Label

Rabu, 14 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab30

“I’M sorry okay. Saya tak boleh tahan. Dah berapa hari saya tak tengok awak kat bus stop tu.” kata Alexander Zulkarnaeen.

Matanya tak lepas memandang Intan Nawrah, melepaskan rasa rindu yang tertangguh. Mujurlah Intan Nawrah belum sah menjadi isterinya. Tahankan sajalah segala gelora yang membakar. Benarlah kata emak, dah tiba masa untuk dirinya berumah tangga. Makin ditahan makin sengsara rasanya.

“Awak sedar tak awak dah langgar syarat saya, Zul?”

“Sedar.” Jawab Alexander Zulkarnaeen.

Apa boleh buat, apabila hati sudah melangkaui akal, maka hal yang tak sepatutnya dilangkaui juga walaupun dalam sedar. Begitulah yang terjadi pada dirinya sewaktu mendapat berita yang Intan Nawrah di hospital dan tidak sedarkan diri. Apa sahaja benteng yang ada di depan, semuanya dilanggar sahaja.

“Saya terima hukumannya.”

“Tak sempat saya nak fikir hukumannya, Zul.”

“Terima kasih.”



“Terima kasih?” soal Alexander Zulkarnaeen tertanya‐tanya.

Memang hairan jika Intan Nawrah berterima kasih padanya kerana melanggar syarat yang ditetapkan. Atau sebenarnya Intan Nawrah cuma menyindir. Diakah yang tidak memahaminya?

“Terima kasih, Zul. Semua surat‐surat awak sampai pada tangan saya.” ucap Intan Nawrah, mengambil peluang itu untuk berterima kasih, walaupun segan. Alexander Zulkarnaeen tersenyum. Wajah kemerahan kerana malu memang dinantikannya. Jika dihuraikan dengan lebih lanjut, tentu dia akan peroleh jawapannya hari ini, tetapi ada hal lain yang mengganggu fikirannya semenjak menerima berita tentang kondisi Intan Nawrah pagi tadi.

“Susah, Intan Nawrah. Tak boleh mendekati dan tak boleh menghubungi.”

“Ada hikmahnya kita berjauhan. Bukankah itu memberi ruang pada kita untuk diam dan berfikir? Apa baiknya kita bersama dan apa buruknya hidup saya tanpa awak?”

“Keputusan saya tak pernah berubah, Intan Nawrah. Dari mula saya kenal awak, niat saya satu aje, nak menjadikan awak sebagai permaisuri hidup saya.”

Ucap Alexander Zulkarnaeen, yakin. Intan Nawrah mengangguk. Dia sedar, Alexander Zulkarnaeen tidak menipu dengan apa yang dikatanya. Dia saja yang tak bersedia, tambahan pula sikap Alexander Zulkarnaeen yang terlalu berterus‐terang walaupun mereka saling tak mengenali. Mana‐mana wanita pun akan merasakan hal yang sama. Rasa diburu dan tidak selamat. Anehnya, selama Alexander Zulkarnaeen menjauhi, dia rindu dan terkenang‐kenang pula. Dan selama mereka berjauhan, Intan Nawrah punya masa untuk berfikir dan bertanya pada diri sendiri, apakah lelaki itu yang dicari sebagai calon suaminya?

“Awak solat lima waktu, Zul?”

Alexander Zulkarnaeen berkerut kening. Soalan itu janggal tetapi dia menggangguk juga, bukan kerana terpaksa tetapi memang itu tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim. Intan Nawrah pun tentu akur dengan kewajipan itu, kewajipan menunaikan solat. Sebesar manapun diri, atau sebanyak manapun harta yang dikumpul, tetap pada ALLAH dia menyerah diri.

“Sejak bila awak puasa penuh di bulan Ramadhan, Zul?”

“Ha...ha...ha. Adoi! Tak ingatlah, Cik Intan Nawrah. Mungkin masa tu saya baru darjah tiga atau empat.”

“Iya ke?” tanya Intan Nawrah, bagai tidak percaya.

Alexander Zulkarnaeen perasan perubahan pada wajah wanita itu, lantas tertawa. Ini macam soal jawab Rukun Islam aje. Beza soalannya cuma dia buat atau tidak rukun‐rukun itu.

“Betul....memang saya tak ingat.” Jawabnya selepas lama berfikir.

Intan Nawrah cuma melorekkan senyuman, tetapi tiada bicara pula darinya. Akhirnya, masing-masing membungkam sepi sehingga terdengar suara Intan Nawrah, perlahan.

“Zul...lepas ni jangan jumpa saya lagi, ye. Kita saling hormati persetujuan bersama.”

“Sampai bila?”

“Cukup masanya, saya sendiri akan cari awak.” Katanya memberi janji. Alexander Zulkarnaeen tidak menyahut. Dia akur lagi buat sekian kalinya, demi Intan Nawrah.

SITI Fatimah hanya menghadiahkan senyuman buat Alexander Zulkarnaeen. Dia ingatkan, selepas Intan Nawrah membuat keputusan tidak menerima lamaran Alexander Zulkarnaeen, hubungan keduanya malap, rupa‐rupanya masih ada isyarat dari kedua‐duanya. Dia sahaja yang tidak tahu rupanya.

“Makcik. Sihat?”

“Alhamdulillah. Zul, dah nak balik ke?”

“Emmm. Saya sampai dalam pukul sembilan tadi, sekarang dah nak balik.” Ceritanya serba ringkas. Siti Fatimah tersenyum lagi. Dalam hati, dia berdoa moga terbuka pintu hati Nawrah untuk menerima anak muda ini.

“Makcik, Nawrah sakit apa? Saya tanya, dia tak nak beritahu.”

“Oh, Zul ada masa free? Kita minum dulu, makcik belanja.”

“Boleh, boleh. Kita minum di cafe.”

Jawabnya, mula beriringan dengan Siti Fatimah. Mereka bertemu di lorong kecil aras beberapa minit lalu. Alexander Zulkarnaeen dalam perjalanan pulang, Makcik Siti Fatimah pula dalam perjalanan untuk menemui anaknya, Intan Nawrah. Sepanjang perjalanan menuju ke cafe yang terletak di tingkat bawah, mereka kurang bersembang. Masing‐masing asyik melihat gelagat pelawat yang bermacam karenah.

Dia memesan kopi o secawan, begitu juga dengan Makcik Siti Fatimah. Ketika hendak membayar pula, Alexander Zulkarnaeen terpaksa memberi ruang kepada Makcik Siti Fatimah untuk membelanjanya.

“Tak apalah, Zul. Bukan selalu.”

“Terima kasih, makcik.” Ucapnya, walaupun segan.

“Nawrah tu...kena serang dengan housemate dia baru‐baru ni.”

“Astargfirullahal azim.” Ucap Alexander Zulkarnaeen. Spontan aksinya yang sedang mengacau air terhenti. Wajah Makcik Siti Fatimah ditenungnya bagai tidak percaya. Intan Nawrah diserang teman serumah?

“Diserang? Kenapa?”

“Entahlah, Zul. Makcik tau sikit‐sikit. Itupun Natrah yang cerita. Kata Natrah, teman serumah Nawrah suka bawa balik teman lelaki, kemudian buat kerja tak senonoh dalam rumah tu. Si Nawrah marah, ditelefonnya pegawai penguatkuasa agama. Dia serang Nawrah hal tu lah, Zul. Dia marahkan Nawrah yang kacau daun.”

Terang Makcik Siti Fatimah, perlahan. Air mukanya petanda tidak gembira. Alexander Zulkarnaeen juga begitu, terus hilang mood untuk minum air. Sebaliknya, dia sibuk berfikir tentang keselamatan Intan Nawrah yang terjejas.

“Kebetulan dia balik nak ambil barang‐barang di rumah. Natrah dengan suaminya ada teman, katanya nak tolong mengangkat barang. Natrah kata hal tu sekelip mata, Zul. Kawan serumahnya serang Natrah sekelip mata. Nawrah disepak, kemudian dihentak kepalanya ke lantai. Mujurlah Natrah ada, cepat bawanya ke hospital. Kalau tak, tak tahu apa jadi pada Nawrah. Lepas kejadian tu, tiga hari dia tak sedarkan diri, Zul.”

Panjang lebar Makcik Siti Fatimah bercerita tentang punca kejadianitu. Tiga hari pertama di hospital, kesihatan anaknya terjejas teruk. Dia hampir berputus asa dan pernah berfikir yang anaknya tak mungkin sihat seperti dulu, tetapi ALLAH lebih mengetahui segalanya. Intan Nawrah sedar pada hari ketiga, dan semakin pulih pada hari keempat.

“Sebab nafsu, manusia jadi gila.” Komen Alexander Zulkarnaeen.

“Kalau ikutkan hati memang nak marah, tapi untuk apa? Yang penting sekarang, Nawrah dah semakin sihat. Si pelaku tu, mudah‐mudahan dipenjara seumur hidup.”

Ulas Alexander Zulkarnaeen. Kalau ikut hatinya, mahu juga dia mendapatkan teman serumah Intan Nawrah tu dan bersemuka dengannya. Kemudian, dia sedar. Untuk apa dia campur tangan? Untuk mengeruhkan keadaan?

“Harap‐harap begitulah, Zul. Cuma, Nawrah tu belum pulih sepenuhnya. Ada hal‐hal tertentu, dia lupa.”

“Saya harap dia cepat sihat, makcik.”

“Makcik pun harap begitu, Zul. Doktor kata nak pantau perkembangan dia dua tiga hari lagi. Kalau dia semakin okay, InsyaALLAH dia akan dibenarkan pulang.”

“Saya yakin, Nawrah akan sihat.”

Kata Alexander Zulkarnaeen, meyakini kemampuan Intan Nawrah untuk pulih. Baginya, Intan Nawrah boleh menghadapi kesulitan itu. Jauh di sudut hati, dia meyakini kemampuanIntan Nawrah. Makcik Siti Fatimah senyum sahaja. Sebagai ibu, dia juga amat mengharapkan Intan Nawrah diberi kesihatan yang baik semula.

Mereka terus bercerita dari satu hal ke satu hal, hingga tiba pada topik yang tak dijangkanya. Hal sumbangan seratus enam puluh ribu ringgit yang hampir membuatkan Alexander Zulkarnaeen tersedak. Mujurlah rahsia itu tidak ada siapa yang tahu. Banyak hasrat yang terpaksa dipendam olehnya ketika berbual dengan Makcik Siti Fatimah, termasuklah niat hendak menghantar rombongan yang terpaksa didiamkan mengenangkan keadaan Intan Nawrah. Dia sedar, wanita itu tentu perlukan rehat yang banyak untuk kembali sihat seperti dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan