Aku hanya tersengih dan membuat tanda peace. Tak pasal‐pasal dahi aku dia jentik. Hiss..

‘’Sakitlah!’’ aku merungut sambil mengosok dahiku. Mata aku sudah menjeling tajam ke arahnya.

‘’Baru jentik sikit dah sakit. Manja!’’ dia membebel lagi.

Aku mencebik sambil berjalan ke arah singki. Aku ambil mangkuk dan pisau dan mula menghiris lada benggala hingga menjadi kecil. Aku masukkan ke dalam mangkuk dan basuh, kemudian aku selawat tiga kali. Memang inilah yang ibu ajar. Setiap kali membasuh makanan kami diwajibkan untuk berselawat.

‘’Apa nama masakan bos ni?’’ spontan pertanyaan itu keluar daripada bibirku selepas aku kembali duduk di tempat aku tadi. Encik Awal yang sedang rancak menyuap, mengunyah makanannya perlahan‐lahan sebelum menjawab pertanyaan aku. Aku pula memasukkan cili benggala dan serbuk lada hitam ke dalam pingganku. Yummy, pedas barulah best! Hati aku bersorak riang.

‘’Creamy Tuna spaghetti. Kenapa? Tak sedap ke? Hari tu abang tengok sayang makan spaghetti dengan abang Izzhar okey jer.’’ Kata‐kata encik Awal membuatkan aku memandang tepat ke wajahnya. Aku makan dengan abang Izzhar? Aku cuba mengimbas kembali. Bila ya?

‘’Oh! Hari abang bawa Lina tu ke? Itu spaghetti special. Orang dah siap pesan gantikan keju dengan cili padi. Lagi pun spaghetti tu resepi mereka bukan macam ni. Tu resepi ala‐ala Malaysia punya.’’ Aku berkata sambil tergelak kecil. Dia sudah mencebik kepadaku.

‘’Betullah, kalau tak percaya nanti kita pergi lagi. Biar orang yang order,’’ aku menawarkan diri.

Dia sudah mengeleng laju.

‘’Makan dulu, lepas ni baru plan lain nak pergi makan di mana. Makan sampai habis. Abang masak dengan penuh kasih sayang tu…dan abang masukkan ubat pengasih dalam tu. Lepas ni mesti sayang akan terus panggil abang. Tak ada lagi encik Awal atau bos tu.’’

Aku terus ketawa mendengar kata‐katanya. Hailah suamiku. Semuanya dia nak segera. Baru sangat kenal dah nak bertunang. Dah bertunang, nak nikah pun segera. Baru sehari nikah dah suruh aku panggil dia abang. Masalahnya aku bukan dia yang boleh berubah sekelip mata.

Sabarlah duhai hati. Aku memujuk diriku sendiri dan mata aku sudah merenung enchek suami yang sedang makan di depan aku ni. Kau suamiku Aswal Madri! Sayang dan cintaku sudah mula bercambah dan takkan mati selagi kau masih bergelar suami. In Sha Allah!..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan