Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Kasih Yang Terindah Bab48

Maizura benar‐benar gembira setelah doktor mengesahkan dia sedang hamil lapan minggu.
Kesyukuran tidak putus‐putus dipanjat ke hadrat Ilahi dengan kurniaan yang selama ini menjadi impian mereka.

Harapan Maizura untuk melihat hubungan dia dan Amir kembali baik menjadi berbunga. Maizura berharap Amir akan berubah menjadi seperti dulu setelah dia mengkhabarkan berita gembira itu. Namun begitu Maizura terpaksa bersabar walau hati sudah berdetak hebat untuk mengkhabarkan berita itu. Maizura mahu memberitahu Amir secara bersemuka setelah mereka pulang ke rumah.

Kegembiraan Maizura kian bertambah setelah mendapat panggilan dari Diana. Temannya itu sudah pulang ke Malaysia. Diana ingin bertemu dengannya lalu mereka berjanji untuk bertemu malam nanti.

Pukul lapan malam, Amir sampai ke rumah. Melihat wajah suaminya yang cukup tegang, Maizura membatalkan niat untuk memberitahu berita gembira yang diperolehi. Ketika itu dia sedang bersiap untuk keluar bertemu Diana.

“Abang, Zura nak minta izin keluar. Diana baru balik dari Perth. Dia nak jumpa Zura. Dia akan
datang ambil Zura pukul sembilan nanti,” beritahu Maizura.



Dia menghampiri Amir yang sedang menanggalkan pakaian di depan almari. Merasakan diri
dihampiri, Amir terus menuju ke bilik air membuatkan Maizura terkesima.

“Abang, boleh tak Zura keluar? Kalau abang tak benarkan Zura tak akan pergi,” tanya Maizura lagi.

Langkah Amiruddin yang menuju ke bilik air terhenti. Namun dia tidak menoleh. Maizura menghampiri lalu menyentuh bahu suaminya. Amir terus beranjak menjauhi. Maizura benar merasa kecewa.

“Selama ni ada saya halang awak keluar? Awak boleh keluar dengan sesiapa saja, bila‐bila masa yang awak suka. Saya tak pernah nak halang. Cuma awak yang tak pandai menghargainya,” selar Amir bengis. Langsung dia tidak memandang wajah isterinya. Wajah yang selama ini menjadi sumber inspirasi.

“Abang, kan Zura dah terangkan semua tu. Semua yang berlaku hanya salah faham. Zura tak tahu siapa yang merakamkan foto tu. Tapi Zura berani bersumpah, abang. Zura tak sengaja buat semua tu. Zaidi cuma nak selamatkan Zura,” jelas Maizura.

Dia beralih ke depan Amir namun lelaki itu berkalih ke lain. Langsung tidak mahu memandang
wajahnya membuatkan Maizura semakin terasa hati.

“Abang, kenapa abang buat Zura macam ni? Abang dah tak sayangkan Zura ke? Abang dah bencikan Zura ke?” suara Maizura berubah sayu. Air mata sudah mengalir di pipi. Dia mencapai tangan Amir tapi ditepis kuat.

“Sudahlah. Malas saya nak dengan kata‐kata manis awak tu. Makin lama makin sakit hati. Ikut suka awaklah nak keluar dengan siapa pun, bila‐bila pun. Saya dah tak kisah. Saya dah tak peduli!” bentak Amir keras lalu masuk ke dalam bilik air. Daun pintu dihempas kuat, meninggalkan Maizura yang sedang menangis sendirian.

Ketika Diana sampai di perkarangan banglo milik Dato’ Mokhtar, Maizura masih berwajah muram. Sewaktu Maizura turun ke tingkat bawah, Amir masih belum keluar dari bilik air. Maizura dapat rasakan Amir benar‐benar marah padaya.

Kalau bukan kerana Diana memang dia tidak akan keluar. Tapi bila memikirkan itu adalah peluang untuk dia berkongsi derita yang ditanggung selama ini bersama temannya, Maizura membuat keputusan menemui Diana. Harapannya, dia dapat berkongsi beban yang selama ini terasa menghimpit perasaan.

Mak Senah hanya mampu melihat kepergian Maizura dengan pandangan sayu. Dalam hati, terdetik rasa kasihan pada wanita itu. Mak Senah juga merasa terkilan dengan Dato’ Mokhtar.

Kerana lelaki itu langsung tidak mahu campur tangan dalam pertelingkahan anak dan menantunya. Apatah lagi untuk menasihati. Dato’ Mokhtar terlalu sibuk dengan urusan perniagaan.

Namun jauh di sudut hati Mak Senah tahu Dato’ Mokhtar terpaksa berbuat begitu. Mak Senah tahu Dato’ Mokhtar sebenarnya merasa malu untuk memberi nasihat kepada Amir mengenangkan diri yang pernah mengalami krisis rumahtangga bersama Datin Zakiah.

Diana begitu gembira mendengar perkhabaran dari Maizura mengatakan temannya itu sudah
mengandung. Namun dia tetap terkilan mengetahui Maizura dan Amir sedang mengalami masalah rumahtangga. Apa yang mampu Diana katakan hanyalah menyuruh Maizura banyakkan bersabar.

Mereka tiba di restoren yang sudah ditempah Diana setengah jam kemudian. Maizura nyata terkejut apabila Diana mengatakan dia juga menjemput Ziela. Walaupun begitu Maizura tetap berlagak tenang. Dalam diam, dia berharap semoga Ziela tidak mengundang Zaidi seperti selalu.

Mereka bertiga menjamu selera setelah Ziela tiba. Terlalu banyak perkara yang dibualkan. Ziela dan Diana kelihatan begitu gembira tapi berlainan pada Maizura. Dia kelihatan muram bahkan Maizura tidak berselera untuk makan.

“Zura, are you okay?” tanya Diana.

Tangan dipanjangkan menyentuh lengan Maizura yang terlunjur di atas meja. Maizura sedikit tersentak sebelum menggeleng perlahan sambil mengukir senyu nipis.

“I tak apa‐apa. Excuse me. I nak ke toilet kejap,” pinta Maizura lalu bangun dari kerusi.

“You nak I temankan?” tanya Diana turut bangun.

Maizura tidak menjawab. Diana mengiringi temannya itu ke bilik air meninggalkan Ziela sendirian.

Ziela tersenyum lebar. Dia tahu rancangannya kali itu pasti akan berjalan seperti biasa. Segera dia menelefon Zaidi bertanya keberadaan lelaki itu. Selepas itu dia menelefon Amir, menyuruh datang ke restoren tersebut. Nyata Ziela punya agenda tersendiri.

Setelah Maizura dan Diana kembali ke meja, Ziela berlagak seperti biasa. Sedang mereka menikmati makan malam, Zaidi muncul.

Diana begitu terkejut dengan kemunculan lelaki itu. Maizura lebih lagi. Diana memandang Maizura. Wajah temannya itu berubah muram.

“Zura, I tak jemput Zaidi. Sumpah!” bisik Diana. Maizura yang tahu hanya mengangguk kecil.

Diana mula merasa bersalah. Lebih‐lebih lagi setelah dia mendapat tahu punca keretakan rumahtangga temannya itu kerana Amir menyangka Maizura mempunyai hubungan dengan Zaidi. Diana juga tahu Maizura dan Amir tidak sukakan lelaki itu. Sentiasa ingin menjauhkan diri dari Zaidi sejak mereka di Kent lagi.

“Hai Diana, Zura,” sapa Zaidi sebelum melabuhkan punggung di sebelah Ziela.

Maizura sekadar tersenyum nipis. Dan dia sudah dapat menduga dalang di sebalik semua yang
berlaku. Dia yakin semua itu adalah agenda Ziela. Dia juga yakin semua kekalutan yang berpunca dari foto‐foto juga SMS yang diterima Amir adalah dari Ziela. Wanita yang selama ini turut kecewa kerana cintanya ditolak Amiruddin. Teman yang selama ini menjadi duri dalam daging.

“Zura, you nak balik ke? Jom I hantarkan,” bisik Diana perlahan. Maizura sekadar menggeleng.

“Tak apalah. Kita makan dulu,” balas Maizura.

Diana cuma mengangguk. Mereka menyambung perbualan seperti biasa. Maizura tetap tenang sedangkan tak pernah dia tahu suaminya dalam perjalanan ke situ.

Selesai makan, mereka berempat melangkah keluar. Ziela meminta untuk menunggu kerana dia mahu ke tandas. Ziela meminta Diana menemankan namun Diana menolak. Mahu atau tidak Ziela terpaksa melangkah ke tandas dengan rasa sebal. Namun begitu idea jahatnya tidak tamat di situ.

“Diana, tolong I. Phone I terjatuh dalam mangkuk tandas. I tak dapat nak ambil. Tolong I, please,” Ziela yang muncul tiba‐tiba menjerit kecil.

Diana sudah mengeluh kasar. Maizura pula sekadar mencebik. Dia tetap ternanti‐nanti apa yang akan dilakukan Ziela kali itu. Lebih tepat, dia sudah tidak sabar untuk menunggu fitnah seterusnya dari temannya itu sebelum dia bertindak. Teman bertalam dua muka.

“Kenapa tak panggilkan staff restoren aje? Biar dia orang tolong ambilkan,” tanya Diana geram.

“Dah. Dia orang dah tolong. You temankanlah I,” pinta Ziela. Dia menarik‐narik tangan Diana.

“Alah... you ajak Zaidi aje,” kata Diana.

“Zaidi kan lelaki. Mana boleh masuk toilet perempuan,” balas Ziela sedikit marah.

“You pergi sendirilah. You kata staff restoren dah tolong. Tunggu ajelah,” marah Diana pula.

“Alah... please Diana. Temankan I,” Ziela merayu lagi. Dia terus menarik tangan Diana menuju ke restoren. Mahu atau tidak Diana terpaksa ikut.

Maizura yang ditinggalkan hanya mengangguk, mengizinkan Diana meninggalkan dia bertemankan Zaidi. Maizura juga sebenarnya ingin bercakap dengan lelaki itu. Lalu dia menghampiri Zaidi yang bersandar di kereta.

“Zaidi, we need to talk. Saya harap lepas ni kita tak akan bertemu lagi. Tolong jangan cari dan ganggu saya lagi. Tolonglah benarkan kami hidup dengan aman,” ujar Maizura setelah berada hampir dengan Zaidi.

Zaidi yang mendengar terkeliru. Kerutan jelas timbul di dahi.

“Apa maksud awak, Zura?”

“Tolong jangan ganggu rumahtangga saya lagi. Dan tolong jangan jumpa saya lagi, faham?”

“No! Saya tak faham. Kenapa awak marahkan saya? Saya cuma nak bantu awak. Saya tahu awak tak bahagia dengan Amir, kan?”

“Siapa kata? Hubungan kami selama ini begitu baik sehingga awak muncul dan memecah belahkan rumahtangga kami. Awak dan Ziela punya agenda tersendiri, kan? Ziela ingin memiliki Amir dan awak ingin memiliki saya. Sebab tu awak berpakat dengan Ziela untuk memusnahkan rumahtangga yang kami bina!” bentak Maizura kasar.

Kelembutan dan kelunakkan suara selama ini sudah hilang entah ke mana. Apa yang pasti
Maizura mahu menyelesaikan semua masalah yang melanda mereka malam itu juga.
“Apa yang awak cakapkan ni Zura? Saya tak faham.”
“Sudahlah! Jangan pura‐pura tak faham. Saya tahu awak cuba nak memiliki saya, kan? Saya nak
beritahu awak satu perkara. Awak dan Ziela takkan berjaya memisahkan kami. Saya akan tetap
menjadi milik Amir selama‐lamanya!”
“Zura, nanti dulu. Saya... saya benar‐benar tak faham,” Zaidi mendekati Maizura dan
memegang lengan wanita itu. Namun Maizura menolak kasar.
Seketika Maizura terbatuk. Tekak tiba‐tiba terasa mual tapi ditahan jua. Tapak tangan
menekup mulut “Tolonglah, Zaidi. Saya merayu pada awak. Tolong jangan ganggu saya lagi. Tolong jangan
ganggu kehidupan kami.” suara Maizura berubah nada. Tangan kiri menekan dada manakala
tangan kanan tetap menekup mulut. Kepala mula terasa berdenyut.
“Ukh!”
“Zura, kenapa ni?” Zaidi memegang bahu tapi tetap ditepis kasar.
Maizura sudah tidak dapat menahan rasa loya. Dia melangkah laju menuju ke longkang dan
memuntahkan isi perut di situ. Zaidi yang terkejut terus menerpa untuk membantu.
“Zura, kenapa dengan awak ni?” Zaidi memaut lengan Maizura tapi tetap ditepis kuat.
“Don’t touch me!”
Maizura terus muntah di situ. Tekak terasa perit dan pandangan mula berpinar. Maizura terasa
seperti mahu pitam.
Melihat keadaan Maizura yang terhoyong‐hayang, Zaidi memaut tubuh itu dan dibawa ke
sebuah kerusi berdekatan.
“Zura, awak tak apa‐apa kan?” tanya Zaidi cemas melihat wajah Maizura yang berubah pucat.
Dia tercari‐cari kelibat Diana namun orang lain pula yang muncul.
Amir mengepal penumbuk. Dia yang hanya menyaksikan Maizura dipeluk Zaidi sebelum
mereka duduk di kerusi sudah tidak dapat menahan perasaan. Amir terus menerkam.
Zaidi yang tak sempat mengelak tergamam setelah satu tumbukan padu singgah di muka.
Maizura tersentak dan menjerit kuat menghalang Amir namun dia pula ditempeleng suaminya.
“Amir!!”
Diana yang menyaksikan semua itu terus menerpa. Amiruddin merengus kencang.
“Dasar perempuan tak sedar diri! Kau masih nak tipu aku ya!?” Amir menjerit nyaring.
Dia cuba menerkam untuk mendapatkan Maizura tapi Zaidi menghalang. Kedua mereka
bergelut di situ sebelum Diana meleraikan.
Amir mencerunkan pandangan tajam pada Maizura yang sedang menangis tersedu. Amir
meludah ke tanah dan berlalu dari situ. Zaidi semakin tergamam. Diana kalut manakala Ziela
yang memerhati tidak jauh dari situ tersenyum puas. Rancangannya kali itu juga sudah berjaya.
Ziela terusan merasa puas!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan