Label

Sabtu, 17 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab16

Perkampungan Filia, Wilayah Iremia

VASILIAS mendarat di Perkampungan Filia pada waktu malam menggunakan kuasa sihir. Waktu malam adalah masa di mana kekuatan sihir berada di puncak. Meskipun berbahaya kerana untaian sihir Favlos juga turut sakti pada masa ini, namun Vasilias yakin sihir Favlos dapat ditandinginya.

Dia cuba menggambarkan keadaan sebenar di perkampungan ini sebelum matanya dipejam dan meratib sihir transportasi.

Suasana di Perkampungan Filia masih sunyi seperti yang divisualkan. Dia menuju ke sebuah rumah kayu yang besar dan panjang. Rumah yang berada dalam keadaan baik di atas tanah lapang yang luas. Sebaik sahaja melepasi pagar, Vasilias terus menuju ke belakang rumah.

Rumput yang tumbuh memanjang disepak dengan but kulit. Kakinya kemudian melangkah tinggi kerana mengelak nisan yang terpacak di permukaan tanah. Matanya melihat sebatang pokok yang paling tinggi di situ. Dia berjalan lurus ke hadapan lalu berhenti di perdu pokok. Tanah di hadapan perdu pokok diperhatikan.

Tiba‐tiba, angin bertiup kencang. Mantel merahnya terkibas‐kibas ke belakang. Vasilias
mengunjurkan tangan ke hadapan. Bersedia untuk melafazkan mantera sihir untuk menghamburkan tanah. Tidak semena‐mena, sepasang tangan kotor menarik kakinya. Apabila dia menoleh, ramai mayat hidup sudah merangkak keluar dari kubur dan mengerumuninya.



Mayat‐mayat hidup itu ditendang dan dipijak pada kepala. Kemudian, dia mengembangkan
tangannya dan menghalakan kepada mereka. Satu gelombang terhasil sehingga mereka terpelanting. Vasilias telah berjaya menyakiti mereka. Mereka kemudian mengundur diri dan bersembunyi di sebalik semak. Sebahagiannya kembali mengengsot dan tembus ke dalam tanah kubur.

“Bongkar!”

Tanah di perdu pokok itu terpecah dan meletup. Ketulan tanah terpercik ke persekitaran. Vasilias menjangkau tangannya ke dalam lubang yang terhasil. Jarinya merasa sesuatu yang keras. Dia menolak dan menyapu ketulan tanah lantas mengeluarkan peti kayu dari lubang tersebut.

Vasilias menyapu debu yang melekat pada peti kayu. Mengamati ukiran bersimbol mistik di atasnya. Dia mengesan cangkuk besi yang mengunci peti kayu itu telah terkopak. Vasilias hairan, namun keghairahan untuk mengambil kitab sihir mengatasi perasaan curiga. Apabila dia mengangkat penutupnya, sebuah kitab lama tersimpan di dalamnya.

Kitab lama dalam peti kayu diangkat dari kotak. Kitab itu tidak melekat pada kotak kerana simpulan sihirnya telah dirungkaikan oleh aura sihir yang menyaluti tangan Vasilias. Vasilias menyelak helaian kitab lama yang nipis itu. Kertasnya terlalu lusuh, dijalin dengan benang. Helaiannya masih kukuh biarpun terlihat lusuh. Vasilias menyelak sehingga ke bahagian tengah kitab sihir. Tulisan Roman kuno diteliti. Tangannya meraba tulisan yang mengisi helaian kosong. Tulisan dibaca dengan ditafsirkan kepada bahasa percakapannya.

“Sihir tahap tertinggi dari alam kegelapan – Sihir Pemerintah Bayang. Tiga syarat perlu dibayar untuk mengecapi Sihir Pemerintah Bayang. Pertama: Mandi air rebusan tulang tuan Permata Berdarah yang sebelumnya. Kedua: Darah mangsa yang dibunuh oleh saudaranya. Ketiga: Darah pemilik Permata Berdarah yang baru. Hadiahnya adalah hamba daripada makhluk bayangan dan kekebalan daripada manusia. Permata Berdarah adalah jantung yang mengawal makhluk bayangan. Tenaga satu makhluk bayangan bersamaan berpuluh tenaga lelaki yang kuat. Makhluk bayangan akan patuh kepada penguasa baru selagi mana tuannya kekal berkuasa.”

Kitab sihir yang dipegang diketuk dengan kuku. Vasilias berfikir‐fikir. Tiba‐tiba, dia teringatkan
keadaan peti kayu semasa dijumpai tadi. Satu kemungkinan yang ditakuti terlintas di minda.

Kepalanya digeleng‐geleng lantas kakinya berjalan lalu menuju ke pintu masuk rumah ahli sihir
Favlos. Banyak bahagian bumbungnya yang berlubang. Vasilias hanya berjalan dalam lorong gelap berpandukan cahaya bulan terang yang menyusup masuk melalui lubang‐lubang.

Jembalang berkepala botak merangkak dan melekat di dinding. Ketika dia melompat dan mahu menerkam Vasilias, dia terhumban ke belakang dengan hambatan sihir daripada Vasilias. Tiba‐tiba, pintu di sebelahnya terbuka luas. Seorang kanak‐kanak lelaki yang hanya berpakaian kain lusuh separas betis muncul di dalamnya. Matanya dengan lingkaran hitam merenung Vasilias seperti bermuslihat. Dengan satu jurus angin, pintu itu terkatup kuat sehingga hentamannya menggegarkan dinding.

Perjalanan diteruskan. Kemudian, sekali lagi Vasilias diganggu. Jeritan seorang gadis membingitkan telinga. Pintu di sebelahnya terbuka luas. Menampakkan seorang gadis dengan rambut yang mengurai. Wajahnya terlihat kosong seperti kanvas putih.

Melihatkan jembalang itu yang merangkak laju mendapatkannya, Vasilias terus menyerangnya.
Tangannya mengunjur. Dia melihat gadis itu menggelupur di atas lantai sebelum tubuhnya berasap lalu terbakar menjadi rentung. Sebaik sahaja gadis itu menghilang, Vasilias terus berjalan sehingga ke bilik yang paling hujung.

Pintu itu dikuak. Vasilias melihat sekilas persekitaran di dalam bilik itu. Perhatiannya lebih tertumpu kepada keranda kayu di bahagian penjuru bilik. Langkahan diatur sehingga dia berhenti di sebelah keranda kayu.

Ketika dia mahu membuka keranda kayu, seorang wanita berkelubung putih berada di tepi pintu. Wanita itu tersenyum panjang sehingga ke telinga sehingga mulutnya terkoyak luas. Tangannya dengan kuku panjang dijangkau ke arah Vasilias. Mukanya menyeringai menampakkan taring yang tajam berdarah.

Sedetik kemudian, jembalang menyerupai lelaki botak berkelubung putih pula muncul di sebelah gadis jembalang. Dia berjalan perlahan‐lahan, mahu mendapatkan Vasilias.

Pergerakannya yang dilajukan menyebabkan kepalanya terjatuh lalu tergolek di atas lantai. Namun anehnya, tubuh itu masih tegak berdiri. Kedua‐dua tangannya diangkat untuk mencekik Vasilias.

Belum cukup dengan itu, seorang gadis jembalang bertubuh kurus dengan rambut panjang yang menutupi muka muncul dekat dengan Vasilias. Dia terjatuh dari bumbung dengan lehernya tersekat pada tali gantung. Leher Vasilias berjaya dicapainya. Kemudian, dia mencekik Vasilias. Menariknya sehingga kaki Vasilias terangkat dari menginjak lantai.

Tidak cukup dengan itu, makhluk bayangan muncul dari kawasan gelap di hujung bilik. Makhluk bayangan menyerupai manusia mengengsot ke arah Vasilias. Pergerakannya disusuli oleh binatang yang berkepak. Makhluk bayangan itu menghinggapi Vasilias yang masih meronta‐ronta lalu mencakar kulitnya.

Vasilias cuba mengumpul kekuatan. Dia meraup udara lalu bibirnya terkumat‐kamit mengungkap perkataan sihir. Dengan sekali libasan tangan, makhluk bayangan dan jembalang yang mengganggunya terhapus. Mereka terkisar hancur menjadi butiran hitam sebelum tersejat di udara.

Vasilias menyelesakan dirinya. Dia menahan nafas sambil pintu keranda diangkat perlahan-lahan.
Tulang rangka Favlos diintai lalu dia tersenyum. Vasilias membayangkan Permata Berdarah yang bakal jatuh dalam genggamannya. Pintu keranda itu dibiarkan terbuka luas sementara Vasilias memerhatikan rangka Favlos dengan hina. Anak matanya dikecilkan.

Dibawa melihat rangka Favlos dari atas ke bawah.

Pandangannya didaratkan pada genggaman tangan Favlos.

Matanya terbeliak. Jantungnya mengepam darah begitu kencang sehingga wajahnya bertukar merah. Vasilias tidak melihat kilauan Permata Berdarah yang diidaminya. Apabila dia menyelak tulang jari Favlos, apa yang dia temui hanyalah satu. Kekosongan.

“Arrrghhh!”

Penutup keranda dihempas sekuat hati. Deras seperti aliran amarah yang mengisi pembuluh
darahnya. Debu yang melitupi keranda berselerakan. Mengisi udara kusam di sekelilingnya.

Kitab sihir yang berada dalam tangannya sedari tadi digenggam kuat.

“Siapa... siapa yang ambil? Tak guna!” bentak Vasilias.

Tangannya menekan pada penutup keranda sambil nafasnya berdengus kasar. Kuku hitam tumbuh memanjang dari jari. Mulut Vasilias terbuka sedikit. Menampakkan siung yang tajam. Tulang pipinya naik sambil wajahnya menyeringai umpama binatang buas memerhatikan mangsanya.

Vasilias kemudian menundukkan kepala. Dia cuba menenangkan gejolak perasaan. Pintu keranda dibuka kembali. Walau apa pun yang terjadi, tiga syarat untuk menghidupkan Permata Berdarah harus dilengkapi. Dia memasang tekad baru. Dia akan mencari gerangan yang berani mencuri Permata Berdarah. Vasilias tetap mahu merampas kembali Permata Berdarah walau bagaimana jua caranya.

Tulang lengan Favlos dipatahkan lalu diambil. Kitab sihir dan tulang Favlos itu berada dalam
pelukannya. Tubuh Vasilias kemudian berputaran sebelum lesap meninggalkan sisa asap hitam.

SAMPAI di Pantheon, Vasilias terus mengunci diri di dalam bilik pemujaan. Armen diminta untuk mempersiapkan peralatan pemujaan. Tembikar berisi air, longgokan tahi besi, korban manusia dan pisau belati dibawa masuk ke dalam bilik. Vasilias merenung semua keperluan pemujaan sebelum menghalau Armen keluar.

Vasilias berdiri di hadapan air mendidih di dalam tembikar. Memerhatikan pantulan wajah pada permukaan air yang menggelegak. Tahi besi digenggam kuat sehingga tangannya menggeletar. Perkataan sihir dibisikkan pada tahi besi sebelum dilemparkan ke dalam air.

Warna air mula bertukar menjadi hitam. Vasilias membuat gerakan memutar, mengacau air di udara. Senyumannya meleret.

Tulang Favlos dikutip lalu dilontarkan semua sekaligus ke dalam posyen.

Vasilias menjarakkan diri dari tembikar. Kepalanya menunduk sambil berdiri. Dua belah kakinya
terbuka luas. Dia mengunjurkan tangan dan menyentuh ibu jari pada sebelah kaki yang menjulur. Tubuhnya melonjak sebelum kakinya menendang udara diikuti dengan libasan angin dengan tangan. Kepalanya kemudian diteleng‐teleng seperti ular tedung yang mensasarkan mangsa.

Dia menyudahkan gerakannya dengan mengeraskan badan. Pisau belati dihunuskan dan diangkat separas muka. Matanya dipejam, cuba untuk fokus. Hembusan nafas hitam keluar lalu diluruti mengenai bilah pisau.

Kemudian, Vasilias menoreh tapak tangannya. Dahinya berkerut menahan kesakitan yang terlahir daripada torehan tajam. Tangannya menggeletar lalu penumbuknya digenggam di atas tembikar. Darah panas dititiskan agar bercampur dengan air yang menggelegak. Darah yang tersisa di bilah pisau belati dijilat dengan penuh berselera.

Api dimatikan lalu airnya dibiarkan sehingga beransur‐ansur sejuk. Kemudian, air dalam tempayan dicedok sehingga memenuhi gayung kayu. Air itu dicurah di atas kepala. Mengalir menuruni lekuk tubuhnya. Air dibiarkan membasahi tubuhn dan menyelati rambut. Matanya terpejam menghayati kehangatan air suam yang membelai kulit.

Tulang yang direndam dikeluarkan dan diletak di atas dulang. Dibiarkan sehingga panasnya
berkurang. Dia menyentuh rekahan pada tulang Favlos. Rekahan pada tulang itu semacam
membentuk tulisan Roman. Tulisan itu bertulis – Mati.

Vasilias terlalu asyik mengamati dan menyentuh alur rekahan tulang sehingga jarinya terluka. Dia melihat darah yang mula mengalir dari lipatan ibu jari. Kepala Vasilias terasa disengat.

Pandangannya menjadi berbinar‐binar. Tubuhnya kemudian rebah menyembah tanah. Vasilias sempat melihat kepulan asap di atas kepalanya sebelum pandangannya diselubungi kegelapan.

KELOPAK matanya dibuka. Dia memerhatikan persekitarannya yang berlatarkan warna hitam.
Pandangannya yang kabur beransur‐ansur jelas. Seseorang yang berjubah hitam membelakanginya. Dia mengunjurkan kepala, cuba mengintai gerangan yang sedang menemaninya.

“Zalanbuur?”

Mendengarkan panggilan itu, dia menoleh. Vasilias kehairanan. Daripada segi parasnya, lelaki ini langsung tidak menyerupai Vasilias. Malah wajahnya juga belum pernah terlihat sepanjang hidupnya. Vasilias tertanya‐tanya. Siapa sebenarnya lelaki ini dan... apa yang dia mahukan darinya?

Dari roman wajahnya, lelaki ini tampak membengis. Wajahnya masih muda dengan sedikit garisan kedutan pada dahi. Rambutnya panjang separas bahu dan berkerinting pada hujungnya. Pandangan matanya tepat kepada Vasilias. Tajam dan runcing. Bibirnya kemudian ditarik pada satu arah dan membentuk senyuman.

“Zalanbuur?” Dia mengulang pertanyaan Vasilias tadi dengan nada sinis. Dia ketawa terbahak-bahak.

Seolah‐olah Vasilias adalah bahan ketawa yang menggeletek hatinya. “Aku Favlos. Ahli sihir terhebat di dunia!” ucap Favlos dengan bangga.

“Kenapa kau ketawa?”

“Zalanbuur. Dia yang buat kau datang ke tempat aku? Curi kitab sihir dan tulang aku?” soal Favlos.

“Ya. Aku nak hidupkan Permata Berdarah. Zaman kegemilangan kau sudah lama mati, Favlos.
Mayat kau dah mereput di Perkampungan Filia. Selepas aku menguasai Sihir Pemerintah
Bayang, aku akan dapat menguasai seluruh makhluk bayangan dari alam kegelapan. Dan, aku
akan menakluk dunia!” Vasilias mengungkapkan kata dengan keyakinan membusung di dada.
“Kau betul‐betul percaya dengan kata‐kata dia?”
“Mestilah! Zalanbuur tak akan berdusta pada aku.”
Favlos mengusap belakang tangan. Kepalanya tunduk sambil ibu jarinya bermain dengan
cincin batu bulat yang berkilat. Kemudian pandangannya diangkat, kembali menatap wajah
angkuh Vasilias.
“Permata Berdarah itu berbahaya, kawan. Percayalah... Kau pun tak akan mahu
menggunakannya. Menjadi pemerintah makhluk bayangan memang indah. Tetapi, kau akan
ketagih kuasa. Perlahan‐lahan, Permata Berdarah akan membunuh kau. Legasi yang kau bina
akan hancur berkecai,” beritahu Favlos.
“Aku bukan kau! Aku tak akan ulangi kesilapan yang kau lakukan,” dalih Vasilias.
“Memang kau bukan aku. Kelak, kau akan berubah menjadi seperti aku. Leluhur aku ada dalam
Permata Berdarah, Vasilias. Bahkan tulang aku juga diperlukan untuk melengkapkan ritual
pemujaan. Jadi, kau tetap tidak dapat lari daripada pengaruh aku!” tempik Favlos.
“Aku adalah aku. Dan, aku akan dapat mengawal diri. Aku akan jadi pemerintah bayang yang
jauh lebih hebat daripada kau. Aku tidak perlukan nasihat kau, Favlos. Kau adalah ahli sihir
yang gagal. Sekarang pergi! Jangan ganggu rancangan aku,” Vasilias bertegas.
Kemarahan meluap‐luap di dada. Vasilias memang pantang jika kebolehannya dipersoalkan.
Dia menghalau Favlos dengan pandangan. Dia benci melihat wajah tenang Favlos. Tubuhnya
dibalikkan agar membelakanginya.
“Keputusan ada di tangan kau, Vasilias. Cuma ingat! Aku adalah pemilik asal Permata Berdarah.
Dan aku tahu bagaimana kerakusan Permata Berdarah akan mengubah diri. Buat kau buta
sehingga akhirnya kau akan memusnahkan diri sendiri. Jangan cakap aku tidak pernah
memberi amaran, Vasilias. Jin kafir sedang bermuslihat. Cepat, sebelum kau terikat dengan
perjanjian nyawa yang disogokkan Zalanbuur,” kata Favlos sebelum berunsur pergi lalu hilang
dalam kegelapan.
Hutan Sigalia
MUSYRIF berjalan di sebelah Lewis di barisan hadapan. Sementara Hervey dan Lysandra pula
berada di barisan belakang. Sesekali Hervey menoleh ke sisi memerhati celahan semak hutan.
Berwaspada sekiranya ada bahaya yang mengintai. Keadaan hutan terlalu sunyi. Cuma bunyi
derak dan desiran angin yang berhembus sekali‐sekala menyinggahi pendengaran.
Permata Berdarah sedang tergantung pada leher Musyrif. Seketika, Permata Berdarah yang
tergantung dekat dengan jantung menjadi hangat. Musyrif segera menarik kain yang meliliti
permata lalu membiarkan Permata Berdarah bergayut bebas di luar Tunicnya.
Tiba‐tiba, telinganya menangkap satu bunyi. Bunyi itu adalah suara seorang lelaki. Dia
melingaskan pandangan ke persekitaran. Cuba mencari arah punca suara namun tetap tidak
bertemu. Anehnya, suara lelaki itu kedengaran lunak semacam memberi satu pesanan.
Langsung tidak menyerupai satu ancaman.
“Musyrif, dengar kata‐kataku! Kau harus kuatkan pertahanan. Bahaya sedang mara. Kuatkan
semangat kau, Musyrif. Pandu mereka ke jalan keluar!”
Setelah suara itu lenyap, angin di sekeliling mereka bertiup kencang semacam ribut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan